Oleh Mohd Hafizul Faiz Hashim (suratanmakhfi.wordpress.com)
SETELAH bersusah payah bermain dengan perasaan yang berbaur harapan untuk ke Minggu Penulis Remaja (MPR), akhirnya impian saya tercapai setelah dihubungi oleh Puan Zeti Aktar Jaffar @ Abu Bakar yang mengatakan bahawa saya layak untuk ke MPR bagi tahun 2011. Tanggal 29 Mei 2011, seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada sembilan orang lelaki dan 15 orang perempuan berjaya menghadirkan diri bagi sesi pendaftaran. Pada mulanya, saya berasa begitu kekok kerana saya telah diuar-uarkan bahawa semua peserta MPR dipilih berdasarkan bakat dan karya mereka yang telah menembusi media arus perdana. Setelah berkenal-kenalan dan saling bertanya khabar, ya, memang benar. Kebanyakan mereka begitu berbakat dalam bidang penulisan dan metah meminati bidang ini. Sempat saya potretkan sekeping aforisme ketika saya sedang berehat-rehat di surau bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka;
‘Sekarang sedang berehat-rehat di surau Bangunan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Sedang memerhati keadaan sekeliling yang bertatahkan sastera dan keunikan. Jiwa yang rencam bakal reda apabila kolong illusi bertukar menjadi realiti. Program MPR (Minggu Penulis Remaja) anjuran DBP (Dewan Bahasa Dan Pustaka) bakal berlangsung selama seminggu. Segala jerih dan rona-rona sastera bakal mewarnai kehidupan dan bekas perasaan.’
Perjalanan ke lokasi program iaitu Shah’s Beach Resort, Tanjung Kling Melaka memakan masa hampir empat jam lebih. Kami bertolak pada jam sebelas pagi dan tiba di sana pada jam 3.30 petang. Seterusnya, slot pertama iaitu sesi bersama tokoh sastera terus berlangsung. Dalam keadaan yang masih janggal dan penuh dengan persoalan, kami terus diberikan semangat dan taklimat yang begitu mengkagumkan oleh tokoh sastera negara, Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI). Beliau merupakan seorang penyajak dan pemuisi terkenal yang pernah memenangi anugerah S.E.A Write Awards. Apa yang paling menjentik nubari saya ialah penceritaan semula kesusahan dan liku-liku yang dialami beliau demi mengejar minat diri dalam dunia sastera. Apa yang dapat saya kongsikan ialah sebaris kata-kata yang ditulis beliau mengenai bidang penulisan;
‘Dunia penulisan ialah dunia penuh misteri. Abstrak. Individualistik. Subjektif. Penuh cemburu-mencemburui. Tentangan. Kegagalan demi kegagalan. Putus asa yang timpa-menimpa. Dunia yang penuh konflik. Dunia yang mencabar daya intelek. Dunia yang meminta pengorbanan masa dan wang ringgit.’
Kami didaftarkan masuk hotel setelah selesai minum petang. Sebuah bilik yang hanya menampung dua orang peserta sahaja dan disediakan kemudahan-kemudahan yang lengkap begitu mempesonakan. Resort yang terletak di pinggir pantai itu amat mententeramkan. Kemudahan dewan yang berhawa dingin, kafe yang bersuasana romantis, kolam renang dan mandala santai di tepi laut amat menenangkan mata yang memandang. Saya fikir program ini bakal menjanjikan kenangan yang begitu manis.
Di sebelah malam pada hari pertama program, sesi taklimat dan suai kenal berlangsung. Saat inilaah semua peserta mula berkenal-kenalan. Ada yang baru berumur 17 tahun tetapi sudah layak untuk menjadi peserta MPR 2011. Bagi saya, mereka amat bertuah kerana terpilih pada usia sebegitu. Bukan senang untuk menulis pada jangka waktu yang begitu mencabar. Ada juga yang datang dari IPT masing-masing dan para bakal guru yang datang dari IPG masing-masing. Apa yang dapat saya potretkan ialah kesemuanya amat meminati bidang penulisan. Justeru, saya dapat nukilkan seandainya sekelompok manusia bertemu dalam satu minat yang sama pastinya keadaan akan menjadi serba bermakna.
