JEMPUTAN DARIPADA NISAH HJ. HARON

Assalamualaikum wrt, salam sejahtera.

Sebagai Setiausaha Satu, Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), saya dengan segala sukacita mengundang semua mantan peserta MPR ke majlis Bicara Karya seperti mana ketetapan yang berikut :

BICARA KARYA PEN 2008
Tarikh : 6 Januari 2008 (Ahad)
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Dewan Kuliah A, Kolej MARA Seremban (berhadapan Allson Klana Resort, Seremban)

Buku yang bakal dibicarakan :
Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus - Kumpulan Cerpen Nisah Hj Haron
Panel : Dato' Dr. Anwar Ridhwan (mantan Pengarah Penerbitan DBP)
Maya - kumpulan puisi Agus Salim
Panel : Prof. Madya Dr. Arbak Othman (UPM)
Jasa Ibu - kumpulan puisi kanak-kanak Zainal Abdul Kadir
Panel : Dr. Ani Omar (UPSI)
Beraraklah Awan Pilu - novel Abdul Latip Talib
Panel : Puan Nor Azah Abdul Aziz (UP&D)
Terima kasih.

Seimbas Belekan Dewan Sastera





Tahniah buat mantan-mantan MPR yang karyanya tersiar dalam DS (sisipan
Tunas Cipta) Januari 2008;


CERPEN (Sisipan Tunas Cipta)
Tuah dan Kucing Putih (Mohd Tarmize Mohd Nor, mantan 2004) - cerpen ini turut termuat dalam antologi Mantan MPR 12! yang baru sahaja diterbitkan baru-baru ini.

Bulatan (Ani Sarah, mantan 2007)- ini adik junior kita yang baru sahaja mendapat hak kerakyatan dalam alumni MPR (hehehe)

CERPEN (Dewan Sastera)

Perkahwinan di Hujung Runcing Bumbung Zink (Roslan Jomel, mantan 1991) -karyanya turut termuat dalam antologi 12! yang bertajuk 99 Hari Emak Saya Dinaikkan ke Angkasa, seperti biasa tajuk cerpennya sudah menarik kita untuk membaca.

SAJAK (Sisipan Tunas Cipta)

Sebermula Kau dan Aku (Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, mantan 2007)- ini adik junior kita, yang baru sahaja diperanakkan di Minggu Penulis Remaja 2007, penghuluwati di sana.


Juga, antara lain,Dewan Sastera Januari turut memuatkan cetusan idea Salman Sulaiman (mantan 2000) dalam kolum Surat Kepada Editor. Lebih menarik (dan teruja) ialah satu ruangan baru sudah dimuatkan dalam Dewan Sastera kali ini. Ruangan Alumni MPR turut memaparkan laluan pengkaryaan Abang Shazmee Rizal Agus Salim (mantan MPR 1991), iaitu putera pasangan Alahyarham Agus Salim dan Mahaya Mohd. Yassin. Mudah-mudahan, pengalaman Abang Shazmeen bisa dijadikan tauladan bagi mantan-mantan yang lebih junior dan mudah-mudahan juga kolum ini terus konsisten berada dalam penerbitan Dewan Sastera.

Dan, jika membelek majalah I (terbitan Karangkraf) juga turut termuat cerpen Penghulu Minggu Penulis Remaja 2007, Aidil Khalid, yang bertajuk Moi Cheang Ah. Ini cerpen yang menarik, tentang free-thinker, ops..baca sendiri ya!

Buat kalian yang karyanya disebutkan di atas (junior-junior terutamanya), tahniah dan teruskanlah menulis. Jangan cepat berpuas hati dengan apa yang sudah dihasilkan. Terus majukan diri...!

Nota: Jika masih ada karya mantan-mantan lain (dalam DS) yang terlepas pandang oleh saya, sila maklumkan di sini)

Sekali lagi, memang saya terlepas pandang. Maafkan saya, Kak Nisah Haron. Untuk makluman, surat cinta Nisah Hj. Haron juga turut disirkan oleh editor dalam Dewan Sastera Januari, tentang mengakarkan semula sastera tradisional. (memang beliau wanita Melayu klasik lah! selepas pergi persidangan agung wanita klasik, kot? heheh)


(entri dimasukkan oleh Nasriah Abdul Salam)

Pertemuan Mantan MPR UIAM

Beberapa hari lepas, satu pertemuan Mantan MPR telah diadakan melibatkan semua mantan-mantan yang sedang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Antara yang hadir ialah Khairun Nasriah Abdul Salam, Sayyidah Muizzah, Nurul 'Izzah, Hidayat, dan Azree Ariffin. Mantan MPR UIAM yang tidak dapat menghadirkan diri ialah Azree MH. Ode dan Hani Salwah Yaakup pula merupakan mantan MPR(bukan warga UIAM) yang telah sudi bertandang ke Taman Ilmu & Budi untuk pertemuan kali ini. Kepada anda yang mungkin tidak berada disana...mari kita lihat gambar ini.

Antara mantan yang hadir...

Seriusnya semua...(dari kiri AzreeAriffin, Hani Salwah, Khairun Nasriah & Sayiddah Muizzah)

Inilah apa yang telah dicapai pada petang itu...

Terima kasih pada Azree Ariffin untuk pisang goreng & Nasriah untuk air milo
Pada kesempatan ini, kami daripada Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja ingin mengucapkan

Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Mantan Minggu Penulis Remaja DBP serta muslimin & muslimat yang sudi meluncuri laman blog ini. Semoga kehadiran Aidiladha kali ini semakin mendekatkan diri kita kepada Allah SWT juga mengeratkan hubungan silaturahim antara kita semua. InsyaAllah!

PESAN PEMBIMBING KEPADA MANTAN MPR 2007

Daripada Rashidah Othman (Mantan MPR 2007)



** Rakaman ini juga boleh ditonton terus dari http://www.youtube.com/watch?v=jElePoctDH0

AIR MATA TUMPAH DI MPR 2007

Oleh: Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri (Penghuluwati MPR 2007)

Minggu Penulis Remaja 2007 merupakan program penulisan pertama yang saya sertai sejak 3 tahun saya serius dalam bidang ini. Pengalaman di MPR 2007, kebanyakannya manis. Kenangan pahit, serasa tidak ada dalam kantung ingatan saya dan jika ada pun saya tidak berminat untuk menyimpannya dalam memori.

Tak terucap dengan kata-kata betapa gembiranya hati apabila saya berpeluang bertemu dengan penulis-penulis yang amat saya kagumi iaitu Kak Nisah Haron dan Abang Faisal Tehrani. Setelah beberapa tahun mengikuti perkembangan mereka hanya melalui karya, akhirnya bagaikan mimpi saya bertemu mereka dan dapat berbual-bual, meminta nasihat serta tunjuk ajar.

