Selamat Datang Alumni MPR 2010



Telah usai Minggu Penulis Remaja 2010 yang telah diadakan dari 17 hingga 24 Disember 2010 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. Semoga ilmu yang diperoleh sepanjang seminggu ini mengobarkan semangat adik-adik untuk tekal menulis dalam nuansa sastera tanah air.

Juga,

"Selamat Menyertai Keluarga Besar Alumni MPR"


*Sumber gambar daripada Mohd Haniff Mohammad Yusoff.

BORAK BUKU dengan... SM ZAKIR



Tetamu undangan Borak Buku 1: SM Zakir
Buku pilihan: Taras Bulba (karya Nikolai Gogol) muat turun di sini

Tempat: Starbukcs KL Sentral
Tarikh: 16 Januari 2011 (Ahad)
Masa: 3.30 pm - 5.30 pm
Peserta: Terbuka kepada sesiapa yang berminat




Alumni MPR dengan kerjasama Biro Penulis Muda PENA akan menganjurkan program diskusi buku secara santai bersama tetamu undangan.

Buku: Pilihan tetamu undangan
Tempat: Kafe sekitar Lembah Klang
Tarikh: Setiap Ahad minggu ketiga
Masa: 3.30 pm - 5.30 pm

Peserta: Terbuka

Kaedah:
Buku pilihan akan dimaklumkan sebulan sebelum tarikh diskusi bagi memberi ruang sesiapa yang berminat untuk membaca terlebih dahulu. Pada hari diskusi yang ditetapkan, tetamu undangan akan memberi komentar beliau terhadap buku yang dipilihnya dan semua peserta akan berdiskusi secara santai tentang apa-apa sahaja berkaitan buku tersebut.

Ya, ini adalah program borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Peserta boleh memilih untuk datang memberi pendapat atau mendengar sahaja.

MPR atau bukan MPR, PENA atau bukan PENA, muda atau tidak muda. Semua boleh ikut serta. Tidak perlu mendaftar. Jika anda berminat dan berkelapangan, datang sahaja dan kita borak-borak.

Jom DOM!

Hadiah Sastera Perdana 19

Tahniah kepada alumni MPR yang diberi pengiktirafan.

KATEGORI B (ECERAN)
CERPEN

BATU NIAH DAN HARAPAN
NIMOIZ TY.

LEMANG NAN SEBATANG
NISAH HAJI HARON

KATEGORI B (ECERAN)
PUISI

PATRICK
ROSLAN JOMEL

NEGERI ITU, ANTONIUS
RAIHANI MOHD. SAAID

Keputusan penuh di sini. Tahniah kepada semua pemenang.
Sumber : Encik Salleh Mohd (DBP)


Tarikh : 18 Disember 2010 - 19 Disember 2010
Masa : 9.00 Pagi - 5.00 Petang
Venue: Kompleks Studio Merdeka, FINAS


Yuran : RM 50.00 seorang
Fasilitator : En. U Wei Hj. Shaari & En. Zakaria Ariffin
Objektif :
  • - Melatih penulis skrip kaedah dan teknik menulis skrip adaptasi daripada karya sastera
  • - Meningkatkan pemahaman dan kualiti penulisan skrip adaptasi dan lakonlayar filem
  • - Menggalakkan usaha penerbitan lebih banyak filem yang diadaptasi daripada karya sastera
Kepada yang berminat, boleh emelkan biodata anda kepada sallehmt@dbp.gov.my.

Pindaan Masa Majlis Penyampaian HSPM Ke-19

Klik imej untuk paparan lebih besar

DOM: Dilema Filem Malaysia


Dialog Orang Muda (DOM) Siri 6 kali ini akan memperbincangkan isu mengenai
"Dilema Filem Malaysia"

Panel:
1) Ridhwan Saidi
2) Fadhli Al-Akiti
3) Ajami Hashim

Moderator:
Lutfi Ishak

Tempat:
Rumah PENA, Jalan Dewan Bahasa

Tarikh:
14 November 2010

Masa:
10-12 tengahari

DOM: Penulis Wanita; Antara Idealisme dan Realiti



Selepas berpolemik dengan pelbagai isu dalam empat siri sebelum ini, Dialog Orang Muda (DOM) siri 5 yang akan berlangsung pada 16 Oktober ini bakal memainkan isu yang lebih 'sensitif' dengan menyentuh isu penulis wanita. Sejauh mana isu ini mampu menghangatkan Rumah PENA? Sama-sama kita rasakan Sabtu nanti.

