Showing posts with label Catatan. Show all posts
Showing posts with label Catatan. Show all posts

Perjalanan MPR 2009 : Mencipta Memori Terindah

oleh Mohd Haniff Mohammad Yusoff (Penghulu MPR09)

Program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang hampir menjangkau usia 25 tahun telah menerima ahli keluarga yang baru pada tanggal 19 Disember 2009 yang lalu. Terdiri daripada 13 orang peserta lelaki dan 14 orang peserta perempuan, rata-ratanya mempunyai latar belakang yang berbeza. 27 orang peserta MPR 2009 telah berkumpul di Menara DBP seawal 7.00 pagi lagi. Setelah pendaftaran dilakukan, para peserta MPR 2009 telah dibawa ke Dewan Seminar, Menara DBP untuk menghadiri Perhimpunan Alumni MPR 2009.

Kali ini, para peserta berpeluang bertemu dengan Sasterawan Negara yang ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridwan untuk sesi bersama Sasterawan Negara. Pastinya ini merupakan pengalaman yang manis buat semua peserta. Selain itu, para peserta telah mengikuti ceramah genre puisi yang disampaikan oleh Profesor Rahman Shaari dan genre cerpen disampaikan oleh Tuan Nurizan Raja Yunus @ Ana Balqis. Puan Rozninah Abdul Aziz iaitu editor Dewan Sastera turut meluangkan masa bersama peserta pada hari keempat. Para peserta juga dihidangkan dengan ceramah Penerbitan Karya Sastera Remaja oleh Encik Abdul Rahim Omar.

Sepanjang seminggu berkampung di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson, para peserta telah menerima bimbingan daripada Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Tuan Haji Shamsudin Othman dan Cik Khairunnasriah Abdul Salam. Karya para peserta yang dihasilkan semasa program berlangsung telah dinilai oleh para pembimbing. Para pembimbing telah memberi teguran, nasihat, tunjuk ajar dan teknik penulisan kreatif yang betul kepada para peserta.

Pada hari kelima berlangsungnya program, para peserta telah dibawa ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta berpeluang melawat Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Pendedahan seperti ini dapat membuka minda para peserta untuk mendekati pelbagai jenis bahan bacaan dan memupuk amalan membaca. Tidak ketinggalan, para peserta juga dibawa ke bahagian majalah yang terletak di tingkat 20, Menara DBP.

Para peserta berpeluang berjumpa dengan para editor dan wartawan majalah-majalah terbitan DBP. Sememangnya, lawatan seperti ini dapat mendekatkan para peserta dengan peranan yang dimainkan oleh DBP.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil bagi program MPR 2009 telah diadadakan pada 24 Disember 2009. Majlis tersebut telah dihadiri Puan Hajah Zalila Sharif iaitu Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja serta Puan Hajah Zahrah Ibrahim. Tanggal 25 Disember 2009, berlabuhnya tirai program MPR 2009 yang telah meninggalkan pelbagai kenangan yang pastinya akan terpahat di minda. Keakraban antara kesemua peserta merupakan sesuatu yang amat bernilai. Biarpun baru pertama kali bersua, kita persis telah lama saling mengenali. Saat berakhirnya program MPR 2009 telah mengundang rasa hiba antara kami. Perasaan ini turut dirasai oleh pihak urusetia program MPR 2009. Jutaan terima kasih diucapkan kepada DBP, ahli jawatankuasa @ urusetia MPR 2009 dan tidak dilupakan kepada para pembimbing MPR 2009.

TERIMA KASIH DAN SALAM RINDU DARIPADA KAMI!

PROJEK LOGKEMBARA 2009

Salam Bahasa. Sebuah projek buku logkembara (travelogue) sedang diusahakan oleh sekumpulan alumni UIAM, yang turut mendapat sentuhan mantan MPR dan ingin menjemput tuan puan ahli MPR sekalian sebagai penulis tamu – selain menghimpun penulis dari negara ASEAN lain.

Catatan pengalaman luar negara ini mestilah melepasi konsep listing atau ruangan melancong biasa - ”Pagi ke A, petang ke B, dan kota C sungguh cantik,’ tetapi jujur melihat benua lain dalam pengalaman luarbiasa atau tabu, persepsi istimewa, berilmu baru atau bantu, bual spontan, fakta lokal yang jarang diketahui, atau sisi apa-apa sistem negara berkenaan yang dilihat dari mata generasi muda. 1 muka hingga infiniti.

