PELUANG BARU KE HSKU

"Saya mendapat dari sumber yang sahih bahawa majalah Al-Islam (terbitan Utusan Karya) akan membuka kembali ruangan cerpen dan puisi mulai tahun ini. Sila kirimkan cerpen dengan panjang sekitar 10 - 12 halaman (langkau 2 baris), tentu sahaja bertemakan Islam (ataupun nuansa Islami yang sewajarnya untuk tema majalah ini).

Paling menarik, semua cerpen dan puisi yang tersiar untuk majalah Al-Islam juga akan dinilai untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan setiap tahun. Sejak Al-Islam menutup ruangan puisi dan cerpen (ketika Astora Jabat menjadi Editor), HSKU kurang menerima cerpen-cerpen dan puisi-puisi berunsur Islam. Jadi, inilah peluangnya. Marilah kita isi dan jangan merungut lagi bahawa penulis tiada ruang untuk menghantar karya.

Juga, majalah Mangga tidak mahu ketinggalan. Turut mahu menyediakan ruang untuk cerpen (setakat ini belum ada puisi). Temanya remaja. Saya fikir tak semestinya menulis seputar artis-artis yang leka berposing dalam majalah itu. Sebagai penulis kreatif, kita wajar memanfaatkan ruang dengan pengisian sastera yang munasabah. Ingat bahawa cerpen "Cik Siti Mustika" tulisan Faisal Tehrani pernah tersiar dalam majalah hiburan URTV sebelum menang HSKU dan juga Hadiah Sastera Perdana Malaysia dengan cerpen yang sama.

Emel terus kepada ketua pengarang kumpulan majalah Utusan Karya :
zinmahmud@yahoo.com

Pertanyaan lanjut, jangan tanya saya, tanya terus kepada Sdr Zin Mahmud."

Dipetik dari laman Nisah Haron Online - www.annyss.blogspot.com

AKTIVITI MPR SEPANJANG 2008

Assalamualaikum wrt, Salam Sejahtera

Kami mengusulkan aktiviti berikut sepanjang tahun 2008. Diharapkan kalian dapat memberi pendapat bagi memantapkan perancangan ini. Harap memberi pandangan yang tidak merapu dan senonoh sahaja. (pandangan dua-tiga nonoh akan ditolak mentah-mentah!) –kami akan padamkan pada ruangan komen.

Sila kemukakan cadangan sebelum 28 Januari 2008. (Isnin)

Cadangan-cadangannya;

1. Diskusi buku/novel mantan-mantan/karya-karya eceran – pada April, Ogos, November

-Novel yang dicadangkan: Bedar Sukma Bisu atau Manikam Kalbu, Puisi Untuk Esdyzuar, (mohon cadangan novel mana-mana mantan yang dirasakan sesuai).

-Cerpen: Ujana Rindu (Siti Hajar Mohd Zaki dan Ashadi), Antologi 9! dan antologi 12!
Puisi: Taman Percakapan (Shamsudin Othman), Iga (Zain Kasturi), dan Di Kebun Khatulistiwa (Rahimidin Zahari).

-karya-karya eceran akan dikumpulkan

2. Lawatan ke Padang, Indonesia - (tarikh belum ditentukan, mohon cadangan kalian)


3. Lawatan (tapi tak tahu ke mana, kalau boleh lawatan sehari sahaja sudah cukup) mohon cadangan. (mungkin ke Institut Terjemahan Negara, atau mana-mana yang dirasakan sesuai). Kalau nak cadang program sehari berkelah ke Pantai Morib bersama Nisah Hj. Haron juga boleh. (heheh)

4. Pertemuan dengan tokoh sastera, pemikir dll - cadangan Prof. Ungku Aziz, Dr. Anwar Ridhwan, Prof. Sidek Baba, Baha Zain (mohon cadangan juga).


Atau ada cadangan yang dirasakan lebih mantap dan hebat? (jangan ada yang cadang majlis makan malam dan tari-menari sudah!)