Dialog Orang Muda (DOM) Siri 5

Tajuk: Penulis Wanita; Antara Idealisme dan Realiti

Panel:
  1. Hafizah Iszahanid (MPR 1994), Novelis yang juga wartawan Berita Minggu
  2. Rebecca Ilham, Cerpenis muda
  3. Muhammad Zarif Hassan @Zulkifli, Tutor Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM
Moderator: Ariff Mohamad

Tarikh: 16 Oktober 2010
Masa: 10 pagi - 12.30 tengah hari
Tempat: Rumah PENA

Sarapan disediakan sebelum majlis. Ayuh, penulis muda/remaja tidak kira lelaki atau wanita, kita hangatkan rumah PENA!



Pasca Rumah Terbuka Alumni


sebahagian mantan yang hadir di majlis rumah terbuka

senyuman ceria yang terlakar di setiap wajah membuang pergi segala gundah dan kerisauan sebelum majlis.
Terima kasih sekali lagi :)



Rumah Terbuka Alumni MPR



Salam sejahtera kepada para pembaca. Bersempena dengan kemeriahan bulan Syawal yang semakin tiba di penghujungnya, Kelab Alumni MPR dengan segala hormatnya menjemput para alumni, keluarga dan kenalan ke majlis Rumah Terbuka Alumni MPR. Butir-butir majlis adalah seperti berikut;

Rumah Terbuka Alumni MPR
Tarikh: 2 Oktober 2010 (Sabtu)
Masa: 2 petang – 5 petang
Tempat: Rumah PENA, Kuala Lumpur (klik sini untuk peta)
Konsep: Jamuan dan pot-luck

Perhatian:
  1. Jemputan terbuka kepada semua mantan MPR serta keluarga dan kenalan masing-masing. Tidak mengira bangsa dan agama.
  2. Sesiapa yang berminat untuk membawa makanan dalam kuantiti besar, sila maklumkan kepada nissa.yusof@gmail.com untuk mengelakkan berlakunya pembaziran makanan.
  3. Meja jualan buku akan dibuka sepanjang majlis. Sesiapa yang berminat untuk menyertainya, sila maklumkan kepada pihak yang berkenaan pada hari kejadian.

Tentatif ringkas:
2.00 petang : ketibaan tetamu, makan-makan
3.30 petang : mesyuarat ringkas Kelab Alumni (bertujuan membincangkan pelan program dan aktiviti kelab)
4.00 petang: sesi fotografi


Dialog Orang Muda (DOM) kembali lagi..

Tajuk: Hadiah Sastera Perdana Malaysia, PERDANA atau TIDAK?
Masa : 10-12 pagi
Hari : Sabtu
Tarikh: 7 Ogos
Tempat: Rumah PENA, KL

Panel:
  1. Sdr. Rahimidin Zahari (Penyair)
  2. Pn. Siti Jasmina Ibrahim (Penulis Teater/ Novelis)
  3. Sdr. Salman Sulaiman
  4. Pn. Raihani Mohd Saaid

Minggu Penulis Remaja 2010




Permohonan untuk menyertai program sistematik anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka kini telah dibuka. MPR 2010 akan diadakan pada 18-24 Disember 2010.

