NOTA HUJUNG KACAK JELITA

..SEBUAH LAMPOON YANG SERIUS!
OLEH KAHIRUL NIZAM ABDUL RAUB (MANTAN 2000)



BAGAIMANA lagi harus saya babadkan. Inilah impian murni yang penuh dengan angan-angan indah semenjak saya menjadi warga elit Minggu Penulis Remaja (MPR). Idea gila-gila yang tercetus dalam gelak tawa mesra pada majlis makan malam MPR 2007 akhirnya direstui oleh abang dan kakak Kelab Alumni MPR. Dalam kesungguhan pada peringkat permulaan yang akhirnya menjadi kemalasan yang tidak boleh diselamatkan lagi, akhirnya terlaksana jugalah idea yang pada mulanya hanya sebagai bahan gurauan dan gelak tawa.

Kini antologi Kacak Jelita sudah menjadi nyata. Bukan angan-angan lagi. Susah payah saya mengumpulkan nama-nama besar yang bukan sahaja berbakat dalam bidang penulisan namun punya wajah menarik anugerah Ilahi. Memang ramai yang menganggap antologi ini mengarut namun kita terpaksa mengakui bahawa memang ada penulis yang mempunyai wajah menarik. Namun perlu diingat, faktor kualiti tidak pernah diambil enteng. Kebanyakan penulis yang kacak-kacak dan cantik-cantik ini sudah lelah dan jenuh memenangi segala jenis anugerah daripada Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan dan pelbagai jenis anugerah dan sayembara penulisan. Namun yang paling utama mereka ialah produk MPR!

Biarpun ada beberapa nama yang tidak dapat ditampilkan karya mereka kerana tidak lagi aktif menulis seperti Wira Budiman Azizan, Wan Nasrul Muhaimin dan Silmi Izani. Begitu juga denga ketiadaan ‘Abang Long’ MPR, Zaen Kasturi dalam memang dirasai kerana beliau tidak kurang tampannya walaupun usia sudah mencapai empat dekad. Adik MPR saya, Fahd Razy juga tidak dapat ditampilkan dalam antologi ini kerana dikekang masa di Dublin sana mengejar cita-cita menjadi doktor perubatan. Juga Ranofla Dianty Irwan, Siti Hajar Mohd Zaki dan Ashadi Saiman yang gagal dihubungi. Namun si kacak dan jelita yang sedia ada sudah cukup memberi kelegaan atas kesediaan mereka memberi kerjasama sekaligus berasa berbangga disenaraipendekkan di dalam antologi ini.

Oleh itu, biarlah saya telusuri kewajaran 15 nama yang termasuk dalam senarai “Hall of Fame” Kacak Jelita. Pertamanya tentulah sang arjuna Rahimidin Zahari yang pada sentiasa kekal muda dan tampan biarpun anak-anak sudah menjengah usia remaja. Siapa bisa melupakan mata yang merenung penuh menikam dan senyuman manis menggoda di samping kumis nipis yang menambah lagi seri di wajah putih bersihnya. Dia sanggup saya gelarkan Brad Pitt MPR! Jangan kata saya keterlaluan namun tanyalah wanita-wanita di luar sana. Sudah tentu mereka akan bersetuju sepenuhnya dengan saya. Puisinya cukup membekas dan tidaklah perlu dipertikaikan segala jenis anugerah yang pernah dimenangi. Saya kecewa Zaen Kasturi tidak tersenarai namun saya akan lebih kecewa andai Rahimidin tidak menyertai antologi ini. Ini kerana dia ialah graduan paling kacak dalam sejarah kewujudan MPR.

Wanita jelita ini saya gelarkan di antara Ratu MPR yang tidak pernah turun takhta. Amaruszati Noor Rahim masih kekal jelita biarpun sudah bergelar ibu. Masih teringat lagi menatap wajah ayu itu di majalah Dewan Siswa tatkala usianya baru menjangkau 20 tahun. Biarpun gambar itu hanya hitam putih namun dengan mata galak dan bibir penuh madu, tudung labuh tidak mampu menyembunyikan kecantikan asli wanita ini. Dia saya sanggup bertaruh nyawa untuk digelar Madhuri Dixit MPR! Keterlaluan? Sama sekali tidak. Telusuri dan bandingkan kecantikannya yang tidak pernah pudar dimamah zaman. Dengarkanlah juga suara merdunya tatkala mendeklamasi sajak. Mahu sahaja terbuai lena dek asyik mendengar suaranya.

