NOSTALGIA MPR 2000

Oleh SALMAN SULAIMAN


Saya tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pukul 9.30 pagi dengan teksi. Hari itu, 3 September 2000 – hari pertama program Minggu Penulis Remaja (MPR) 2000 anjuran DBP. Beberapa hari mencari tiket di Machang, Tanah Merah, dan Kuala Krai ternyata menghampakan kerana baru sahaja berlangsung cuti 31 Ogos. Tiket semuanya sudah habis. Kebetulan ada rakan sejiran yang pulang bercuti, saya tumpang ke Kuala Lumpur.

DBP hari itu agak lengang berbanding dengan hari lain, maklumlah pagi Ahad. Tetapi sudah kelihatan beberapa orang peserta yang telah melaporkan diri duduk menunggu sambil berbual dan membaca buku. Saya bertemu dengan Hizairi Othman bagi urusan pendaftaran. Beliau penulis muda yang tinggi lampai berkulit putih; orangnya ternyata peramah dan bersuara agak lembut, kini beliau bertugas di UPM sebagai pensyarah.

Setelah beberapa ketika menunggu, peserta sudah pun genap 27 orang jauh tersasar daripada jumlah sebenar – 42 orang. Kami dibawa ke Country Heights Resort (CHR), Kajang, tempat berlangsungnya program ini dengan bas berhawa dingin kepunyaan DBP.

Pada malam pertama, kami dibawa ke Dewan Majlis Perbandaran Shah Alam untuk menyaksikan pementasan Teater Perdana Selangor berjudul Kilung Musung, skrip karya Ismail Kassan. Dalam bahasa Melayu, maksudnya lagu perang, berkisar tentang sejarah negeri Selangor.

Hari kedua, bermulanya sesi motivasi yang dikendalikan oleh Ismail Kassan. Beliau bukan sahaja aktif berkarya, malah turut aktif mengadakan ceramah motivasi. Beliau sewaktu kecil cuma anak yang hidup merempat, tetapi kerana kesungguhan berkarya kini tersenarai nama beliau sebagai antara penggiat teater yang berwibawa di Malaysia. Antara skrip drama pentas beliau yang teruji kehebatannya termasuklah Pelayaran Inderaputera II, Menanti Puteri Hijau, Istiqamah, dan Gelanggang Tok Wali.

Malamnya, program diteruskan dengan bengkel teater, juga oleh Ismail Kassan, yang diadakan buat pertama kalinya. Mantan MPR terdahulu nampaknya agak cemburu dengan kami kerana program dipelbagaikan. Kami disajikan dengan makna sebenar istilah teater, pemilihan cerita, tema, dan persoalan yang ingin digarap. Menurut Ismail, penulis skrip teater kini tidak perlu lagi membunuh watak sebagai kesudahan cerita. Perkara itu sudah begitu klise dan telah banyak dibuat orang. Permulaan menulis sesebuah skrip teater harus terlebih dahulu dimulakan dengan sinopsisnya. Menurut Ismail lagi, penulis harus mahir dalam ilmu psikologi. Menurut pengalamannya, Kilung Musung diedit dalam masa dua hari.

Pada hari keempat, kami dibawa ke DBP Kuala Lumpur untuk menghadiri forum berjudul Wacana Sastera Remaja bersama tiga orang ahli panel – Dr. Othman Puteh, Kemala, dan Aminah Raphor. Bicara ahli panel berlegar sekitar perkembangan sastera remaja akhir-akhir ini. Kemala memilih untuk berbicara tentang sastera Islam dalam puisi. Aminah Raphor berbicara tentang teater remaja yang tidak perlu menyajikan pemikiran yang tinggi kepada khalayak. Dr. Othman nampaknya lebih selesa dengan genre cerpen yang sentiasa dalam penelitiannya, seperti cerpen dalam Dewan Siswa.

Hari itu kami makan tengah hari di Sudut Penulis, DBP. Pada sebelah petangnya, sesi penghayatan seni bersama Sani, Usop, dan Siso daripada kumpulan Kopratasa yang pernah popular dengan lagu Masihkah Kau Ingat dan Permata Untuk Isteri. Mereka bercerita tentang pengalaman berkarya masing-masing, kemudian melagukannya menjadi lagu puisi, puisi yang baik dan sesuai dilagukan. Sesi ini diakhiri dengan persembahan mereka menyanyikan lagu Sesetia Malam yang diambil daripada puisi Siti Zaleha M. Hashim dan lagu Permata untuk Isteri ciptaan ahli Kopratasa sendiri [lirik daripada puisi karya penyair Allahyarham Abdul Aziz HM].