Syarat-syarat:
  • Warganegara Malaysia yang berumur 17-21 tahun
  • Pemohon mestilah pernah menghasilkan karya kreatif (puisi, cerpen atau novel) dan pernah disiarkan dalam media cetak.
  • Pemohon hendaklah menyertakan salinan karya kepada pihak penganjur.
  • Bayaran penyertaan sebanyak RM 3o dikenakan kepada peserta yang terpilih mengikuti program ini.



foto: Perhimpunan Alumni MPR 1, 2009

Senarai Pemenang HSKU '09

Sekalung tahniah kepada para pemenang;


KATEGORI NOVEL REMAJA

  1. Impuls Roh : Sri Rahayu Mohd Yusop
  2. Silir Daksina : Md Nizar Parman
  3. Dayung Sudah Ditangan : Norziati Mohd Rosman


KATEGORI CERPEN REMAJA

Hadiah Utama:

  • Ayam Patah Kepak, Hafizah Iszahanid* (Mingguan Malaysia, 7 Jun 2009)
  • Kasut Tutankhamun, Mohd Fudzail Mohd Nor (Mingguan Malaysia, 19 April 2009)
  • Puaka Pak Jaha, Nadia Khan (Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009)

Hadiah Penghargaan:

  • Es Teller di Pagi Raya, Ummu Hani Abu Hassan* (Mingguan Malaysia, 20 September 2009)
  • Fort Margherita, Mohd Ali Salim (Mingguan Malaysia, 16 Ogos 2009)
  • Hipertensi, Ilias Zaidi (Mingguan Malaysia, 1 Februari 2009)
  • Khilaf, Wan Marzuki Wan Ramli* (Mingguan Malaysia, 12 April 2009)
  • Munsyi, Husna Nazri (Utusan Melayu Mingguan, 2, 9 dan 16 November 2009)
  • Sanubari Seorang Anak, Siti Hajar Mohd Zaki* (Mingguan Malaysia, 25 Januari 2009)


KATEGORI CERPEN

Hadiah Utama:

  • Akhir Parak Siang, Zaen Kasturi* (Mingguan Malaysia, 29 Mac 2009)
  • Embus-embus Iman di Indus, Adip MN Damanhuri (Mingguan Malaysia, 17 Mei 2009)
  • Mahkota di Atas Jemala, Farahana Hussain* (Al-Islam, Mac 2009)

Hadiah Penghargaan:

  • Dari Fail Tribuhak, Ghazali Lateh (Mingguan Malaysia, 23 Ogos 2009)
  • Falsampah, Serunai Faqir (Mingguan Malaysia, 25 Oktober 2009)
  • Ketuanan, Maaf dan Seorang Binatang, Marsli N.O (Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009)
  • Kisah Sebatang Pokok, S. M. Zakir (Mingguan Malaysia, 28 Jun 2009)
  • Narasi Cinta di Pulau Seribu Kubah, Mawar Shafei (Mingguan Malaysia, 18 Januari 2009)
  • Tukang Sepatu dan Sahabat dari Bukit, Malim Ghozali PK (Mingguan Malaysia, 26 April 2009)


KATEGORI PUISI

Hadiah Utama:

  • Aroma, S.M Zakir (Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009)
  • Ingatan kepada Kawan ‘XXI’, Zaen Kasturi* (Mingguan Malaysia, 10 Mei 2009)
  • Sekeping Lukisan di Kaki Lima, Mohamad Saleeh Rahamad (Mingguan Malaysia, 27 Disember 2009)

Hadiah Penghargaan:

  • Ayah adalah Hadiah Allah, Salman Sulaiman* (Wanita, Jun 2009)
  • Catatan Tentang Bukit, Husna Nazri (Mingguan Malaysia, 22 Mac 2009)
  • Cerita Terpanggil-panggil, Penglipur Semakin Melara, Ariff Mohamad (Mingguan Malaysia, 4 Oktober 2009)
  • Ego Sebutir Pasir, Fudzail (Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009)
  • Ingatan kepada Kawan ‘XXII’, Zaen Kasturi* (Mingguan Malaysia, 11 Oktober 2009)
  • Seorang Tua di Kaki Tamadun, Fahd Razy* (Mingguan Malaysia, 15 Februari 2009)


RENCANA SASTERA

  • Bahasa Cinta Hamzah Fansuri, Mohd Hashim Osman (Mingguan Malaysia, 6 Disember 2009)
  • Psikosomatik Yang Menyala, Malim Ghozali PK (Mingguan Malaysia, 22 Februari 2009)

* tahniah untuk Alumni MPR yang berjaya.



