‘BORAK BUKU’ STRATEGI PUPUK MINAT MEMBACA


(BH, 2 Ogos 2012)

Pembudayaan nilai kecintaan pada ilmu pengetahuan memerlukan strategi pemupukan yang berterusan dan pelbagai. Antara strategi penting tentunya mendorong minat masyarakat terhadap buku dan budaya membaca.

Penulis amat tertarik dengan penganjuran siri ‘Borak Buku’ oleh sekumpulan anak muda baru-baru ini. Mereka bernaung di bawah Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Wilayah Tengah dan Alumni Minggu Penulis Muda DBP.

Acaranya mudah dan ringkas saja. Suasananya pula santai. Selepas mengenal pasti pembicara buku dan menentukan pilihan buku yang bakal ‘diborak’ atau dibicarakan, anak-anak muda ini menghebahkan program menerusi laman sosial Facebook. 

Urusan penganjuran ini hanya dikendalikan oleh seorang saja. Pada acara baru-baru ini, seorang remaja perempuan, Nisa Yusof menjadi pengendali penganjuran. Pada hari dan waktu yang ditentukan, seramai lebih kurang 10 hingga 15 orang anak muda berkumpul di sebuah kedai kopi di pusat hentian KL Sentral bagi berborak tentang buku sambil menikmati minuman kopi pilihan.

Pada siri ‘Borak Buku’ itu, selaku pembicara, saya mengulas karya sarjana Muslim dari India iaitu Sayyid Abu Hassan Ali Al-Nadwi yang diterjemahkan dan diterbitkan dalam sekitar 1950-an bertajuk Apakah Derita Yang Dihadapi Dunia Akibat Kemunduran Kaum Muslimin. 

Selepas mengulas latar dan kandungan buku itu dalam tempoh 40 minit, kami saling berbincang dan bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan buku dan kesesuaian pemikirannya dalam konteks kehidupan hari ini. 
Setelah azan Asar, acara berakhir dan semua berjanji untuk bertemu lagi pada pertemuan seterusnya sebelum bersurai menuju haluan masing-masing. Begitulah acara ‘Borak Buku’ yang berlangsung dengan penuh santai, ringkas dan mudah. 

Dr. Razak (kanan sekali) ketika menjadi tetamu Borak Buku

Acara ini dikongsi kerana ia boleh dianggap satu bentuk kegiatan yang menarik dalam rangka strategi memupuk minat membaca dan mendorong kecintaan pada buku dan ilmu pengetahuan dalam masyarakat terutama di kalangan generasi muda. 

Kita beranggapan acara sebegini wajar dikembangkan dan dibudayakan dengan lebih meluas lagi. Ia dilihat satu pendekatan yang berkesan terutama bagi membuka ruang baru bagi kegiatan serius yang membabitkan penyertaan generasi muda. 

Kegiatan berborak mengenai buku ini tidak semestinya dilaksanakan di kedai kopi. Ia juga boleh dikembangkan di tempat umum lain seperti di taman rekreasi, di sudut bangunan tertentu malah di ruang tertentu di masjid dan surau selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam. 

Unsur utama yang perlu dikekalkan ialah sifat acaranya yang bercorak santai, mudah dan ringkas. Kegiatan bersifat begini penting terutama bagi mengundang penyertaan anak-anak muda yang berada dalam kategori yang dikenali kini sebagai Generasi Y yang didapati kurang memberi minat pada acara bersifat rasmi atau formal sejak akhir-akhir ini. 

Ketika penulis bergiat dalam sebuah pergerakan Islam di negara ini, salah satu strategi bagi pemupukan budaya ilmu di kalangan anggotanya ialah menerusi penganjuran acara yang dikenali sebagai ‘usrah’. 

Ia berbeza sedikit bentuknya dengan Borak Buku. Usrah dilaksanakan secara mingguan. Ia menggunakan konsep perkumpulan keluarga di mana ahli-ahli usrah yang berada dalam lokasi berdekatan berkumpul pada masa tertentu secara bergilir di kediaman masing-masing. 

Kebiasaannya, usrah bermula selepas bersolat Maghrib bersama. Jamuan malam ringkas disediakan oleh tuan rumah. Acara utama usrah dikendalikan oleh seorang moderator yang dikenali sebagai Naqib. Dalam acara ini, ahli-ahli akan berbincang secara ilmiah tentang pelbagai persoalan. Kegiatan tetap ialah berdiskusi tentang buku-buku terpilih karya ilmuwan Muslim semasa. 

Acara usrah ini juga bersifat santai, mudah dan ringkas namun dalam masa yang sama menekankan nilai persahabatan dan semangat kekeluargaan. Ahli-ahli akan berdiskusi sehinggalah ke waktu yang tidak akan mencecah larut malam kerana mereka harus mendapat istirahat untuk menjalankan kewajipan pekerjaan pada keesokan harinya.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM
Blog Widget by LinkWithin
top