BUAL BICARA PENULIS - SALINA IBRAHIM



Mantan MPR 1991, Salina Ibrahim telah dijemput sebagai tetamu slot bual bicara bersama penulis di SACC Bookfair, pada Sabtu, 25 Oktober 2008 bertempat di SACC Mall Shah Alam. Wartawan (?) yang kebetulan berada di sekitar Shah Alam sempat menghadiri majlis tersebut dan merakamkan beberapa keping gambar.


Kak Salina tersenyum menjawab soalan

Talk show berlangsung sekitar setengah jam. Pengacara banyak bertanya berkenaan latar penulisan Kak Salina dan proses kreatif Bukan Yang Pertama. Juga satu soalan 'panas' yang membuatkan saya dan Kak Salina tersenyum iaitu: bagaimana mencari ilham untuk menulis?

Nasihat penulis hebat ini kepada sesiapa yang baru cuba-cuba menulis, banyakkan membaca bahan-bahan yang baik!

RENJIS

Saksikan sebuah drama bersiri karya bersama MF Kencana, mantan MPR 2006, bermula 22 Oktober ini.

Butir penyiaran
Tajuk: Renjis (musim 2)
Saluran: Astro Ria (saluran 104)
Hari: Setiap Rabu
Masa: 6.oo petang / 9.00 malam
Durasi: 45 minit x 13 episod
Genre: Komedi

Terbitan: Asia Media Content Sdn. Bhd
Pengarah: Jamal Khan
Penulis Skrip: Maizura Ideris, Nur Ilhan, M. Fairuz Padoli dan M.F Kencana
Pelakon: Elyana, Syed Ali, Asraf Muslim, Sherry Ibrahim, Liza Abdullah, Kamal

RENJIS: "… drama 13 episod yang bersiaran di Astro Ria, setiap Rabu jam 9.30 malam itu berjaya mencipta rekod membanggakan dan menjadi antara drama siri tempatan paling popular di Astro"
- Harian Metro.
Hari ini salah seorang mantan MPR, Nisah Haron telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.75 kilogram pada 4.12 petang. Kami mewakili seluruh warga MPR mengucapkan tahniah untuk kurniaan terbaharu dalam keluarga Kak Nisah Haron dan Abang Shukri. Semoga diberikan rezeki yang melimpah ruah lagi selepas kelahiran ini. Insyallah!
Perhatian semua mantan,
Puan Timah Baba (balu Allahyarham Othman Puteh) mengundang anak didik arwah/mantan MPR untuk beraya ke rumahnya. Butir-butir:

Tarikh:
18 Oktober, Sabtu

Masa:
Selepas Zohor

Alamat:
N0. 2, Jalan 3/3c,
Bandar Baru Bangi.


Dunia Buku: Menggapai impian

Dipetik dari Berita Harian (Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim)

Bukan Yang Pertama

  • Pengarang: Salina Ibrahim
  • Tebal: 782 halaman
  • Penerbit: PTS Millinnia Sdn Bhd
  • Harga: RM34
  • Bintang: ****
Graduan bersemangat kental harungi cabaran hidup

BUKAN Yang YANG Pertama karya Salina Ibrahim membawa pembaca menghayati senario hidup graduan menganggur, tetapi berjiwa kental dalam mengharungi liku kehidupan yang penuh konflik sebelum bergelar usahawan cemerlang.

Penampilan watak utama, Yasmin Zulaikha sebagai wanita ‘sempurna’ tidak sedikit pun menjadi persoalan kerana penulis berhasrat menonjolkan nilai murni kepada pembaca agar memanfaatkan sirah nabi dan sejarah Islam.

Konflik bermula apabila Yasmin, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Malaya itu terpaksa mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Desa Sempadan kerana gagal mendapatkan pekerjaan yang sesuai di kota.

Cabaran bertambah getir apabila watak protagonis itu terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebaik ibunya tidak dapat memikul tugas itu kerana uzur manakala bapanya sudah meninggal dunia sejak Yasmin kecil lagi.

Bagi menunaikan amanat kedua-dua ibu bapanya dan membina kejayaan dalam kehidupan sebagai lulusan pusat pengajian tinggi, Yasmin berusaha membangunkan ekonomi desa dengan mengambil alih perusahaan kecil makanan kudapan tradisional yang diusahakan ibunya.

Gadis kuat semangat ini juga meluaskan bidang perniagaannya dengan menyertai program inap desa yang mula menjadi antara produk perniagaan di kawasan perkampungan dalam usaha menjana pendapatan sampingan.

Di sebalik kegigihannya itu, Yasmin terpaksa berdepan dengan kerenah adik angkatnya, Anis, remaja perempuan yang terjebak dalam gejala sosial meskipun dipelihara sejak kecil bersama-sama seorang lagi saudara angkat, Azlan.

