Ada Apa dengan Borak Buku?

Disalin dari Berita Harian Online

Taras Bulba pengaruh SM Zakir
Oleh Hafizah Iszahanid


CINTA Si Pemain Pedang (CSPP), cerpen karya SM Zakir rupanya bukan sekadar naskhah yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2001, tetapi mendapat sedikit pengaruh daripada buku Taras Bulba, Pahlawan Bangsa Kozak. SM Zakir mendedahkan, kisah pertemuan watak Asya dan Saf dalam CSPP hampir menyamai peristiwa watak Andriy dan gadis bangsawan Poland dalam buku karya Nikolai Gogol itu.

Sisi romantis SM Zakir menjadi sebahagian sesi hilai tawa dan rencah pada Borak Buku Siri Satu anjuran Biro Penulis Muda, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) bersama-sama dengan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) kelmarin.

Taras Bulba, Pahlawan Bangsa Kozak adalah novel sejarah-romantis karya penulis Russia keturunan Ukraine yang juga bapa kepada aliran realisme moden Russia dengan kebanyakan karya Gogol lebih banyak menjurus pada genre romantisisme.

Taras Bulba, Pahlawan Bangsa Kozak diterbitkan pada 1835 dan diulang cetak sekali lagi pada 1842 sebagai edisi dikemaskini, berikutan kritikan yang mendakwa karya Gogol terlalu condong kepada Ukraine.

Selain itu, Gogol turut menghasilkan Diary of a Madman, The Nose dan The Overcoat (1842) yang diiktiraf sebagai antara karya terbaiknya.

“Pada saya Taras Bulba begitu menarik kerana kisahnya berteraskan perjuangan bangsa. Walaupun menyelitkan juga sisi romantis dan emosi, tetapi watak pejuang dalam novel ini sangat kuat. Misalnya, Taras Bulba sanggup membunuh anaknya Andriy yang berpaling tadah pada pihak lawan semata-mata kerana cinta pada seorang perempuan,”
“Taras Bulba juga menerapkan nilai setiakawan dan jati diri yang kuat. Hingga ke akhir hayatnya, ketika tangannya dipaku dan kakinya dibakar dia masih sempat mengerah tenteranya mengatur strategi peperangan,” jelasnya.

Selain menarik minat SM Zakir, novel terbabit turut pernah menjadi inspirasi kepada penggiat filem yang antaranya, filem Russia arahan Vladimir Bortko yang dihasilkan pada 2007 dan filem Hindi, Veer (2010).

Borak Buku Siri Satu yang dilangsungkan secara santai hujung minggu lalu adalah siri pertama seumpamanya dan terbuka kepada orang awam, selain setiap bulan akan mengundang pelbagai personaliti (tidak terhad kepada penulis saja) untuk berkongsi dengan khalayak mengenai buku yang meninggalkan kesan kepadanya.

Untuk Siri Kedua, Borak Buku akan mengundang mantan Presiden PENA, Datuk (Dr) Baharuddin Zain (Baha Zain) dan maklumat mengenainya akan disebarkan PENA serta Alumni MPR menerusi laman web dan facebook berkaitan.

0 komen:

Blog Widget by LinkWithin
top