Baca Puisi PENA Malam Tangisan Gaza


BACA PUISI PENA MALAM TANGISAN GAZA
Anjuran Bersama PENA-YAYASAN SALAM-GAPENA

Tempat :
Rumah PENA, Kuala Lumpur

Tarikh :
02 Julai 2010 (Jumaat)

Waktu :
8.30 malam

Acara :
Bacaan Puisi Palestian bersama Badan Kerabat GAPENA dan Yayasan Salam. Kutipan derma juga diadakan dan akan diserahkan kepada Yayasan Salam untuk bantuan kemanusiaan di Gaza.


Forum Intelektual




FORUM Intelektual: Bahasa Melayu dalam Filem dan Drama akan berlangsung di Dewan Seminar, Aras 2, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, pada 28 Jun ini, jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan orang ramai dipelawa hadir.

Panel pada forum itu ialah Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Akademik), Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Mahadi J Murat dan Pensyarah Kanan Jabatan Penulisan, Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Rahim Abdullah.
selain, mendapatkan gambaran berkenaan penggunaan bahasa Melayu khususnya yang berkaitan drama dan filem.
Pensyarah Jabatan Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, akan mempengerusikan forum yang bertujuan mewujudkan kesedaran peri pentingnya penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam penulisan skrip drama dan filem.

Maklumat lanjut berhubung forum yang akan memberi pelbagai perspektif baru mengenai fungsi bahasa Melayu dalam filem dan drama hubungi talian 03-21482801 (Nawal Hanim)/03-21482804 (Wan Norasikin) atau e-mel nawal@dbp.gov.my/wsikin@dbp.gov.my.



Sumber: Berita Harian


ACARA: Diskusi Puisi Tiga Penyair



DISKUSI Kumpulan Puisi 3 Penyair yang membicarakan Perjalanan Salik karya Rahimidin Zahari; Suluk Cinta (Ridzuan Harun) dan Ingin Jadi Nasrallah (Faisal Tehrani) akan diadakan di Bilik Persidangan Utama Aswara, Kuala Lumpur, pada 11 Mei ini, jam 10 pagi.

Fakulti Penulisan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam satu kenyataannya berkata, diskusi itu akan menampilkan panel undangan Sasterawan Negara (SN), Datuk (Dr) A Samad Said; pensyarah Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Arbak Othman dan penyair, Zainal Palit atau Zaen Kasturi.

“Diskusi ini diadakan sebagai salah satu bentuk pembelajaran melalui aktiviti perluasan Fakulti Penulisan yang menampilkan tokoh berpengalaman dalam dunia penulisan, selain daripada kuliah dan tutorial,” kata kenyataan itu melalui e-mel.

Selain itu, diskusi terbabit memberi peluang kepada pembicara untuk mengupas karya berkenaan dan mencurahkan ilmu berkaitan penulisan secara tidak langsung, sekali gus hasil perbincangan diharap dapat mematangkan pelajar dalam menghasilkan karya sama ada genre drama, cereka, puisi atau kritikan.

Maklumat lanjut hubungi Mohd Faizal Musa di talian 03-26975609 atau Mohd Ridzuan Harun (03-2697 1145).


Sumber: Berita Harian





Pengumpulan Data Alumni MR/MPR & Pemenang HSSBR




Dengan segala hormatnya dimaklumkan bahawa pihak Jawatankuasa Minggu Penulis Remaja & Dewan Bahasa dan Pustaka, sedang dalam usaha untuk mengumpulkan maklumat semua alumni Minggu Remaja (MR) / Minggu Penulis Remaja (MPR) dan Pemenang Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Semua yang pernah mengikuti program MR atau MPR mulai tahun 1985 dan semua pemenang HSSBR mulai tahun 1986 sehingga 1997 akan terlibat secara automatik dalam projek ini.

Maklumat ini akan dikumpulkan dalam buku Direktori Alumni MPR (judul sementara) yang akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Direktori ini dijangka akan dilancarkan sempena ‘25 Tahun Minggu Penulis Remaja’ yang dirancang sambutannya pada Oktober 2010.

