BICARA KARYA PEN 2008
JEMPUTAN DARIPADA NISAH HJ. HARON
31Dec2007
BICARA KARYA PEN 2008
Seimbas Belekan Dewan Sastera
28Dec2007

Tahniah buat mantan-mantan MPR yang karyanya tersiar dalam DS (sisipan
Tunas Cipta) Januari 2008;
CERPEN (Sisipan Tunas Cipta)
Tuah dan Kucing Putih (Mohd Tarmize Mohd Nor, mantan 2004) - cerpen ini turut termuat dalam antologi Mantan MPR 12! yang baru sahaja diterbitkan baru-baru ini.
Bulatan (Ani Sarah, mantan 2007)- ini adik junior kita yang baru sahaja mendapat hak kerakyatan dalam alumni MPR (hehehe)
CERPEN (Dewan Sastera)
Perkahwinan di Hujung Runcing Bumbung Zink (Roslan Jomel, mantan 1991) -karyanya turut termuat dalam antologi 12! yang bertajuk 99 Hari Emak Saya Dinaikkan ke Angkasa, seperti biasa tajuk cerpennya sudah menarik kita untuk membaca.
SAJAK (Sisipan Tunas Cipta)
Sebermula Kau dan Aku (Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, mantan 2007)- ini adik junior kita, yang baru sahaja diperanakkan di Minggu Penulis Remaja 2007, penghuluwati di sana.
Juga, antara lain,Dewan Sastera Januari turut memuatkan cetusan idea Salman Sulaiman (mantan 2000) dalam kolum Surat Kepada Editor. Lebih menarik (dan teruja) ialah satu ruangan baru sudah dimuatkan dalam Dewan Sastera kali ini. Ruangan Alumni MPR turut memaparkan laluan pengkaryaan Abang Shazmee Rizal Agus Salim (mantan MPR 1991), iaitu putera pasangan Alahyarham Agus Salim dan Mahaya Mohd. Yassin. Mudah-mudahan, pengalaman Abang Shazmeen bisa dijadikan tauladan bagi mantan-mantan yang lebih junior dan mudah-mudahan juga kolum ini terus konsisten berada dalam penerbitan Dewan Sastera.
Dan, jika membelek majalah I (terbitan Karangkraf) juga turut termuat cerpen Penghulu Minggu Penulis Remaja 2007, Aidil Khalid, yang bertajuk Moi Cheang Ah. Ini cerpen yang menarik, tentang free-thinker, ops..baca sendiri ya!
Buat kalian yang karyanya disebutkan di atas (junior-junior terutamanya), tahniah dan teruskanlah menulis. Jangan cepat berpuas hati dengan apa yang sudah dihasilkan. Terus majukan diri...!
Sekali lagi, memang saya terlepas pandang. Maafkan saya, Kak Nisah Haron. Untuk makluman, surat cinta Nisah Hj. Haron juga turut disirkan oleh editor dalam Dewan Sastera Januari, tentang mengakarkan semula sastera tradisional. (memang beliau wanita Melayu klasik lah! selepas pergi persidangan agung wanita klasik, kot? heheh)
(entri dimasukkan oleh Nasriah Abdul Salam)
Pertemuan Mantan MPR UIAM
19Dec2007
Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Mantan Minggu Penulis Remaja DBP serta muslimin & muslimat yang sudi meluncuri laman blog ini. Semoga kehadiran Aidiladha kali ini semakin mendekatkan diri kita kepada Allah SWT juga mengeratkan hubungan silaturahim antara kita semua. InsyaAllah!
AIR MATA TUMPAH DI MPR 2007
07Dec2007
Oleh: Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri (Penghuluwati MPR 2007)
Minggu Penulis Remaja 2007 merupakan program penulisan pertama yang saya sertai sejak 3 tahun saya serius dalam bidang ini. Pengalaman di MPR 2007, kebanyakannya manis. Kenangan pahit, serasa tidak ada dalam kantung ingatan saya dan jika ada pun saya tidak berminat untuk menyimpannya dalam memori.