Malamnya, sesi bersama mantan MPR dengan empat orang ahli panel, iaitu Zarihah Hassan (drama), Maharam Mamat (novel), Rosie Haslinda Nasir (cerpen), dan Wan Marzuki Wan Ramli (puisi). Pesanan Zarihah, “Jangan berhenti menulis,” – kerana kita akan berjaya di kemuncaknya. Beliau juga bercerita tentang pengalaman menghasilkan skrip drama TV dan ternyata menghasilkan pulangan yang membanggakan. Maharam pula dengan kertas kerjanya Proses Panjang Penuh Kesabaran memberi beberapa petua berguna kepada bakal novelis. Beliau kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang penulisan kreatif. Antara novelnya termasuklah Kalau Mawar Mekar Berbunga dan Waris.

Di tangan Rosie, terhasil novel Romeo dan Juliet bersama Siti Rohayah Attan. Rosie bercerita tentang pengalamannya dalam penulisan cerpen. Beliau kini menjadi wartawan di majalah EH!. Sepatah katanya, “Percayalah bahawa anda penulis yang bagus.”

Panel terakhir ialah Wan Marzuki yang berbicara tentang genre puisi. Beliau turut menghasilkan cerpen dan rencana agama dalam Berita Harian. Menurutnya, pengalaman ada di mana-mana. Akhir sesi, kami bersoal jawab dengan ahli panel. Kata pengerusi majlis, Salina Ibrahim (wartawan Al-Islam), menulis bukan untuk populariti tetapi menulis untuk mendidik masyarakat.

Pagi keesokannya, kami bertolak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, untuk menghadiri majlis perasmian Bulan Bahasa dan Sastera Negara. Selesai majlis, kami ke Kajang untuk berziarah sastera bersama Sasterawan Negara, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Walaupun hanya dua jam di situ, kenangan yang tersimpan masih kukuh dalam ingatan. Beliau melayan kami dengan ramah sekali. Kami rasa cukup bertuah kerana dapat bertemu dan berbicara dengan penyair besar Melayu ini.

Kami dibawa ke tingkat atas tempat beliau berkarya, sebuah bilik yang dikelilingi rak buku. Tidak ketinggalan sebuah rak besar dan tinggi di ruang tamu yang menghimpunkan karya dalam pelbagai bahasa. Halaman rumahnya unik dan istimewa menyambut kedatangan kami; dihiasi pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan, seperti sebuah taman yang cukup mengasyikkan pandangan.

Setelah selesai berbual mesra dan menjamu selera, kami meneruskan kembara seni kami ke Balai Tun Syed Nasir, DBP, untuk menyaksikan pementasan teater Misi karya Faisal Tehrani, arahan Nam Ron. Ketika asyik menonton Misi, entah debaran apa yang ada-ada sahaja menggegarkan dada saya. Aksi Rosden Suboh dan Adlin Aman Ramli sebagai teraju utama ternyata cukup kuat menggegarkan jantung. Kritikannya yang halus dan lantang cukup kuat memaku saya di kerusi. Karya Faisal kebanyakannya lantang mengkritik dunia politik yang kacau dan tidak ketinggalan dalam naskhah ini.

Hari Khamis malam Jumaat, kami kembali berbengkel. Saya termasuk dalam bengkel puisi di bawah asuhan Prof. Madya Rahman Shaari yang bergelar ‘hafiz puisi’ dalam kalangan teman penyair. Pelbagai ilmu tentang puisi sempat kami kutip. Sebagai tugasan, peserta bengkel perlu menyudahkan sebuah puisi dan saya sempat menyiapkan Pengemis Kota.

Dalam kedamaian petang Jumaat, Faisal membawa kami ke tepi kolam untuk berbicara santai tentang dunia penulisan. Sebelumnya, selain bengkel puisi, dua pertiga daripada kami dimasukkan ke dalam bengkel cerpen/novel bersama Hizairi dan Faisal. Khabarnya, mereka juga perlu menyiapkan tiga buah cerpen sebagai tugasan.

