Showing posts with label Diskusi. Show all posts
Showing posts with label Diskusi. Show all posts

Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman


 

Sesi ke dua : Pengarang Muda : Ketiadaan Ruang Atau Masa Depan


 

Moderator    :     Rahimidin Zahari

Ahli Panel    :     Ibnu Ahmad Al-Kurauwi

            Shahrunnizam Abd Talib

           Khairun Nasriah Abdul Salam

              Nisah Haji Haron

 

Ibnu Ahmad Al- Kurauwi hadir dengan makalah, Penulis Muda : Antara Mengisi Ruang Dengan Menyediakan Peluang menyenaraikan nama-nama majalah yang menyiarkan ruangan untuk penulis muda berkarya berserta alamat editor untuk memudahkan penulis muda menghantar karyanya ke media cetak. Menurut saudara Ibnu Ahmad Al- Kurauwi, terdapat banyak ruang untuk penulis muda berkarya namun terdapat beberapa masalah yang muncul seperti penulis muda tidak menghantar karya yang sesuai dengan tema majalah serta karya fiksyen sains itu sangat kurang kualitinyauntuk disiarkan seperti di Dewan Kosmik sehingga ada cerpen-cerpen yang ditangkap muat walaupun lari daripada tema majalahnya. Masalah yang dihadapi oleh editor Dewan Siswa pula ialah apabila cerpen-cerpen yang diterima tidak tersusun, mengikut emosi, lemah teknik, kurang mesej dan kreativiti. Namun begitu, ada juga majalah yang tidak mendapat perhatian penulis muda untuk berkarya seperti majalah Dewan Budaya dan majalah terbitan Jakim. Kesimpulannya, masih banyak ruang yang boleh dimasuki oleh penulis muda, terpulang kepada penulis untuk menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti untuk mendapat tempat di media cetak dan majalah.


 

Nasriah Abdul Salam yang muncul dengan makalahnya, Kelangsungan Pengkaryaan Penulis Muda : Sorotan Kebebesan Berekspresi mengatakan tanggungjawab seorang penulis adalah meneruskan kelangsungan persuratan Melayu dalam membina budaya serta ketamadunan dengan menjadikan gagasan dan pemikiran yang jitu dan benar sebagai wasilah. Pembawaan penulis muda dilihat melalui beberapa sudut. Ada yang memilih untuk mengadun unsur agama Islam seperti dalam karya-karya Faisal Tehrani, Zaid akhtar, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga yang memilih untuk keluar dari sastera konvensional yang digelar sastera underground. Selain itu ada juga kemunculan penulis muda yang berlatar-belakangkan multi-displin memberi jalur baru dan nafas segar dalam dunia penulisan. Saudari Nasriah menyimpulkan bahawa ruangan berkreatif dan berkritis untuk penulis muda tidak wajar disempitkan kerana dilihat sebagai kekangan yang akan membantutkan keintelektualan dan melemahkan kemandirian penulis sendiri


 

Ahli panel ketiga Shahrunizam Abd Talib membentangkan Penulis Muda : Ketiadaan Ruang atau Masa Hadapan mengatakan cabaran dunia sastera Malaysia ialah sastera telah dipandang rendah oleh masyarakat dan hampir menjadi sejarah kerana kecenderungan kepada kecanggihan bidang sains, matematik dan teknologi walhal sastera turut sama penting memperkukuhkan akal budi dan jati diri masyarakat. Shahrunizam melihat karya penulis muda bukanlah tidak mendapat tempat serta terbiar sebaliknya sering terbuka untuk dimasuki secara bijaksana dan penuh hikmah. Ditambah dengan kepesatan dan kecanggihan dunia teknologi maklumat dapat menjadi nilai tambah kepada penulis muda untuk mengembangkan bakat penulis muda. Shahrunizam juga mengatakan antara beberapa masalah penulis muda apabila ketiadaan ruang untuk mempromosikan kehadiran diri sebagai penulis kerana halaman sastera di akhbar sangatlah sempit dan terhad. Selain itu, radio dengan televisyen juga tidak mesra dengan dunia satera apabila kurang atau hampir tiada ruang untuk mempromosikan sastera di situ.