Tak terucap dengan kata-kata betapa gembiranya hati apabila saya berpeluang bertemu dengan penulis-penulis yang amat saya kagumi iaitu Kak Nisah Haron dan Abang Faisal Tehrani. Setelah beberapa tahun mengikuti perkembangan mereka hanya melalui karya, akhirnya bagaikan mimpi saya bertemu mereka dan dapat berbual-bual, meminta nasihat serta tunjuk ajar.
Selain itu, di MPR 2007, saya dapat bertemu dengan Prof. Rahman Shaari, guru pertama saya dalam penulisan puisi. Saya berguru dengan Prof. Rahman secara tidak langsung melalui komentar beliau tentang puisi saya dalam Dewan Siswa sejak tahun 2005. Saya berasa gembira apabila beliau masih mengingati nama saya yang sudah hampir setahun tidak ditulis oleh beliau sejak ruangan puisi dipertanggungjawabkan kepada abang Faisal. Sebelum beliau menamatkan tugasan sebagai pengkritik untuk ruangan Puisi Siswa, beliau ada berkata kepada saya, “Sayidah (beliau memanggil saya dengan nama itu) dijangka akan memperoleh kedudukan dalam kesusasteraan jika dia rajin.” Berbekal kata-kata azimat itulah, saya cuba untuk menjadi seorang penulis yang seprolifik mungkin. Ketika pertemuan dengan beliau di MPR tempoh hari, beliau sekali lagi memberikan saya satu azimat, ‘carilah kemudahan di celah kesukaran’ dan kata-kata itu akan saya pegang kemas-kemas sebagai bekalan untuk mara ke hadapan dalam bidang kesusasteraan.
Seingat saya, ada satu sesi yang menyebabkan saya banyak ketawa iaitu ‘Sesi Bedah Karya’ dan saya diletakkan dalam kumpulan yang dibimbing oleh Abang Faisal. Ketika abang Faisal ‘membedah’ cerpen saya yang bertajuk ‘Memilih Yang Terpilih’ yang belum sempat saya edit, serasa betapa ‘buruknya’ cerpen saya itu. Banyak kali Abang Faisal beristighfar apabila beliau membaca ayat-ayat yang telah saya hasilkan. Terlalu banyak perkataan ‘mesra’ sehingga abang Faisal memanggil saya dengan nama ‘Eja Mesra’. Selain itu, saya juga ada menyelitkan judul lagu Amr Diab iaitu Ana Akhtar Wahid yang saya jadikan sebagai dialog. Sekali lagi abang Faisal beristighfar . Saya yang memang payah untuk berasa kecil hati hanya tergelak mendengar komentar beliau.
Selain itu, kenangan yang suka saya ingat-ingatkan ialah aktiviti luar MPR iaitu bersiar-siar di Jalan Masjid India. Ahli kumpulan saya sewaktu aktiviti itu ialah Aidil, Dayat dan Nik manakala fasilitator yang bertanggungjawab terhadap kami ialah abang Faisal. Dalam perjalanan pulang, hujan mulai turun. Pada mulanya kami berteduh di sebuah balai bomba. Kemudian kami mengambil keputusan untuk meredah hujan yang masih gerimis itu. Tiba-tiba, hujan mencurah-curah sebaik sahaja kami melangkah dari balai bomba tersebut. Peliknya kami tekad meredah hujan dan tak terniat langsung untuk berpatah balik ke balai bomba dan kembali berteduh. Oleh itu, bermandi hujanlah kami berlima. Peristiwa ini membuatkan kenangan saya semasa kecil terimbas kembali kerana saya memang sangat gemar bermain air hujan bersama rakan-rakan saya yang kebanyakan kanak-kanak lelaki. Seronok. Itulah kata yang mampu saya ucapkan.
