Kisah Minggu Penulis Remaja 2012


Oleh: Ainaatul Afifah Md Saleh & Nur Adibah Abdul Razak

Bismillahirahmanirahim Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog MPR sekalian.

Berakit ke tombolo dengan bergalah, 
Buluh pecah terbelah dua, 
Ke Casa Rachado kaki melangkah, 
Penulis berwadah terserlah jua.

Pantun di atas sengaja dipilih untuk menggambarkan pengalaman kami sebagai penulis amatur mengasah bakat di Casa Rachado Beach Resort, Port Dickson. Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang dan mandat menceritakan pengalaman kami sepanjang berada di sana untuk program Minggu Penulis Remaja 2012 yang telah diadakan pada 10-15 Mac 2012 tempoh hari. Banyak pengalaman berharga dan ilmu bermanfaat telah kami peroleh sepanjang menjalani Minggu Penulis Remaja 2012. Hasil bimbingan fasilitator-fasilitator iaitu Tuan Haji Doktor Shamsudin Othman, Cik Salina Ibrahim dan Encik Muhammad Lutfi Ishak, kami berjaya menyudahkan tugasan yang diberikan.

Kami bersyukur kerana terpilih sebagai peserta MPR 2012. Bukan senang untuk menyertainya kerana ramai calon penulis hebat di luar sana yang memohon tetapi hanya 24 orang sahaja yang terpilih terdiri daripada 7 orang putera dan 17 orang puteri yang berusia 16 hingga 21 tahun.

Perjalanan menuju ke lokasi program mengambil masa hampir 3 jam kerana kami terpaksa menggunakan jalan lama atas sebab-sebab tertentu. Kami bertolak dengan menaiki bas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula jam 11.30 pagi dan tiba di sana hampir jam 2 petang. Sejurus tiba, petugas hotel menempatkan penginapan untuk kami bermastautin selama enam hari di sana. Kami diperuntukkan sebuah apartmen dengan tiga bilik untuk didiami oleh enam orang peserta yang juga dilengkapi sebuah balkoni di mana kami dapat menjamu mata dengan pemandangan indah di Casa Rachado Beach Resort, Port Dickson. Selepas itu, kami dihidangkan dengan hidangan tempatan untuk makan tengahari.

Selepas kami makan tengahari dan meletakkan beg di apartmen masing-masing, kami pergi ke dewan untuk sesi suai kenal dan taklimat bengkel oleh Encik Mohd Jusoh. Pada ketika itulah kami dapat mengenali antara satu sama lain. Pada sebelah malam membawa ke pagi keesokan harinya, sesi ceramah mengenai penulisan puisi oleh Tuan Haji Dr. Shamsudin Othman kami hadiri.

"Puisi merupakan himpunan kata-kata terbaik. Ciri-ciri puisi yang baik mempunyai diksi, simbolik, tatabahasa dan emosi yang memberi jawapan kepada ESTETIKA." 
"Kerajaan banyak laburkan wang ringgit untuk menggantikan Lee Chong Wei dalam bidang badminton, banyak wang ringgit juga dilaburkan mencari pengganti Mokhtar Dahari dalam bidang bola sepak. Sekarang kerajaan laburkan wang ringgit untuk mencari pengganti dalam bidang sastera pula. Jadi ini tanggungjawab adik-adik semua untuk terus berkarya." Shamsudin Othman

Kemudian, majlis perasmian Minggu Penulis Remaja 2012 dilaksanakan oleh Encik Sallehuddin bin Abang Shokeran selaku Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak kata-kata harapan yang disampaikan oleh beliau ketika berucap untuk majlis perasmian tersebut.

Puas sudah kutanam ubi, 
Nenas jua ditanam orang, 
Puas sudah kutanam budi, 
Emas jua dipandang orang.