Esoknya, setelah selesai majlis sembang-sembang sastera bersama penyair, Datuk Baha Zain, kami ke rumah Dr. Othman di Bandar Baru Bangi bagi menghadiri majlis kenduri kahwin anak perempuannya – adik perempuan Hizairi. Pada sebelah petang, kami tidak lagi berbengkel, tetapi bertungkus-lumus berlatih bagi mengadakan persembahan pada malam nanti. Saya diajukan supaya mendeklamasi puisi Suara karya Pyan Habib. Kami menyudahi malam akhir pertemuan bermakna itu dengan acara yang istimewa dan persembahan yang berkesan.

Sesudahnya, semua peserta tidak ketinggalan untuk mengisi buku autograf dengan tandatangan dan kata mutiara daripada pembimbing serta mantan MPR. Esoknya, masing-masing bertolak pulang dan saya dihantar oleh Yusari MJ ke pangsapuri kawan di Balakong. Dalam perjalanan, masih menerawang dalam ingatan saya ketawa Sufian, senyum manis Stella, gelagat dramatis cilik dari Sekolah Alam Shah – Ahmad Ariffin, rajuk Nur Atikah, debat Zunaidah dengan hujah yang nyaring, ketawa Mohd. Farizul, petikan gitar Syaidul Azam, cerita Jimadie, senyum sipu Nashdia – gadis kecil manis dari Shah Alam, senyum sinis Ratika – wakil penulis dari Bumi Kenyalang, getar puisi M. Lutfi, ketawa manja Marnekartini, gema suara Juliana, suara lembut Khairul Nizam, alunan doa Wan Nor al-Tasnim, pertanyaan Ahmad Fadhlil, jenaka Azmi, tubuh gempal Suliman, gagap Ang Chin Huat, bicara Imillya Irwani berbaur antara kecamuk fikiran saya untuk menempuh hari depan sebagai anak seni. Dan kami akan meneruskan kembara seni ini, sendiri-sendiri.



Tunas Cipta (Edisi Pertama), Jun 2001.

8 komen:

Anonymous said...

Haha. Kelakar bila abg Salman tulis pertanyaan Ahmad Fadhlil. Perkenalkan, inilah roomate saya di Country Heights Resort. Housemate kami Abg Azam, Abg Zul (penghulu), dan kalau tak silap Abg Khairulnizam (kan?). Semasa MPR saya mengelat... Ada sesi faci (abg Faisal dan Hizairi) soal tentang pengetahuan umum sastera, siapa dapat jawab dia dapat hadiah. Sayapun cuit abg Salman, minta jawapan. Alhamdulillah, dapat 'Antologi Cerpen Underground' FT dan Azman Hussein percuma, berautograf.

Rindu kawan-kawan seMPR 2000. Abg Lutfi, Abg Salman, dah semakin hebat dan mapan, tiap-tiap tahun HSKU. Abg Azam, jadi pegawai jab sastera di DBPWT (dan penulis yang semakin mapan), Kak Zunaidah wartawan rasanya. Wan Nor Al Tasnim selalu keluar Tunas Cipta. Abg Jimadiepun giat menulis. Stella, baca blog abg Faisal hari tu, rasanya terlibat dengan teater. Kak Junaidah, selalu juga keluar Tunas Cipta. Yang lain-lain, saya tak pasti.

Anonymous said...

Kisah ajaib di MPR 2000, sehari sebelum tamat, malam, saya buka beg saya, pelik. Kamera saya yang baru dibeli tiba-tiba jadi sedikit buruk (berselotep lagi). Rupa-rupanya, kamera orang lain. Ada orang ambil kameranya, masukkan dalam beg saya, dan kamera saya dicuri. Hilang gambar seminggu MPR....wah...tragedi.

Anonymous said...

hmm...hizairi dah tak ada pun kini..he's among my very good senior in all aspect!

Salman Sulaiman said...

Fahd Razy @ Fadhlil,

Fadhlil, coretan Fadhlil menambahkan lagi rindu saya pada kenangan MPR 2000 yang hanya dapat dirindui sebagai kenangan sahajalah sampai bila-bila pun.
Tapi, ia tetap manis untuk saya ingati sampai bila-bila & untuk diri kalian juga saya kira.

