HIZAIRI DAN KASUT TITANIC

Hari ini, 8 Oktober, adalah hari lahir Hizairi Othman. Untuk senantiasa mengenang beliau, sebuah penghargaan khas kami paparkan hari ini untuk tatapan semua agar 'ketiadaan' beliau tidak menghilangkan 'kenangan' dan ingatan kita pada beliau--Moderator
HIZAIRI DAN KASUT TITANIC
oleh: Raihani Mohd Saaid

Antara mantan MPR yang paling saya ingati ulangtahun kelahirannya ialah Hizairi Othman iaitu pada 8 Oktober. Turut berkongsi tarikh harilahir ialah Mohazam Rezali, mantan MPR tahun 1999 dan orang kuat kritikan sastera tanah air, Pak Mana Sikana. Saya sebolehnya tidak mahu lagi terlibat dalam sebarang spekulasi atau menjadi ejen CSI tak bertauliah menyiasat kehilangan beliau dari jagat sastera tanah air, dari jagat MPR khasnya,lebih-lebih lagi dari pangkuan keluarganya. Saya cuma boleh berharap yang Hizairi sentiasa di bawah lindungan Allah walau di mana jua beliau berada, walau apa jua jalur pilihan hidupnya.

Satu rahsia dari saya-walaupun saya berangan nak jadi penulis tetapi saya bukan ikuti sangat siapa Hizairi dalam jagat sastera tanah air. Bukan sombong cuma saya rasa belum ada keperluan. Saya kenal arwah ayahanda beliau terlebih dahulu iaitu Allahyarham Dr.Othman Puteh dan arwah antara orang terawal yang membawa saya mengenal gulat gelut dunia penulisan. Hizairi pernah datang ke sekolah saya di Shah Alam sempena Minggu Buku anjuran pelajar-pelajar ITM pada tahun 1995. Saya tak jenguk langsung acara yang melibatkan beliau tetapi saya sangat ingat catatan beliau pada buku pelawat –‘Woi, buku aku mana?’

Hizairi datang ke MPR saya pada tahun 1997 sebagai panel satu slot. Bukan rahsia apabila ada kekaguman berbunga di kalangan peserta perempuan untuk beliau. Malah Chuari Selamat mengusik-ngusik Lim Chiao Kee sebagai menantu Othman Puteh sewaktu majlis HSSBR tahun itu. Masih juga saya tidak ambil port, hahaha! Tetapi sewaktu detik penubuhan Kelab Alumni MPR pada 27 Mei 1997, iaitu hari terakhir MPR barulah saya berbicara dengan beliau. Beliau mahu saya ada dalam ‘barisan kabinet’ perintis Kelab Alumni MPR.

Sejak itu barulah saya berkenalan dengan Hizairi dan dengan karya-karyanya. Saya jadi segan sendiri kerana Hizairi sangat supportive dan sangat mengikuti perkembangan karya saya yang entah apa-apa ketika itu. Tulisan Hizairi tentang saya di majalah Akar merupakan tulisan orang lain tentang diri saya yang paling saya sukai kerana pendekatannya yang humanis. Beliaulah yang mula-mula menggelar saya ‘Alien’, walaupun ada satu lagi nama panggilan beliau untuk saya. Ini rahsia, nak tahu kena tanya saya sendiri! Hahaha!

Perkembangan personaliti saya juga turut diikutinya, beliau tahu apa isi beg saya malah beliau satu-satunya orang MPR ketika itu yang menonton saya menari di pentas bangsawan ASK. Kami sering berhubung untuk kerja-kerja Kelab Alumni.Senang bekerja dengan beliau yang tekun dan professional tetapi masih boleh melayan loyar buruk saya. Untuk urusetia Kacak Jelita, sebab inilah saya sampai jadi tahu apa perfume kegemarannya.

Ada satu filem lakonan AR Badul di mana ketika Badul dibawa membeli sepasang kasut kulit, ada dialognya yang berbunyi ‘Kasut? Aku ingat motorbot!’ Sementelah ketika itu era kasut platform. Kemudian sewaktu duduk-duduk ‘menenyeh’ para peserta MPR (tak ingat tahun bila), saya mengusik kasut Hizairi yang agak oversize –‘Ingatkan motorbot!’ Dia balas balik loyar buruk saya- ‘Bukan! Ini Titanic!’

Doa saya semoga Hizairi Othman tidak menjadi seperti kapal Titanic. Kami semua di MPR khasnya masih menanti kepulangan anda, walaupun tentulah tidak dapat mengatasi rindu ahli keluarga anda sendiri. Selamat menyambut ulangtahun kelahiran, Zack!

4 komen:

Anonymous said...

sebagai penyelenggara kacak jelita, saya sangat berterima kasih atas gambar dan maklumat abang hizairi. bila kak rai bagitau jenama perfume yang dia suka, saya takhu kak rai tak melawak (walaupun suka melawak) dan saya 'sense' itu petanda satu hubungan yang akrab.


saya generasi yang tidak sempat mengenali abang hizairi, tidak banyak membaca karya-karyanya,

tapi,

saya tahu, bukan saya sorang (dalam kalangan generasi kami) yang mahu bertemu dengan beliau.


salam ulangtahu kelahiran, abang hizairi.

Anonymous said...

Walaupun saya tidak berkesempatan menjadi peserta MPR (apatah lagi mantan MPR), saya amat meminati karya Saudara Hizairi Othman dan mantan2 MPR yg lain sejak tahun 80an.
Saya adalah peminat setia dari jauh penulis2 cetusan Dewan Siswa. (Walaupun bukan berlabel penulis namun ada juga sajak saya sangkut dalam Antologi Puteri Dayana tahun 90an.. hehe)
Ketika rakan baik saya ke UM pada tahun 1991 (sedangkan saya ke USM), saya titipkan pesan agar beliau dapat intai2 Hizairi Othman utk saya :)
Ke mana hilangnya Hizairi???

Anonymous said...

Good words.

Anonymous said...

Hello Kak Rai!
Tsk, Chiao Kee tak ingat pun kena usik sebagai menantu Othman Puteh. Hahaha! Kelakarlah... .

Blog Widget by LinkWithin
top