Begitulah pantun yang dijadikan contoh oleh Encik Zainal Palit atau nama penanya Zaen Kasturi penerima Anugerah S.E.A. Write 2010. Beliau menceritakan kepada kami tentang pengalaman dan perjalanan kehidupan beliau sewaktu berkarya. Ternyata banyak kisah-kisah beliau yang boleh kami jadikan pengajaran.

Sesi bersama-sama Cik Salina Ibrahim atau lebih mesra lagi dengan panggilan Kak Ina menyusul selepas makan tengahari. Seorang penulis novel dan cerpen yang tersohor dalam dunia sastera yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Beliau merupakan seorang penulis yang serba boleh kerana sewaktu menonton televisyen pun beliau mampu menghasilkan karya yang baik.

"Mulakan cerita dengan persoalan. Cerita biasa akan menjadi luar biasa jika latar dan watak itu luar biasa." Salina Ibrahim

Perjalanan bengkel diteruskan lagi bersama-sama Encik Muhamad Lutfi Ishak. Beliau sangat sinonim dengan falsafah. Setiap bait katanya pasti mempunyai makrifat yang mendalam sehingga kami terkadang terpegun mendengarnya. Sememangnya di luar jangkaan kami, perwatakan beliau sungguh berlainan dengan lahiriahnya yang kelihatan tegas.

"Tulisan membayangkan identiti kerana di sebalik kata terdapat perkataan dan pemikiran." Muhamad Lutfi Ishak

Sesi bersama-sama Sasterawan Negara, Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan amat membangkitkan semangat kami untuk mendalami bidang sastera sekaligus menjadi penulis yang berjaya seperti beliau. Pelbagai soalan diajukan oleh para peserta kepada beliau dan beliau dapat menjawab setiap soalan tersebut secara berhikmah dan menyeluruh. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi tips-tips penulisan yang baik. Soalan juga turut ditanya oleh beliau kepada peserta-peserta MPR 2012 yang ralit mendengar kata-kata beliau. Ganjarannya, tiga buah buku hasil tulisan beliau diberikan sebagai hadiah kepada tiga orang peserta yang bertuah. Tahniah kepada mereka.

Bersama SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan

Pada malam harinya, bermulalah bengkel pemurnian karya atau lebih sinonim kami gelar ' bedah karya '. Bengkel pemurnian berlangsung sebanyak enam sesi bersama-sama ketiga-tiga orang fasilitator mengikut kumpulan yang telah diberi. Setiap peserta dalam sesebuah kumpulan hendaklah membentangkan karya-karya mereka iaitu sebuah cerpen dan beberapa buah puisi. Bengkel pemurnian ini sememangnya memberi peluang berharga kepada kami sebagai peserta MPR 2012 yang masih amatur untuk menanyakan pelbagai soalan manakala fasilitator-fasilitator dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kami kerana bilangan kami dalam satu kumpulan hanya lapan orang.

Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada pihak Public Bank dan Bank Rakyat kerana menaja MPR 2012 serta turut memberikan kami sehelai baju T, sebuah beg dan beberapa cenderahati lagi. Kami berkesempatan bergambar bersama-sama pihak Public Bank pada hari Selasa bersamaan 13 Mac 2012.

Kami cukup bertuah kerana didatangi editor daripada majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa iaitu Ghani Abu yang turut memberikan kedua-dua majalah tersebut kepada kami secara percuma. Beliau banyak memberi kami pedoman dalam usaha menghasilkan karya yang layak disiarkan di media cetak. Tidak lupa juga kepada M.F. Kencana atau nama sebenarnya Muhd Fairuz yang turut berkongsi cerita dan pengalaman tentang penglibatan beliau dalam bidang penulisan dalam pelbagai aspek. Beliau menyedarkan kami bahawa bidang penulisan ini bukanlah terhad di atas lembaran puisi, cerpen dan novel sahaja, tetapi boleh dikembangkan kepada penulisan skrip untuk drama dan sebagainya.

