Oleh Mohamad Shamsul Amin Md Yusof (Alumni MPR 2010)
Perkara pertama yang saya fikirkan ketika pertama kali saya menyertai Minggu Penulis Remaja 2010 ialah soal umur. Saya amat berkira-kira tentang itu. Mana tidaknya, rata-rata peserta dari kalangan mereka yang telah melanjutkan pelajaran di peringkat institut pengajian tinggi, malah ada juga yang telah bekerja pun. Kadang-kadang kerdilnya saya rasakan, umur saya baru hanya 17 tahun, menaiki bas dari Terminal Makmur Kuantan seorang diri, sampai di hentian Putra ke Dewan Bahasa Pustaka pada suatu dinihari dengan satu matlamat sahaja; menimba ilmu sebanyak mungkin di Port Dickson.
Impian menyertai MPR saya simpan semenjak saya tingkatan satu lagi. Menyoroti ceritera lima tahun yang lalu, coretan nota kaki “Salina Ibrahim merupakan mantan MPR 1991” dalam kolum Bimbingan Remaja dalam Dewan Siswa tidak lama dahulu amat menarik minat. Itu lima tahun yang dahulu. Saya harus berterima kasih kepada pembacaan dan terima kasih Allah!
Soal umur saya ketepikan. Berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka pada pagi 18 Disember yang lalu, berada bersama-sama peserta-peserta lain yang datang dari pelbagai ceruk semenanjung dan latar belakang memberikan saya satu semangat baru. Bertolak ke Port Dickson menaiki bas DBP dalam keadaan penat yang masih bersisa (saya bertolak dari Kuantan jam 1 pagi dan sampai subuh di Kuala Lumpur!) hasrat menikmati perjalanan ke PD saya lupakan saja. Saya terlelap sepanjang perjalanan.
Sampai di Port Dickson, kami dikumpulkan dan bilik penginapan dibahagi-bahagikan. Sambil-sambil ditaklimatkan oleh orang yang bertanggungjawab memasukkan nama saya dalam senarai peserta, Puan Zeti, saya melihat-lihat isi kandungan beg wooven “Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita” dan membelek-belek isi kandungan buku program. Rasa bertuah datang dalam diri ketika saya melihat senarai fasilitator yang bakal mengajar kami. Alhamdulillah, saya bakal diajari pengarang dan penyair hebat yang juga mantan MPR seperti Salina Ibrahim, Nasriah Abdul Salam, Shamsuddin Othman dan Ridzuan Harun.
Pengalaman seminggu berkampung di PD amat mengesankan di hati saya. Saya paling terkesan dengan kelas puisi kendalian Cikgu Shamsuddin dan Abang Wan. Matlamat saya datang ke MPR selain ingin belajar semuanya, saya sebenarnya lebih berhasrat untuk menelusuri jalur perpuisian. Saya datang ke MPR dengan tiket dua cerpen yang tersiar di majalah Tunas Cipta (sewaktu itu sisipan Dewan Sastera), Kerana Novel yang saya karang ketika di Tingkatan Dua, dan sebuah cerpen yang dimuatkan dalam antologi cerpen Kunci Gerbang Masa, DBP, yang saya tukangi ketika pasca-PMR. Malunya! Justeru saya ingin menumpukan bidang puisi pula.
Hasrat saya tidak sia-sia. Banyak perkara yang dapat saya pelajari untuk menulis sebuah puisi yang baik dan mengesankan. Tugasan untuk menyiapkan sebuah cerpen dan tiga buah puisi bertemakan patriotisme seperti yang diminta urus setia; mungkin agak sulit untuk saya siapkan sebuah cerpen yang baik dalam masa seminggu, tetapi untuk puisi, seperti magis, dapat saya siapkan berbekalkan segala ilmu yang telah diajari oleh kedua-dua fasilitator puisi.
Peserta MPR sedang menikmati remang senja sambil mencari ilham
Cerpen Siti Nurmalaysia saya banyak kurang sana-sini. Tiga puisi saya Warkah Tuah Buat Teja, Rintih Tentangmu Saudara, dan Dosa-dosa Bahasa berjaya menempatkan saya sebagai Peserta Terbaik kategori Puisi. Alhamdulillah.
MPR juga menemukan saya dengan kenalan yang punya minat yang serupa. Kami saling mengagumi dan saling menguatkan antara satu sama lain, berkongsi pendapat, bertegur itu ini, saling mengusik, selalu berpakat dan mengenal muafakat. Seminggu memang cukup untuk kami bermesra, tetapi tempoh yang terlalu singkat untuk perkara-perkara yang kami belum sempat untuk saling bertanya dan kami dalami sebenar-benarnya. Kendatipun begitu, persahabatan ini kami kenangi, dan kami harap berpanjangan untuk tempoh yang lama.
Juga semua urus setia, yang banyak membantu, Kak Zeti, Pokleh, Kak Zaharah (Opah), Along. Belum pernah saya jumpa dalam mana-mana acara urus setia tidak hanya melakukan kerja, tetapi juga menjadi sebahagian daripada keluarga. Paling penting, merekalah yang menyediakan biskut krim kepada kami saban malam ketika kami berjaga menyiapkan tugasan di bilik bengkel, juga terima kasih kepada Haniff dan Syukri yang bersengkang mata menaipkan karya-karya tulisan tangan kami. Terima kasih!
Sesi bedah karya bersama Nasriah Abdul Salam
Pasca-MPR di rumah, saya masih terkenang-kenangkan mereka. Malah, masih terngiang-ngiang di telinga saya seloroh Kak Ina dalam kata-kata akhir “akak ingat kau menjenakakan akak, dik!” yang berjaya mengundang rasa bersalah saya, tetapi di rumah saya tertawa mengenanginya. Juga, masih ternampak-nampak lambaian akhir Kak Nas di stesen bas Terminal One di Seremban saat-saat akhir kami saling meninggalkan. Sungguh, saya bersyukur diberi pengalaman sebegini.
Saya berjanji untuk memberikan sesuatu kembali kepada mereka semua; DBP, guru-guru dan masyarakat saya. Saya harus menulis, untuk mereka dan Allah. Ya, perjalanan seni ini baru bermula.
0 komen:
Post a Comment