 

Nisah Haji Haron dengan Catatan Tentang Pengiktirafan Kepada Penulis Musa. Puan Nisah juga melahirkan rasa kekecewaannya apabila tiada lagi anugerah sastera remaja selepas Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat terhalang kerana penswastaan Dewan Siswa kepada Karangkraf. HSSBR dilihat berjaya mewujudkan satu gelombang kelompok penulis muda yang melahirkan karya-karya yang bermutu dan melalui HSSBR jugalah nama-nama seperti Hizairi Othman, Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama). Selain itu Puan Nisah juga menyatakan kebanyakan karya pilihan pengkritik untuk diperkatakan jarang sekali memperkatakan tentang karya penulis muda seperti Sri Rahayu Yusof yang pernah memenangi beberapa siri Hadiah Kumpulan Sastera Utusan. Walhal peranan pengkritik sangat penting untuk menunjukkan satu bentuk indekas yang menentukan kualiti karya dan aras yang telah dicapai oleh penulis tersebut.


 

Lintas Lansung daripada Puteri Resort Ayer Keroh, Melaka.

Lagi Kisah Mengenai Diskusi Karya Mantan MPR 2009

Bakat penulis muda besar

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
rashiqah@bharian.com.my


SEBAHAGIAN daripada peserta Diskusi Karya MPR khusyuk mengikuti perbincangan.

Mereka mungkin mampu jadi pewaris karyawan ternama negara

DISKUSI Karya Majlis Penulis Remaja (MPR) tampak terlalu biasa apabila panel bersikap terlalu berhati-hati dalam pemilihan perkataan bagi menghurai keupayaan penulis muda yang menerima bimbingan dalam program kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehingga kelemahan yang ingin diperkatakan menjadi sebaliknya.

Justeru tidak menghairankan apabila ketiga-tiga panel diskusi yang membicarakan puisi, cerpen dan novel terlebih ‘memuji’ penulis muda MPR hebat dalam menyampaikan mesej tersirat melalui karya dan melayakkan kelompok terbabit menjadi pewaris kehebatan karyawan ternama negara.

Pensyarah Universiti Malaya (UM), Prof Madya Rahman Shaari, ketika melapah aspek bahasa secara perbandingan dalam puisi penulis muda tempatan, turut mendedah keupayaan kelompok terbabit mengajak pembaca menghayati nilai murni.



Pensyarah Jabatan Pengajian Media (JPM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Rahman Shaari, berkata kehebatan penulis muda dalam menyampaikan mesej tersirat melalui penghasilan puisi berjaya mengetengahkan beberapa nilai murni yang dapat mengajak masyarakat menghayati maksudnya.

“Sajak Merdekakan Hatimu karya Ainunl Muaiyanah Sulaiman dan Doa Yang Bungkam (Nissa’ Yusof) menggunakan beberapa bahasa perbandingan yang menarik dalam usaha penyajak mencantikkan puisi mereka,” katanya pada diskusi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Dewan Seminar DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


Rahman yang terkenal dengan teknik deklamasi puisi secara mestamu (mendeklamasi tanpa muzik) turut mengangkat karya penulis mempunyai keunikan meskipun dalam masa sama turut menimbulkan beberapa persoalan daripada aspek logik kreatif.


Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (PPBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mawar Shafei, melalui pengamatannya terhadap 11 cerpen MPR, menganggap ia mampu memperagakan jurus warna kesusasteraan Melayu dengan karya yang hebat.

“Membaca hasil kreativiti penulis muda yang menjalani proses latihan mengarang secara intensif, ternyata menemukan saya dengan beberapa perkara menarik dan mengujakan. Bagaimanapun ada beberapa keanehan dalam beberapa karya yang boleh dibaiki,” jelasnya.

Tambahnya, penulis muda perlu lebih mengambil perhatian terhadap beberapa aspek seperti logik kreatif, bahan cerita bersifat tempelan, kritikan sosial mengenai keanehan sikap manusia serta memastikan watak yang ditampilkan mempunyai fungsinya sendiri.


Seorang lagi Pensyarah PPBKKM, Prof Madya Dr Rosnah Baharudin, berbangga dengan novel Bukan Yang Pertama oleh Salina Ibrahim dan dianggap wajar mendapat tempat di hati pembaca kerana penulis berkenaan tidak pernah melupakan aspek agama dalam setiap hasil penulisannya.

“Walaupun plot yang ditampilkan penulis bersifat sederhana dan mudah dijangka pembaca, tetapi nilai agama, hubungan kekeluargaan dan semangat watak utama berjaya tampil sebagai tokoh penting dalam menjadikan karya berkenaan lain daripada lain.