Dipersilakan!

Hafezin Khadiri
MPR 1997/
hafezin@hotmail.com/
0166310106

Majlis Diskusi Mantan MPR 2009 & Beberapa Catatan

Gambar dari blog Kak Nisah

Dari manakah yang molek untuk saya mulakan? Persiapan ataupun terus ke majlis diskusi sahaja? Untuk pengetahuan semua, majlis yang tampak mudah ini sudah pun memulakan langkah yang pertama berbulan-bulan lalu. Jadi, agak payah juga kalau mahu terus melangkah ke majlis diskusi tanpa berbicara perit jerih "adik-adik" kita yang selama ini berhempas pulas menyelesaikan semua.

Sejujurnya, Nasriah dan saya hanya memberi nasihat dan tunjuk ajar apa sahaja yang kami fikir wajar dalam menjalankan majlis ini. Untuk majlis ini kami tidak mampu memberi komitmen sepenuhnya kerana sudah cukup terbeban dengan tugas lain. Jadi mandat sepenuh kepercayaan telah dipikul Azree Ariffin se
bagai Pengarah Program dan Sayiddah Muizzah selaku setiausahanya.

Juga tidak adil andai saya tidak menyebut nama-nama seperti Azizul Ikhwan (Ode), Zulfazlan Jumrah, Aidil Khalid, Faizal Nizam, Ilham Hafiz, Nissa' Yusof, Zarina, Rashidah Othman, Hazrina Azhar, Jamilah Norddin (sekadar menyebut beberapa nama) yang turut menyumbang banyak sekali dalam memastikan semua yang telah dirancang bergerak lebih lancar dan mudah. Sebenarnya, sepanjang keterlibatan saya bersama dalam aktiviti berbe
ntuk sebegini untuk MPR, tidak melampau andai saya katakan diskusi inilah yang paling berstruktur dan teratur perancangannya. Malah semua AJK faham akan beban tugas, tanggungjawab dan kehendak majlis.


Sebenarnya saya terharu melihat adik-adik ini bersemangat sekali dalam menyudahkan hal-hal diskusi dalam sela ripuh dan senggang pengajian. Tidak hanya cukup dengan pertemuan-pertemuan di KL Sentral beberapa bulan ini tetapi, adik-adik ini masih sanggup menyewa penginapan di Puspanita semata-mata untuk memastikan semua tanggungjawab yang diberi usai malam sebelum diskusi.


Tengah malam sehingga ke awal pagi pun masih menyiapkan, membetulkan, berdiskusi, bertukar fikiran, menjemput teman yang tiba dari jauh di Pudu malah sempat mengedit dan meminta buah fikiran bagaimana hendak menulis dengan baiknya daripada Nimoiz TY. Semua itu berlaku hanya di depan tangga hadapan bangunan berkenaan yang disuluh lampu yang terang benderang. Adik-adik ini tidur lewat, bangun awal malah ada beberapa orang antara mereka tidak langsung lelap sepicing pun bagi memastikan teman-teman lain tersedar pagi itu, sungguh menyentuh perasaan.


...dan Alhamdulilah. Seperti yang dirancang diskusi berlangsung baik sekali. Kedatangan "abang-abang dan kakak-kakak" mantan MPR yang senior (Tuan Haji Faisal Tehrani, Tuan Haji Shamsudin Othman, Salina Ibrahim, Nisah Haron, Rahimidin Zahari, Lutfi Ishak, Khairul Nizam Abdul Rauf (sekadar menyebut beberapa nama), penulis mapan tanahair seperti Pak Malim Ghozali PK dan Puan Mahaya Mohd Yassin, editor majalah dewan (Bonda Ani (Tunas Cipta), Puan Zaiton Abu Samah (Dewan Siswa), Kak Rozninah Abu Azib (Dewan Sastera)) (sekadar menyebut beberapa nama), semua pemakalah dan pengerusi (Prof Dr Rahman Shaari, Dr Mawar Shafie, Dr Rosnah, Dr Kamariah Kamarudin, Dr Amida (Kak Anis), S M Zakir, Nimoiz TY dan Ummu Hani) serta Lim Fheng Fheng dan Nabiha Mashut sangat memberi erti kepada semua AJK terutama adik-adik ini.