Benar, Fadhlil adalah teman sebilik saya ketika MPR 2000. Kenapa saya tuliskan 'pertanyaan Ahmad Fadhlil'?; kerana ketika sama-sama berkuliah seminggu di MPR 2000 dan tidur sebilik selama 7 hari 7 malam di CHR itu, terlalu banyak yang ditanyakan oleh Fadhlil kepada saya tentang sastera.

Benar, Khairul Nizam juga menginap bersama kita di MPR 2000. Sebetulnya; seingat saya - kami ditempatkan berenam dalam sebuah villa yang mempunyai 3 bilik. Saya sebilik dengan Fadhlil. Kalau tak silap saya, seorang lagi yang menginap satu villa dengan kita ialah Ang Chin Huat.

Fadhlil, saya sendiri sebenarnya dah lupa pun dengan peristiwa Fadhlil mencuit minta jawapan itu. Tapi, menelaah kembali catatan saya ini berserta sedikit catatan Fadhlil membuatkan satu persatu kenangan di MPR 2000 datang menjengah kembali di ingatan.

Pujianmu, terima kasih! Ya, setahu saya juga Zunaidah kini wartawan di Utusan Malaysia bahagian Utara. Stella, saya mendengar daripada Abang Faisal sendiri; katanya ketika beliau berkunjung ke Sabah, beliau terkejut bertemu Stella yang kini bertudung litup sebagai seorang Islam. Alhamdulillah! Imillya Irwani [anak penyanyi lagu rakyat Pahang yang terkenal, Roslan Madun] kini telah mempunyai novel. Selepas MPR 2000, banyak kali juga kami bertemu.

Syaidul Azam selalu saya temui kerana tempat beliau bertugas di DBP WT juga menjadi salah satu tempat yang kerap saya kunjungi sebagai penulis. Memang; kami [saya, Syaidul Azam, Lutfi & Jimadie] masih tidak putus hubungan kerana saya selalu juga berhubung dengan mereka atas urusan sastera & hanya sesekali berhubung dengan Fadhlil, maklumlah beliau jarang ada di Malaysia - tetapi warga MPR 2000 yang lain lesap, senyap. Terlalu payah mahu mengesan mereka.

Jika Fadhlil ada cerita ajaib di MPR 2000. Saya juga punya kisah sendiri yang akan terkenang sampai ke mati. Selipar 'Diadora' saya terpaksa ditinggal dalam tempat letak kasut di villa selepas kami selesai berMPR kerana pintunya yang terkunci tidak dapat dibuka. Cuba tanya Abang Faisal & Khairul Nizam, mereka tahu cerita ini.

Paling lucu, ketika ramai-ramai berjalan balik ke bilik selepas selesai berkuliah sastera - saya berjalan di depan, cepat-cepat melangkah menuju ke villa. Jimadie tanya, "Kau nak ke mana tu Man?" Dia sengaja olok-olokkan saya buat macam saya tersalah bilik & saya pun, dengan muka malu berpatah balik. Ketika itulah, ramai-ramai ketawakan saya kerana bilik yang dituju itu memang dah betul. Jimadie sekadar bergurau. Cuba tanya Jimadie, kalau dia masih ingat cerita ini.

Anonymous,

Ya, kami juga sebagai anak didik beliau sangat-sangat rindukan lelaki bernama Hizairi. Saya masih tak habis-habis tertanya-tanya kenapa pencarian Hizairi ketika awal-awal kehilangannya dulu tidak digiatkan seperti pencarian Adik Sharlini sekarang.

Kalian wahai seluruh mantan MPR, jangan berhenti menulis tau!

Salman Sulaiman said...

PEMBETULAN

Ejaan yang betul untuk nama adik kita yang hilang itu ialah 'Sharlinie' BUKAN 'Sharlini'. Kesilapan amat dikesali. Harap maaf. Terima kasih.

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Salman Sulaiman said...

Terima kasih Cik peguam Nasriah ya. Tak adillah kalau macam tu, kanak-kanak yang hilang dicari; orang dewasa 'semacam' tak dicari. Apa pun, terima kasih atas tambahan komen dan catatan.

nadia said...

hye...myb dh terlewat utk komen post ni...anyway, mpr 2000 mmg nest n x pnh saya lupakan selama ni..saya pun mantan mpr 2000 juga...anyway, selamat berkarya!!

Blog Widget by LinkWithin
top