Selain itu, di MPR 2007, saya dapat bertemu dengan Prof. Rahman Shaari, guru pertama saya dalam penulisan puisi. Saya berguru dengan Prof. Rahman secara tidak langsung melalui komentar beliau tentang puisi saya dalam Dewan Siswa sejak tahun 2005. Saya berasa gembira apabila beliau masih mengingati nama saya yang sudah hampir setahun tidak ditulis oleh beliau sejak ruangan puisi dipertanggungjawabkan kepada abang Faisal. Sebelum beliau menamatkan tugasan sebagai pengkritik untuk ruangan Puisi Siswa, beliau ada berkata kepada saya, “Sayidah (beliau memanggil saya dengan nama itu) dijangka akan memperoleh kedudukan dalam kesusasteraan jika dia rajin.” Berbekal kata-kata azimat itulah, saya cuba untuk menjadi seorang penulis yang seprolifik mungkin. Ketika pertemuan dengan beliau di MPR tempoh hari, beliau sekali lagi memberikan saya satu azimat, ‘carilah kemudahan di celah kesukaran’ dan kata-kata itu akan saya pegang kemas-kemas sebagai bekalan untuk mara ke hadapan dalam bidang kesusasteraan.

Seingat saya, ada satu sesi yang menyebabkan saya banyak ketawa iaitu ‘Sesi Bedah Karya’ dan saya diletakkan dalam kumpulan yang dibimbing oleh Abang Faisal. Ketika abang Faisal ‘membedah’ cerpen saya yang bertajuk ‘Memilih Yang Terpilih’ yang belum sempat saya edit, serasa betapa ‘buruknya’ cerpen saya itu. Banyak kali Abang Faisal beristighfar apabila beliau membaca ayat-ayat yang telah saya hasilkan. Terlalu banyak perkataan ‘mesra’ sehingga abang Faisal memanggil saya dengan nama ‘Eja Mesra’. Selain itu, saya juga ada menyelitkan judul lagu Amr Diab iaitu Ana Akhtar Wahid yang saya jadikan sebagai dialog. Sekali lagi abang Faisal beristighfar . Saya yang memang payah untuk berasa kecil hati hanya tergelak mendengar komentar beliau.

Selain itu, kenangan yang suka saya ingat-ingatkan ialah aktiviti luar MPR iaitu bersiar-siar di Jalan Masjid India. Ahli kumpulan saya sewaktu aktiviti itu ialah Aidil, Dayat dan Nik manakala fasilitator yang bertanggungjawab terhadap kami ialah abang Faisal. Dalam perjalanan pulang, hujan mulai turun. Pada mulanya kami berteduh di sebuah balai bomba. Kemudian kami mengambil keputusan untuk meredah hujan yang masih gerimis itu. Tiba-tiba, hujan mencurah-curah sebaik sahaja kami melangkah dari balai bomba tersebut. Peliknya kami tekad meredah hujan dan tak terniat langsung untuk berpatah balik ke balai bomba dan kembali berteduh. Oleh itu, bermandi hujanlah kami berlima. Peristiwa ini membuatkan kenangan saya semasa kecil terimbas kembali kerana saya memang sangat gemar bermain air hujan bersama rakan-rakan saya yang kebanyakan kanak-kanak lelaki. Seronok. Itulah kata yang mampu saya ucapkan.

Saat akhir program MPR, perasaan saya terusik. Entah kenapa saya yang tidak mudah berkecil hati menjadi cukup-cukup sensitif dengan perkara-perkara yang melibatkan perpisahan. Sedih. Dan air mata saya tumpah juga pada malam penutup program apabila persembahan multimedia dari mantan MPR 2007 ditayangkan (Terima kasih buat Kak Lia yang cuba menenangkan saya).

Tiba waktu pulang, seperti mantan MPR 2007 yang lain, saya juga mula berfikir bagaimana mahu pulang dengan beg yang berat berisi buku yang tersangatlah banyak. Tetapi, alhamdulillah, walaupun sedikit tersrengenge, perjalanan pulang ke kampus di UIA, Gombak tidaklah sesukar mana kerana sabar itu kunci kepada ketenangan dalam menghadapi kesusahan.

Terima kasih buat fasiltator-fasilitator yang sangat dedikasi. Terima kasih buat abang Shahrun Nizal, penyelaras program yang banyak bersusah payah demi kami. Salam ingatan buat mantan-mantan MPR 2007. Kalian semua kenangan yang terindah. Akhir kalam, semoga tarian pena takkan berhenti berdansa di persada sastera walau di mana jua kita berada.

BARANG-BARANG YANG TERLALU BANYAK

oleh Aidil Khalid (Penghulu MPR 2007)




Ketika hari pendaftaran MPR 2007, seingat saya, hanya dua buah beg yang saya bawa. Tetapi ketika tibanya malam akhir, dan saya mulai mengemas barang-barang, ternyata dua buah beg yang saya bawa itu sudah tidak berupaya lagi memuatkan kesemua barang-barang tersebut.

Adakah begnya yang telah mengecut menjadi kecil? Ataukah barang-barang yang sedia ada telah mengembang menjadi besar?

Tapi itu mustahil terjadi. Mana mungkin dua buah beg yang tidak bernyawa boleh mengecut. Dan mana mungkin barang-barang yang tidak bernafas itu boleh membesar.

Tapi begitulah kenyataannya. Kerana setiap hari di bengkel, pasti akan ada-ada sahaja barang-barang baru yang diterima sama ada dari pihak urusetia atau pun dari penceramah. Misalnya, pada hari pertama, saya (juga peserta-peserta yang lain) membawa pulang dua naskhah buku yang dihadiahkan kerana berjaya menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh penceramah, Encik (tapi beliau lebih suka digelar Uncle) Jaafar Abd Rahim. Begitu juga pada hari kedua, saya membawa pulang satu beg plastik berisi fail, dan kertas-kertas edaran lainnya. Dan seterusnya pada hari ketiga saya membawa pulang satu beg plastik berisi kertas-kertas kerja Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara ke 5 selain beberapa buah lagi buku. Dan begitulah seterusnya sampai hari terakhir kursus.

Natijahnya, ketika hendak pulang, masing-masing merungut tentang susahnya hendak mengangkut barang-barang, kerana sudah terlalu banyak. "Beratnya… macam mana aku nak balik naik bas ni?" rungut salah seorang peserta. Bayangkan sahaja; dari dua buah beg ketika mula-mula mendaftar, menjadi lima buah beg ketika hendak pulang! Tentulah akan terserengenge hendak mengangkatnya!

Dan di rumah, bilik saya amat kecil. Saya mulai berkira-kira, barang-barang yang mana harus saya buang. Sebab kalau hendak dibawa semuanya, tentu semak bilik saya nanti. Tapi kemudian, salah seorang peserta lain, Wan Nor Azriq, telah menegah. "Jangan buang," katanya. "Semua bahan itu boleh digunakan untuk menulis nanti."

Dan saya akui kebenaran kata-katanya. Cuma kerumitan bagaimana membawa pulang, dan bagaimana hendak menyusunnya nanti di kamar yang sempit, masih membelenggu.

Nah, kenapa saya ceritakan semuanya ini? Kerana terdapat analogi yang sangat tepat antara barangan yang kami bawa pulang, dengan ilmu yang didapat. Kami datang dengan takah ilmu tentang kesusasteraan yang amat rendah, dan kemudian setelah dihidangkan dengan pelbagai jenis ilmu oleh para pembimbing, kami pulang dengan dada yang sudah terisi.

