AHMAD ZAFRAN: PELOPOR CERPEN REMAJA ISLAMI MPR

elaOleh Zaid Akhtar (Dewan Sastera April 2008)

BAGI kebanyakan para penulis muda generasi alaf baharu, nama Ahmad Zafran Abd. Mutalib (1974-2008) barangkali adalah satu nama yang sedang mewangi di persada penulisan novel tanah air. Mungkin tidak ramai yang mengenalinya sebelum ini, ditambah pula beliau baru sahaja kembali aktif dan menghasilkan beberapa novel terbitan sebuah syarikat penerbitan bumiputera yang sedang meningkat naik.

Namun bagi sebahagian penulis muda yang mulai menulis pada awal 90-an, terutamanya alumni MPR, Ahmad Zafran adalah antara nama yang agak membekas dan kekal diingati. Sekalipun karya yang ditinggalkan tidak banyak sepanjang hayat kepengarangannya yang pendek, tetapi beberapa karya itu sebenarnya sudah cukup untuk meletakkan dirinya sebagai salah seorang penulis generasi baharu yang wajar dikenang dan kematiannya ibarat kehilangan sebutir mutiara berharga.

Beliau yang juga menggunakan nama pena Armie Zafran atau Panaharjuna merupakan antara pemenang utama kategori cerpen Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) 1992 menerusi cerpennya berjudul Cintaku Hanya Untuk-Nya. Selain itu, beliau juga adalah peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1993. Setelah muncul menerusi cerpen Nur Sadiq yang turut menjuduli antologi karya peserta MPR 1993, Ahmad Zafran ‘hilang’ hampir sedekad lamanya dalam dunia penulisan sebelum muncul semula menjelang alaf baru.

Antara novel remaja yang sempat dihasilkannya bersama PTS Publications seperti 40 Lukisan Hati (2005) dan Tegar (2006). Sementara dua siri novel kanak-kanaknya yang mendapat sambutan diberi judul Sahabat Kole Kacang (2006).

Bagaimanapun, dalam hayat kepengarangannya yang sependek itu, Ahmad Zafran masih lagi sempat meninggalkan beberapa buah karya yang cukup menarik, berkesan, dan kekal menjadi khazanah sastera remaja kita. Biarpun tidak terdidik dalam aliran agama sebagaimana kebanyakan penulis muda sastera Islami yang menonjol mutakhir ini seperti Faisal Tehrani, Nazmi Yaakub dan Amiza Khusyri Yusof (sekadar menyebut beberapa nama), Ahmad Zafran dilihat antara pelopor awal penulisan cerpen remaja Islami dalam kalangan penulis muda dekad itu.

Dua buah cerpennya yang cukup kuat dan masih diingati iaitu Cintaku Hanya Untuk-Nya (CHUN) dan Nur Sadiq. Kedua-duanya dihasilkan pada awal kemunculan pengarang dan menjadi bukti kekuatan dan keupayaannya dalam menggarap karya remaja bernuansa Islami. Dan kedua-duanya terus menjadi ingatan lantaran dalam pada para penulis remaja dekad itu lebih gemar mengungkap tema percintaan, kekeluargaan, persahabatan, sejarah, fiksyen sains, dan fantasi, Ahmad Zafran pula menawarkan karyanya yang menonjolkan tipa remaja Islam berperibadi tinggi dan teguh jatidiri Melayunya.

CHUN yang terkandung dalam antologi Annyss Sophillea (DBP, 1993) misalnya mengangkat watak Azlan atau ‘aku’ yang berwibawa dan wajar diteladani remaja hari ini. Menerusi watak ‘aku’ yang masih agak muda tetapi ‘tahu’ serba-serbi, Ahmad Zafran menghantar mesejnya kepada pembaca agar menguasai pelbagai disiplin ilmu sebagai bekalan hidup. Justeru watak ‘aku’ yang sederhana dan warak itu ditampilkannya bukan sahaja pandai mengaji, berzanji, melaungkan azan, menjadi imam, bersilat, mengurut dan mengubat orang, sebaliknya juga digelar “imam rock” kerana menguasai ilmu muzik dan pelbagai lagi.

Jalan cerita cerpen ini sebenarnya mudah ditelusuri dan sangat menarik apabila dibumbui sedikit kisah cinta yang sangat terkawal. Watak ‘aku’ yang menyertai perkhemahan daerahnya di Pantai Blue Lagoon tidak semena-mena dicabar oleh kawan-kawannya untuk bersaing merebut hati Anum Nirmala yang menjadi perhatian ramai. ‘Aku’ sesungguhnya tidak berminat namun sebaliknya didekati pula oleh Anum Nirmala yang terhutang budi setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh ‘aku’. Kehebatan ‘aku’ yang mengurut buku lali Anum yang terseliuh dan menawar bisa kala yang menyengat tangannya menyebabkan gadis pujaan ramai itu akhirnya jatuh hati.

Meskipun pembaca teruja seronok untuk menelusuri plot kisah cinta, pengarang dengan penuh sedar menghantar amanatnya menerusi perlakuan ‘aku’ yang ketara berpegang teguh dengan agama dan budaya Melayu. Nilai-nilai Islam yang disuntik dalam CHUN sangat berkesan. Di samping mengutamakan kefarduan solat, membataskan pergaulan bebas muda-mudi, dan menjauhi fitnah wanita, ‘aku’ tidak lupa menasihatkan Anum agar menutup auratnya dengan penuh ikhlas kerana Allah.

Sementara Nur Sadiq (NS) pula menampilkan latar yang sedikit asing. Remaja Omar datang dari alam ‘luar’ ke dunia bandar setelah diamanahkan gurunya untuk menjejaki pedang warisan Hizbul Arif yang lama hilang. Di dunia yang serba baru baginya itu, Omar ditemukan dengan Ratih, seorang gadis moden yang hanyut dalam arus global.

Jika dalam CHUN, pengarang menonjolkan watak remaja soleh yang menguasai ilmu rawatan tradisional Melayu, manakala dalam NS pula watak remaja alim yang mahir ilmu mempertahankan diri yang ditampilkan. Barangkali kemahiran pengarangnya bersilat menjadikan babak-babak pertarungannya agak dramatik. Cerpen ini juga secara simbolik menegaskan betapa nilai-nilai Melayu dan Islam mesti dipertahankan walau apa jua harganya.

Selain itu, kemampuan Ahmad Zafran dalam menyuntik elemen agama tanpa didaktik sekali lagi ketara dalam NS. Kefarduan solat dan membataskan pergaulan remaja terus menjadi keutamaannya. Malah, pengarang dengan sengaja menyarankan amalan soleh yang wajar dilazimi pembaca menerusi watak Omar tanpa perlu berkhutbah.

Daripada kedua-dua cerpennya itu, jelas sekali Ahmad Zafran sangat menjaga hablumminannas, selain amat menitikberatkan hablumminallah dalam berkarya. Iltizamnya terhadap agama dan akhlak wajar dipuji. Biarpun hanya dua cerpen tinggalannya, namun kehadirannya tetap dirasa. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau merupakan antara pelopor penulisan cerpen remaja bernuansa Islami di negara ini. Mudah-mudahan Tuhan merahmatinya.

0 komen:

Blog Widget by LinkWithin
top