Nota: Bagi setiap aktiviti, seorang individu akan dilantik sebagai pengarah. Oleh itu, mantan-mantan yang lain akan membantu sebagai ahli jawatankuasa. Maksudnya, jika Hani Salwah menjadi pengarah untuk diskusi buku, dia juga perlu jadi ahli jawatan kuasa untuk pertemuan dengan tokoh-tokoh sastera/pemikir.

Jika kalian dipilih untuk mengendalikan tugasan tersebut, diharapkan tidak menolak dan bersedia untuk melaksanakan dengan baik. (cukup-cukuplah orang kata Mantan-mantan MPR ni senyap-diam-pasif semuanya, hidup segan mati tak mahu).

harap maklum

NOSTALGIA MPR 2000

Oleh SALMAN SULAIMAN


Saya tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pukul 9.30 pagi dengan teksi. Hari itu, 3 September 2000 – hari pertama program Minggu Penulis Remaja (MPR) 2000 anjuran DBP. Beberapa hari mencari tiket di Machang, Tanah Merah, dan Kuala Krai ternyata menghampakan kerana baru sahaja berlangsung cuti 31 Ogos. Tiket semuanya sudah habis. Kebetulan ada rakan sejiran yang pulang bercuti, saya tumpang ke Kuala Lumpur.

DBP hari itu agak lengang berbanding dengan hari lain, maklumlah pagi Ahad. Tetapi sudah kelihatan beberapa orang peserta yang telah melaporkan diri duduk menunggu sambil berbual dan membaca buku. Saya bertemu dengan Hizairi Othman bagi urusan pendaftaran. Beliau penulis muda yang tinggi lampai berkulit putih; orangnya ternyata peramah dan bersuara agak lembut, kini beliau bertugas di UPM sebagai pensyarah.

Setelah beberapa ketika menunggu, peserta sudah pun genap 27 orang jauh tersasar daripada jumlah sebenar – 42 orang. Kami dibawa ke Country Heights Resort (CHR), Kajang, tempat berlangsungnya program ini dengan bas berhawa dingin kepunyaan DBP.

Pada malam pertama, kami dibawa ke Dewan Majlis Perbandaran Shah Alam untuk menyaksikan pementasan Teater Perdana Selangor berjudul Kilung Musung, skrip karya Ismail Kassan. Dalam bahasa Melayu, maksudnya lagu perang, berkisar tentang sejarah negeri Selangor.

Hari kedua, bermulanya sesi motivasi yang dikendalikan oleh Ismail Kassan. Beliau bukan sahaja aktif berkarya, malah turut aktif mengadakan ceramah motivasi. Beliau sewaktu kecil cuma anak yang hidup merempat, tetapi kerana kesungguhan berkarya kini tersenarai nama beliau sebagai antara penggiat teater yang berwibawa di Malaysia. Antara skrip drama pentas beliau yang teruji kehebatannya termasuklah Pelayaran Inderaputera II, Menanti Puteri Hijau, Istiqamah, dan Gelanggang Tok Wali.

Malamnya, program diteruskan dengan bengkel teater, juga oleh Ismail Kassan, yang diadakan buat pertama kalinya. Mantan MPR terdahulu nampaknya agak cemburu dengan kami kerana program dipelbagaikan. Kami disajikan dengan makna sebenar istilah teater, pemilihan cerita, tema, dan persoalan yang ingin digarap. Menurut Ismail, penulis skrip teater kini tidak perlu lagi membunuh watak sebagai kesudahan cerita. Perkara itu sudah begitu klise dan telah banyak dibuat orang. Permulaan menulis sesebuah skrip teater harus terlebih dahulu dimulakan dengan sinopsisnya. Menurut Ismail lagi, penulis harus mahir dalam ilmu psikologi. Menurut pengalamannya, Kilung Musung diedit dalam masa dua hari.