Seperti biasa, novel remaja tidak akan lengkap sekiranya tidak dikaitkan dengan kisah cinta dan pengarang menghadirkan watak Ustaz Mustakim, duda beranak tiga dan Umar Khalil, sahabatnya ketika di universiti dalam percubaan menghangatkan lagi konflik.

Kedua-dua lelaki yang mempunyai kekuatan tersendiri mula mengocak hidup Yasmin apabila mereka berusaha memenangi hati gadis ini sehingga menimbulkan perasaan berbelah bahagi watak utama.

Bagi mencantikkan lagi konflik percintaan tiga segi, penulis mewujudkan watak Hasniah yang terpikat dengan penampilan Ustaz Mustakim dan Jason sebagai tetamu inap desa sehingga pembaca banyak berteka-teki akan perkembangan cerita.

Baca artikel penuh di laman web Berita Harian.

AYUH HANTAR KARYA ECERAN ANDA!

*** Ini adalah entri pengumuman, untuk entri terkini sila skrol ke bawah

Perhatian kepada seluruh warga MPR. Semoga sihat walafiat hendaknya.

Satu - Karya Eceran

Selepas Majlis Diskusi Karya Novel & Kumpulan Puisi MPR 2008 yang telah berjaya diadakan pada 2 Ogos yang lepas, pihak urusetia dengan ini sedang dalam proses untuk mengadakan sebuah lagi Majlis Diskusi MPR pada hujung tahun ini yang akan melibatkan perbincangan Kumpulan Cerpen dan Karya Eceran (Puisi/Cerpen).

Justeru, pihak urusetia dengan ini ingin membuka peluang kepada mantan MPR 2000-2007 untuk menghantar karya eceran anda sama ada cerpen atau puisi untuk dibicarakan pada majlis diskusi tersebut. Karya anda itu haruslah pernah tersiar di mana-mana media seperti majalah dan akhbar (terutamanya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka) sepanjang tahun 2007 dan 2008 serta meliputi pelbagai tema dan persoalan.

Anda boleh menghantar sebanyak mana pun karya kepada pihak urusetia, namun hanya satu karya sahaja daripada seorang penulis akan dipilih untuk dibicarakan untuk sesebuah genre. Senarai karya yang akan dibicarakan akan diumumkan kemudian oleh pihak urusetia. Penghantaran karya bolehlah diemelkan ke aktivitimpr[AT]gmail[DOT]com. Sila hantar karya anda sebelum 15 Oktober 2008.

Maka, apa lagi yang ditunggu? Jom hantar karya anda!

Dua - Gambar

Dengan rendah hati, pihak urusetia memohon kerjasama para mantan MPR dari tahun 1986 hinggalah 2007 yang masih menyimpan gambar-gambar semasa MPR (atau HSS) tahun masing-masing untuk menghantar gambar yang menarik dan sesuai (untuk tontonan umum) kepada emel nissa.yusof[AT]gmail[DOT]com. Gambar-gambar ini tidak akan disalahgunakan melainkan untuk tujuan berkongsi memori dan mengelakkan berlakunya rasa tidak puas hati atau bosan apabila hanya gambar yang sama sahaja dalam montaj MPR setiap program.

Maka, emelkan segera, walaupun sekeping gambar. Tidak perlu tajuk atau format tertentu, cuma nyatakan tahun MPR anda. Terima kasih!


Emel "Terakhir" Hizairi Othman

Ini adalah kiriman emel daripada Nisah Haron yang kami terima mengenai Hizairi Othman.

Sewaktu akaun Hotmail masih kecil, tidak banyak e-mel kawan-kawan yang tersimpan di dalam server hotmail saya. Tetapi, ada beberapa yang masih tersimpan dan ini antara yang saya fikir masih relevan untuk saya kongsi sesama ahli alumni MPR. Walaupun e-mel itu sudah hampir 10 tahun tersimpan, saya fikir ambillah isinya untuk memberi semangat kepada kita semua :
-- ikhlas, Nisah Hj Haron
http://www.annyss.blogspot.com/
http://www.ujanailmu.com.my/


"Kepada semua ahli kelab, Selamat berpuasa & selamat tahun baru. Pada yang banyak menulis, teruslah prolifik menulis. Pada yang sikit menulis, banyakkanlah menulis.
Pada yang lama tidak menulis, cubalah menulis semula. Tulis tidak semestinya karya kreatif, tetapi juga deskriptif, selagi

masih berkaitan dengan perkataan. Semoga satu antara tiga di atas termasuk dlm agenda anda utk tahun
1999.