Pun begitu, masalah yang dihadapi dengan barang-barang yang terlalu banyak sehingga tidak tahu bagaimana hendak mengangkut pulang, juga bagaimana hendak meletaknya nanti sekembali ke ruang kamar yang sempit; adalah masalah yang sama dihadapi bersama ilmu yang didapat. Adakalanya ilmu yang dihidangkan terlalu tinggi untuk kami para peserta mpr yang rata-ratanya berumur sekitar 17-23 tahun. Adakalanya juga ilmu yang dihidangkan hanya samar-samar yang difahami. Dan ada juga yang tidak difahami langsung (pun, tentunya banyak juga yang difahami). Jadi sungguh pun kami pulang membawa bekal yang banyak, tetapi masalah yang dihadapi adalah bagaimana mencernakannya? Bagaimana mengadunkannya? Bagaimana menggaulkannya? Supaya nanti dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu. Nah, di sinilah masalah utama yang dihadapi. Dan di sini jugalah cabaran sebenarnya.

Seperti kata para pembimbing berulang kali, adakalanya para peserta sebelum menghadiri MPR, begitu prolifik menulis. Namun ironisnya, setelah menghadiri MPR, semakin tidak produktif pula menghasilkan karya-karya baharu.

Bagaimana mengatasi hal ini tentunya bergantung sepenuhnya kepada diri masing-masing. Dengan azam dan tekad yang kuat, tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Seperti barang yang banyak akhirnya telah berjaya juga dibawa pulang dengan selamat (sungguh pun sesekali agak terserengenge) tentunya ilmu yang didapat juga akan dapat dicernakan, digauli dan dihadami supaya dapat menjadikan diri sebagai penulis yang berwibawa kelak.

Selamat Datang Mantan MPR07!



Setelah seminggu berbengkel dan berkampung, mengasah pena yang semakin tajam dalam genggaman, akhirnya tabir Minggu Penulis Remaja 2007 melabuhkan tirainya. Tentunya pelbagai pengalaman manis yang telah dilalui oleh para peserta MPR2007 akan kekal terpahat dalam ingatan sebagai suatu pembakar semangat untuk terus menggegarkan persada kesusasteraan Melayu. Harapan kami, semoga pelbagai ilmu pengetahuan yang dikutip daripada para penceramah dan pembimbing sepanjang MPR07 dapat digunakan sebaiknya oleh para peserta untuk terus mara dalam dunia penulisan kreatif ini. Bak kata gurindam Melayu,


Diikat-ikat, biarlah panjang,
Dijalin-jalin, biarlah
rapat.

Disiram-siram, biarlah basah,
Diasah-asah, biarlah
tajam.

Bagi pihak Kelab Alumni MPR, kami dengan sukacitanya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada seluruh warga MPR 2007 ke dalam keluarga besar MPR!

  1. Nurul Hafiza Ahmad Alwi - Kedah

  2. Nor Hidayah Illias - Kelantan

  3. Hafizul Othman - Kedah

  4. Nur Azlizawani Zolkipeli - Kelantan

  5. Sharifah Aisiah Syed Mahazar - Kelantan

  6. Jamilah Mohd Noordin - Kedah

  7. Safura Sabri - Selangor

  8. Aidil Khalid - Selangor (Penghulu)

  9. Sayyidah Mu'izzah Kamarul Syukri - Terengganu (Penghuluwati)

  10. Nik Nur Fariha Ainna Nik Suib - Perak

  11. Nai Boon Mee Sararaks - Pulau Pinang

  12. Noriffah Hidayati Ibrahim - Negeri Sembilan

  13. Nur Iffaizyan Mohd Ghazali - Selangor

  14. Rashidah Othman - Kedah

  15. Wan Nor Azriq Wan Mokhtar - Kedah

  16. Nur Kamaliah Mohamed Sujari - Selangor

* Tiga (3) orang lagi peserta MPR07 sedang dipertimbangkan kedudukan mereka sebagai mantan MPR kerana peraturan kelab menetapkan ahli kelab harus menyertai MPR dengan sepenuhnya atau memenangi Hadiah Sastera Siswa. Dalam hal ini, mereka telah terlepas 2 hari atas sebab-sebab tertentu. Justeru, keahlian mereka akan dibincangkan dalam mesyuarat kelab yang akan datang.

**Ruangan pautan telah dikemaskinikan dengan blog mantan-mantan MPR07.

Sekitar Majlis Pelancaran 12 & Penutupan MPR 2007

Seperti yang dijadualkan, Alhamdulillah 12! telah selamat dirasmikan oleh Dato' Dr Firdhaus Abdullah, Ketua Pengarah DBP, semalam (30 November 2007) di Dewan Bahasa & Pustaka. Jadi kepada anda yang tidak dapat menghadiri majlis ini, kami menyediakan gambar-gambar dan pose-pose menarik daripada semua mantan yang hadir.

Abang Saharil: Adoi, apa lagi ni...aku dah lapar
Abang Khairul: Ha ah la Ril...lambat betul

Abang Lutfi: Ril, Khairul...ready ready...ada orang nak ambik gambar ni...

Peserta Termuda MPR 2007, Salsabila


Penghulu & Penghuluwati 1997 (Abang Hafezin Khadiri & Kak Rai) Penghuluwati 2005 (Khairul Nasriah)

Antara Persembahan Daripada Adik-Adik Mantan 2007

Mantan Campur-Campur...2006 ada, 2005 ada,2002 pun ada

Geng Lagu Klasik...Abang Saharil & Kak Rai

Inilah Sijil Peserta MPR 2007

Wajah Ceria Mantan 2007

Nine (Peserta MPR 2007) & Sregengenya

Empat Orang Puteri MPR (Dari Kanan; Kak Rai, Yana(2006),Fieda (2006) & Hani Salwah (2001)

Mantan MPR Yang Suka Bergambar

Adik-adik Mantan Yang "Manja" dengan Mantan Senior

Memori di MPR

Salam semua mantan,

Beberapa hari lalu sempat saya dan beberapa mantan yang lain berbincang mengenai memori yang kami lalui sepanjang Minggu Penulis Remaja yang telah kami sertai. Kenangan kami nyatalah berbeza kerana di'lahirkan' dalam MPR tahun-tahun yang berlainan. Misalnya memori di MPR 2001 berlainan dengan kenangan pada MPR 2005 dan sebagainya. Lalu, perbincangan itu jadi menarik dan semuanya nyata suka sekali mendengar memori MPR masing-masing.

Justeru, kami ingin anda berkongsi kenangan MPR anda bersama-sama mantan MPR yang lain disini. Jadi memori anda itu tidaklah hanya berkubur dalam ingatan anda sahaja. Mungkin ada kisah menarik, sedih, lucu dan tidak terduga yang dapat kita kongsikan. Selain itu kami juga berharap dengan perkongsian ini, ikatan wasilah diantara mantan MPR juga dapat dieratkan lagi. Apa lagi...ceritakanlah kepada kami!

Nantikan Kemunculan Antologi 12!


Jangan ketinggalan untuk mendapatkan Antologi 12! (Himpunan Cerpen Pengarang Terpilih MPR Siri 2) yang akan dipasarkan pada awal disember ini!