Peserta bersama dengan penyair, Shamsudin Othman
Tidur yang nyaman diselimut hawa dingin dan selebu pantai pastinya menyenyakkan. Pada hari kedua, sesi bersama penulis puisi Abang Mohd Lutfi Ishak yang mendiskusikan tentang maksud dan pengertian puisi dan keberadaan puisi di dunia. Beliau juga menjelaskan kaitan puisi dengan kehidupan manusia dan apakah kuasa puisi yang mampu memberi impak terhadap dunia sehingga kini. Beliau banyak membuka minda dan pengetahuan yang mendalam tentang puisi dan dunia sastera. Beliau juga banyak menekankan sifat beramanah di dalam berkarya. “Sebagai seorang penulis, apa yang kita tulis akan ditanya di padang terbuka (mahsyar) nanti. Justeru, menulislah sesuatu yang berkaitan agama dan kebenaran. Jangan menulis sesuatu yang bersifat negatif dan berisiko memberi impak yang tidak baik,” kata beliau.
Sejurus selepas itu, sesi bersama dengan Kak Salina Ibrahim pula menyusul. Beliau merupakan seorang penulis novel yang terkenal dan sudah banyak menghasilkan cerpen-cerpen bermutu tinggi. Karya-karya beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan beberapa kali. Kebanyakan cerpen beliau menempah tempat di media arus perdana. Beliau juga banyak berkongsi tentang suka dan duka untuk menjadi seorang penulis sepenuh masa. Sikapnya yang ramah dan suka berjenaka menyebabkan kami tidak merasa kekok untuk berinteraksi dengannya. Antara salah satu pengalaman yang pernah beliau kongsikan ialah pengalaman mendapat idea menulis cerpen Memaknakan Cinta hasil dari menghadiri seminar berkaitan dengan sumbang mahram. Cerpen ini juga telah tembus di suratkhabar Utusan Melayu Mingguan.
Sesi bersama dengan seorang cerpenis muda Kak Khairunnasriah Abdul Salam juga begitu menyeronokkan. Beliau yang banyak menghasilkan cerpen dalam usia yang begitu muda, dan sikapnya yang periang menggamatkan suasana. Beliau juga banyak berkongsi jerih payah untuk mencapai impian beliau. Walaupun begitu, beliau tetap berusaha gigih. Beliau melampirkan beberapa cerpen tulisan beliau dan menghuraikan ciri-ciri cerpen yang bermutu tinggi. Gaya penyelerakan latar, permainan watak dan konflik dalam sesebuah cerpen begitu ditekankan untuk menghasilkan cerpen yang mampu menembusi arus media perdana.
Peserta lelaki MPR 2011
Selain ceramah, bengkel-bengkel menulis puisi dan cerpen juga diadakan. Di sini, para peserta akan didedahkan cara dan kaedah yang terbaik untuk menghasilkan sesebuah cerpen. Kami diwajibkan menulis sebuah cerpen dan tiga buah puisi dalam masa tiga hari. Ya memang memenatkan tetapi keadaan menjadi serba bermakna kerana kami mendapat suasana yang begitu mendorong dan memberikan semangat untuk menulis. Jika kebuntuan idea, kawan-kawan ada untuk membantu. Kami sanggup tidur lewat malam hanya kerana ingin menyiapkan sebuah cerpen yang rata-rata hanya lapan mukasurat sahaja. Kami berkongsi idea dan rasa bersama sepanjang proses menyiapkan sebuah cerpen dan tiga buah puisi tersebut.