Regards,
HIZAIRI OTHMAN "

Terkenang Ayah Bonda di Rantau Orang

Dipetik dari ruangan Sastera, Berita Harian, (Oleh: Nazmi Yaakub)

FAHD RAZY (kanan) menyambut Aidilfitri di Ireland dengan rakan senegara yang senasib dengannya.

........................

Pengasas Grup Karyawan Luar Negara (GKLN), Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy atau nama penanya, Fahd Razy, antara individu yang perasaannya berbaur antara hiba dan gembira kerana persiapan perlu diuruskan sendiri termasuk memasak juadah hari raya serta mengemas rumah,

“Kami yang menyambut Aidilfitri di luar negara sering terbayang-bayang menikmati juadah pada pagi 1 Syawal bersama-sama keluarga. Perasaan hiba itu sedikit terubat kerana saya dan rakan serumah bergotong-royong membuat persiapan serta menghidupkan suasana raya dengan memasang audio takbir mahupun lagu raya.

Kesibukan membuat praktikal sehingga terpaksa keluar dari Dublin turut menjejaskan kemeriahan sambutannya, tetapi Fahd Razy mendapat galang-ganti yang lebih baik kerana dapat menyambut Aidilfitri dengan isteri buat kali pertama apabila pulang ke kediaman isterinya, Alia Ahmad di Galway.

Meskipun masyarakat Islam di Ireland menjadi golongan minoriti yang menyambutnya, Fahd Razy mengakui pelajar Malaysia tetap memeriahkannya dengan mengadakan rumah terbuka dan majlis sambutan Aidilfitri sama ada yang dianjurkan individu ataupun persatuan.

“Pada pagi Aidilfitri, ratusan pelajar akan memenuhi perkarangan Malaysian Hall untuk menunaikan solat sunat hari raya dengan berpakaian baju Melayu lengkap bersongket dan bersongkok dibawa khas dari tanah air dan mengambil kesempatan bergambar beramai-ramai,”

Baca artikel penuh di laman web Berita Harian

HIZAIRI DAN KASUT TITANIC

Hari ini, 8 Oktober, adalah hari lahir Hizairi Othman. Untuk senantiasa mengenang beliau, sebuah penghargaan khas kami paparkan hari ini untuk tatapan semua agar 'ketiadaan' beliau tidak menghilangkan 'kenangan' dan ingatan kita pada beliau--Moderator
HIZAIRI DAN KASUT TITANIC
oleh: Raihani Mohd Saaid

Antara mantan MPR yang paling saya ingati ulangtahun kelahirannya ialah Hizairi Othman iaitu pada 8 Oktober. Turut berkongsi tarikh harilahir ialah Mohazam Rezali, mantan MPR tahun 1999 dan orang kuat kritikan sastera tanah air, Pak Mana Sikana. Saya sebolehnya tidak mahu lagi terlibat dalam sebarang spekulasi atau menjadi ejen CSI tak bertauliah menyiasat kehilangan beliau dari jagat sastera tanah air, dari jagat MPR khasnya,lebih-lebih lagi dari pangkuan keluarganya. Saya cuma boleh berharap yang Hizairi sentiasa di bawah lindungan Allah walau di mana jua beliau berada, walau apa jua jalur pilihan hidupnya.

Satu rahsia dari saya-walaupun saya berangan nak jadi penulis tetapi saya bukan ikuti sangat siapa Hizairi dalam jagat sastera tanah air. Bukan sombong cuma saya rasa belum ada keperluan. Saya kenal arwah ayahanda beliau terlebih dahulu iaitu Allahyarham Dr.Othman Puteh dan arwah antara orang terawal yang membawa saya mengenal gulat gelut dunia penulisan. Hizairi pernah datang ke sekolah saya di Shah Alam sempena Minggu Buku anjuran pelajar-pelajar ITM pada tahun 1995. Saya tak jenguk langsung acara yang melibatkan beliau tetapi saya sangat ingat catatan beliau pada buku pelawat –‘Woi, buku aku mana?’

Hizairi datang ke MPR saya pada tahun 1997 sebagai panel satu slot. Bukan rahsia apabila ada kekaguman berbunga di kalangan peserta perempuan untuk beliau. Malah Chuari Selamat mengusik-ngusik Lim Chiao Kee sebagai menantu Othman Puteh sewaktu majlis HSSBR tahun itu. Masih juga saya tidak ambil port, hahaha! Tetapi sewaktu detik penubuhan Kelab Alumni MPR pada 27 Mei 1997, iaitu hari terakhir MPR barulah saya berbicara dengan beliau. Beliau mahu saya ada dalam ‘barisan kabinet’ perintis Kelab Alumni MPR.