Saat akhir program MPR, perasaan saya terusik. Entah kenapa saya yang tidak mudah berkecil hati menjadi cukup-cukup sensitif dengan perkara-perkara yang melibatkan perpisahan. Sedih. Dan air mata saya tumpah juga pada malam penutup program apabila persembahan multimedia dari mantan MPR 2007 ditayangkan (Terima kasih buat Kak Lia yang cuba menenangkan saya).
Tiba waktu pulang, seperti mantan MPR 2007 yang lain, saya juga mula berfikir bagaimana mahu pulang dengan beg yang berat berisi buku yang tersangatlah banyak. Tetapi, alhamdulillah, walaupun sedikit tersrengenge, perjalanan pulang ke kampus di UIA, Gombak tidaklah sesukar mana kerana sabar itu kunci kepada ketenangan dalam menghadapi kesusahan.
Terima kasih buat fasiltator-fasilitator yang sangat dedikasi. Terima kasih buat abang Shahrun Nizal, penyelaras program yang banyak bersusah payah demi kami. Salam ingatan buat mantan-mantan MPR 2007. Kalian semua kenangan yang terindah. Akhir kalam, semoga tarian pena takkan berhenti berdansa di persada sastera walau di mana jua kita berada.
BARANG-BARANG YANG TERLALU BANYAK
04Dec2007
oleh Aidil Khalid (Penghulu MPR 2007)

Ketika hari pendaftaran MPR 2007, seingat saya, hanya dua buah beg yang saya bawa. Tetapi ketika tibanya malam akhir, dan saya mulai mengemas barang-barang, ternyata dua buah beg yang saya bawa itu sudah tidak berupaya lagi memuatkan kesemua barang-barang tersebut.
Adakah begnya yang telah mengecut menjadi kecil? Ataukah barang-barang yang sedia ada telah mengembang menjadi besar?
Tapi itu mustahil terjadi. Mana mungkin dua buah beg yang tidak bernyawa boleh mengecut. Dan mana mungkin barang-barang yang tidak bernafas itu boleh membesar.
Tapi begitulah kenyataannya. Kerana setiap hari di bengkel, pasti akan ada-ada sahaja barang-barang baru yang diterima sama ada dari pihak urusetia atau pun dari penceramah. Misalnya, pada hari pertama, saya (juga peserta-peserta yang lain) membawa pulang dua naskhah buku yang dihadiahkan kerana berjaya menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh penceramah, Encik (tapi beliau lebih suka digelar Uncle) Jaafar Abd Rahim. Begitu juga pada hari kedua, saya membawa pulang satu beg plastik berisi fail, dan kertas-kertas edaran lainnya. Dan seterusnya pada hari ketiga saya membawa pulang satu beg plastik berisi kertas-kertas kerja Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara ke 5 selain beberapa buah lagi buku. Dan begitulah seterusnya sampai hari terakhir kursus.
Natijahnya, ketika hendak pulang, masing-masing merungut tentang susahnya hendak mengangkut barang-barang, kerana sudah terlalu banyak. "Beratnya… macam mana aku nak balik naik bas ni?" rungut salah seorang peserta. Bayangkan sahaja; dari dua buah beg ketika mula-mula mendaftar, menjadi lima buah beg ketika hendak pulang! Tentulah akan terserengenge hendak mengangkatnya!
Dan di rumah, bilik saya amat kecil. Saya mulai berkira-kira, barang-barang yang mana harus saya buang. Sebab kalau hendak dibawa semuanya, tentu semak bilik saya nanti. Tapi kemudian, salah seorang peserta lain, Wan Nor Azriq, telah menegah. "Jangan buang," katanya. "Semua bahan itu boleh digunakan untuk menulis nanti."
Dan saya akui kebenaran kata-katanya. Cuma kerumitan bagaimana membawa pulang, dan bagaimana hendak menyusunnya nanti di kamar yang sempit, masih membelenggu.
Nah, kenapa saya ceritakan semuanya ini? Kerana terdapat analogi yang sangat tepat antara barangan yang kami bawa pulang, dengan ilmu yang didapat. Kami datang dengan takah ilmu tentang kesusasteraan yang amat rendah, dan kemudian setelah dihidangkan dengan pelbagai jenis ilmu oleh para pembimbing, kami pulang dengan dada yang sudah terisi.
