Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera. Sesungguhnya, tatkala aku diminta untuk mencoretkan intipati-intipati yang diperolehi sepanjang di Minggu Penulis Remaja 2008, amatlah khuatir untukku melaksanakannya.
Di Seri Cempaka Services Suites, maka bermulalah episod hidupku selama seminggu di sini. Disiplin yang rapi cukup melicinkan tirai-tirai hari yang aku lalui. Dari tidur awal dan bangun lewat, demi Minggu Penulis Remaja 2008, aku tidur seawal-awalnya jam 4 pagi dan bangun selewat-lewatnya pukul 5.30 pagi. Motifnya, satu cuma. Aku tak sabar menanti hari esok.
Sesungguhnya, aku kecewa kerana tidak sebilik dengan Kak Adnie (Nurul Adnie Bahiah Zahaba). Mungkin kerana kami berdua berasal dari Kelantan, apatah lagi mewakili Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan, kami berdua sememangnya amat serasi. Namun, sebagai peserta aku menurut cuma. Ada baiknya juga mereka berbuat sedemikian kerana mungkin juga mereka mahu kami menyesuaikan berkenalan dengan teman-teman dari negeri-negeri yang berlainan.
Sesudah makan tengah hari di The Junction Bistro dan taklimat daripada Puan Zeti ( Zeti Aktar Jaffar), maka tibalah masa yang dinanti-nanti semua iaitu sesi suai kenal. Sesungguhnya, sesi inilah yang amat mendebarkan aku. Encik Saiful (Saifullizan Yahaya) adalah individu yang paling banyak menyoal. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan lancar
Selang beberapa hariku di sini, barulah aku menyedari bahawa pihak urus setia, fasilitator dan para penceramah jemputan amat mengambil berat mengenaiku. Aku pun tidak tahu mengapa aku merasa, akulah peserta yang paling istimewa antara para peserta lain. Mungkin juga kerana aku adalah peserta termuda, maka mereka memanjakan aku. Sesungguhnya, aku harus mengucapkan terima kasih yang tidak ternilai pada Encik Salleh (Salleh Mohamad Tahir), Puan Zeti ( Zeti Aktar Jaffar ) dan Puan Izzah (Izzah Abdul Aziz) kerana merekalah yang telah membantuku untuk menyertai Minggu Penulis Remaja 2008.
Seawal pukul 10 pagi, kami semua dibawa berjalan-jalan di sekitar Jalan Masjid India bersama-sama kumpulan masing-masing. Aku dan kumpulanku iaitu Keris Mas yang dianggotai Encik Saiful, Amir (Amir Hamzah Akal Ali) selaku ketua kumpulan, Kak Azwein (Azwein Zaiden), Kak Nabilla (Nur Nabilla Ahmad) dan Kak Shafiqa (Nur Shafiqa Shafee) merupakan salah satu memori terindah dalam hidupku.
Sesungguhnya masa itu emas dan apa yang kita miliki kini memori cuma.
SYARIFAH ZULIKHA
23 DISEMBER 2008
0 komen:
Post a Comment