Langkah Pertamaku Di Medan Ini
Oleh: Amir Asyraffudin Abd. Aziz
Minggu Penulis Remaja 2014 (MPR) yang berlangsung pada 22-27 Mac 2014 sudah beberapa minggu berlalu. Namun kenanganku di Cherating terus bermain di fikiran. Aku sedar masa yang berlalu takkan dapat kembali. Yang tinggal hanyalah kenangan, terpecah bersama buih pantai. Memori yang bersarang di fikiran akan tetap menjadi kenangan sampai bila-bila. Sudah menjadi adat setiap pertemuan itu ada perpisahan.
Teringat akan sepucuk surat undangan dari Dewan Bahasa & Pustaka yang sampai ke rumah ... yang akhirnya aku dibawa ke sebuah buana penulisan. Tempat aku lebih mengenali potensi diri sendiri. Ada juga terdetik rasa bagaikan bulan jatuh ke riba. Mana taknya, aku memang sudah lama mencari program sebegini; menulis cerpen, puisi dan novel. Itu semua memang perlukan tunjuk ajar. Almaklumlah, umurku dalam dunia penulisan pun baru setahun jagung setampuk pinang.
Peserta mendaftar.
Tanggal 22 Mac 2014, kami berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka. Teruja, gembira dan macam-macam perasaan yang tak dapat hendak digambarkan menerpa mindaku dan terus-menerus bermain di kotak fikiran. Peserta datang dari seluruh Malaysia. Dialek percakapan pun berbeza. Kami mendaftar di Menara Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Sepanjang berada di dalam bas, kami saling berkenalan serba sedikit walaupun di hati bersalut rasa malu. Tapi kami tetap berusaha menyesuaikan diri. Maklumlah selepas ini kami akan berkampung bersama-sama selama seminggu di Sanctuary Beach Resort, Cherating.
Bayu laut menyapa penuh syahdu. Terpesona melihat pemandangan pantai yang sangat indah. Hati tenang dan dadaku terasa lapang dari kesibukan kota yang bingit. Bunyi ombak, kicauan burung dan keputihan pasir pantai umpama perencah tambahan untuk meningkatkan lagi semangat menghadapi hari-hari di Cherating ini.
Sejak hari pertama, kami dibantu oleh dua orang fasilitator yang sangat hebat dan tidak asing lagi dalam dunia karya kreatif ini. Cik Salina Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ina memberikan fokus kepada penulisan cerpen. Manakala Encik Rahimidin Zahari yang lebih erat kami panggil Cikgu Rahimidin memberi fokus kepada penulisan puisi. Kedua-dua mereka adalah graduan MPR.
Kami diberi layanan yang sangat baik dan mesra. Pelbagai ilmu dan pendedahan mengenai karya kreatif dikongsi oleh para fasilitator terutamanya mengenai elemen sastera, unsur lewah, unsur jungkir balik dan sebagainya.
Sepanjang seminggu berada di MPR, merekalah pembimbing, sahabat dan adik beradik kami. Kami juga turut dibantu oleh Tuan Haji Azman Ahmad (Ibnu Ahmad al-Kurauwi) selaku tokoh jemputan. "Jika ingin menulis, tulislah dengan hati," itulah kata-kata beliau yang akan aku sematkan senantiasa dalam diri.
Hasrat dan keazaman kami untuk menghadiri MPR sudah pasti bukan suatu yang sia-sia. Malah sangat bermanfaat. Terima kasih Kak Ina, Cikgu Rahimidin dan Tuan Haji Azman. Pesanan Cikgu Rahimidin, “Sekali menulis, teruskan menulis,” akan aku ingat sampai bila-bila. Tidak lupa juga, terima kasih kepada Encik Jusoh, Kak Irni dan Kak Zaiha yang bersengkang mata sehingga tengah malam bagi menemani kami menyiapkan tugasan MPR 2014. Terima kasih daun keladi. Jasa kalian akan kami kenang selalu!
slot penghayatan alam |
Slot yang paling menarik bagi aku adalah slot penghayatan alam. Kami dibawa mengelilingi pantai melihat keindahan alam ciptaan Tuhan yang tiada tolok bandingnya. Desir angin yang sepoi-sepoi bahasa sangat menenangkan kalbu yang kekusutan.
"Pokok kelapa, tunggul kayu, bunyi ombak .. sebenarnya itu semua punya unsur tersendiri. Rajinkan minda untuk berfikir. Rahsia alam itu maha hebat," demikian kata-kata Encik Jusoh kepadaku.
Sejujurnya madah itu masih terngiang-ngiang di benak fikiranku mengimbau kenangan yang terbuku di pantai itu.
Pengalaman seminggu berkampung di sini telah banyak memberi kesan kepada aku dan juga rakan-rakan. Tidak dinafikan persahabatan yang bermula di sini walaupun hanya seminggu, namun telah melahirkan rasa tautan kasih sayang yang utuh. Terlalu banyak kenangan manis yang kami hadapi bersama. Berkongsi idea dan juga kadang-kadang galak kami bergurau senda menyebabkan hubungan semakin akrab. Aku berharap persahabatan ini akan kekal sampai bila-bila.
![]() |
(Doodle: Qurratul Sa’adah Zulkafli) |