Si kacak kedua ini sama-sama menyertai MPR bersama saya pada tahun 2000. Kematangannya kala berbicara sudah cukup menambah perisa kepada kekacakannya itu. Muhammad Lutfi Ishak ialah antara contoh kacak Melayu klasik seperti Ed Osmera atau Jins Samsudin yang semakin sukar didapati spesisnya kini. Mata kuyunya itulah antara tarikan utama. Sayang sudah berpunya ketika usia masih muda. Jika tidak, pastilah dia akan bergelar Casanova MPR paling berjaya dalam sejarah.

Seorang lagi Ratu MPR, Salina Ibrahim juga merupakan graduan MPR paling jelita dalam sejarah selain Amaruszati. Sukar untuk digambarkan betapa manisnya dia di dalam foto, lebih jelita lagi tatkala bertatapan wajah. Suara lunak manja sudah cukup ampuh mencairkan hati seorang lelaki. Andai dia sebaya dengan Fasha Sandha dan Fazura, pastilah tiada siapa yang sudi memandang dua gadis itu lagi. Hanya Salina sahaja di mata dan di hati.

Saya tidak pernah bersua muka dengan Shazmee Rizal. Hanya mendengar suara jantannya di corong telefon. Namun semua orang bersetuju untuk meletakkan beliau sebaris dengan si kacak yang lain dalam antologi ini. Hanya pernah menatap wajah di gambar sahaja. Ada wajah kecinaan dan kejepunan dan yang paling penting, masih mempertahankan bentuk badan walaupun sudah beranak pinak. Dia mengingatkan saya kepada Takeshi Kaneshiro. Masih ingat lagi betapa terpesona membaca cerpen Rahsia di Dewan Siswa dahulu. Itulah antara cerpen remaja terbaik pernah tersiar di majalah itu.

Raihani Mohd Saaid, si cilik yang bersuara besar ini. Putih melepak, mata penuh tajam memandang dan hidung kecil elok sahaja menyempurnakan wajahnya. Pandai pula bergaya. Saya sering membayangkan wajahnya seperti Gigi Leung, aktres Hong Kong yang comel itu. Namun, mendengar suaranya yang boleh membelah langit tatkala berdrama atau mendeklamasi sajak, dia bagaikan Maria Callas sedang mempersembahkan nyanyian opera.

Saharil Hasrin Sanin sering menulis cerpen penuh tema dan jalan cerita yang pelik-pelik. Namun tiada apa yang pelik dengan wajahnya. Dia merupakan si kacak yang berjaya mengubah penampilan daripada remaja nerd dengan rambut ala afro kepada pria tegap dan mata layu yang menggetarkan jiwa wanita. Hendak dibandingkan dengan Arnold Schwazenegger, keterlaluan pula. Namun, sejak menyertai gimnasium dan dengan kulit yang semakin cerah, dia ibarat Sylvester Stallone dalam pembikinan.

Dia putih melepak, senyumannya sudah cukup membuat banyak lelaki di UIA tidak tidur malam. Khairunnasriah sentiasa mengingatkan saya kepada Dian Sastrowardoyo. Cuma dia lebih lemah lembut dan bersopan berbanding akters Ada Apa Dengan Cinta itu. Penggayaan tudung labuh yang pelbagai membuktikan bahawa wanita bertudung juga bijak menyerlahkan kecantikan semulajadi hanya dengan senyuman manis dan kelembutan bicara.

Dia ibarat abang saya. Saya masih menganggapnya begitu biarpun sehingga kini masih tiada khabar berita. Dia digilai oleh ramai perempuan termasuk pelajar-pelajar dan juga graduan wanita MPR sendiri. Berbicara penuh sopan dan halus. Begitu juga dengan pakaiannya yang berjenama bagaikan Anuar Zain. Sebelum gelaran metroseksual wujud, dia telah lama mempraktikkannya. Tinggi lampai dan kulit putih melepak. Dia bagaikan bintang Sepanyol, Antonio Banderas. Ya, rambut ikal dan senyumannya itu mirip bintang filem itu. Siapa pernah mempertikaikan ketampanan Hizairi Othman.