Baginya, novel terbabit mempunyai keunikan apabila menonjolkan senario hidup graduan yang menganggur, tetapi masih berjiwa kental dalam mengharungi liku hidup penuh konflik sebelum bergelar usahawan cemerlang.


(Sumber Berita Harian, 22 Januari 2009)

dipetik dari http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Sastera/20090122031610/Article/index_html

Majlis Diskusi Mantan MPR 2009 & Beberapa Catatan

Gambar dari blog Kak Nisah

Dari manakah yang molek untuk saya mulakan? Persiapan ataupun terus ke majlis diskusi sahaja? Untuk pengetahuan semua, majlis yang tampak mudah ini sudah pun memulakan langkah yang pertama berbulan-bulan lalu. Jadi, agak payah juga kalau mahu terus melangkah ke majlis diskusi tanpa berbicara perit jerih "adik-adik" kita yang selama ini berhempas pulas menyelesaikan semua.

Sejujurnya, Nasriah dan saya hanya memberi nasihat dan tunjuk ajar apa sahaja yang kami fikir wajar dalam menjalankan majlis ini. Untuk majlis ini kami tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya kerana sudah cukup terbeban dengan tugas lain. Jadi mandat sepenuh kepercayaan telah dipikul Azree Ariffin se
bagai Pengarah Program dan Sayiddah Muizzah selaku setiausahanya.

Juga tidak adil andai saya tidak menyebut nama-nama seperti Azizul Ikhwan (Ode), Zulfazlan Jumrah, Aidil Khalid, Faizal Nizam, Ilham Hafiz, Nissa' Yusof, Zarina, Rashidah Othman, Hazrina Azhar, Jamilah Norddin (sekadar menyebut beberapa nama) yang turut menyumbang banyak sekali dalam memastikan semua yang telah dirancang bergerak lebih lancar dan mudah. Sebenarnya, sepanjang keterlibatan saya bersama dalam aktiviti berbe
ntuk sebegini untuk MPR, tidak melampau andai saya katakan diskusi inilah yang paling berstruktur dan teratur perancangannya. Malah semua AJK faham akan beban tugas, tanggungjawab dan kehendak majlis.


Sebenarnya saya terharu melihat adik-adik ini bersemangat sekali dalam menyudahkan hal-hal diskusi dalam sela ripuh dan senggang pengajian. Tidak hanya cukup dengan pertemuan-pertemuan di KL Sentral beberapa bulan ini tetapi, adik-adik ini masih sanggup menyewa penginapan di Puspanita semata-mata untuk memastikan semua tanggungjawab yang diberi usai malam sebelum diskusi.


Tengah malam sehingga ke awal pagi pun masih menyiapkan, membetulkan, berdiskusi, bertukar fikiran, menjemput teman yang tiba dari jauh di Pudu malah sempat mengedit dan meminta buah fikiran bagaimana hendak menulis dengan baiknya daripada Nimoiz TY. Semua itu berlaku hanya di depan tangga hadapan bangunan berkenaan yang disuluh lampu yang terang benderang. Adik-adik ini tidur lewat, bangun awal malah ada beberapa orang antara mereka tidak langsung lelap sepicing pun bagi memastikan teman-teman lain tersedar pagi itu, sungguh menyentuh perasaan.


...dan Alhamdulilah. Seperti yang dirancang diskusi berlangsung baik sekali. Kedatangan "abang-abang dan kakak-kakak" mantan MPR yang senior (Tuan Haji Faisal Tehrani, Tuan Haji Shamsudin Othman, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Rahimidin Zahari, Lutfi Ishak, Khairul Nizam Abdul Rauf (sekadar menyebut beberapa nama), penulis mapan tanahair seperti Pak Malim Ghozali PK dan Puan Mahaya Mohd Yassin, editor majalah dewan (Bonda Ani (Tunas Cipta), Puan Zaiton Abu Samah (Dewan Siswa), Kak Rozninah Abu Azib (Dewan Sastera)) (sekadar menyebut beberapa nama), semua pemakalah dan pengerusi (Prof Dr Rahman Shaari, Dr Mawar Shafie, Dr Rosnah, Dr Kamariah Kamarudin, Dr Amida (Kak Anis), S M Zakir, Nimoiz TY dan Ummu Hani) serta Lim Fheng Fheng dan Nabiha Mashut sangat memberi erti kepada semua AJK terutama adik-adik ini.