Tibalah masa dan saat yang dinanti-nantikan oleh semua peserta MPR 2012 iaitu lawatan ke Muzium Tentera Darat Port Dickson sehari sebelum kami pulang ke tempat masing-masing. Di sana, kami disambut oleh salah seorang pegawai di situ yang menerangkan tentang bagaimana tertubuhnya muzium tersebut. Juga sedikit sebanyak tentang sejarah tentera itu sendiri. Kami juga berkesempatan melalui Terowong PKM dan menyaksikan cara hidup tentera komunis.

Di Muzium Tentera Darat PD

Malam sebelum berakhirnya MPR 2012, kami dijamu dengan pelbagai jenis hidangan. Selepas itu, Malam Apresiasi Puisi dilaksanakan oleh kami dengan jayanya. Pelbagai persembahan menarik dan mencuit hati dipersembahkan oleh kami mengikut kumpulan masing-masing. Hadiah berupa hamper disediakan untuk setiap kumpulan bagi menghargai komitmen kami selama berbengkel di sana.

Malam Apresiasi Puisi

Tiba hari terakhir MPR 2012, perasaan kami bercampur-baur. Gembira kerana pulang ke pangkuan keluarga masing-masing namun kesedihan tetap dirasai kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan MPR 2012 yang lain begitu juga dengan fasilitator-fasilitator yang kian dekat di hati kami. Kata-kata terakhir diluahkan oleh ketiga-tiga fasilitator kami dalam sesi penilaian dan rumusan bengkel. Majlis penangguhan dijalankan sejurus selepas itu. Puan Siti Aisah Murad yang merupakan Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan pesanan dan harapan kepada kami semua untuk terus menulis dan terus mekar dalam persada dunia sastera dalam usaha menjadi pelapis kepada pengkarya-pengkarya hebat tanah air.

Bersama penaja; Public Bank

 Sudah terlalu banyak himpunan aksara bagi menyingkap seribu satu kisah Minggu Penulis Remaja 2012. Sampailah lembaran ini di penghujungnya. Akhir kalam, kami peserta Minggu Penulis Remaja 2012 ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana menjadi pelopor kepada program Minggu Penulis Remaja yang telah diadakan untuk kali yang ke-26. Besar harapan kami supaya pihak DBP meneruskan usaha ke arah mencari anak-anak muda yang boleh menjadi pengganti kepada karyawan-karyawan sastera di negara kita ini. Setinggi-tinggi penghargaan kami pancarkan kepada fasilitator-fasilitator kami yang membimbing kami dengan penuh iltizam dan kesungguhan. Meninggalkan keluarga masing-masing selama enam hari untuk bersama-sama menjayakan MPR 2012 ini. Segala tunjuk ajar dan tuju bimbing akan kami ingati sehingga akhir hayat, InsyaAllah. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada urus setia yang setia menjaga kebajikan dan membantu kami sepanjang MPR 2012 ini berlangsung. Tanpa mereka ini, tidak bercetaklah karya-karya kami. Tidak teruruslah jadual perjalanan hidup kami sehari-harian ketika MPR 2012 ini dijalankan. Ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak Public Bank dan Bank Rakyat kerana menaja Minggu Penulis Remaja kali ke-26 ini. Terima kasih juga buat pihak Casa Rachado Beach Resort, Port Dickson kerana menyediakan tempat penginapan yang membuatkan kami betah berada di sana selama hampir seminggu. Ingin juga kami ucapkan terima kasih kepada wartawan daripada Berita Harian kerana membuat liputan mengenai MPR 2012 ini. Akhir sekali, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran program Minggu Penulis Remaja 2012 ini.

Foto: kredit Salina Ibrahim

2 komen:

ALICIA TORRES said...

muy buen artículo

Anonymous said...

Playtech's new online casino software is the best of
Playtech software is 온라인 카지노 이벤트 the best of the best. software and mobile casino software. iGaming software and mobile casino software.

Blog Widget by LinkWithin
top