Cerpen yang terkandung dalam antologi ini adalah;


99 Hari Emak Saya Dinaikkan Ke Angkasa
Oleh: Roslan Jomel

Revolusi Cinta, Xuanwa
Oleh: Nimoiz TY

Antara Dua Pusara
Oleh: Nisah Hj Haron

Tuah Dan Kucing Putih
Oleh: Muhammad Tarmizie Mohd Nor

Aku Tahu Apa Kau Lakukan Tika Musim Pisang Lepas
Oleh: Faisal Tehrani

Pelangi Di Kutaraja
Oleh: Khairul Nizam Abdul Raub

Bila Adik Pulang
Oleh: Ummu Hani Abu Hassan

Aku Mahu Terbang
Oleh: Ida Munira Abu Bakar

Perbayu
Oleh: Zulfazlan Jumrah

Kerana Teh
Oleh: Hani Salwah Yaakup

Cerita Malam Pertama
Oleh: Lutfi Ishak
Salam kepada semua mantan MPR yang melayari ruang blog ini.
Kami dengan segala hormatnya ingin menjemput anda ke majlis Pelancaran Antologi 12! iaitu antologi kedua yang menghimpunkan karya penulis-penulis daripada kalangan mantan MPR. Majlis ini akan diadakan sempena upacara penutupan Minggu Penulis Remaja 2007 yang akan berlangsung pada 25 november sehingga 1 Disember 2007. Dibawah adalah butiran acara berkenaan.
Tempat: Dewan Bahasa & Pustaka
Masa : 8 malam
Tarikh : 30 November 2007
Hari : Jumaat
Namun begitu, pihak kami amat berbesar hati sekiranya mantan yang berminat untuk menyertai acara ini dapat mengesahkan kehadiran anda sebelum 29 November 2007 dengan menghantar emel jawapan kepada mantan_mpr@yahoo.com. Tempat adalah terhad kepada hanya 20 orang sahaja. Jadi, jangan lepaskan peluang anda!
Ini adalah FAQ yang Sdr Hizairi Othman sediakan dan serahkan kepada saya
beberapa bulan sebelum beliau hilang. Arahannya untuk dimasukkan ke dalam
laman web Alumni MPR. Saya masukkan ke sini. - Saharil Hasrin Sanin.

BILAKAH KELAB ALUMNI MPR DITUBUHKAN?
31 Mei 1997. Rasmi ditubuhkan sempena MPR yang berlangsung pada 25 Mei-1 Jun
1997. Dalam aturcara terakhir pada 31 Mei 1997 itu, dianjurkan seminar sehari
di DBP bagi membincangkan “Pencapaian Penulisan Cereka dan Puisi MPR Satu
Dekad – Arah dan Masa Depan” dan “Kelab Alumni MPR : Satu Realiti?”. Panelnya
Prof. Madya Dr. Othman Puteh (UKM) dan Prof. Madya Rahman Shaari (UM), dan
pengerusinya Tn. Hj. Hamdan Yahya (DBP). Beberapa mantan MPR yang hadir pada
seminar tersebut telah dipilih sebagai jawatankuasa menerusi undian.

SIAPA AHLI-AHLINYA?
Semua peserta yang pernah menyertai MPR (sejak 1985) dan/atau pernah memenangi
Hadiah Sastera Siswa (HSS) (sejak 1997) adalah automatik menjadi ahli kelab
ini.

APA OBJEKTIFNYA?
1. Menjana kelahiran penulis generasi baru dengan imej yang lebih dinamik,
berilmu dan bersedia dengan cabaran alaf baru.
2. Menggalakkan kewujudan penulis yang prolifik dan konsisten berkarya,
seterusnya dapat menjadi pelapis masa hadapan sastera Melayu di Malaysia.
3. Mendedahkan dan menggalakkan ahli kepada aktiviti dan persekitaran berkait
sastera, penulisan kreatif, penerbitan dan cabang seni lain di peringkat
setempat, serantau dan sejagat.
4. Menjadi penampung pertemuan intelektual dan kreatif daripada semasa ke
semasa.
5. Menghimpunkan semua mantan MPR dan HSS di seluruh Malaysia dan menyatukan
mereka di bawah satu organisasi yang aktif dan sistematik.

APA SLOGAN SENI KELAB ALUMNI MPR?
Sastera Sejagat Bermutu Berilmu.

APA MISINYA KELAB ALUMNI MPR?
Mewujudkan penulis generasi baru yang dinamik, berani berbeza, bercita-cita
tinggi, bekerja keras menuju apresiasi dan pencapaian global, serentak sedar
dan prihatin dengan akar negara-bangsa-agama sendiri.

APAKAH MPR?
MPR ialah program sistematik selama seminggu anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) bagi melatih penulis remaja berbakat. Projek ‘anak angkat’
ini diilhamkan oleh beberapa pihak di DBP pada pertengahan 1980-an,
termasuklah Datuk Johan Jaafar, En. Abdul Ahmad dan En. Ali Majod.

APA KAITAN HSS DENGAN MPR?
Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang diasaskan oleh En. Abdul Ahmad (DBP) ini
ialah suatu anugerah pengiktirafan bakat terhadap karya cerpen dan puisi
yang tersiar menerusi majalah Dewan Siswa yang selama ini menjadi wadah
pembaca/penulis remaja mengembangkan bakat dan kreativiti mereka. Anugerah
yang ditaja oleh Bank rakyat ini dilancarkan Tuan Hj. Bujang Hj. Ulis,
Timbalan Menteri Pelajaran di Balai Seminar DBP pada 12 November 1986.

SEJAK BILA MPR DIADAKAN?
MPR dijalankan sejak 13 September 1985 dengan nama Minggu Remaja (ditukar
pada Minggu Penulis Remaja pada awal 90-an).

SIAPA YANG TERPILIH MENYERTAI MPR?
Kira-kira 25-30 penulis remaja pelbagai kaum yang berbakat yang berusia
antara 15-23 tahun dipilih dari serata Malaysia.

BAGAIMANA MENYERTAI MPR?
1. Berusia antara 15-23 tahun.
2. Mempunyai sekurang-kurangnya satu karya yang pernah disiarkan di
mana-mana media cetak.
3. Jika karya belum disiarkan di mana-mana, pertimbangan boleh dibuat
berdasarkan pertandingan menulis tertentu yang dimasuki, atau sokongan
dan cadangan dari tokoh sastera tertentu atau persatuan penulis tertentu.
4. Pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang dianjurkan menerusi
majalah Dewan Siswa, atau pernah memenangi anugerah penulisan lain.
5. Sedia memberi kersama jika diperlukan apabila menjadi ahli Kelab Alumni MPR.
6. Menunjukkan minat mendalam dan komitmen berterusan terhadap sastera dan
beriltizam mahu menjadi penulis berjaya.