AJK Diskusi Karya Mantan MPR 2009

Dari kiri atas (Nimoiz TY, Zulfazlan Jumrah, Faizal Nizam, Ode, Azree Ariffin, Aidil Khalid & Ilham Hafiz)

Dari kiri bawah (Wardah Putih, Zarina, Jamilah Norddin, Hazrina Azhar, Rashidah Othman, Ainual Muaiyanah, Hani Salwah, Nissa' Yusof dan Nabiha Mashut)


Segala komen, nasihat, kritikan dan teguran mengenai karya Mantan MPR sepanjang diskusi berlangsung banyak membawa manfaat kepada semua Mantan MPR dan warga penulis muda secara amnya. Sesungguhnya aktiviti seumpama ini sebenarnya selain mengeratkan perhubungan silaturahim antara sesama MPR, dapat juga mengembalikan dan memulihkan semangat yang kadang-kadang "hilang" dan "pudar" dikalangan mantan MPR itu sendiri.


Saya mewakili semua AJK, Alumni Mantan MPR dan semua yang terlibat dengan diskusi yang telah pun berlangsung, dengan rendah diri memohon kemaafan atas segala kekurangan dan kesilapan yang berlaku sepanjang program ini berlangsung. Sesungguhnya sebagai "orang muda" yang masih "hijau" kami masih perlukan tunjuk ajar, panduan dan didikan daripada semua.


Untuk AJK yang terlibat, terima kasih atas komitmen anda semua. Serasa tidak terbayar jasa anda semua. Harap masih dapat lagi bekerjasama dalam aktiviti-aktiviti yang akan dan bakal kita jalankan bersama di masa-masa akan datang.


Salam hormat,


HANI SALWAH YAAKUP

Manis MPR 2008 - Pencari!

Oleh Raden Qurratu'Aini Muhammad Mun'im
(Raehan Intisor)

Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan (al-'Alaq:1)

Di sekolah saya orang asing. Orang asing ini sangat suka baca buku yang orang lain tak baca. Sangat suka mencatat puisi dan selalunya orang lain malas untuk memahamkannya (Maaf, siapa asing sebenarnya?)

Mantan MPR yang paling dulu saya ketahui ialah abang Firdhaus Hassan sebab terbaca dalam komen ruangan puisi Faisal Tehrani dalam Dewan Siswa April 2007. Cemburu masa itu, teruk! Saya ingat nama dia sampai sekarang. Sampai saya jadi orang pelik, menulis puisi. Sampai masa tingkatan 3 saya tertekan nak PMR dengan kawan yang pelik-pelik, saya menulis puisi. Jadi saya pun berusaha tak mahu jadi asing. Saya terbaca iklan MPR 2008. Ha, ini dia!

Masa inilah segalanya bermula. Saya hantar borang. Puan Zeti beritahu saya dapat tawaran. Siapa tak gembira? Ya, saya rasa tak lama lagi saya tak akan jadi orang asing.

Apabila di Seri Cempaka, hati berbunga-bunga. Orang lambat-mesra macam saya terkebil-kebil dengan orang yang saya tak pernah kenal. Masa taaruf pun sekejap (untuk saya). Apa pun, lambat-laun, saya jadi orang yang agak bising dan tegur semua orang.

Selepas itu, saya rasa saya bertuah sangat. Paling bertuah. Bertuah amat. Semua orang di situ sama minat dengan saya. Jadi, dah tak jadi orang asing.

Perkara yang saya ingat, bila dapat kumpulan dengan Kak Nasriah dan 5 orang lagi yang ragam yang macam-macam , bengkel pertama. Cerpen Abesa (Faisal) kena hentam! Saya banyak belajar daripada bengkel itu. Terima kasih Kak Nas dan kumpulan A. Samad Said. Bengkel dengan Abang Saiful pun banyak ilmu baru dikutip. Puisi - PenUh ISI. Cerpen - CERita PENdek. Bengkel dengan En. Shamsudin (ada abang Lutfi juga), sayalah orang yang paling 'bahagia'. Puisi saya semasa zaman jahiliah saya jadi bahan kajian. Sangat bagus. Diksi yang berterabur dan tanda baca yang meragukan. Saya belajar. Kan?

Rugi sedikit tak sempat berbengkal dengan En. Rahimidin. Masih rasa menyesal dan rugi.

