KEBUN PUISI RAHIMIDIN


Sumber : Utusan Malaysia

Salman Sulaiman
13 April 2008


Di Kebun Khatulistiwa ialah kumpulan puisi terbaru karya Rahimidin Zahari setakat ini selepas Lakaran Kampung, Sekepal Tanah dan Matahari Berdoa. Menghimpunkan 112 buah puisi yang rata-ratanya dimuatkan dalam satu halaman dan bersesuaian pula dengan judulnya Di Kebun Khatulistiwa - puisi dalam kumpulan ini banyak mengambil latar kampung halaman. Ia diriuhkan oleh persembahan dan permainan tradisi tinggalan nenek moyang dan dilatari pula dengan tanah subur yang mampu menumbuhkan pelbagai jenis pohon termasuk sayuran dan buah-buahan.

Inilah yang dimaksudkan penyair sebagai kebun. Kesuburan dan keindahan alam ini tentu saja dipengaruhi iklim dan cuaca di tanah air kita iaitu khatulistiwa. Kebun indah yang dilatari iklim khatulistiwa inilah yang sangat dirindui penyair dan ia kemudiannya menjadi bait-bait kenangan yang sangat menawan dalam baris-baris puisinya dalam kumpulan ini. Dalam prakatanya yang dijudulkan Catatan Hamba: Potret Kecil dari Kampung, penyair jelas mengakui hal ini:

"Hamba telah memilih baris-baris kata untuk menyanyikan lagu hati. Lagu hati anak desa yang dikepung oleh ikatan pagar tradisi. Membesar di tanah jelapang dengan gegak gempita; di panggung dikir barat dan bangsal wayang kulit, tingkah gendang silat mempercepatkan pencak, paluan rebana ubi yang memecah sukma, busur wau bulan yang berdengung di angkasa mencecah jauh ke dinihari, ayam pupuh di pinggir hutan, pelaga cengkerik di sebalik pusu, mengintai belalang rusa di perdu nanas, dan memilih anak sepilai terbaik di paya sagu. Semuanya mengapung ingatan."

Puisi-puisinya yang dilatari kebun cantik beriklim khatulistiwa yang dihasilkan penyair dalam kumpulan ini seperti menghadiahkan kepada pembacanya lukisan yang begitu menawan dan memikat hati. Menelaah puisi-puisi Rahimidin dalam kumpulan ini seperti menekuni lukisan-lukisan cantik yang melakarkan sketsa kampung halaman yang menawan dan membuatkan kita begitu terpesona.

Begitulah dirinya, sudah dikenali puisinya yang sangat akrab dengan latar kampung halaman hinggakan kalimah 'kebun' itu sendiri seperti sudah boleh disinonimkan dengan Rahimidin Zahari. Seperti sudah boleh dijadikan satu penanda yang jelas bahawa kalimah 'kebun' di dalam baris puisi adalah semacam kepunyaan Rahimidin Zahari. Walaupun banyak mengimbau kenangan silam di kampung halaman dalam kumpulan ini, tetapi Rahimidin tetap memulakan naskhah ini dengan puisi Doa Pesakit iaitu sebuah puisi yang tidak lupa mengingatkan kita para pembacanya tentang kematian dan mengingatkan kita kepada Pencipta.

asal usulWalaupun nafas Islam dalam kumpulan ini tidaklah sekental kumpulan puisi Sekepal Tanah tetapi tetap banyak juga puisi yang mengingatkan kita tentang asal usul kejadian manusia daripada tanah dan akan kembali bersatu dengan tanah semula. Teliti ungkapan penyair pada puisi Kampung Rindu. Perhatikan empat baris akhir puisi ini, penyair tetap menyimpulkan bahawa penghujung kehidupan manusia itu ialah kembali kepada tanah juga akhirnya. Diperturunkan seluruh puisi ini:
Telah kulepaskan seekor serigala lewat angin pagi menebar bau sepi dan ketika gerimis memberikan khabar manis aku pulang ke kampung rindu ingin kugenggam tanah putih tempat ayah bonda bermain cinta kemudian hari sepasang pengantin berkahwin pula dengan sepi bumi.

