Dari manakah yang molek untuk saya mulakan? Persiapan ataupun terus ke majlis diskusi sahaja? Untuk pengetahuan semua, majlis yang tampak mudah ini sudah pun memulakan langkah yang pertama berbulan-bulan lalu. Jadi, agak payah juga kalau mahu terus melangkah ke majlis diskusi tanpa berbicara perit jerih "adik-adik" kita yang selama ini berhempas pulas menyelesaikan semua.
Sejujurnya, Nasriah dan saya hanya memberi nasihat dan tunjuk ajar apa sahaja yang kami fikir wajar dalam menjalankan majlis ini. Untuk majlis ini kami tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya kerana sudah cukup terbeban dengan tugas lain. Jadi mandat sepenuh kepercayaan telah dipikul Azree Ariffin sebagai Pengarah Program dan Sayiddah Muizzah selaku setiausahanya.
Juga tidak adil andai saya tidak menyebut nama-nama seperti Azizul Ikhwan (Ode), Zulfazlan Jumrah, Aidil Khalid, Faizal Nizam, Ilham Hafiz, Nissa' Yusof, Zarina, Rashidah Othman, Hazrina Azhar, Jamilah Norddin (sekadar menyebut beberapa nama) yang turut menyumbang banyak sekali dalam memastikan semua yang telah dirancang bergerak lebih lancar dan mudah. Sebenarnya, sepanjang keterlibatan saya bersama dalam aktiviti berbentuk sebegini untuk MPR, tidak melampau andai saya katakan diskusi inilah yang paling berstruktur dan teratur perancangannya. Malah semua AJK faham akan beban tugas, tanggungjawab dan kehendak majlis.
Sebenarnya saya terharu melihat adik-adik ini bersemangat sekali dalam menyudahkan hal-hal diskusi dalam sela ripuh dan senggang pengajian. Tidak hanya cukup dengan pertemuan-pertemuan di KL Sentral beberapa bulan ini tetapi, adik-adik ini masih sanggup menyewa penginapan di Puspanita semata-mata untuk memastikan semua tanggungjawab yang diberi usai malam sebelum diskusi.
Tengah malam sehingga ke awal pagi pun masih menyiapkan, membetulkan, berdiskusi, bertukar fikiran, menjemput teman yang tiba dari jauh di Pudu malah sempat mengedit dan meminta buah fikiran bagaimana hendak menulis dengan baiknya daripada Nimoiz TY. Semua itu berlaku hanya di depan tangga hadapan bangunan berkenaan yang disuluh lampu yang terang benderang. Adik-adik ini tidur lewat, bangun awal malah ada beberapa orang antara mereka tidak langsung lelap sepicing pun bagi memastikan teman-teman lain tersedar pagi itu, sungguh menyentuh perasaan.
...dan Alhamdulilah. Seperti yang dirancang diskusi berlangsung baik sekali. Kedatangan "abang-abang dan kakak-kakak" mantan MPR yang senior (Tuan Haji Faisal Tehrani, Tuan Haji Shamsudin Othman, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Rahimidin Zahari, Lutfi Ishak, Khairul Nizam Abdul Rauf (sekadar menyebut beberapa nama), penulis mapan tanahair seperti Pak Malim Ghozali PK dan Puan Mahaya Mohd Yassin, editor majalah dewan (Bonda Ani (Tunas Cipta), Puan Zaiton Abu Samah (Dewan Siswa), Kak Rozninah Abu Azib (Dewan Sastera)) (sekadar menyebut beberapa nama), semua pemakalah dan pengerusi (Prof Dr Rahman Shaari, Dr Mawar Shafie, Dr Rosnah, Dr Kamariah Kamarudin, Dr Amida (Kak Anis), S M Zakir, Nimoiz TY dan Ummu Hani) serta Lim Fheng Fheng dan Nabiha Mashut sangat memberi erti kepada semua AJK terutama adik-adik ini.