Saudara/i boleh memberikan maklumat melalui dua kaedah;
  1. mengisi borang maklumat di bawah dan mengirimkan sekeping foto terkini melalui e-mel ke salinaibrahim@gmail.com dalam tempoh 2 minggu.
  2. memuat turun borang maklumat di sini (dalam format .doc) dan mengirimkan kembali melalui e-mel bersama sekeping foto terkini ke salinaibrahim@gmail.com dalam tempoh 2 minggu

Terima kasih diucapkan atas kerjasama saudara/i. Mudah-mudahan projek ini akan berjalan lancar dan direktori ini dapat diterbitkan mengikut jadual, seterusnya akan menjadi rujukan semua penggiat sastera terutamanya kalangan alumni.

Yang menjalankan tugas,

SALINA IBRAHIM
b/p Ahli Jawatankuasa Alumni Minggu Penulis Remaja
Dewan Bahasa dan Pustaka.


Tabiat Membaca Orang Muda; Budaya atau Gejala?



Oleh: Muhammad Lutfi Ishak


Erasmus Mundus, seorang ahli falsafah pernah mengucapkan tentang tabiat atau lebih tepat lagi, ketagihan membacanya. Katanya, ”jika saya mempunyai wang, saya akan membeli buku. Jika masih ada wang yang selebihnya, saya akan membeli makanan.”

Kata-kata tersebut kelihatannya spontan. Namun, kebenarannya ada. Malah, ada banyak cerita yang membenarkan penyataan Erasmus ini. Sebagai contoh, kita tentunya pernah mendengar tentang kisah al-Jahiz, ilmuwan muktalizah itu, yang pada akhirnya, meninggal dunia akibat dihempap buku-bukunya. Begitu juga dengan kisah seorang ulama yang terlepas malam pertamanya akibat terpukau dengan isi sebuah buku di dalam perpustakaannya. Malah, jika kita mahu berhujah dan menerima kebenaran yang lebih tinggi, firman yang ditanzilkan kepada baginda Nabi selepas tiga pelukan Jibril, ialah ’Iqra’. Bacalah!

Salah satu buku, yang saya rasa amat menarik dan mengungkapkan tentang budaya membaca ialah buku yang ditulis oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren, iaitu, How to Read a Book. Buku itu diterbitkan pertama kali pada tahun 40-an abad yang lalu. Namun, sesiapa sahaja yang membaca buku yang sudah boleh dianggap ’klasik’ itu, pasti akan membuat satu kesimpulan - bahawa, membaca buku dalam konteks manusia yang bertamadun, bukanlah aktiviti yang semborono. Membaca ialah satu seni dan satu kemahiran. Sebagai seni dan kemahiran, maka sudah tentu, membaca buku ialah aktiviti yang sistematik. Ada kaedahnya, ada keindahannya, ada peraturannya. Seorang pembaca yang serius, saya kira, ialah seorang pembaca yang membaca buku dalam konteks Adler ini.

Oleh sebab itu, persoalan ’orang muda’ dan ’budaya membaca’ adalah persoalan menarik. Dan tentunya hal ini lebih menarik apabila dikaitkan dengan situasi semasa dan orang muda di negara kita. Adakah orang muda di negara kita membaca buku? Saya yakin, setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri apabila menyikapi soalan ini. Sudah pasti, ada orang yang bersetuju dan tidak bersetuju. Dek kerana tidak ada petunjuk yang betul-betul empirik, dan jawapan yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman individu, maka, sudah tentu tidak ada jawapan yang mutlak untuk itu. Tuduhan itu boleh menjadi fakta, dan boleh juga menjadi mitos.

Jadi, di sini, saya mahu menjawab soalan ini dengan nada yang optimis. Lebih-lebih lagi, banyak sekali suara yang menafikan betapa, kajian yang menunjukkan orang Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun adalah kajian yang boleh dipertikaikan. Malah, belakangan ini ada juga yang menyatakan bahawa tahap pembacaan rakyat Malaysia semakin meningkat, mungkin sudah membaca 8 buah buku setahun. Begitu juga dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang agak optimis baru-baru ini. Kerana itu, saya yakin, orang muda tidak membaca ialah satu mitos. Orang muda sebenarnya membaca. Cuma, dalam konteks tulisan ini, saya lebih suka untuk menyorot dan mempersoal bahan bacaan yang dibaca oleh orang muda.