Pun begitu, masalah yang dihadapi dengan barang-barang yang terlalu banyak sehingga tidak tahu bagaimana hendak mengangkut pulang, juga bagaimana hendak meletaknya nanti sekembali ke ruang kamar yang sempit; adalah masalah yang sama dihadapi bersama ilmu yang didapat. Adakalanya ilmu yang dihidangkan terlalu tinggi untuk kami para peserta mpr yang rata-ratanya berumur sekitar 17-23 tahun. Adakalanya juga ilmu yang dihidangkan hanya samar-samar yang difahami. Dan ada juga yang tidak difahami langsung (pun, tentunya banyak juga yang difahami). Jadi sungguh pun kami pulang membawa bekal yang banyak, tetapi masalah yang dihadapi adalah bagaimana mencernakannya? Bagaimana mengadunkannya? Bagaimana menggaulkannya? Supaya nanti dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu. Nah, di sinilah masalah utama yang dihadapi. Dan di sini jugalah cabaran sebenarnya.
Seperti kata para pembimbing berulang kali, adakalanya para peserta sebelum menghadiri MPR, begitu prolifik menulis. Namun ironisnya, setelah menghadiri MPR, semakin tidak produktif pula menghasilkan karya-karya baharu.
Bagaimana mengatasi hal ini tentunya bergantung sepenuhnya kepada diri masing-masing. Dengan azam dan tekad yang kuat, tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Seperti barang yang banyak akhirnya telah berjaya juga dibawa pulang dengan selamat (sungguh pun sesekali agak terserengenge) tentunya ilmu yang didapat juga akan dapat dicernakan, digauli dan dihadami supaya dapat menjadikan diri sebagai penulis yang berwibawa kelak.
Selamat Datang Mantan MPR07!
02Dec2007

Diikat-ikat, biarlah panjang,
Dijalin-jalin, biarlah
rapat.
Disiram-siram, biarlah basah,
Diasah-asah, biarlah
tajam.
Bagi pihak Kelab Alumni MPR, kami dengan sukacitanya ingin mengucapkan Selamat Datang kepada seluruh warga MPR 2007 ke dalam keluarga besar MPR!
- Nurul Hafiza Ahmad Alwi - Kedah
- Nor Hidayah Illias - Kelantan
- Hafizul Othman - Kedah
- Nur Azlizawani Zolkipeli - Kelantan
- Sharifah Aisiah Syed Mahazar - Kelantan
- Jamilah Mohd Noordin - Kedah
- Safura Sabri - Selangor
- Aidil Khalid - Selangor (Penghulu)
- Sayyidah Mu'izzah Kamarul Syukri - Terengganu (Penghuluwati)
- Nik Nur Fariha Ainna Nik Suib - Perak
- Nai Boon Mee Sararaks - Pulau Pinang
- Noriffah Hidayati Ibrahim - Negeri Sembilan
- Nur Iffaizyan Mohd Ghazali - Selangor
- Rashidah Othman - Kedah
- Wan Nor Azriq Wan Mokhtar - Kedah
- Nur Kamaliah Mohamed Sujari - Selangor
* Tiga (3) orang lagi peserta MPR07 sedang dipertimbangkan kedudukan mereka sebagai mantan MPR kerana peraturan kelab menetapkan ahli kelab harus menyertai MPR dengan sepenuhnya atau memenangi Hadiah Sastera Siswa. Dalam hal ini, mereka telah terlepas 2 hari atas sebab-sebab tertentu. Justeru, keahlian mereka akan dibincangkan dalam mesyuarat kelab yang akan datang.
**Ruangan pautan telah dikemaskinikan dengan blog mantan-mantan MPR07.

Abang Khairul: Ha ah la Ril...lambat betul
Abang Lutfi: Ril, Khairul...ready ready...ada orang nak ambik gambar ni...