Pada hari keempat, kami dibawa ke DBP Kuala Lumpur untuk menghadiri forum berjudul Wacana Sastera Remaja bersama tiga orang ahli panel – Dr. Othman Puteh, Kemala, dan Aminah Raphor. Bicara ahli panel berlegar sekitar perkembangan sastera remaja akhir-akhir ini. Kemala memilih untuk berbicara tentang sastera Islam dalam puisi. Aminah Raphor berbicara tentang teater remaja yang tidak perlu menyajikan pemikiran yang tinggi kepada khalayak. Dr. Othman nampaknya lebih selesa dengan genre cerpen yang sentiasa dalam penelitiannya, seperti cerpen dalam Dewan Siswa.

Hari itu kami makan tengah hari di Sudut Penulis, DBP. Pada sebelah petangnya, sesi penghayatan seni bersama Sani, Usop, dan Siso daripada kumpulan Kopratasa yang pernah popular dengan lagu Masihkah Kau Ingat dan Permata Untuk Isteri. Mereka bercerita tentang pengalaman berkarya masing-masing, kemudian melagukannya menjadi lagu puisi, puisi yang baik dan sesuai dilagukan. Sesi ini diakhiri dengan persembahan mereka menyanyikan lagu Sesetia Malam yang diambil daripada puisi Siti Zaleha M. Hashim dan lagu Permata untuk Isteri ciptaan ahli Kopratasa sendiri [lirik daripada puisi karya penyair Allahyarham Abdul Aziz HM].

Malamnya, sesi bersama mantan MPR dengan empat orang ahli panel, iaitu Zarihah Hassan (drama), Maharam Mamat (novel), Rosie Haslinda Nasir (cerpen), dan Wan Marzuki Wan Ramli (puisi). Pesanan Zarihah, “Jangan berhenti menulis,” – kerana kita akan berjaya di kemuncaknya. Beliau juga bercerita tentang pengalaman menghasilkan skrip drama TV dan ternyata menghasilkan pulangan yang membanggakan. Maharam pula dengan kertas kerjanya Proses Panjang Penuh Kesabaran memberi beberapa petua berguna kepada bakal novelis. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang penulisan kreatif. Antara novelnya termasuklah Kalau Mawar Mekar Berbunga dan Waris.

Di tangan Rosie, terhasil novel Romeo dan Juliet bersama Siti Rohayah Attan. Rosie bercerita tentang pengalamannya dalam penulisan cerpen. Beliau kini menjadi wartawan di majalah EH!. Sepatah katanya, “Percayalah bahawa anda penulis yang bagus.”

Panel terakhir ialah Wan Marzuki yang berbicara tentang genre puisi. Beliau turut menghasilkan cerpen dan rencana agama dalam Berita Harian. Menurutnya, pengalaman ada di mana-mana. Akhir sesi, kami bersoal jawab dengan ahli panel. Kata pengerusi majlis, Salina Ibrahim (wartawan Al-Islam), menulis bukan untuk populariti tetapi menulis untuk mendidik masyarakat.

Pagi keesokannya, kami bertolak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, untuk menghadiri majlis perasmian Bulan Bahasa dan Sastera Negara. Selesai majlis, kami ke Kajang untuk berziarah sastera bersama Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Walaupun hanya dua jam di situ, kenangan yang tersimpan masih kukuh dalam ingatan. Beliau melayan kami dengan ramah sekali. Kami rasa cukup bertuah kerana dapat bertemu dan berbicara dengan penyair besar Melayu ini.

Kami dibawa ke tingkat atas tempat beliau berkarya, sebuah bilik yang dikelilingi rak buku. Tidak ketinggalan sebuah rak besar dan tinggi di ruang tamu yang menghimpunkan karya dalam pelbagai bahasa. Halaman rumahnya unik dan istimewa menyambut kedatangan kami; dihiasi pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan, seperti sebuah taman yang cukup mengasyikkan pandangan.

