oleh Aidil Khalid (Penghulu MPR 2007)
Ketika hari pendaftaran MPR 2007, seingat saya, hanya dua buah beg yang saya bawa. Tetapi ketika tibanya malam akhir, dan saya mulai mengemas barang-barang, ternyata dua buah beg yang saya bawa itu sudah tidak berupaya lagi memuatkan kesemua barang-barang tersebut.
Adakah begnya yang telah mengecut menjadi kecil? Ataukah barang-barang yang sedia ada telah mengembang menjadi besar?
Tapi itu mustahil terjadi. Mana mungkin dua buah beg yang tidak bernyawa boleh mengecut. Dan mana mungkin barang-barang yang tidak bernafas itu boleh membesar.
Tapi begitulah kenyataannya. Kerana setiap hari di bengkel, pasti akan ada-ada sahaja barang-barang baru yang diterima sama ada dari pihak urusetia atau pun dari penceramah. Misalnya, pada hari pertama, saya (juga peserta-peserta yang lain) membawa pulang dua naskhah buku yang dihadiahkan kerana berjaya menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh penceramah, Encik (tapi beliau lebih suka digelar Uncle) Jaafar Abd Rahim. Begitu juga pada hari kedua, saya membawa pulang satu beg plastik berisi fail, dan kertas-kertas edaran lainnya. Dan seterusnya pada hari ketiga saya membawa pulang satu beg plastik berisi kertas-kertas kerja Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara ke 5 selain beberapa buah lagi buku. Dan begitulah seterusnya sampai hari terakhir kursus.
Natijahnya, ketika hendak pulang, masing-masing merungut tentang susahnya hendak mengangkut barang-barang, kerana sudah terlalu banyak. "Beratnya… macam mana aku nak balik naik bas ni?" rungut salah seorang peserta. Bayangkan sahaja; dari dua buah beg ketika mula-mula mendaftar, menjadi lima buah beg ketika hendak pulang! Tentulah akan terserengenge hendak mengangkatnya!
Dan di rumah, bilik saya amat kecil. Saya mulai berkira-kira, barang-barang yang mana harus saya buang. Sebab kalau hendak dibawa semuanya, tentu semak bilik saya nanti. Tapi kemudian, salah seorang peserta lain, Wan Nor Azriq, telah menegah. "Jangan buang," katanya. "Semua bahan itu boleh digunakan untuk menulis nanti."
Dan saya akui kebenaran kata-katanya. Cuma kerumitan bagaimana membawa pulang, dan bagaimana hendak menyusunnya nanti di kamar yang sempit, masih membelenggu.
Nah, kenapa saya ceritakan semuanya ini? Kerana terdapat analogi yang sangat tepat antara barangan yang kami bawa pulang, dengan ilmu yang didapat. Kami datang dengan takah ilmu tentang kesusasteraan yang amat rendah, dan kemudian setelah dihidangkan dengan pelbagai jenis ilmu oleh para pembimbing, kami pulang dengan dada yang sudah terisi.
Pun begitu, masalah yang dihadapi dengan barang-barang yang terlalu banyak sehingga tidak tahu bagaimana hendak mengangkut pulang, juga bagaimana hendak meletaknya nanti sekembali ke ruang kamar yang sempit; adalah masalah yang sama dihadapi bersama ilmu yang didapat. Adakalanya ilmu yang dihidangkan terlalu tinggi untuk kami para peserta mpr yang rata-ratanya berumur sekitar 17-23 tahun. Adakalanya juga ilmu yang dihidangkan hanya samar-samar yang difahami. Dan ada juga yang tidak difahami langsung (pun, tentunya banyak juga yang difahami). Jadi sungguh pun kami pulang membawa bekal yang banyak, tetapi masalah yang dihadapi adalah bagaimana mencernakannya? Bagaimana mengadunkannya? Bagaimana menggaulkannya? Supaya nanti dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu. Nah, di sinilah masalah utama yang dihadapi. Dan di sini jugalah cabaran sebenarnya.