Dia walaupun boleh digelar ustazah namun seorang ustazah juga tidak terlepas daripada dianugerahkan Tuhan dengan kecantikan. Kecil molek orangnya namun roman wajahnya lebih manis daripada gula. Paling mahal ialah alis matanya yang cantik terletak. Juga senyuman penuh mulus terhasil daripada bibir comel yang sempurna di wajah. Ummu Hani bagaikan bidadari yang menjelma dalam rupa manusia. Andai dia mempunyai ketinggian seperti Ekin, pasti Mawi akan gundah gulana untuk memilih kekasih hati.

Jejaka chinese look ini dengarnya menjadi rebutan dan kegilaan di Universiti Malaya suatu waktu dahulu. Bolehlah disamatarafkan dengan Nicholas Tse. Amir Mukhriz memang dinobatkan antara graduan MPR paling kacak sepanjang sedekad ini. Apabila sudah menjejakkan kaki ke alam pekerjaan, gayanya juga semakin matang dan memikat. Nicholas Tse MPR ini sentiasa merendah diri walaupun ramai yang memuja dan memuji.

Secara peribadi, saya tidak begitu mengenali Ida Munira. Hanya mendengar kehebatannya mengarang puisi sehingga sudah terbit buku sendiri. Namun apabila dicadangkan oleh ramai orang untuk memasukkan namanya dalam projek ini, saya sungguh teruja. Menatap wajahnya di gambar sudah cukup membuktikan untuk dirinya dibariskan dengan Salina dan Amaruszati dalam senarai jelita. Pipinya yang gebu mengingatkan saya kepada pipi Noreen Noor yang manja jelita itu. Bakat dan paras rupa melengkapkan dirinya sebagai seorang penulis wanita.

Si kacak Shamsudin Othman tidak boleh dipertikaikan lagi paras rupanya. Sejak menyertai MPR sehinggalah ke hari ini, tidak pernah berubah paras rupanya. Masih kurus seperti dulu. Tiada siapa akan percaya apabila diberitahu usianya sudah mencapai 40an. Malahan seperti jejaka berusia 25 tahun sahaja lagaknya. Perkara yang paling mahal tentang penyair tampan ini ialah mata coklat bening, kumis nipis dan rambut ikalnya. Abang Sham ini tidak malu saya ibaratkan seperti Slamet Rahardjo ketika muda.

Rosie..Rosie..salah satu transformasi paling berjaya dalam sejarah. Daripada hanya seorang anak gadis dengan rambut mengerbang dan bercermin mata besar ketika zaman sekolahnya menjadi seorang wanita penuh bergaya dan jelita selepas mengetuai In Trend. Saya sendiri terpaku menatap gayanya di editorial majalah itu. Belum lagi bertermu empat mata. Kelebihan lain untuk wanita ini suara merdunya ketika berbicara. Terasa seperti akrab sahaja tatkala berbicara dengannya. Mengenang Rosie saya sering membayangkan Anne Hathaway dalam Devil Wears Prada. Cantik sekali puan editor kini.

Si jelita terakhir dalam antologi ini ialah Hafizah Iszahanid. Saya mengenali karyanya ketika di bangku sekolah lagi. Masih teringat cerpennya yang berkisar tentang dunia guaman itu. Kini kembali menulis dan warga MPR mengalu-alukan kehadirannya dalam antologi ini. Hitam manis dan masih mengekalkan bentuk badan walaupun sudah punya cahaya mata menambahkan lagi kekaguman terhadap wanita ini. Keterlaluankah kalau saya menyamakan dirinya dengan Kajol? Pasti tidak.