Namun, sebelum saya lebih optimis, kita juga mesti lebih seimbang, kerana beberapa tahun yang lalu, ada satu kajian yang menunjukkan tahap pembacaan yang agak ’sadis’ dan ’menakutkan’ yang berlaku di universiti. Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Dr. Abu Hassan Abdullaah mengenai budaya membaca di universiti, temuan yang didedahkan itu sangat mengejutkan. Menurut kajian tersebut, mahasiswa di universiti hanya membaca 4 buah buku setahun. Para pensyarah pula, rata-ratanya hanya membaca 20 buah buku sahaja.

Oleh sebab itulah, kita mesti membezakan antara budaya membaca dan bahan bacaan yang dibaca ialah dua perkara yang berbeza. Biarpun saling berkaitan, bahan bacaan yang dibaca adalah lebih penting. Apalah gunanya jika memang budaya membaca begitu marak dalam kalangan orang muda, tetapi bahan bacaan yang dibaca ialah bahan bacaan yang picisan. Dalam hal ini, saya lebih menekankan bahan bacaan adalah bersifat definitif, yakni yang memberikan nilai dan mengesahkan, adakah tabiat membaca buku, khususnya dalam kalangan orang muda, adalah satu ’budaya’ atau ’satu ’gejala’?

Dalam bukunya yang terkenal itu, Adler mendeskripsikan beberapa tujuan pembacaan. Satu, pembaca yang membaca hanya sekadar untuk mendapat makluman. Satu lagi ialah pembaca yang membaca untuk mendapat dan meningkatkan pemahaman. Orang yang hanya membaca surat khabar, misalnya ialah jenis pembaca yang hanya membaca untuk mendapatkan makluman. Pembaca yang membaca buku-buku serius misalnya, ialah pembaca yang membaca untuk mendapatkan pemahaman.



Dalam konteks Adler ini, ada jurang yang sangat luas, yang bukan sahaja membezakan 'aktiviti pembacaan' tetapi juga kualiti pemikiran dan peribadi pembaca. Pembaca yang hanya membaca untuk menambahkan makluman, tidak akan menambahkan apa-apa kepada dirinya selain timbunan makluman. Mereka membeli majalah, surat khabar dan lain-lain, hanya untuk menambahkan makluman. Pemikiran mereka tidak akan terasah, dan lebih malang lagi, mereka tidak akan dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu yang lebih sukar dan berada pada aras yang lebih tinggi daripada pemahaman mereka.

Pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman pula berbeza. Membaca bagi mereka ialah satu aktiviti serius, satu aktiviti pembalajaran. Dalam konteks ini, buku yang dibaca ialah guru yang mengajar kita melalui perkataan. Membaca dalam gaya ini ialah sejenis pembelajaran. Lazimnya satu pembelajaran, pasti ada tahap-tahap yang perlu dikuasai. Dan untuk menguasai sesuatu pembelajaran, usaha yang dicurahkan juga sangat banyak, dan perlu berpatutan dengan tahap kesukaran yang ada dalam buku itu.

Pembacaan jenis ini mempunyai dua syarat, begitu kata Adler. Syarat yang pertama ialah keadaan pemahaman yang tidak setara. Maksudnya, pemikiran 'si penulis' mesti lebih tinggi daripada pembaca, seperti pemikiran guru yang lebih tinggi daripada seorang murid. Syarat yang kedua, ialah si pembaca mestilah dapat mengurangkan keadaan(pemahaman) yang tidak setara itu. Maksud Adler itu ialah, si pembaca dapat memahami sedikit demi sedikit bahan bacaan, dan pada satu tahap, cuba sampai kepada pemahaman yang dimiliki oleh si penulis.