Seperti kata para pembimbing berulang kali, adakalanya para peserta sebelum menghadiri MPR, begitu prolifik menulis. Namun ironisnya, setelah menghadiri MPR, semakin tidak produktif pula menghasilkan karya-karya baharu.
Bagaimana mengatasi hal ini tentunya bergantung sepenuhnya kepada diri masing-masing. Dengan azam dan tekad yang kuat, tidak ada perkara yang tidak boleh dilakukan. Seperti barang yang banyak akhirnya telah berjaya juga dibawa pulang dengan selamat (sungguh pun sesekali agak terserengenge) tentunya ilmu yang didapat juga akan dapat dicernakan, digauli dan dihadami supaya dapat menjadikan diri sebagai penulis yang berwibawa kelak.
9 komen:
Hoho. Masih pegang rekod la saya ni. Bawa satu beg je masa pi MPR. Itu pun beg galas yang saya selalu bawa tu. Pakaian semua masuk dalam beg tu jugak.
Tapi masa balik dapat la dua goody bag yang diberi DBP...
Ini satu hal yang buat saya 'sakit hati' kalau travel/ke mana2 majlis penulisan. masih saya ingat, masa MPR 05 bawa dua buah beg dan lepas MPR 05 terus ke perhimpunan penulis muda nasional 05, beg menjadi 6 buah. nasib baik balik kelantan dengan penulis2 lain dan saya syukur ada penulis lelaki yang juga beserta dalam perjalanan yang sama, tidak2nya boleh tumpang kudrat orang laki. hehe..
(apa lagi orang2 laki, tunjuklah 'macho' sikit bila tengok saya/kami bawak beg berat2)
:)
Saya pun menimpa nasib yang sama dengan Aidil. Datang hanya tiga beg, tapi balik dengan lima beg. Itupun ada dua beg dbp yang terpaksa ditinggalkan sahaja di Puspanita hehe.
mungkin patut cari poket doraemon untuk disumbat segala macam khazanah tu, supaya senang nak balik rumah. orang yang ada kereta tak susah nak balik, orang yang naik bas ni, terhuyung-hayang sorong beg (bertambah 2 kali ganda), apatah lagi kalau terpaksa berdiri berhimpit dalam bas yang sarat manusia, huhuu...
Salam
Aidil Khalid?
Tengok gambar macam pernah tengok je...
Anak pakcik Khalid Samad MAS ke?
Tak sangka pula Aidil menulis juga...
Jemput lawat saya di esasterawan.net.
Wewr,
Yup, memang saya anak Khalid Abd Samad yang MAS tu. Kenal, ya, dengan ayah saya? Atau kita memang pernah jumpa?
Alamat blog saudara di esasterawan, apa?
Ya...
Kita sama-sama anak MAS...hehehe...
Ana pernah ke Mesir, satu flight dgn Azmir kalau tak silap,pastu tumpang bermalam di rumah ayah enta. Ada sekali kot rasanya kita pernah jumpa. Mungkin di Bagan Lalang, masa hari keluarga MAS. Kuliah Subuh hari tu enta bagi tentang topik hati. :)
Jemput ke sini..(segan nak promote kat org2 hebat mpr)
p/s: Untuk semua, takde sedekah kertas kerja ke untuk bukan peserta...Kot la boleh kongsi di sini...Terasa cemburu pula..Nak pergi, dah expired umur dan program tahun ni..hehe
Asyraffdini @ WeWR
http://asyraffdini.esasterawan.net
Serupa juga kami adik-adik MPR 2010 baru-baru ini.
Buku serta majalah-majalah DBP yang dihadiahkan menambah berat beg.
Itu belum campur buku yang dibeli daripada penceramah dan fasilitator.
Juga buku-buku yang diborong di Kedai Buku DBP sejurus tiba di DBP pada hari terakhirnya (mencari selepas seminggu 'dibasuh' oleh fasilitator akibat tidak tahu tentang karya agung segala).
('',)
Post a Comment