Oleh: Muhammad Lutfi Ishak
Erasmus Mundus, seorang ahli falsafah pernah mengucapkan tentang tabiat atau lebih tepat lagi, ketagihan membacanya. Katanya, ”jika saya mempunyai wang, saya akan membeli buku. Jika masih ada wang yang selebihnya, saya akan membeli makanan.”
Kata-kata tersebut kelihatannya spontan. Namun, kebenarannya ada. Malah, ada banyak cerita yang membenarkan penyataan Erasmus ini. Sebagai contoh, kita tentunya pernah mendengar tentang kisah al-Jahiz, ilmuwan muktalizah itu, yang pada akhirnya, meninggal dunia akibat dihempap buku-bukunya. Begitu juga dengan kisah seorang ulama yang terlepas malam pertamanya akibat terpukau dengan isi sebuah buku di dalam perpustakaannya. Malah, jika kita mahu berhujah dan menerima kebenaran yang lebih tinggi, firman yang ditanzilkan kepada baginda Nabi selepas tiga pelukan Jibril, ialah ’Iqra’. Bacalah!
Salah satu buku, yang saya rasa amat menarik dan mengungkapkan tentang budaya membaca ialah buku yang ditulis oleh Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren, iaitu, How to Read a Book. Buku itu diterbitkan pertama kali pada tahun 40-an abad yang lalu. Namun, sesiapa sahaja yang membaca buku yang sudah boleh dianggap ’klasik’ itu, pasti akan membuat satu kesimpulan - bahawa, membaca buku dalam konteks manusia yang bertamadun, bukanlah aktiviti yang semborono. Membaca ialah satu seni dan satu kemahiran. Sebagai seni dan kemahiran, maka sudah tentu, membaca buku ialah aktiviti yang sistematik. Ada kaedahnya, ada keindahannya, ada peraturannya. Seorang pembaca yang serius, saya kira, ialah seorang pembaca yang membaca buku dalam konteks Adler ini.
Oleh sebab itu, persoalan ’orang muda’ dan ’budaya membaca’ adalah persoalan menarik. Dan tentunya hal ini lebih menarik apabila dikaitkan dengan situasi semasa dan orang muda di negara kita. Adakah orang muda di negara kita membaca buku? Saya yakin, setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri apabila menyikapi soalan ini. Sudah pasti, ada orang yang bersetuju dan tidak bersetuju. Dek kerana tidak ada petunjuk yang betul-betul empirik, dan jawapan yang diberikan adalah berdasarkan pemerhatian dan pengalaman individu, maka, sudah tentu tidak ada jawapan yang mutlak untuk itu. Tuduhan itu boleh menjadi fakta, dan boleh juga menjadi mitos.
Jadi, di sini, saya mahu menjawab soalan ini dengan nada yang optimis. Lebih-lebih lagi, banyak sekali suara yang menafikan betapa, kajian yang menunjukkan orang Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun adalah kajian yang boleh dipertikaikan. Malah, belakangan ini ada juga yang menyatakan bahawa tahap pembacaan rakyat Malaysia semakin meningkat, mungkin sudah membaca 8 buah buku setahun. Begitu juga dengan kenyataan Datuk Seri Rais Yatim yang agak optimis baru-baru ini. Kerana itu, saya yakin, orang muda tidak membaca ialah satu mitos. Orang muda sebenarnya membaca. Cuma, dalam konteks tulisan ini, saya lebih suka untuk menyorot dan mempersoal bahan bacaan yang dibaca oleh orang muda.
Namun, sebelum saya lebih optimis, kita juga mesti lebih seimbang, kerana beberapa tahun yang lalu, ada satu kajian yang menunjukkan tahap pembacaan yang agak ’sadis’ dan ’menakutkan’ yang berlaku di universiti. Dalam satu kajian yang dilaksanakan oleh Dr. Abu Hassan Abdullaah mengenai budaya membaca di universiti, temuan yang didedahkan itu sangat mengejutkan. Menurut kajian tersebut, mahasiswa di universiti hanya membaca 4 buah buku setahun. Para pensyarah pula, rata-ratanya hanya membaca 20 buah buku sahaja.