APA OBJEKTIF MPR?
1. Melahirkan penulis pelapis berbakat besar dengan memberi bimbingan dan
pantauan berterusan dan terancang.
2. Mengenal pasti penulis yang berpotensi untuk didedahkan dengan pengalaman
penataran sastera di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
3. Menggalakkan penghasilan karya sastera bermutu.
4. Menjadikannya sebagai program pengiktirafan bakat dan pencapaian bagi
penulis pelapis.
5. Mewujudkan barisan penulis generasi baru dengan imej lebih dinamik, agresif
dan kreatif.

SIAPA PEMBIMBING BENGKEL PENULISAN MPR?
Pembimbing bengkel intensif cerpen dan puisi dikendali oleh para penulis
berpengalaman dan/atau ahli akademik dalam bidang sastera yang berwibawa.
Antaranya Prof. Madya Dr. Othman Puteh dan Prof. Madya Rahman Shaari.

APA PROGRAM LAIN DALAM MPR?
Peserta akan berpeluang mengenali DBP, para editor sastera di akhbar dan
majalah berwibawa, berdialog dengan Sasterawan Negara, berkenalan dengan
penulis mapan, diberi latihan menulis secara informal oleh mantan MPR
menerusi kerja lapangan, didedahkan dengan dunia penulisa-penerbitan-seni,
selain aktiviti-aktiviti lawatan sekitar Kuala Lumpur.

BERAPA RAMAI YANG PERNAH DILATIH DI BAWAH MPR?
Sejak 1985 hingga kini, terdapat kira-kira 350 penulis telah dilatih di bawah
naungan MPR. Antaranya Zaen Kasturi, Hizairi Othman, Ahmad Patria Abdullah,
Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Lily Haslina Nasir, Rosie Haslinda Nasir,
Shamsudin Othman, Tuan Faridah Syed Abdullah, Salina Ibrahim, Maharam Mamat,
Shahriza Abdul Rahman, Amaruszatie Noor Rahim, Tan Bok Hoi, Nisah Hj. Harun,
Uthaya Sankar SB, Siti Raihani Mohamed Saaid dan Ranofla Dianti Irwan.

APAKAH GENRE YANG DITULIS OLEH ‘GRADUAN’ MPR?
Kebanyakan mereka menulis cerpen dan puisi berdasarkan bengkel yang diikuti
ketika MPR. Hingga kini terdapat hampir 100 karya mereka yang telah
diterbitkan oleh DBP dan penerbit lain, berupa antologi cerpen dan puisi hasil
tugasan setiap kali MPR berlangsung, antologi cerpen dan puisi bersama,
kumpulan cerpen dan puisi persendirian. Malah mereka meluaskan horizon
penulisan dengan menulis novel, drama pentas, drama radio, drama televisyen,
esei, ulasan/kritikan filem dan rencana.

APA ANUGERAH YANG PERNAH MEREKA MENANGI?
Antaranya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-
Public Bank, Hadiah Sastera Malayan Banking-DBP, Hadiah Drama Berunsur Islam
anjuran DBP-JAKIM, Hadiah Cerpen Berunsur Islam anjuran BAHEIS, Hadiah Cerpen
ESSO-GAPENA, Hadiah Cerpen Formula Malaysia, Trofi Samad Idris anjuran FINAS,
Hadiah Rencana Terbaik anjuran Yayasan AIDS Malaysia dan banyak lagi.

APA KEISTIMEWAAN MENYERTAI MPR?
MPR program melatih penulis remaja paling sistematik di Malaysia dan telah
mencapai usia lebih 10 tahun. Ramai penulis muda yang telah mencipta nama hari
ini lahir dari program ini. Banyak karya mereka telah diterbitkan di DBP dan
oleh penerbit lain. Menyertainya adalah pengalaman dan peluang eksklusif bagi
mereka yang inginkan latihan dan pengetahuan segera dalam usaha menjadi
penulis berjaya. Apabila anda menyertai MPR pula anda akan automatik menjadi
ahli Kelab Alumni MPR yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti.

APA SIGNIFIKAN MPR?
Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan
kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam
pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung. Program ini telah
melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan
bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang
lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera
remaja yang sering diperlekehkan. ‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus
membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili
oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan
positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.

Di Sebalik 12!

Manuskrip 12!


Beginilah rupa kulit 12! yang telah dicetak

Doakan usaha kita untuk menerbitkan antologi kedua MPR, 12! ini berjaya...Amin!

Seminar Pemikiran SN Dato' Shahnon Ahmad

SASTERAWAN Negara Datuk Shahnon Ahmad merupakan antara ikon dalam perkembangan kreatif dan perkembangan bidang pendidikan serta kritikan sastera mutakhir tanah air.

Karya-karyanya dalam genre novel dan cerpennya mewakili aspirasi, pemikiran dan idealisme masyarakat atau dengan kata lain sebagai lidah untuk menyuarakan pelbagai polemik sosial di negara ini.

Karya-karya kritik sosialnya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Gelandangan dan Serenggenge atau Tivi cukup untuk memperlihatkan kekuatan Shahnon sebagai pengarang besar.

Bagi mengungkapkan pemikiran dan idealisme pengarang tersebut, Bahagian Teori dan Kritikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Seminar Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pada 13 dan 14 November ini.

Skop seminar akan meliputi perbincangan karya Shahnon dalam pelbagai genre yang dikupas melalui pelbagai teori dan pendekatan. Antaranya teori feminisme, pascakolonial dan teori kritikan tempatan, konseptual kata kunci oleh Mohd. Mokhtar Hassan.

Secara umumnya seminar tersebut bertujuan membincangkan karya-karya Shahnon secara tuntas, selain menggali pemikiran dan proses kreatifnya.

Ia juga bertujuan mencari dimensi baharu dalam pemikiran Shahnon untuk dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan masa kini.

Seminar tersebut juga diharapkan dapat menampilkan rumusan sumbangan pemikiran Shahnon yang lebih mantap terhadap perkembangan sastera tanah air.

Seramai 21 sarjana akan memperkatakan pelbagai aspek tentang Sasterawan Negara itu termasuk aspek pemikiran, kepengarangan, kajian gender, falsafah, politik dan nilai-nilai kemelayuan dalam karya.

Antara pembentang kertas kerja ialah S. Othman Kelantan (Kemelut dan Menteri: Petanda Pemikiran Shahnon), Md. Salleh Yaapar (Falsafah Pemikiran Shahnon Ahmad Terhadap Sastera) dan Anwar Ridhwan (Pemikiran Kritis Shahnon Ahmad Dalam Novel-Novel Pilihan).

Para pembentang lain ialah Teo Kok Seong (Karya-karya Shahnon Ahmad dari Sudut Bahasa/Linguistik), Abdul Rahman Napiah (Keunggulan Shahnon Ahmad), Rahimah Abdul Hamid (Kedirian Shahnon Ahmad dalam Dunia Sastera) dan Mohamad Daud Mohamad (Menteri dan Perdana Dalam Bacaan Teori Studi Budaya).

Turut membentangkan kertas kerja ialah Lim Kim Hui (Pertembungan Nilai Lama dan Moden dalam Karya-karya Shahnon), Siti Hajar Che Man (Wanita Dalam Pemikiran Shahnon: Analisis Dari Sudut Teori Feminis) dan Hashim Ismail (Sutan Baginda dan Perdana Dari Sudut Pascakolonial).