Setelah selesai berbual mesra dan menjamu selera, kami meneruskan kembara seni kami ke Balai Tun Syed Nasir, DBP, untuk menyaksikan pementasan teater Misi karya Faisal Tehrani, arahan Nam Ron. Ketika asyik menonton Misi, entah debaran apa yang ada-ada sahaja menggegarkan dada saya. Aksi Rosden Suboh dan Adlin Aman Ramli sebagai teraju utama ternyata cukup kuat menggegarkan jantung. Kritikannya yang halus dan lantang cukup kuat memaku saya di kerusi. Karya Faisal kebanyakannya lantang mengkritik dunia politik yang kacau dan tidak ketinggalan dalam naskhah ini.

Hari Khamis malam Jumaat, kami kembali berbengkel. Saya termasuk dalam bengkel puisi di bawah asuhan Prof. Madya Rahman Shaari yang bergelar ‘hafiz puisi’ dalam kalangan teman penyair. Pelbagai ilmu tentang puisi sempat kami kutip. Sebagai tugasan, peserta bengkel perlu menyudahkan sebuah puisi dan saya sempat menyiapkan Pengemis Kota.

Dalam kedamaian petang Jumaat, Faisal membawa kami ke tepi kolam untuk berbicara santai tentang dunia penulisan. Sebelumnya, selain bengkel puisi, dua pertiga daripada kami dimasukkan ke dalam bengkel cerpen/novel bersama Hizairi dan Faisal. Khabarnya, mereka juga perlu menyiapkan tiga buah cerpen sebagai tugasan.

Esoknya, setelah selesai majlis sembang-sembang sastera bersama penyair, Datuk Baha Zain, kami ke rumah Dr. Othman di Bandar Baru Bangi bagi menghadiri majlis kenduri kahwin anak perempuannya – adik perempuan Hizairi. Pada sebelah petang, kami tidak lagi berbengkel, tetapi bertungkus-lumus berlatih bagi mengadakan persembahan pada malam nanti. Saya diajukan supaya mendeklamasi puisi Suara karya Pyan Habib. Kami menyudahi malam akhir pertemuan bermakna itu dengan acara yang istimewa dan persembahan yang berkesan.

Sesudahnya, semua peserta tidak ketinggalan untuk mengisi buku autograf dengan tandatangan dan kata mutiara daripada pembimbing serta mantan MPR. Esoknya, masing-masing bertolak pulang dan saya dihantar oleh Yusari MJ ke pangsapuri kawan di Balakong. Dalam perjalanan, masih menerawang dalam ingatan saya ketawa Sufian, senyum manis Stella, gelagat dramatis cilik dari Sekolah Alam Shah – Ahmad Ariffin, rajuk Nur Atikah, debat Zunaidah dengan hujah yang nyaring, ketawa Mohd. Farizul, petikan gitar Syaidul Azam, cerita Jimadie, senyum sipu Nashdia – gadis kecil manis dari Shah Alam, senyum sinis Ratika – wakil penulis dari Bumi Kenyalang, getar puisi M. Lutfi, ketawa manja Marnekartini, gema suara Juliana, suara lembut Khairul Nizam, alunan doa Wan Nor al-Tasnim, pertanyaan Ahmad Fadhlil, jenaka Azmi, tubuh gempal Suliman, gagap Ang Chin Huat, bicara Imillya Irwani berbaur antara kecamuk fikiran saya untuk menempuh hari depan sebagai anak seni. Dan kami akan meneruskan kembara seni ini, sendiri-sendiri.



Tunas Cipta (Edisi Pertama), Jun 2001.

TEORI YES?

‘Apa yang kamu perjuangkan dalam penulisan?’

Saat yang sesuai atau tidak, mesej itu masuk ketika saya sedang menyiapkan sebuah cerpen. Acuh dan tidak, saya balas; ‘orang berjuang tidak akan beria-ia mencanang apa yang dia perjuangkan. Yang penting, dia pasti dia mahu laksanakan perjuangannya’ untuk menutup ‘acara berbalas mesej’ dan kembali menghadap komputer.