Pada waktu petang, kami diberi kebebasan untuk berehat dan melakukan aktiviti kendiri. Para peserta lelaki banyak menghabiskan waktu bermandi-manda di kolam renang berair panas dan pantai yang berdekatan. Ada juga peserta yang bersantai di tepi pantai sambil menunggu ilham datang menerpa. Ada juga yang mengambil waktu senggang tersebut untuk melawat kawasan-kawasan resort yang metah indah itu. Sungguh menggembirakan.
Para fasilitator bukan sahaja memberi jalan dan kaedah untuk menjadi seorang penulis bermutu tinggi, tetapi semangat dan dorongan yang kental dan persediaan untuk menghadapi ujian yang bakal mendatang. Ilmu-ilmu yang dicurahkan dan kesabaran mereka melayani kerenah kami itulah yang menjadikan kami mula merasa betapa perlunya kami untuk terus berjuang meninggikan sastera bahasa melayu.
Dua hari sebelum berakhir program sesi bedah karya diadakan secara berkumpulan. Setiap kumpulan akan dikelolai oleh fasi yang terlibat. Fasi bagi genre cerpen ialah Kak Salina Ibrahim dan Kak Khairunnasriah Abdul Salam. Manakala fasi bagi genre puisi dan sajak akan dikelolai oleh Abang Mohd Lutfi Ishak dan Abang Haji Shamsudin Othman. Karya setiap peserta disemak secara terperinci. Di sini, kami banyak belajar daripada kesalahan. Proses pembelajaran begini amat berkesan untuk kami mengenal pasti kesalahan kami dan cuba memperbaikinya di hari yang mendatang.
Peserta Wanita MPR 2011
Pada hari Khamis, sehari sebelum berakhir program, kami dibawa bersiar-siar di sekitar negeri Melaka. Kami dibawa menaiki River Cruise melalui Sungai Melaka dan melihat setiap keunikan dan keindahan bandar negeri bersejarah itu. Seterusnya, kami dilepaskan untuk membeli-belah di sekitar bandar Bandar Hilir, Melaka. Bagi peserta yang tidak pernah melawat Melaka, peluang ini pastinya peluang keemasan untuk mereka meneroka setiap pelusuk negeri bersejarah itu yang kebanyakan lokasi-lokasi pelancongannya berada secara dekat-dekat. Dengan hanya berjalan kaki, mereka boleh meneroka setiap tempat bersejarah di negeri Melaka seperti Kota A Famosa dan Menara Taming Sari.
Malam sebelum hari terakhir program, kami mengerah idea dan tenaga kerana diminta membuat persembahan di Majlis Penutupan MPR 2011. Walaupun persembahan itu cuma sederhana tetapi kenangannya begitu indah. Kami bergabung tenaga dan idea untuk mempersembahkan persembahan yang cukup bermakna. Kami dibahagikan sebanyak dua kumpulan dan setiap kumpulan mestilah membuat satu persembahan. Kumpulan pertama membuat persembahan puisirama dan kumpulan kedua membuat persembahan puisi beserta video.
Peserta MPR 2011
Keadaan menjadi semakin gelisah, gusar dan sedih apabila saat perpisahan hampir tiba. Setelah bergambar bersama-sama, kami mula diterjah perasaan sedih kerana kami akan berpisah dan pastinya amat sukar untuk kami bertemu semula. Bagi saya, kenangan ini tidak mampu digantikan dengan apa-apa kerana kemanisannya menyusup masuk ke dalam kotak memori kehidupan. Kepada semua kawan-kawan, saya doakan kalian terus diberkati dan dirahmati atas bidang yang kalian ceburi dan selamat meneruskan perjuangan pena. Kepada para fasilitator, kami ucapkan jutaan terima kasih diatas segala tenaga, ilmu, dan kesabaran melayan kerenah kami. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang mampu jasa kakak-kakak dan abang-abang yang sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama kami selama minggu di sana. Sekian sahaja kenangan yang mampu saya potretkan di sini. Semoga para graduan MPR 2011 dan tahun-tahun lain bakal menggegarkan dunia penulisan juga suatu hari nanti. Terima kasih.
0 komen:
Post a Comment