Minggu Penulis Remaja lahirkan pelapis penulis muda

Dipetik drpd Utusan Malaysia .Oleh ANI AWANG

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang telah dimulakan sejak 1985. Program tahun ini akan diadakan di Golden Straits Villas Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan dari 10 hingga 14 Disember dan di DBP Kuala Lumpur dari 14 hingga 16 Disember ini untuk membina penulis pelapis di kalangan generasi muda.

Menurut Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-Kanak dan Remaja (PURNAMA), Izzah Abdul Aziz, program itu diharap dapat melahirkan generasi pelapis baru dalam dunia penulisan setanding dengan penulis MPR sedia ada seperti Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Salina Ibrahim dan banyak lagi.

“Dalam program ini kita memberikan bimbingan yang lebih berkesan dan mantap melalui penyertaan beberapa penulis yang sudah dianggap tokoh.

“Kita mengharapkan mereka yang dibimbing oleh mentor MPR ini dapat menghasilkan karya remaja dan kanak-kanak yang mantap dan bermutu.

“Ini kerana kita masih ketandusan bahan bacaan untuk golongan tersebut walaupun terdapat permintaan terhadap sastera remaja,’’ katanya ketika ditemui di DBP Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Izzah, antara mentor yang dimaksudkan itu ialah Nisah Haron, Shamsuddin Othman dan Zaid Akhtar iaitu penulis muda yang karya mereka telah disiarkan di mana-mana majalah atau media cetak berbanding sebelum ini.

“Kita hanya mengambil sekitar 30 peserta yang terdiri daripada penulis-penulis muda berumur antara 17 hingga 20 tahun yang mempunyai bakat besar untuk berkarya dengan lebih baik,’’ tambah Izzah.

Menurutnya, pemilihan dibuat dengan teliti kerana DBP mahu memastikan peserta MPR itu akan menjadikan bidang penulisan sebagai satu bidang kerjaya yang serius.

“Kerjaya sebagai penulis mempunyai masa depan yang baik kalau kita bersungguh-sungguh dan berdisiplin dalam berkarya,’’ katanya.

Menurut Izzah, MPR kali ini memberikan tumpuan kepada empat bidang penulisan iaitu penulisan novel, cerpen, puisi dan drama.

Beliau berkata, DBP perlu melahirkan penulis remaja dan kanak-kanak dari semasa ke semasa.

“Ini kerana ada penulis muda yang tidak aktif menulis apabila bekerja dan berumah tangga.

“Oleh itu, DBP perlu membuat sesuatu dan mempertemukan mereka agar mereka diberikan semangat untuk terus berkarya,” jelasnya.

Izzah menambah, peserta MPR juga menikmati faedah kerana DBP akan menerbitkan karya mereka.

Selain itu, mereka juga mendapat pendedahan untuk berbincang dengan penerbit bagi membolehkan karya mereka diterbit dan dipasarkan.

Menurut beliau, program MPR telah terbukti sering diperkatakan kerana ia berjaya melahirkan penulis muda berkaliber bagi memenuhi keperluan bahan bacaan di kalangan remaja dan kanak-kanak.

Antara mereka yang menempa nama ialah Shamsuddin Othman, Uthaya Sankar SB, Lily Haslina Nasir, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Ani Mawar, Hizairi Othman, Nisah Harun dan banyak lagi.

0 komen:

Blog Widget by LinkWithin
top