Benar, apa yang ditulis oleh seorang penulis selalunya membiaskan pendapat, pandangan dan pendiriannya terhadap sesuatu perkara. Bahkan, pandangan (yang mungkin mewakili perasaannya juga) terhadap sesuatu perkara akan nampak ketara lewat karyanya. Shit! yang cuma menggunakan perut panjang manusia sebagai latar tempatnya, dan najis pelbagai rupa, bentuk, cair, kesat atau panjang pedek menjadi wataknya. Cuma itu. Tetapi, itulah yang mewakili keloyaan (juga mewakili perasaan, pandangan, pendirian) SN Shahnon Ahmad lewat novelnya terhadap politik semasa sekitar 1998-1999 ketika itu.

Selepas komputer ditutup, saya tatap SMSnya yang lain. – ‘kan setiap penulis punya subjek yang jadi tunjang penulisannya. Pak Samad dengan era selepas perang, Cikgu Shahnon dengan korupsi politik, Faisal Tehrani dengan isu umat Islam dll.’

Saya mengiyakan sendiri tanpa membalas apa-apa, terus melayan kantuk mata.
Subjek penulisan – atau dalam bahasa yang lebih mudah, apa yang ditulis? Atau, idea-idea apa yang diterap melalui penulisan?

Jika ditanya saya sekali lagi, apa yang ditulis? – saya tentu ‘gamam’ untuk menjawapnya kerana tentu sahaja jawapan menjadi panjang. Apa yang ditulis – yang bermain dalam fikiran saya ialah, saya tulis tentang kucing yang terbiar di tengah jalan, saya tulis tentang pencemaran alam yang dikerjakan oleh orang yang bersikap ‘tidak apa.’ Juga, tentang pengguna tandas awam yang ‘bongkak’ mengguna tandas kerana beranggapan cleaner ada untuk membersih buangannya, tentang tarif air dan elektrik yang semakin naik. Oh ya, juga tentang jalan berlubang-lubang di kampung saya yang berlopak-lopak.

Itukah? Jika itu, maka jawapannya akan jadi berganda panjang lebarnya. Jawapan itu betul, tetapi barangkali ada jawapan lain yang lebih tepat. Mudahnya, saya mahu simpulkan jawapan saya; “subjek penulisan atau idea yang saya (dan kita) mahu (dan perlu) bumbukan ialah yang elok-elok sahaja.”

Yang elok-elok sahaja? Jika ini yang ditanya lagi, saya mahu katakana inilah tugasan saya, kamu, kalian, kita – sebagai penulis beragama Islam yang mengakui ketauhidan (bukan hanya seperti tertera dalam Mykad). Pokoknya, konsep amar makruf itulah dasar penerapannya dan prinsip ini akan didukung oleh prinsip Islam dalam Quran dan Sunnah – yang saya nyatakan sebagai ‘Yang Elok-elok Sahaja’ tadi (yang saya namakan sesedap rasa saya sebagai Teori YES)
Dan bagaimana Teori YES ini berlangsung? Tidak lain dan tidak bukan, hanya satu – dengan menerapkan nilai yang dibawa oleh Islam juga. Prinsip adab dan akhlak, ibadah dan syariah, dan sebarang bentuk kebaikan mesti diacu, dicanai, ditempa dalam penulisan supaya menepati subjek dan falsafah yang dibawa oleh Islam.

Oleh yang demikian, penulis yang menyampaikan ideanya lewat penulisan perlu sentiasa beringat bahawa kerja menulisnya adalah satu ‘pekerjaan’ yang akan membawa ke salah satu tempat sahaja- sama ada syurga atau neraka kerana penulis Muslim yang mukmin akan percayakan kewujudan benda-benda ghaib yang gagal dibuktikan oleh Barat lewat eksperimen makmalnya.