Sudah pasti, jika benar orang muda membaca, kita tentu mengharapkan mereka menjadi pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman. Membaca untuk menambahkan makluman memanglah tidak salah, tetapi membaca untuk menambakan pemahaman adalah lebih tinggi darjatnya. Namun begitu, berbanding kedua jenis tujuan pembacaan yang saya sebutkan tadi, saya berharap orang muda tidak menjadi satu lagi 'kelas' pembaca; yakni pembaca yang hanya membaca untuk hiburan.

Jadi, soalannya di sini, apakah orang muda kita yang membaca itu, membaca untuk menambahkan makluman, pemahaman, atau hiburan. Saya lebih cenderung untuk pesimis dalam konteks ini. Saya yakin, majoriti orang muda membaca untuk hiburan. Namun, keyakinan saya juga tidak bersifat mutlak. Keyakinan saya masih ’nomad’ dek tidak adanya kajian yang betul-betul empirik. Apapun, jika orang muda kita hanya membaca buku sekadar untuk hiburan, maka saya yakin, tidak ada budaya membaca. Yang ada hanyalah gejala membaca.

Sumber: Siasah 26 Mac - 2 April 2010



Orang Muda Tidak Membaca; Mitos atau Fakta?



Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, Biro Penulis Muda Pena akan menganjurkan sebuah forum yang membincangkan tahap pembacaan orang muda dalam era teknologi ini.


Butiran program:

Tajuk: Orang Muda Tidak Membaca; Mitos atau Fakta?

Ahli Panel:
Ahmad Fedtri Yahya (Pengacara MHI/Penulis lirik)
Sdr.Nazri M. Anuar (novelis)
Sdri. Alina (Pensyarah UPSI)


Tarikh: 26 Mac 2010 (Jumaat)

Jam: 5 pm - 7 pm

Tempat: Dewan Sabah / Kedah


Ayuh orang muda, para pembaca, penulis, pencinta ilmu dan seluruh warga Malaysia, kita bincangkan sejauh mana benarnya mitos ini. Jumpa anda di sana.

Dialog Orang Muda (Dom)



Biro Penulis Muda Pena dengan segala hormatnya menjemput para peminat sastera untuk mengadiri Dialog Orang Muda (Dom) - Kebebasan: Penulis Tercekik? bertempat di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur

Pada: 6 Mac 2010 (Sabtu)
Jam: 10 pagi

Ahli panel
1. Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Arif Mohamed
2. Ketua Wartawan Malaysiakini Bahasa Malaysia, Mohd Jimadie Shah Othman
3. Pengajar di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), Mohd Ali Atan.

Moderator
Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda Pena, Muhammad Lutfi Ishak

________________________________________________

Dialog Orang Muda
Oleh Nazmi Yaakub
Berita Harian, 3 Mac 2010

DIALOG Orang Muda (Dom) - Kebebasan: Penulis Tercekik? akan diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, pada 6 Mac ini, jam 10 pagi.

Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda Pena, Muhammad Lutfi Ishak, berkata panel pada dialog terbabit ialah Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga novelis, Arif Mohamed; Ketua Wartawan Malaysiakini Bahasa Malaysia dan penyair muda, Mohd Jimadie Shah Othman dan Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dan cerpenis, Mohd Ali Atan.

“Isu dan persoalan hak asasi bersuara serta kebebasan berkarya dalam konteks latar tempatan akan dibincangkan. Isu mutakhir membabitkan kebebasan berkarya bakal disorot panel dengan mengambil kira pelbagai perspektif termasuk pandangan Islam, hak asasi sejagat serta budaya masyarakat Timur,” katanya pada satu kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini.

Februari lalu, teater Tanda karya Shahili Abdan atau lebih dikenali sebagai Namron dilanda kontroversi sehingga pentasnya terpaksa dipindahkan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke PJ Live Arts di Petaling Jaya.

Isu kebebasan juga diperkatakan dalam Rancangan Soal Jawab di TV3, kelmarin, yang menyorot persoalan itu dengan menjemput Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang memperkatakan soal kebebasan dan aspirasi negara.

Muhammad Lutfi berkata, Dom akan mengambil kira pandangan pro dan kontra terhadap isu hak asasi bersuara dan kebebasan berkarya sebelum memberi rumusan serta kesimpulan terhadap sejauh mana amalan kebebasan terbabit di negara ini boleh dilaksanakan.