Malam yang ketika itu di'hentam' 4 orang fasilitator, belajar memperihalkan Kak Nasriah. Pun jua, banyak saya belajar pada malam itu.

Duduk terperap di dalam Seri Cempaka sebenarnya dikit sebanyak buatkan hati dan jiwa saya terenap dan terkongkong (sedikit). Setiap masa adalah detik-detik penuh kedinginan yang membuas. Namun menulis adalah kerja yang harus tidak tertangguhkan! Saya tak mahu jadi mereka yang selalu menangguhkan kebenaran. Jadi, di dalam bilik, saya tetap akan meneruskan penulisan dengan Kak Wardah Puteh (Hazwani) dengan menutup suis pendingin hawa. Dengan penuh sabar, ditemani bunyi peluit LRT di landasan berlanggaran - saban hari.

Justeru, peluang berjalan ke kota saya manfaatkan untuk ambil nafas dan idea sekaligus. Dengan mata-mata kota yang telak memandang tepat kepada kami. Pedulikan! Masa ini saya belajar untuk berjalan lebih laju daripada biasa dan ambil idea secepat mungkin. Di Pasar Seni, ada perkara yang saya fahami dengan hati.

Dato' Baha Zain yang baik hati dan Azizi Haji Abdullah yang tak lokek berkongsi ilmu. Ibnu Ahmad al-Kurauwi meledakkan motivasi. Segala puji bagi Allah, saya orang yang sangat beruntung. Para fasilitator dan pihak urusetia semuanya berjasa dan tak mampu saya ungkapkan julung penghargaan saya. Saya sudah jadi orang yang tidak asing ketika berada dalam keluarga MPR. Tambahan lagi adik-beradik MPR yang sangat berpotensi buatkan saya cemburu, dan rasa ini saya letakkan di sumbu semangat. Menulis!

Pulang dari MPR, saya tertekan. Rindu MPR. Di rumah, menulis, menulis, menulis. Di sekolah, menulis juga. SPM saya pada tahun 2009, dan saya rasa jadi tidak seimbang. Selepas itu En. Shamsudin nasihat (melalui sms):

"Menulis menjadi lebih bermakna jika kita memiliki tahap akademik yang tinggi.
Tumpukan SPM di samping terus menulis".

Saya tersedar. Hidup ini sebenarnya mesti banyak mencari. Mencari ilmu, mencari idea, mencari kewarasan, mencari pemikiran, mencari Iman dan mencari erti kehidupan yang sebenarnya. Kita terus mencari Dia dan reda-Nya, sampai nafas waktu berakhir.

MPR, pengalaman itu mengajar saya untuk terus mencari. Mari penulis, kita terus menjadi pencari! Moga apa yang dituliskan menjadi pengingat (zikra) untuk manusia sejagat dan menjadi saham kebaikan yang tak terlihatkan di sini tetapi terlihatkan nanti. Inilah peluang menjadi golongan abrar (yang berbakti). Doakan saya kekal atas jalan ini dengan tidak mengabaikan hak-hak lain yang harus juga dilunasi. Kerana amanah menulis ini adalah nikmat yang harus dimengerti. Menulis itu nikmat!

... Dan saya, bukanlah orang asing lagi (untuk diri saya sendiri).


(Amanah setelah bergelar 'mantan MPR' itu berat juga sebenarnya. Dan puisi Faisal yang keluar baru-baru ini di MM sudah membuatkan hati saya terbakar dengan semangat! Jom tembus media!)

MPR 2008 : Kembara Diri


Oleh Muhammad Faisal Mat Zawi (Mantan MPR2008)


Mulanya,


Minggu Penulis Remaja (MPR). Saat pertama kali saya mendengar perkataan MPR, bagaikan ada suatu perasaan yang terus menarik saya untuk mengenali dengan lebih dekat entiti (jika saya dapat menamakan ia sesuatu yang maujud) serta insan-insan yang bersamanya. Selama saya mengikuti perkembangan MPR secara tidak langsung melalui hebahan media timbul pula minat yang lahir dari rangsangan setelah melihat kejayaan mantannya dalam lapangan sastera.