Sejak itu barulah saya berkenalan dengan Hizairi dan dengan karya-karyanya. Saya jadi segan sendiri kerana Hizairi sangat supportive dan sangat mengikuti perkembangan karya saya yang entah apa-apa ketika itu. Tulisan Hizairi tentang saya di majalah Akar merupakan tulisan orang lain tentang diri saya yang paling saya sukai kerana pendekatannya yang humanis. Beliaulah yang mula-mula menggelar saya ‘Alien’, walaupun ada satu lagi nama panggilan beliau untuk saya. Ini rahsia, nak tahu kena tanya saya sendiri! Hahaha!

Perkembangan personaliti saya juga turut diikutinya, beliau tahu apa isi beg saya malah beliau satu-satunya orang MPR ketika itu yang menonton saya menari di pentas bangsawan ASK. Kami sering berhubung untuk kerja-kerja Kelab Alumni.Senang bekerja dengan beliau yang tekun dan professional tetapi masih boleh melayan loyar buruk saya. Untuk urusetia Kacak Jelita, sebab inilah saya sampai jadi tahu apa perfume kegemarannya.

Ada satu filem lakonan AR Badul di mana ketika Badul dibawa membeli sepasang kasut kulit, ada dialognya yang berbunyi ‘Kasut? Aku ingat motorbot!’ Sementelah ketika itu era kasut platform. Kemudian sewaktu duduk-duduk ‘menenyeh’ para peserta MPR (tak ingat tahun bila), saya mengusik kasut Hizairi yang agak oversize –‘Ingatkan motorbot!’ Dia balas balik loyar buruk saya- ‘Bukan! Ini Titanic!’

Doa saya semoga Hizairi Othman tidak menjadi seperti kapal Titanic. Kami semua di MPR khasnya masih menanti kepulangan anda, walaupun tentulah tidak dapat mengatasi rindu ahli keluarga anda sendiri. Selamat menyambut ulangtahun kelahiran, Zack!

Preview Tunas Cipta Edisi Oktober 2008


Selamat datang kembali, Tunas Cipta! Bulan ini adalah keluaran pertama Tunas Cipta sebagai majalah berasingan daripada Dewan Sastera (DS). Jadi, mulai bulan ini juga kami akan mula membuat preview Tunas Cipta selain Dewan Sastera.

Edisi bulan ini antara lain mengupas isu baik buruk sastera siber serta memuatkan Nasriah Abdul Salam untuk Bicara Tunas dan Dima Mazlina @ Siti Aishah Abu Bakar, Buah Pena Alumni MPR. Antara mantan MPR yang turut serta memeriahkan Tunas Cipta Oktober adalah;

(Menurut urutan muka surat...
)

Puisi Tradisional

Pantun Sebelum Tidur
Salman Sulaiman (MPR 2000)

Luahan Minda

Tukar Nama Majalah
Nimoiz T.Y. (MPR 2004)

Tahniah Atas Kelahiran Semula Tunas Cipta
Nisah Haji Haron (MPR 1993)

Selamat Datang Kembali, Tunas Cipta!
Hani Salwah Yaakup (MPR 2001)

Bicara Tunas

Nasriah Abdul Salam (MPR 2005)

Sejambak Ilham

Mengenang Legendamu Di Jendela Waktu
(buat warga kota ini yang memulakan segalanya)
Zulfazlan Jumrah (MPR 2006)

An-Nabaa'
(Daripada sebuah firman cinta tentang hari perhitungan)
Sayyidah Mu'izzah Kamarul Shukri (MPR 2007)

Bintang Yang Menunggu
Ida Munira Abu Bakar (MPR 2004)

Resensi Novel

Manikam Kalbu
Ummu Hani Abu Hassan (MPR 1999)

Galeri Sastera

Drama pentas - 2 Jam Sebelum Sultan Alauddin Syahid Diracun
Nai Boon Mee Sararaks (MPR 2007)

Buah Pena Alumni MPR

"...Saya hanyalah satu antara ratusan penulis yang dilahirkan oleh Minggu Penulis Remaja..."
Dima Mazlina @ Siti Aishah Abu Bakar (MPR 1991)

Nukilan Pena

Kesuma
Dima Mazlina (MPR 1991)

Mamaku Sayang
Nor Hidayah Ilias (MPR 2007)

Novel Bersiri

Menjejaki Semula Novel Bersiri 'Nama Eng Bahlut'
Faisal Tehrani (MPR 1994)


*** Jika ada nama mantan MPR yang pihak kami terlepas pandang pada keluaran kali ini, mohon tinggalkan pesan di Cbox atau ruang komen. Terima kasih!
Blog Widget by LinkWithin
top