Sementara itu, seminar tersebut terbuka kepada umum. Sebarang maklumat lanjut, hubungi Urus Setia Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di 03-21482539/2537/1217.


Dari Utusan Malaysia Online, 8 November 2007

....TttaRa!!

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket


Cantik, kan?
doakan semoga semuanya berjalan lancar ya, kawan-kawan. kami harap sungguh-sungguh!

HEBAHAN : KONGRES KEBUDAYAAN SERUMPUN

PENA dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menganjurkan
KONGRES SEBUDAYA SERUMPUN.


Tarikh:
16 - 18 NOVEMBER 2007

Tempat:
Dewan Bahasa dan Pustaka.


Pemakalah:
Pemakalah terdiri daripada sarjana, budayawan dan aktivis sastera daripada

empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singupura dan Thailand.

Status Kongres:
Antarabangsa

Penyertaan:
RM20 (pelajar), RM40 (individu) dan RM100 (organisasi - untuk 3 orang)

Penginapan:
Tanggungan sendiri (cadangan penginapan boleh dibantu oleh urus setia kongres)


Sebarang maklumat lanjut boleh hubungi;
i. Shamsudin Othman - 013-342 3166
ii. S.M. Zakir - 017-342 7991
iii. Mohamad Saleeh Rahamad - 019-351 4940
iv. PENA - 603- 2124 5824

Kehadiran dan penyertaan anda semua akan dapat mengimarahkan lagi majlis ilmu yang bersifat Budaya Melayu Serumpun. Perbincangan yang menekankan nasib bahasa dan budaya Melayu akan menjadi fokus kongres ini.

HEBAHAN: ANTOLOGI MPR KE-2

Sebagai kumpulan penggerak Antologi Mantan MPR, kami ingin menjemput saudara untuk menjadi salah seorang penyumbang karya dalam antologi kedua selepas penerbitan Antologi 9! (Antologi Mantan MPR yang pertama yang sudah 3 kali diulang cetak). Cerpen yang disumbangkan perlulah bertaip 8 muka surat, langkau dua baris (double spacing) dengan tulisan times new roman. Saudara bebas memilih cerpen, sama ada yang sudah tersiar atau belum tersiar untuk diterbitkan dalam antologi ini.

Sebagai maklumat, antologi ini akan diuruskan penerbitannya oleh mantan sendiri. Namun begitu, setiap penyumbang yang cerpennya akan disiarkan perlu membayar sejumlah bayaran untuk menampung urusan cetakan dan penyelenggaraan yang lain. Jumlah bayaran akan ditentukan selepas pemilihan dibuat berdasarkan 'siapa cepat, dia dapat.' Oleh itu, semakin ramai bilangan penyumbang karya, maka nilai bayaran akan semakin rendah. Dalam erti kata lain, beban tanggungan bayaran sudah dikecilkan dan diringankan dengan ramainya jumlah penyumbang.

Antara objektif penerbitan antologi ini ialah untuk menambah pengumpulan dana dalam tabung MPR. Oleh yang demikian, hasil jualan antologi ini akan dimasukkan ke dalam tabung dan penyumbang karya tidak mendapat royalti.

Faedah yang diperolehi oleh penyumbang ialah 'kegembiraan' melihat cerpen sendiri diterbitkan bersama 'adik-beradik' yang lain dalam satu antologi. Antologi ini, ialah satu usaha mengeratkan pertautan antara mantan dan kami mengharapkan serta mengalu-alukan sokongan anda.

Antologi ini juga akan diterbitkan secara rasmi bagi menyambut kehadiran peserta-peserta MPR 2007 (bakal adik-adik kita) pada 25 Disember 2007 nanti. Oleh itu, saudara diminta menghantar karya sebelum 10 November 2007 (Sabtu) bagi memudahkan kami mendapatkan nombor ISBN, mengedit serta mencetak.

Moga usaha ini mendapat perhatian dan sokongan semua. Antologi sebagai wasilah pertautan. Turut dilampirkan Antologi Mantan MPR yang pertama, Antologi 9! Yang boleh dibeli melalui http://www.ujanailmu.com.my/


Untuk maklumat lanjut, boleh emel terus ke antologimpr@gmail.com
dibatalkan..
kita dahulukan program-program sastera lain yang bakal berlangsung dalam jarak masa yang sama.

PERJUMPAAN AIDILFITRI MPR

Kami, pelaksana kerja bagi Perjumpaan Aidilfitri MPR merangka cadangan untuk untuk membuat satu perjumpaan Aidilfitri MPR. Perjumpaan ini akan dibuat secara sederhana (tak perlu ada lampu raya lip lap lip lap) dan hidangan yang sederhana sahaja. Bezanya, setiap mantan yang hadir perlu membawa sedikit hidangan untuk santapan bersama. Maksudnya, kita buat ‘pot luck style.’ Misalnya, Kak Nisah datang bawa puding karamel (selain membawa pengikutnya yang 4 orang itu), Kak Rai datang bawa nasi himpit (kuahnya jangan lupa disertakan), Kak Amaruszati datang bawa kek coklat dalam 20 biji. Kak Lily dan Kak Salina datang bawa semperit dan tat nenas. Abang Saharil tidak dilupa, selain datang memba perut yang kosong tu datang bawalah apa-apa yang patut. Dan, Hani Salwah jangan lupa bawak konti anda hari itu kita pasang lagu raya, ya!

Tarikh cadangan untuk perjumpaan tersebut ialah : 27 Oktober 2007, Sabtu. Dan, tempatnya belum ditentukan lagi.

Tetapi (ada ‘tapi’ nya) tarikh yang dicadangkan ini (27 Oktober) bertembung dengan tarikh berlangsungnya Simposium Sastera Pelbagai Kaum di Kuantan (berlangsung pada 26-29 Oktober). Namun begitu, tidak dipastikan berapa bilangan mantan yang akan ke Kuantan untuk mengikuti simposium.

Oleh itu, kami ingin meminta sedikit maklum balas dan membuat sedikit pungutan suara, sama ada Perjumpaan Aidilfitri ini mahu diteruskan ataupun tidak. Ini bergantung pada bilangan mantan yang bersetuju untuk hadir. (barangkali ada yang mahu mendahulukan agenda lain pada tarikh itu.)

Apa-apa respon, tinggalkan diruangan komen. Komentar ‘merapu’ tidak digalakkan. Harap maklum.
Sesudah antologi pertama MPR yang berjudul 9! menemui pembaca setelah diulang cetak sebanyak dua kali, kami akan mengusahakan antologi susulan, iaitu antologi kedua mantan MPR. Kini, pihak pelaksana dalam proses mengumpul karya-karya daripada mantan, dan anda dialu-alukan menyumbang cerpen bagi dimuatkan dalam antologi ini.

Yang istimewanya antologi ini? Tentulah ada.

Antologi kedua ini akan turut memuatkan cerpen ‘abang long’ kita, Abang Hizairi Othman yang berjudul ‘Assalamualaikum.’ Oleh itu, jika anda mahu cerpen anda terbit bersama cerpen beliau, pastikan anda menjadi antara mantan yang terawal menghantar karya (bukan senang dapat peluang ni, tau!).