Oleh sebab itulah, Barat (atau lebih tepatnya orang yang tidak meletakkan ketauhidan sebagai dasar kehidupannya) akan melakukan apa-apa sahaja tanpa apa-apa batasan. Misalnya, berpegang kepada idea ‘imaginasi tanpa batasan,’ atau freedom of expression akan membawa penulis untuk berimaginasi setinggi mungkin (melampau) tanpa apa-apa sekatan sehingga lahirnya kekaburan (absurdity) dan existentialism dan teori-teori yang tidak menyekat pemikiran atau imaginasi ini. (boleh semak http://en.wikipedia.org/wiki/Absurdism dan http://en.wikipedia.org/wiki/Existentialism )

Kesannya, ‘nilai makna’ pada sesuatu karya akan beraduk dan diolah dengan perkara-perkara ‘melampau’ yang berpunca daripada kebebasan ini. Kebebasan ini menatijahnya nihilisme, ateisme, dan bermacam lagi kekalutan yang mungkin akan menafikan adanya kuasa lain yang lebih mencipta iaitu Yang Maha Pencipta. Bukankah kuffar yang menafikan al-Quran sebagai kitabullah menyatakan bahawa Quran itu tidak lain hanyalah syair sahaja? Kenapa? kerana lumrah jahiliyyah zaman itu ialah mencipta syair-syair yang penuh ‘kemabukan’ sehinggalah al-Quran (yang begitu indah mengalahkan syair-syair kuffar) dituduh sebagai syair hasil ciptaan imaginasi Nabi Muhammad S.A.W (boleh semak dan baca di http://en.wikipedia.org/wiki/Nihilism juga http://en.wikipedia.org/wiki/Atheism )

Dalam surah Yasin:69, firman Allah bermaksud ‘Tidaklah kami mengajar syair kepada Muhammad itu dan tidak patut syair itu baginya. Kitab (al-Quran) ini tidak lain ialah pelajaran dan petunjuk yang terang.’

Jadi, adakah Islam menolak imaginisi? Tidak, Islam tidak sebegitu rigid sehingga membunuh fitrah atau kemahuan untuk berimaginasi kerana dengan wujudnya imaginasi, maka seseorang akan mencipta sesuatu yang baru dan lain dengan menggunakan janaan kretiviti. Namun, imaginisai ini mempunyai sekatan-sekatan tertentu, dan ketauhidanlah yang menyekatnya, atau dalam bahasa yang lain tauhid dan ketauhidan dibawa dan diajar untuk mengimbangi kebobrokan. Saya berikan contoh mudah, Barat berimaginasi untuk mencipta manusia dan imaginasi ini dijana sebaik mungkin sehingga begitu ‘kreatif’ mencipta manusia dengan kaedah klon, sedangkan, imaginasi dan kretiviti ini ditolak sepenuhnya oleh prinsip Islam.

Aplikasi yang sama boleh diambil dalam menulis dan mencipta karya, iaitu berimaginasi tidak salah, tetapi perlulah dalam konteks yang seiring dengan Islam. Ciptalah apa-apa sahaja yang baru, terokalah apa-apa sahaja yang belum pernah ditemui oleh orang lain namun, jangan sesekali mencipta sesuatu yang sudah menjadi milik hakiki Allah S.W.T . Oleh itu, jika anda pengarang cerpen, puisi atau apa-apa sahaja karya, plot, dialog, watak dan perwatakan perlu dicipta dengan ‘berhati-hati’ agar tidak melampau batas yang sewajarnya kerana orang yang melampaui batas tergolong dalam golongan orang yang tidak disukai oleh Allah (al-‘Araf: 31)

Rentetan ‘sekatan dan imbangan’ berpandukan prinsip ketauhidan inilah, penulis akan menghasilkan sesuatu yang indah dan bermakna, bukan hanya indah tetapi penuh kekaburan sebagai mana yang dibawa oleh prinsip sastera Barat. Bahkan pada mereka, semakin sukar sesebuah karya itu difahami, maka semakin tinggilah nilai dan estetikanya. Bukankah sehingga kini peminat lukisan Monalisa masih ’bertelingkah’ untuk menjawap sama ada wanita dalam gambar itu sedang senyum, atau sedang ‘muncung’? http://en.wikipedia.org/wiki/Monalisa

‘Keindahan’ dalam konteks ini bukanlah keindahan yang dipandang dengan mata dan ditafsir dengan ideologi buatan manusia, tetapi dirasai dengan hati dan jiwa Islam. Justeru, Islam mementingkan kedua-duanya – bentuk kata, bahasa juga keindahan bentuk makna, falsafah dan pengajaran.