AJK Diskusi Karya Mantan MPR 2009

Dari kiri atas (Nimoiz TY, Zulfazlan Jumrah, Faizal Nizam, Ode, Azree Ariffin, Aidil Khalid & Ilham Hafiz)

Dari kiri bawah (Wardah Putih, Zarina, Jamilah Norddin, Hazrina Azhar, Rashidah Othman, Ainual Muaiyanah, Hani Salwah, Nissa' Yusof dan Nabiha Mashut)


Segala komen, nasihat, kritikan dan teguran mengenai karya Mantan MPR sepanjang diskusi berlangsung banyak membawa manfaat kepada semua Mantan MPR dan warga penulis muda secara amnya. Sesungguhnya aktiviti seumpama ini sebenarnya selain mengeratkan perhubungan silaturahim antara sesama MPR, dapat juga mengembalikan dan memulihkan semangat yang kadang-kadang "hilang" dan "pudar" dikalangan mantan MPR itu sendiri.


Saya mewakili semua AJK, Alumni Mantan MPR dan semua yang terlibat dengan diskusi yang telah pun berlangsung, dengan rendah diri memohon kemaafan atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang program ini berlangsung. Sesungguhnya sebagai "orang muda" yang masih "hijau" kami masih perlukan tunjuk ajar, panduan dan didikan daripada semua.


Untuk AJK yang terlibat, terima kasih atas komitmen anda semua. Serasa tidak terbayar jasa anda semua. Harap masih dapat lagi bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang akan dan bakal kita jalankan bersama di masa-masa akan datang.


Salam hormat,


HANI SALWAH YAAKUP

AYUH HANTAR KARYA ECERAN ANDA!

*** Ini adalah entri pengumuman, untuk entri terkini sila skrol ke bawah

Perhatian kepada seluruh warga MPR. Semoga sihat walafiat hendaknya.

Satu - Karya Eceran

Selepas Majlis Diskusi Karya Novel & Kumpulan Puisi MPR 2008 yang telah berjaya diadakan pada 2 Ogos yang lepas, pihak urusetia dengan ini sedang dalam proses untuk mengadakan sebuah lagi Majlis Diskusi MPR pada hujung tahun ini yang akan melibatkan perbincangan Kumpulan Cerpen dan Karya Eceran (Puisi/Cerpen).

Justeru, pihak urusetia dengan ini ingin membuka peluang kepada mantan MPR 2000-2007 untuk menghantar karya eceran anda sama ada cerpen atau puisi untuk dibicarakan pada majlis diskusi tersebut. Karya anda itu haruslah pernah tersiar di mana-mana media seperti majalah dan akhbar (terutamanya terbitan Dewan Bahasa & Pustaka) sepanjang tahun 2007 dan 2008 serta meliputi pelbagai tema dan persoalan.

Anda boleh menghantar sebanyak mana pun karya kepada pihak urusetia, namun hanya satu karya sahaja daripada seorang penulis akan dipilih untuk dibicarakan untuk sesebuah genre. Senarai karya yang akan dibicarakan akan diumumkan kemudian oleh pihak urusetia. Penghantaran karya bolehlah diemelkan ke aktivitimpr[AT]gmail[DOT]com. Sila hantar karya anda sebelum 15 Oktober 2008.

Maka, apa lagi yang ditunggu? Jom hantar karya anda!

Dua - Gambar

Dengan rendah hati, pihak urusetia memohon kerjasama para mantan MPR dari tahun 1986 hinggalah 2007 yang masih menyimpan gambar-gambar semasa MPR (atau HSS) tahun masing-masing untuk menghantar gambar yang menarik dan sesuai (untuk tontonan umum) kepada emel nissa.yusof[AT]gmail[DOT]com. Gambar-gambar ini tidak akan disalahgunakan melainkan untuk tujuan berkongsi memori dan mengelakkan berlakunya rasa tidak puas hati atau bosan apabila hanya gambar yang sama sahaja dalam montaj MPR setiap program.

Maka, emelkan segera, walaupun sekeping gambar. Tidak perlu tajuk atau format tertentu, cuma nyatakan tahun MPR anda. Terima kasih!


Blog Widget by LinkWithin
top