Hantarkan cerpen anda ke antologimpr@gmail.com dengan format biasa (8 muka surat, double spacing, Times New Roman, font 12) seberapa segera yang boleh bagi memudahkan kami mengedit dan menghantarnya kepada pencetak. Cerpen yang terpilih akan dimaklumkan agar anda boleh membuat bayaran percetakan nanti. Kos cetakan bergantung kepada harga semasa dan bilangan cerpen yang termuat dalam antologi ini. Oleh itu, kami masih belum dapat menetapkan harganya dalam pengumuman ini.

Harap maklum.

SEMINAR PENULISAN CEREKA 2007


SEMINAR PENULISAN CEREKA 2007

anjuran

AKADEMI SENI BUDAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN
(ASWARA)
3 – 4 November 2007

I. Latar Belakang

Penulisan cereka merangkumi karya dalam bentuk fiksyen/naratif,
iaitu cerpen dan novel. Seminar ini merupakan lanjutan daripada
Seminar Penulisan Dramatik yang dianjurkan oleh Jabatan Penulisan
ASWARA pada Disember 2006 yang lalu. Tumpuan kali ini menjurus
kepada penulisan genre cereka – merangkumi aspek teori, praktik,
penerbitan dan kritikan.

II. Objektif

a. membincangkan pelbagai aspek yang berkaitan dengan penulisan cereka,
termasuk tentang teori, prinsip, falsafah, pemikiran, praktik, teknik,
pendekatan, penerbitan dan kritikan penulisan genre ini;

b. mendedahkan kepada peserta seminar pelbagai teori dan teknik
penulisan cereka terbaru yang mampu memajukan serta mengembangkan
lagi bidang penulisan ini serta industri yang berkaitan (penerbitan);

c. menarik minat dan kecenderungan penulis-penulis muda terutamanya
kepada genre penulisan cereka, bagi melahirkan lebih ramai penulis baru
yang akan menyemarakkan lagi bidang ini;

d. menjadikan seminar ini sebagai ruang untuk para sarjana, peneliti,
pengkaji, pemerhati, pendidik, penulis, pengkritik, pelajar dan peminat
karya cereka untuk berbincang serta bertukar-tukar fikiran dan pengalaman;

e. menjadikan hasil daripada seminar ini sebagai sesuatu yang dapat menyumbang kepada usaha-usaha memantapkan lagi kurikulum serta kaedah pengajaran/pemelajaran penulisan cereka di ASWARA.

III. Tema

Tema Seminar ini adalah:

Pelestarian Citra Bangsa di dalam Karya Cereka Kontemporari

III. Peserta/Khalayak Sasar

Peserta Seminar terdiri daripada sarjana, pensyarah, pendidik, penulis, penerbit, pengkritik, para pelajar IPT dan khalayak umum yang meminati bidang penulisan cereka.

IV. Yuran Penyertaan

Penyertaan di dalam Seminar ini adalah secara percuma. Bagaimanapun, pihak penganjur tidak akan menanggung sebarang perbelanjaan perjalanan dan tempat tinggal para peserta. Hanya 200 orang peserta sahaja dapat diterima untuk Seminar ini. Pengesahan penyertaan adalah atas dasar permohonan terawal.

V. Kertas Kerja

16 kertas kerja akan dibentangkan dalam empat sesi, merangkumi aspek-aspek berikut: Teori, Praktik, Penerbitan dan Kritikan. Selain itu, dua sesi khas akan menampilkan dua tokoh undangan, yang akan membicarakan sekitar dunia penulisan cereka. Mereka ialah SN Dato’ A. Samad Said dan SN S. Othman Kelantan . Sebagai pelengkap Seminar, satu sesi forum akan turut diadakan.

VI. Pembentang Kertas Kerja

Semua pembentang kertas kerja sudah dikenalpasti oleh Penganjur. Antara mereka ialah Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Prof. Dato’ Dr. Hashim Awang, Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz, Dr. Mawar Shafie, Mohamad Saleeh Rahamad, Ainon Muhammad, Faisal Tehrani, Nisah Hj. Haron, S.M. Zakir, Azizi Haji Abdullah, Mohd Hanafi Ibrahim dan beberapa nama lagi.

VII. Tarikh dan Tempat

Seminar akan berlangsung pada 3 dan 4 November 2007, bertempat di Dewan Kuliah Utama, Kampus ASWARA, 464, Jalan Tun Ismail, 50480 KUALA LUMPUR.

VIII. Tarikh Tutup Permohonan

Semua permohonan untuk menyertai Seminar ini hendaklah dikemukakan kepada Penganjur selewat-lewatnya pada 26 Oktober 2007. Sebarang pertanyaan berhubung dengan Seminar boleh diajukan kepada:

Setiausaha
SEMINAR PENULISAN CEREKA 2007
Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
464, Jalan Tun Ismail
50480 KUALA LUMPUR.
(U.P.: Encik Mohd Ridzuan Harun)


Tel: 03 – 2697 5306 Faks: 03 – 2697 5513
Emel: ridzuan@aswara.edu.my atau info@aswara.edu.my

Laman Web: www.aswara.edu.my

MPR Datang Lagi!

Minggu Penulis Remaja 2007
(Dari web Dewan Bahasa & Pustaka)

SYARAT-SYARAT PENYERTAAN

  1. Calon peserta mestilah terdiri daripada kalangan remaja warganegara Malaysia yang berusia 17 hingga 21 tahun (tahun kelahiran pada 1986-1989).

  1. Calon peserta mestilah tidak pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum ini.

  1. Calon peserta yang berminat mestilah pernah menghasilkan sekurang-kurangnya satu karya dalam genre sastera (puisi, cerpen, novel dan drama) yang disiarkan di mana-mana penerbitan bercetak. Salinan karya perlu dikemukakan kepada pihak urus setia.

  1. Peserta mestilah bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh penganjur sepanjang program ini berlangsung.

  1. Peserta dikehendaki menghasilkan karya semasa program ini berlangsung.

  1. Peserta dikehendaki mengikuti program ini sepenuhnya.

  1. Pihak DBP menyediakan insurans berkelompok kepada peserta yang terlibat dalam program ini.

  1. Pihak DBP tidak menanggung kos perjalanan peserta. Walau bagaimanapun, keperluan makan-minum, penginapan dan keperluan lain sepanjang kursus akan ditanggung oleh DBP.

  1. Setiap peserta dikehendaki menyertakan bayaran pendaftaran sebanyak RM 40.00 dan disertakan bersama-sama borang penerimaan tawaran. Bayaran hendaklah dibuat dengan menggunakan cek atau wang pos atas nama ‘DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA MALAYSIA’.

  1. Peserta dikehendaki hadir mendaftarkan diri pada 25 November 2006 (Ahad), antara jam 10.00 hingga 11.00 pagi di Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur .

  1. Penginapan disediakan oleh DBP di Asrama Seri Cempaka, Rumah Puspanita (bersebelahan Menara DBP).

  1. Peserta akan bersurai pada 1 Disember 2007 (Sabtu), jam 10.00 pagi di Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

  1. .Untuk pengesahan penyertaan dan sebarang pertanyaan, sila hubungi Penyelaras MPR 2007, Encik Shahrun Nizal Mohd Nor melalui telefon, 03-21482345 / 017-6573212, atau e-mel, shahrun@dbp.gov.my.