Berbanding Sekepal Tanah, kumpulan puisi Di Kebun Khatulistiwa ini mempunyai tingkat penjimatan kata yang lebih rendah. Penyair berkisah tentang diri dan kampung halamannya semahu-mahunya. Kekejapan bahasa penyair yang sangat dikenali dengan puisi-puisi bernafas Islam ini seperti sedikit diabaikan berbanding puisi-puisi dalam kumpulan Sekepal Tanah yang lebih jimat dan cermat susunan kata-katanya - kejap dan kental pula nafas Islam di dalamnya.

Tapi tidak dinafikan, pada beberapa buah puisi masih tetap jelas dan menyentap nafas Islam yang disampaikan. Telaah sahaja puisi Aku Di Perkebunan Akhir. Kekuatan nafas Islam dalam puisi ini segera mengingatkan kita kepada puisi-puisi yang mengisi kumpulan Sekepal Tanah.

Antara puisi yang menghiasi halaman awal kumpulan ini ialah puisi yang menyorot peribadi penyair sendiri. Penyair berkisah tentang dirinya sendiri antaranya melalui puisi Autobiografi hinggalah Autobiografi 2002. Tentang dirinya, antara lain berkali-kali penyair mengakui dirinya hanyalah seorang 'lelaki kurus'. Pengakuan ini tertera antaranya dalam puisi Autobiografi, Autobiografi (III) dan Dari Tanah Bukit Pedalaman.

Sempat juga penyair bernostalgia mengenang kekasih lamanya yang bernama Asiah. Ini dapat dikesan dalam puisi Rumah Api, Kau Kembali Ke Kampung Lama dan Bagaimana Harus Kukatakan Kepadamu Asiah.

Menekuni puisi-puisinya dalam kumpulan ini membawa kita kembali jauh ke kampung halaman yang permai dan indah pula mata memandang. Tekuni sahaja rangkap kedua bait-bait puisi Peniup Seruling ini:

Siapakah yang lebih terasa goresan cantik merah senja daun-daun meluruh diresahkan angin hujan mengucur membasah bumi jambu mawar dan ubi kayu bakar air sumur dan suara tekukur berbaur pesan ibu menghalau itik dan caktuli azan maghrib dan tangga madrasah bulan merendah di halaman rumah.

Kumpulan ini menampakkan penyair begitu nostalgik dan penuh sentimental. Penyair bukan bercerita tentang dirinya sekarang, tetapi penyair sangat asyik bercerita tentang kehidupannya yang lalu di desa permai yang cantik menawan yang membuatkan kita sebagai pembaca turut terleka. Bagi pembaca yang lahir dan dibesarkan di kampung, kumpulan puisi ini tentunya mampu membuai perasaan dan mengimbau kenangan. Saya juga pasti ia tidak akan mengecewakan.

Pada halaman-halaman akhir, penyair juga memuatkan puisi khusus buat empat orang anaknya - Arief Afifi, Adib Ashraf, Hafiz Iqbal dan Nur Atiqah Sofia. Nasihat dan pedoman dalam bentuk puisi barangkali akan lebih bermakna dan sangat berguna buat bekalan anak-anaknya di masa depan. Ini kerana nasihat dan ingatan itu datang daripada ayah mereka sendiri, tambahan pula dalam bentuk puisi.

Menelaah Di Kebun Khatulistiwa adalah berkembara jauh ke dalam kehidupan lama seorang Rahimidin Zahari di kampung halaman yang manis dan penuh kenangan. Menekuni kumpulan puisi ini adalah menerobos jauh ke dalam diri penyairnya sendiri - ke kebun tradisi seorang Rahimidin Zahari.

1 komen:

Anonymous said...

Tiga orang antara penyair muda yang paling menonjol sekarang ini lahir dari MPR. Kena dapatkan kumpulan puisi terbaru masing-masing:

Zaen Kasturi- Iga
Rahimidin Zahari- Di Kebun Khatulistiwa
Shamsudin Othman- Taman Percakapan

Banyak belajar dari kumpulan-kumpulan puisi mereka ni. Saya kumpul buat koleksi...=D

Blog Widget by LinkWithin
top