Lengkaplah sudah segala gambaran tentang si kacak dan si jelita yang menjadi kebanggaan MPR ini. Mungkin ramai menganggap penghasilan antologi ini merepek namun ia tetap berjaya. Kami berjaya mengumpulkan barisan penulis tersohor tanah air dan pada masa sama pemilihan mereka berdasarkan paras rupa. Aneh tetapi inilah hakikat yang perlu diakui. Saya sungguh berbangga menulis kata pengantar untuk antologi ini. Inilah bukti para graduan MPR saling membantu dan bekerjasama apabila diperlukan bakti mereka. Untuk warga MPR lain yang tidak terpilih, usahlah berasa anda tidak kacak atau jelita. Cuma inilah yang dapat diperoleh dalam jangka waktu yang singkat. Mana tahu anda akan muncul untuk antologi Kacak Jelita yang kedua. Akhir kata, nikmatilah karya-karya hebat daripada barisan penulis yang bukan sahaja dikurniakan Tuhan dengan bakat menulis, juga paras rupa yang menawan. Antologi ini merupakan bonus paling unik pernah diperoleh para pembaca anotologi ini.

16 komen:

Anonymous said...

Khairuuuuulll! (memekik ala2 maria callas)

Gigi Leung?Gigi Bersiung mungkin lebih tepat.Hehehe!

Tahniah semua yg terlibat.Lepas ni buatlah antologi Ibu Bapa Ganteng ke,Jejaka Dan Dara Taruhan ke...

Anonymous said...

dalam banyak2 pengantar antologi yang saya pernah baca seumur hidup, ini yang paling memorable..

saya cadangkan, untuk antologi seterusnya, buat tema2 lain yang juga langsung tak ada merit dalam sastera.. ini sekadar beberapa cadangan:

antologi kaya-raya
(untuk penulis yang ada wang lebih dari 100k dalam akaun bank mereka)

antologi yatim-piatu
(untuk mereka yang yatim piatu atau yatim atau sebatang kara)

antologi kerajaan malaysia
(untuk alumni mpr yang kerja dengan kerajaan, yang ini mungkin boleh menarik pembaca politik)

antologi faisal tehrani
(untuk penulis yang terikut2 gaya faisal tehrani. ok, yang ini mungkin tak sesuai, sebab ada merit sastera)

antologi kidal
(untuk mereka yang kidal)

antologi demam
(untuk cerpen2 yang ditulis ketika demam, saya ada banyak)

bak kata orang putih, the possibilities are endless...

Anonymous said...

antologi 'karya yang ingin dilupakan' - jangan lupa!

Zaid Akhtar said...

Mati-mati saya ingat "Nota Hujung KJ" ni judul cerpen. Dalam hati, berkata: hebatnya penulis ni, judulnya dahsyat. Rupanya pengantar!
Betul tak, Saharil?

Satu lg, jgn lupa.
Antologi cerpen2 dlm Dewan Siswa yg dilupakan. Arkib K.Nizam boleh membantu.

Nisah Haji Haron said...

Tentang idea gila-gila 'korang' tu, sukahatilah!

Tertarik dengan idea Zaid Akhtar, ada banyak cerpen yang baik dalam DSiswa yang tidak diantologikan. Kalau mahu koleksi sekitar tahun-tahun 1991-1994, majalah DSiswa saya masih tersimpan dengan baik (kalau malas hendak merujuk di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP).

Silalah datang ke rumah untuk buat rujukan!

Anonymous said...

Nak tak kalau saya cadangkan kita buat 'antologi makhluk Tuhan paling seksi' pulak?

hahaha!!

Salman Sulaiman said...

Emm, seperti kata Kak Salina & Abang Zaid; hasilkanlah pula 'Antologi Karya-karya yang Dilupakan' atau 'Karya-karya yang Tak Sanggup Aku Nak Ingat'. Memang Khairul Nizam (yang menulis kata pengantar yang 'keji' itu [bak kata Abang Faisal Tehrani])boleh menjadi Arkib Bergerak MPR!

Khairul Nizam; cerpen pertama orang ingat benar dia ya, nanti kita cari cerpen pertama dia pulak!

hani salwah yaakup said...

Nas,

Makhluk tuhan paling seksi? Huang...huang...huang...

Abang2 & Kakak2,

Idea "karya yang mahu dilupakan" tu best pulak saya dengar...Adik-adik 2006 ke bawah cadangkan antologi "Muda Jauhari". Konfem kak rai nak claim royalti title tu...hahahahaha!

Anonymous said...

Woi woi woi!

Muda Jauhari tu mak punya working title antologi puisi yg tgh dikumpul sekarang.Jangan nak sabo yea nyah!Huahuahua!