AJK Diskusi Karya Mantan MPR 2009
Dari kiri atas (Nimoiz TY, Zulfazlan Jumrah, Faizal Nizam, Ode, Azree Ariffin, Aidil Khalid & Ilham Hafiz)
Dari kiri bawah (Wardah Putih, Zarina, Jamilah Norddin, Hazrina Azhar, Rashidah Othman, Ainual Muaiyanah, Hani Salwah, Nissa' Yusof dan Nabiha Mashut)
Segala komen, nasihat, kritikan dan teguran mengenai karya Mantan MPR sepanjang diskusi berlangsung banyak membawa manfaat kepada semua Mantan MPR dan warga penulis muda secara amnya. Sesungguhnya aktiviti seumpama ini sebenarnya selain mengeratkan perhubungan silaturahim antara sesama MPR, dapat juga mengembalikan dan memulihkan semangat yang kadang-kadang "hilang" dan "pudar" dikalangan mantan MPR itu sendiri.
Saya mewakili semua AJK, Alumni Mantan MPR dan semua yang terlibat dengan diskusi yang telah pun berlangsung, dengan rendah diri memohon kemaafan atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang program ini berlangsung. Sesungguhnya sebagai "orang muda" yang masih "hijau" kami masih perlukan tunjuk ajar, panduan dan didikan daripada semua.
Untuk AJK yang terlibat, terima kasih atas komitmen anda semua. Serasa tidak terbayar jasa anda semua. Harap masih dapat lagi bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang akan dan bakal kita jalankan bersama di masa-masa akan datang.
Salam hormat,
HANI SALWAH YAAKUP
7 komen:
Salam,
Saya ingin merakam tahniah dan gembira kerana solidariti adik-adik telah memungkinkan kejayaan program ini.
Insya-Allah, kita akan menganjurkan program yang 'lebih relaks' dari segi minda tetapi menjana ilham pula.
Semoga persekitaran dan hubungan sesama pengarang yang akrab ini akan mendorong kita smeua terus aktif menulis kreatif mahupun non kreatif.
Wassalam
Tahniah kepada AJK yang terlibat. Walaupun jam dah menujukkan ke angka 4 pagi, tapi masing-masing seakan-akan tidak mahu mengantuk. Fuhh...Saya MPR 2004. Dan kini sudah masuk tahun 2009. Inilah kali pertama saya merasai keseronokan menjadi Ahli MPR selepas balik dari MPR tahun 2004. Semoga kenangan ini akan terus kemas tersimpan dalam sangkar memori masing-masing,
Salam,
Kak ton ucap tahniah semuanya yang telah bekerja keras. Banyak ilmu yang diperolehi bersama. Kalau mahu kerjasama Dewan Siswa, Dewan Sastera dan Tunas Cipta (sekadar menyebut beberapa nama) silalah beritahu.InsyaAllah.
Keikhlasan adik-adik melakukan tugas terpancar jelas pada pelaksanaan program. Semoga solidariti ini berterusan seperti kita semua yang berterusan menulis!
Salam tahniah.
sesungguhnya keikhalasan itu masih terasa. Teruskan perjuangan menulis dan berseminar sebagai satu dakwah. Hanya ini yang mampu kita lakukan.
Salam rindu.
Tahniah dan terima kasih kepada semua.
Kami para AJK kali ini memang sangat gembira bekerja, kerjasama para senior memang sangat kami hargai dalam menjayakan majlis ini. Sebagai 'adik-adik', bantuan para senior ketika kami memerlukan rujukan dan tunjuk ajar terlalu banyak membantu dan tidak terbalas.
Kehadiran para senior, terutamanya, dalam majlis yang turut membicarakan karya-karya eceran kami ini membuatkan semangat lebih membara :)
tahniah kepada biro penyelaras program kerana sangat komited dengan kerja-kerja penyelarasan lebih-lebih lagi kepada ketua biro tersebut.
walaupun masa yang telah dibincangkan agak tersasar, namun bagi saya program kali ini boleh dikatakan sgt berjaya.
tahniah sekali lagi.
yang benar,
biro penyelaras program.
hahaha
(2 hari itu sangat menggembirakan)
Post a Comment