“Kita mahu melihat suara generasi muda dengan format diskusi lebih terbuka dan tidak dimonopoli panel semata-mata, manakala peserta yang datang akan diberikan ruang dan masa untuk memberikan pandangan. Kami berharap generasi muda dapat menyertai Dom dan menggunakan ruang itu sebaik-baiknya,” katanya.



Perhimpunan Alumni

MPR dan 'Perasan Bagus'





ikuti komentar Jimadie Shah di Malaysiakini.


Perjalanan MPR 2009 : Mencipta Memori Terindah

oleh Mohd Haniff Mohammad Yusoff (Penghulu MPR09)

Program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang hampir menjangkau usia 25 tahun telah menerima ahli keluarga yang baru pada tanggal 19 Disember 2009 yang lalu. Terdiri daripada 13 orang peserta lelaki dan 14 orang peserta perempuan, rata-ratanya mempunyai latar belakang yang berbeza. 27 orang peserta MPR 2009 telah berkumpul di Menara DBP seawal 7.00 pagi lagi. Setelah pendaftaran dilakukan, para peserta MPR 2009 telah dibawa ke Dewan Seminar, Menara DBP untuk menghadiri Perhimpunan Alumni MPR 2009.

Kali ini, para peserta berpeluang bertemu dengan Sasterawan Negara yang ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridwan untuk sesi bersama Sasterawan Negara. Pastinya ini merupakan pengalaman yang manis buat semua peserta. Selain itu, para peserta telah mengikuti ceramah genre puisi yang disampaikan oleh Profesor Rahman Shaari dan genre cerpen disampaikan oleh Tuan Nurizan Raja Yunus @ Ana Balqis. Puan Rozninah Abdul Aziz iaitu editor Dewan Sastera turut meluangkan masa bersama peserta pada hari keempat. Para peserta juga dihidangkan dengan ceramah Penerbitan Karya Sastera Remaja oleh Encik Abdul Rahim Omar.

Sepanjang seminggu berkampung di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson, para peserta telah menerima bimbingan daripada Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Tuan Haji Shamsudin Othman dan Cik Khairunnasriah Abdul Salam. Karya para peserta yang dihasilkan semasa program berlangsung telah dinilai oleh para pembimbing. Para pembimbing telah memberi teguran, nasihat, tunjuk ajar dan teknik penulisan kreatif yang betul kepada para peserta.

Pada hari kelima berlangsungnya program, para peserta telah dibawa ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta berpeluang melawat Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Pendedahan seperti ini dapat membuka minda para peserta untuk mendekati pelbagai jenis bahan bacaan dan memupuk amalan membaca. Tidak ketinggalan, para peserta juga dibawa ke bahagian majalah yang terletak di tingkat 20, Menara DBP.

Para peserta berpeluang berjumpa dengan para editor dan wartawan majalah-majalah terbitan DBP. Sememangnya, lawatan seperti ini dapat mendekatkan para peserta dengan peranan yang dimainkan oleh DBP.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil bagi program MPR 2009 telah diadadakan pada 24 Disember 2009. Majlis tersebut telah dihadiri Puan Hajah Zalila Sharif iaitu Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja serta Puan Hajah Zahrah Ibrahim. Tanggal 25 Disember 2009, berlabuhnya tirai program MPR 2009 yang telah meninggalkan pelbagai kenangan yang pastinya akan terpahat di minda. Keakraban antara kesemua peserta merupakan sesuatu yang amat bernilai. Biarpun baru pertama kali bersua, kita persis telah lama saling mengenali. Saat berakhirnya program MPR 2009 telah mengundang rasa hiba antara kami. Perasaan ini turut dirasai oleh pihak urusetia program MPR 2009. Jutaan terima kasih diucapkan kepada DBP, ahli jawatankuasa @ urusetia MPR 2009 dan tidak dilupakan kepada para pembimbing MPR 2009.

TERIMA KASIH DAN SALAM RINDU DARIPADA KAMI!

Blog Widget by LinkWithin
top