Kalau nak buat title 'Muda Yang Duduk Jauh-Jauh' boleh gak.Suruh Fahdrazy lead.

Hmm,ada juga yg terluka dgn tajuk antologi yg dianggapnya mementingkan paras rupa ni.Kalau buat tajuk 'Hidung Kemek Kulit Rentung' dlm MPR ni nanti lagi haruuuu!Terima sajalah,makhluk Tuhan ni didatangkan dalam pelbagai rupa.Walau apa juga merit yg mendasari,kualiti karya tetap diutamakan.

Khairul,cuba kumpul mantan MPR yang juga anak penulis.Bukan nak suruh buat antologi,nak buat trivia je.Cepat Encik Arkib!

hafizahiszahanid said...

Ketawa tak habis baca entry ini. Walaupun kebanyakan 'adik beradik' MPR ini saya kenal nama dan karya kecuali Rai & Kak Salina, tapi rasa dekat pula.
Teringat pula pada mantan MPR 1994 yg memang kacak, pernah menang HSSBR tapi tak menulis lagi kecuali Law Jurnal kut, Esmawady Esa. So, next time boleh korek2 mantan lain yg dah tak ada motivasi utk menulis.
Errr.. saya tak suka Kajol, kalau Pretty Zeinta boleh? heheheheh

Anonymous said...

Salam Kak Fiza,

Yaaa,Esmawady!Dia memang kacak tak terperi.Last sekali jumpa dia tahun 1996,dengan Kak Fizalah.Dia menyanyi lagu Shades,Malam Dubidu bidu...

Setakat tahun itulah saya dengar tentang dia sebelum dia ke UK.Belajar law,tak silap.Mereka yang menang HSSBR'95 bolehlah tolong2 risik yea.

Zaid Akhtar said...

Bercakap ttg Esmawady "Zaqlis Jalis" saya teringat sewaktu lawatan sekolah saya ke SDAR, Seremban beberapa tahun lalu.

Dalam dewan besar SBP itu, pada satu dinding ada senarai nama Ketua Pelajarnya.

Jgn terkejut jika anda melihat 2 nama mantan MPR tersenarai di situ.
Esmawady Mohd Esa ( KP - 1993) dan Wira Budiman Azizan (1996) kalau tak silap.

hani salwah yaakup said...

Kak Rai,

Konfem mak tak amik title tu. Nyeh nyeh nyeh!

Anonymous said...

Zaid,

Wira Budiman confirm KP SDAR.Aku sendiri pernah posing dgn dia di sambutan Hari Kebangsaan N9 1996.Siap pakai tie pengawas tuh!Heheh!

Teringat zaman-zaman sebelum internet dan sms ni.Saya dan rakan2 mantan yg lain saling berbalas surat long hand.Antaranya dgn Ebriza (97),Hafizah Iszahanid yg mcm Kajol tu (heheh),Wan Suluk Cinta dan Wira sendiri.Manisnya masih terasa.Tunggu balasan lebih seminggu.Lebih thrill dan lebih bermakna dari sms yang cepat 'coih' ni,kata org Kedah.

Alamak,terasa tua la pulak mak ni!

Nisah Haji Haron said...

Rai dan mantan sekalian,
Alang-alang dah bercakap pasal menulis surat, apa kata mantan semua menghidupkan kembali tradisi menulis surat secara 'long hand' - bak kata Rai.

Usul ini bukan sekadar menghidupkan tradisi persuratan tetapi melatih kita 'mencantikkan' semula tulisan tangan yang semakin 'cantik' serta berkenalan semula dengan pejabat pos dan apa itu setem.

Anonymous said...

Saya dulu pun pernah melakukan amalan (bunyi macam ajaran salah je..) menulis surat panjang lebar dengan kawan2; putri al-inshirah (lama sebelum sama-sama masuk mpr kami dah buat benda ni, sebab memang kawan baik sejak sekolah). Lepas tu pernah juga berbalas surat dgn uthaya lepas kenal di MPR (sebab kami satu negeri).

Sayangnya surat2 tu dah tak ada, hancur dimakan lipas semuanya. Kalau tak, boleh buat projek antologi....hehehe

Blog Widget by LinkWithin
top