Oleh Muhammad Faisal Mat Zawi (Mantan MPR2008)
Mulanya,
Minggu Penulis Remaja (MPR). Saat pertama kali saya mendengar perkataan MPR, bagaikan ada suatu perasaan yang terus menarik saya untuk mengenali dengan lebih dekat entiti (jika saya dapat menamakan ia sesuatu yang maujud) serta insan-insan yang bersamanya. Selama saya mengikuti perkembangan MPR secara tidak langsung melalui hebahan media timbul pula minat yang lahir dari rangsangan setelah melihat kejayaan mantannya dalam lapangan sastera.
Saya terdorong untuk menulis sedikit demi sedikit, tetapi kebanyakan karya (andai selayaknya dinamakan ‘karya’) saya diperam sahaja di rumah. Pada tahun 2008, saya cuba untuk menulis secara serius (saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk mentafsir perkataan itu sejauh mana) dan sajak pertama saya yang dibuat secara ‘hentam-hentam’ tersiar di sebuah majalah tempatan.Atas kapasiti itu saya mula menilai kembali diri saya serta ‘bakat’ yang ada. Dan segalanya seperti serba menjadi tahun ini (2008). Saya secara tidak sengaja ‘termaklum’ tentang permohonan MPR, tergerak hati untuk mencuba nasib (meski dengan harapan yang menggunung tinggi).
Satu hari, Puan Zety menghubungi saya yang permohonan saya diterima. Ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya. Seminggu (seingat saya) kemudian surat dari DBP tiba ke halaman rumah (sekarang surat itu hilang entah kemana).Jiwa kacau,Sepanjang mengikuti MPR, terlalu banyak kenangan manis yang terlakar yang saya kira tidak mampu dilarik dengan tinta. Terutama kenangan bersama Pak Leh, Che Din, Che Lan (terima kasih atas pengangkutan dari dan ke stesen bas), Kak Zety dan Kak Nurul (Yon? Terima kasih untuk teh ais di gerai mamak berbulu!) sewaktu menunggu peserta lain tiba pada pagi jumaat itu.
Sesuatu yang janggal kepada saya apabila diperkenalkan dengan barisan pembimbing bengkel, abang Saiful dan kak Nas saya kira tiada masalah cuma apabila disebut abang Im dan abang Sham. Sepertinya saya melihat sekawan lembu yang berterbangan, keanehan menguasai diri. Rahimidin Zahari sepertinya layak saya panggil ‘pak cik’. Samsudin Othman yang dahulunya saya mesra dengan panggilan cikgu (sewaktu di alam shah) tiba-tiba ‘dikerah’ supaya dipanggil abang (?).
Namun di atas itu semua, yang paling menggembirakan hati saya. Nyata saya tidak berseorangan selama ini. Dahulu, jika saya berjalan-jalan di pekan atau mana-mana sahaja, memerhati dan cuba menyelami kehidupan setiap subjek yang dilihat pada mata kasar saya, yang kemudian membuahkan fikiran-fikiran aneh tentang masyarakat membuatkan saya merasa diri ini pelik, bercakap dengan diri sendiri sewaktu berjalan (atau merenung seseorang yang duduk di seberang jalan hingga dia menafsir saya berniat jahat terhadapnya, atau bercakap dengan orang yang ditemui dalam LRT).
Keanehan ini makin menjadi-jadi apabila saya memiliki kamera sendiri, pernah orang melihat dengan memicingkan mata (mungkin mereka fikir saya gila) apabila berjalan di sekitar Kuala Krai dengan kamera Finepix J10 di tangan, mengambil gambar di tengah-tengah jalan dan sebagainya. Menghentam orang atas alasan ‘poetic licence’.Sebaik memasuki gerbang keluarga besar MPR yang kini genap 22 tahun, saya tahu yang ‘keluarga’ ini juga begitu (walau tidak sekronik saya). Rupa-rupanya ramai lagi yang mentafsir masyarakat seperti saya ( baca: cuba). Bagi saya itulah yang menyatukan mantan MPR semua, kerana keanehan jiwa itulah, walau bagaimana rupanya sekalipun yang mengikat kita.
Akhirnya,
Sepanjang mengikuti MPR, gelaran ‘peserta’ itu seperti tidak membawa rasa kepada saya. Saya kira apabila digelar ‘mantan’ MPR, disitulah datang sihirnya, yang mendatangkan suatu perasaan aneh dalam jiwa yang mendengar. Juga kerana gelaran ‘mantan’ MPR seperti membawa lesen besar kepada karya yang dihasilkan. Namun disitulah juga adanya tanggungjawab untuk memastikan karya yang dihasilkan setara dengan gelaran ‘mantan’ itu. Terutama selepas seminggu di’bengkel’kan oleh mantan MPR sendiri (kecuali abang Saiful).Legasi MPR akan terus berjalan dalam arus masa yang digerakkan hukum Allah s.w.t. sambil saya akan terus berpayung dibawahnya.
Al-Qalam:1, “...demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan..)
0 komen:
Post a Comment