Oleh sebab itulah, kita mesti membezakan antara budaya membaca dan bahan bacaan yang dibaca ialah dua perkara yang berbeza. Biarpun saling berkaitan, bahan bacaan yang dibaca adalah lebih penting. Apalah gunanya jika memang budaya membaca begitu marak dalam kalangan orang muda, tetapi bahan bacaan yang dibaca ialah bahan bacaan yang picisan. Dalam hal ini, saya lebih menekankan bahan bacaan adalah bersifat definitif, yakni yang memberikan nilai dan mengesahkan, adakah tabiat membaca buku, khususnya dalam kalangan orang muda, adalah satu ’budaya’ atau ’satu ’gejala’?
Dalam bukunya yang terkenal itu, Adler mendeskripsikan beberapa tujuan pembacaan. Satu, pembaca yang membaca hanya sekadar untuk mendapat makluman. Satu lagi ialah pembaca yang membaca untuk mendapat dan meningkatkan pemahaman. Orang yang hanya membaca surat khabar, misalnya ialah jenis pembaca yang hanya membaca untuk mendapatkan makluman. Pembaca yang membaca buku-buku serius misalnya, ialah pembaca yang membaca untuk mendapatkan pemahaman.
Dalam konteks Adler ini, ada jurang yang sangat luas, yang bukan sahaja membezakan 'aktiviti pembacaan' tetapi juga kualiti pemikiran dan peribadi pembaca. Pembaca yang hanya membaca untuk menambahkan makluman, tidak akan menambahkan apa-apa kepada dirinya selain timbunan makluman. Mereka membeli majalah, surat khabar dan lain-lain, hanya untuk menambahkan makluman. Pemikiran mereka tidak akan terasah, dan lebih malang lagi, mereka tidak akan dapat meningkatkan pemahaman mereka terhadap sesuatu yang lebih sukar dan berada pada aras yang lebih tinggi daripada pemahaman mereka.
Pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman pula berbeza. Membaca bagi mereka ialah satu aktiviti serius, satu aktiviti pembalajaran. Dalam konteks ini, buku yang dibaca ialah guru yang mengajar kita melalui perkataan. Membaca dalam gaya ini ialah sejenis pembelajaran. Lazimnya satu pembelajaran, pasti ada tahap-tahap yang perlu dikuasai. Dan untuk menguasai sesuatu pembelajaran, usaha yang dicurahkan juga sangat banyak, dan perlu berpatutan dengan tahap kesukaran yang ada dalam buku itu.
Pembacaan jenis ini mempunyai dua syarat, begitu kata Adler. Syarat yang pertama ialah keadaan pemahaman yang tidak setara. Maksudnya, pemikiran 'si penulis' mesti lebih tinggi daripada pembaca, seperti pemikiran guru yang lebih tinggi daripada seorang murid. Syarat yang kedua, ialah si pembaca mestilah dapat mengurangkan keadaan(pemahaman) yang tidak setara itu. Maksud Adler itu ialah, si pembaca dapat memahami sedikit demi sedikit bahan bacaan, dan pada satu tahap, cuba sampai kepada pemahaman yang dimiliki oleh si penulis.
Sudah pasti, jika benar orang muda membaca, kita tentu mengharapkan mereka menjadi pembaca yang membaca untuk menambahkan pemahaman. Membaca untuk menambahkan makluman memanglah tidak salah, tetapi membaca untuk menambakan pemahaman adalah lebih tinggi darjatnya. Namun begitu, berbanding kedua jenis tujuan pembacaan yang saya sebutkan tadi, saya berharap orang muda tidak menjadi satu lagi 'kelas' pembaca; yakni pembaca yang hanya membaca untuk hiburan.
Jadi, soalannya di sini, apakah orang muda kita yang membaca itu, membaca untuk menambahkan makluman, pemahaman, atau hiburan. Saya lebih cenderung untuk pesimis dalam konteks ini. Saya yakin, majoriti orang muda membaca untuk hiburan. Namun, keyakinan saya juga tidak bersifat mutlak. Keyakinan saya masih ’nomad’ dek tidak adanya kajian yang betul-betul empirik. Apapun, jika orang muda kita hanya membaca buku sekadar untuk hiburan, maka saya yakin, tidak ada budaya membaca. Yang ada hanyalah gejala membaca.
Sumber: Siasah 26 Mac - 2 April 2010
0 komen:
Post a Comment