Rumusan dan contoh mudahnya, ‘indah’ dalam Islam tidak sama dengan ‘pleasure’ pada kaca mata sekular. Juga, ‘baik’ dalam prinsip Islam tidak akan sama dengan ‘beneficial’ cadangan Barat, ‘ruh,’ hikmah atau estetika dalam Islam tentunya akan jauh berbeza dengan ‘spirit’ buatan Barat.

Oleh itu, jika anda berpegang kepada ‘penulis ialah orang yang mencipta persoalan dan bukan melerai atau menajawapnya kerana itu ialah tugas pembaca’ anda wajar berhati-hati agar tidak terjatuh ke gaung dalam absurdity dan anda mendapat ‘kreditnya’ secara tidak langsung. Meninggalkan persoalan kepada pembaca supaya pembaca diberi peluang menaakul dan mecari sendiri adakalanya memberi manfaat tetapi perlulah dalam konteks ‘fleksibal’ dan bersederhana, bukan mencipta sesuatu persoalan yang secara terus akan mengakibatkan taakulan pembaca tergelincir daripada jalan yang sudah digariskan Islam. Dan disinilah letaknya keistimewaan agama ini.

Maka, apakah ‘ukuran’ kejayaannya Teori YES ini?

Saya rumuskan, Teori YES tidak akan berjaya sehingga bila-bila sekalipun kerana amar makruf, nahi mungkar ialah kerja berpanjangan dan tugas wajib semua individu Muslim. Pun, jika suatu hari nanti tiada lagi kemungkaran yang boleh dicegah kerana semua orang di dunia ini sudah melakukan kebaikan/kemakrufan sahaja, tugas dalam Teori YES ini tidak juga akan berhenti kerana Allah menyuruh berpesan-pesan dengan perkara kebaikan dan berpesan kepada kesabaran (bukan untuk nahi mungkar sahaja). (Surah al-’Asr)

Sekadar memetik kata Imam Ghazali dalam Ihya’ Ulumuddin, antaranya menyebut- “hendaklah tukang-tukang cerita waspada terhadap hal-hal bohong dan hikayat-hikayat yang menyajikan perbuatan salah, atau yang tujuan baiknya tidak dapat difahamkan oleh umum. Atau, cerita itu merupakan satu pertarungan antara yang baik dengan buruk, lalu yang buruk mendapat pembelaan yang berlebihan sebelum dikalahkan oleh yang baik. Tanpa disedari, hal ini memberanikan orang berbuat dosa.

Oleh itu, jika ditanya soalan yang sama, apa yang anda mahu tulis, gagasan apa yang mahu anda bawa, subjek apa yang mahu anda perjuangkan – biarlah saya, kita, kalian, dan anda mejawap; apa-apa juga asalkan yang elok-elok sahaja – YES. Ya, skop jawapan ini akan menjadi luas, tetapi bukankah cakupan agama Iskam itu sendiri juga luas, universal dan meliputi semua capahan kehidupan? Oleh itu, jika anda (dan kita) menjadikan politik sebagai subjek penulisan, ambillah yang YES dan jangan terlalu menonjolkan yang tidak. Jika, akademik dan isu semasa menjadi pokok idea, ambillah yang YES dan kalahkan yang batil.

Bunyi macam begitu ekstrim atau jumud? Hah, anda putuskan sendiri. Tetapi pastikan anda menilai dengan hanya menggunakan worldview yang sahih kerana perkara yang benar dan salah sudah jelas ditentukan.

(Saya bukan ‘anak jati’ yang dilahirkan dalam bidang sastera dan mengenali pelbagai teori sastera. Maaf jika ada bicara yang tidak konsisten dengan terma-terma sastera dan teorinya. )

Dan kalian yang membaca, boleh meninggalkan komentar jika berkesudian begitu.

(Dipetik daripada laman blog Nasriah Abdul Salam, http://puteribongsu.wordpress.com/ )
Blog Widget by LinkWithin
top