  1. Tarikh tutup penyertaan ialah pada 5 November 2007.


BARANGAN KEPERLUAN YANG PERLU DIBAWA

  1. Peralatan perapian diri yang secukupnya (Minyak rambut, ubat gigi dan sebagainya)
  2. Pakaian
    • Pakaian untuk acara rasmi (formal)
    • Pakaian untuk sesi bengkel (bersopan)
    • Pakaian untuk solat
    • Pakaian untuk riadah (pakaian sukan)
  3. Alat tulis tambahan yang difikirkan perlu
  4. Ubat-ubatan peribadi (jika perlu)
  5. Komputer riba (jika ada)
  6. Wang saku yang mencukupi
  7. Alat muzik (jika ada)

PENGISIAN PROGRAM

  1. Sesi Suai Kenal dan Motivasi
  2. Sesi bersama-sama Sasterawan Negara
  3. Ceramah dan bimbingan

· Bahasa dan penulisan

· Penulisan kreatif

· Penghasilan rangka karya

· Analisis karya

· Proses Penerbitan

· Hak Cipta dan etika penulisan

· Penjadualan penghasilan karya

  1. Menganalisis dan mengkritik karya
  2. Aktiviti luar/riadah.


*** Kepada yang berminat, sila dapatkan borang di laman web Dewan Bahasa & Pustaka. Jangan lepaskan peluang ini!

Salam Aidilfitri


Kepada seluruh warga Alumni Minggu Penulis Remaja DBP & muslimin muslimat sekalian, diucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Semoga dengan menjelmanya hari kemenangan ini, ukhwah antara kita akan terus terjalin dan semangat untuk menulis akan terus membara hendaknya, InsyaAllah.

Minggu Penulis Remaja lahirkan pelapis penulis muda

Dipetik drpd Utusan Malaysia .Oleh ANI AWANG

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang telah dimulakan sejak 1985. Program tahun ini akan diadakan di Golden Straits Villas Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan dari 10 hingga 14 Disember dan di DBP Kuala Lumpur dari 14 hingga 16 Disember ini untuk membina penulis pelapis di kalangan generasi muda.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja (PURNAMA), Izzah Abdul Aziz, program itu diharap dapat melahirkan generasi pelapis baru dalam dunia penulisan setanding dengan penulis MPR sedia ada seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Salina Ibrahim dan banyak lagi.

“Dalam program ini kita memberikan bimbingan yang lebih berkesan dan mantap melalui penyertaan beberapa penulis yang sudah dianggap tokoh.

“Kita mengharapkan mereka yang dibimbing oleh mentor MPR ini dapat menghasilkan karya remaja dan kanak-kanak yang mantap dan bermutu.

“Ini kerana kita masih ketandusan bahan bacaan untuk golongan tersebut walaupun terdapat permintaan terhadap sastera remaja,’’ katanya ketika ditemui di DBP Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Izzah, antara mentor yang dimaksudkan itu ialah Nisah Haron, Shamsuddin Othman dan Zaid Akhtar iaitu penulis muda yang karya mereka telah disiarkan di mana-mana majalah atau media cetak berbanding sebelum ini.

“Kita hanya mengambil sekitar 30 peserta yang terdiri daripada penulis-penulis muda berumur antara 17 hingga 20 tahun yang mempunyai bakat besar untuk berkarya dengan lebih baik,’’ tambah Izzah.

Menurutnya, pemilihan dibuat dengan teliti kerana DBP mahu memastikan peserta MPR itu akan menjadikan bidang penulisan sebagai satu bidang kerjaya yang serius.

“Kerjaya sebagai penulis mempunyai masa depan yang baik kalau kita bersungguh-sungguh dan berdisiplin dalam berkarya,’’ katanya.

Menurut Izzah, MPR kali ini memberikan tumpuan kepada empat bidang penulisan iaitu penulisan novel, cerpen, puisi dan drama.

Beliau berkata, DBP perlu melahirkan penulis remaja dan kanak-kanak dari semasa ke semasa.

“Ini kerana ada penulis muda yang tidak aktif menulis apabila bekerja dan berumah tangga.

“Oleh itu, DBP perlu membuat sesuatu dan mempertemukan mereka agar mereka diberikan semangat untuk terus berkarya,” jelasnya.

Izzah menambah, peserta MPR juga menikmati faedah kerana DBP akan menerbitkan karya mereka.

Selain itu, mereka juga mendapat pendedahan untuk berbincang dengan penerbit bagi membolehkan karya mereka diterbit dan dipasarkan.

Menurut beliau, program MPR telah terbukti sering diperkatakan kerana ia berjaya melahirkan penulis muda berkaliber bagi memenuhi keperluan bahan bacaan di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Antara mereka yang menempa nama ialah Shamsuddin Othman, Uthaya Sankar SB, Lily Haslina Nasir, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Ani Mawar, Hizairi Othman, Nisah Harun dan banyak lagi.

Gambar-gambar Kenangan MPR

Salam kepada semua pelayar yang sudi meluncuri blog Minggu Penulis Remaja. Sebuah blog yang telah dibina khusus untuk mengeratkan ikatan wasilah diantara mantan Minggu Penulis Remaja dan pembimbing khasnya juga khalayak sastera secara umumnya.

Bukan mudah untuk kita "berkumpul" sebegini dan usaha menzahirkan blog ini adalah satu usaha kita untuk senantiasa beristiqamah dalam dunia penulisan tanah air.

Teringat pada kata-kata salah seorang pembimbing MPR, Faisal Tehrani pada majlis diskusi karya MPR pada 18 Ogos 2007 yang lalu. Kata beliau, untuk menulis, penulis harus duduk dalam khalayak dan kumpulan sastera. Dengan ini barulah penulis-penulis baruakanlebih teruja untuk menulis. Oleh itu, diharapkan bahawa blog ini bolehlah dijadikan salah satu tempat kita “berkumpul”.

Sebagai mengingatkan memori MPR, ini ada beberapa keping gambar yang telah pihak kami "jumpa" dibeberapa laman web. Semoga dengan gambar-gambar ini boleh mengembalikan saat-saat indah kita bersama sewaktu di MPR.

MPR 2001 (Genting Permai Resort, Genting Highlands)


MPR 2005 (Ilham Resort, Port Dickson)

MPR 2006 (Golden Straits Villas Resort, Port Dickson)

Diskusi Karya MPR 2007 DBP, KL (Mantan Campur-campur)


***Gambar-gambar lain sepanjang diskusi 2007 tempohari juga boleh didapatkan pada photoblog kak Nisah Haron di (http://nisahharon.fotopages.com) , (http://grupkaryawan.fotopages.com) , blog hani salwah dan di blog Abang Faisal Tehrani (http://jawapancinta.blogspot.com)

***Kepada teman-teman yang mempunyai gambar berkaitan MPR bolehlah berkongsi dengan kami di mantan_mpr@yahoo.com.my

Blog Widget by LinkWithin
top