SASTERAWAN Negara Datuk Shahnon Ahmad merupakan antara ikon dalam perkembangan kreatif dan perkembangan bidang pendidikan serta kritikan sastera mutakhir tanah air.
Karya-karyanya dalam genre novel dan cerpennya mewakili aspirasi, pemikiran dan idealisme masyarakat atau dengan kata lain sebagai lidah untuk menyuarakan pelbagai polemik sosial di negara ini.
Karya-karya kritik sosialnya seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Tunggul-Tunggul Gerigis, Gelandangan dan Serenggenge atau Tivi cukup untuk memperlihatkan kekuatan Shahnon sebagai pengarang besar.
Bagi mengungkapkan pemikiran dan idealisme pengarang tersebut, Bahagian Teori dan Kritikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Seminar Sasterawan Negara Shahnon Ahmad pada 13 dan 14 November ini.
Skop seminar akan meliputi perbincangan karya Shahnon dalam pelbagai genre yang dikupas melalui pelbagai teori dan pendekatan. Antaranya teori feminisme, pascakolonial dan teori kritikan tempatan, konseptual kata kunci oleh Mohd. Mokhtar Hassan.
Secara umumnya seminar tersebut bertujuan membincangkan karya-karya Shahnon secara tuntas, selain menggali pemikiran dan proses kreatifnya.
Ia juga bertujuan mencari dimensi baharu dalam pemikiran Shahnon untuk dimanfaatkan dalam penghasilan karya kreatif, teori dan kritikan masa kini.
Seminar tersebut juga diharapkan dapat menampilkan rumusan sumbangan pemikiran Shahnon yang lebih mantap terhadap perkembangan sastera tanah air.
Seramai 21 sarjana akan memperkatakan pelbagai aspek tentang Sasterawan Negara itu termasuk aspek pemikiran, kepengarangan, kajian gender, falsafah, politik dan nilai-nilai kemelayuan dalam karya.
Antara pembentang kertas kerja ialah S. Othman Kelantan (Kemelut dan Menteri: Petanda Pemikiran Shahnon), Md. Salleh Yaapar (Falsafah Pemikiran Shahnon Ahmad Terhadap Sastera) dan Anwar Ridhwan (Pemikiran Kritis Shahnon Ahmad Dalam Novel-Novel Pilihan).
Para pembentang lain ialah Teo Kok Seong (Karya-karya Shahnon Ahmad dari Sudut Bahasa/Linguistik), Abdul Rahman Napiah (Keunggulan Shahnon Ahmad), Rahimah Abdul Hamid (Kedirian Shahnon Ahmad dalam Dunia Sastera) dan Mohamad Daud Mohamad (Menteri dan Perdana Dalam Bacaan Teori Studi Budaya).
Turut membentangkan kertas kerja ialah Lim Kim Hui (Pertembungan Nilai Lama dan Moden dalam Karya-karya Shahnon), Siti Hajar Che Man (Wanita Dalam Pemikiran Shahnon: Analisis Dari Sudut Teori Feminis) dan Hashim Ismail (Sutan Baginda dan Perdana Dari Sudut Pascakolonial).
Sementara itu, seminar tersebut terbuka kepada umum. Sebarang maklumat lanjut, hubungi Urus Setia Pemikiran Sasterawan Negara Shahnon Ahmad di 03-21482539/2537/1217.
Dari Utusan Malaysia Online, 8 November 2007
0 komen:
Post a Comment