Saya terdorong untuk menulis sedikit demi sedikit, tetapi kebanyakan karya (andai selayaknya dinamakan ‘karya’) saya diperam sahaja di rumah. Pada tahun 2008, saya cuba untuk menulis secara serius (saya sendiri tidak pasti bagaimana untuk mentafsir perkataan itu sejauh mana) dan sajak pertama saya yang dibuat secara ‘hentam-hentam’ tersiar di sebuah majalah tempatan.Atas kapasiti itu saya mula menilai kembali diri saya serta ‘bakat’ yang ada. Dan segalanya seperti serba menjadi tahun ini (2008). Saya secara tidak sengaja ‘termaklum’ tentang permohonan MPR, tergerak hati untuk mencuba nasib (meski dengan harapan yang menggunung tinggi).


Satu hari, Puan Zety menghubungi saya yang permohonan saya diterima. Ketika itu hanya tuhan sahaja yang tahu betapa gembiranya saya. Seminggu (seingat saya) kemudian surat dari DBP tiba ke halaman rumah (sekarang surat itu hilang entah kemana).Jiwa kacau,Sepanjang mengikuti MPR, terlalu banyak kenangan manis yang terlakar yang saya kira tidak mampu dilarik dengan tinta. Terutama kenangan bersama Pak Leh, Che Din, Che Lan (terima kasih atas pengangkutan dari dan ke stesen bas), Kak Zety dan Kak Nurul (Yon? Terima kasih untuk teh ais di gerai mamak berbulu!) sewaktu menunggu peserta lain tiba pada pagi jumaat itu.


Sesuatu yang janggal kepada saya apabila diperkenalkan dengan barisan pembimbing bengkel, abang Saiful dan kak Nas saya kira tiada masalah cuma apabila disebut abang Im dan abang Sham. Sepertinya saya melihat sekawan lembu yang berterbangan, keanehan menguasai diri. Rahimidin Zahari sepertinya layak saya panggil ‘pak cik’. Samsudin Othman yang dahulunya saya mesra dengan panggilan cikgu (sewaktu di alam shah) tiba-tiba ‘dikerah’ supaya dipanggil abang (?).


Namun di atas itu semua, yang paling menggembirakan hati saya. Nyata saya tidak berseorangan selama ini. Dahulu, jika saya berjalan-jalan di pekan atau mana-mana sahaja, memerhati dan cuba menyelami kehidupan setiap subjek yang dilihat pada mata kasar saya, yang kemudian membuahkan fikiran-fikiran aneh tentang masyarakat membuatkan saya merasa diri ini pelik, bercakap dengan diri sendiri sewaktu berjalan (atau merenung seseorang yang duduk di seberang jalan hingga dia menafsir saya berniat jahat terhadapnya, atau bercakap dengan orang yang ditemui dalam LRT).


Keanehan ini makin menjadi-jadi apabila saya memiliki kamera sendiri, pernah orang melihat dengan memicingkan mata (mungkin mereka fikir saya gila) apabila berjalan di sekitar Kuala Krai dengan kamera Finepix J10 di tangan, mengambil gambar di tengah-tengah jalan dan sebagainya. Menghentam orang atas alasan ‘poetic licence’.Sebaik memasuki gerbang keluarga besar MPR yang kini genap 22 tahun, saya tahu yang ‘keluarga’ ini juga begitu (walau tidak sekronik saya). Rupa-rupanya ramai lagi yang mentafsir masyarakat seperti saya ( baca: cuba). Bagi saya itulah yang menyatukan mantan MPR semua, kerana keanehan jiwa itulah, walau bagaimana rupanya sekalipun yang mengikat kita.


Akhirnya,


Sepanjang mengikuti MPR, gelaran ‘peserta’ itu seperti tidak membawa rasa kepada saya. Saya kira apabila digelar ‘mantan’ MPR, disitulah datang sihirnya, yang mendatangkan suatu perasaan aneh dalam jiwa yang mendengar. Juga kerana gelaran ‘mantan’ MPR seperti membawa lesen besar kepada karya yang dihasilkan. Namun disitulah juga adanya tanggungjawab untuk memastikan karya yang dihasilkan setara dengan gelaran ‘mantan’ itu. Terutama selepas seminggu di’bengkel’kan oleh mantan MPR sendiri (kecuali abang Saiful).Legasi MPR akan terus berjalan dalam arus masa yang digerakkan hukum Allah s.w.t. sambil saya akan terus berpayung dibawahnya.


Al-Qalam:1, “...demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan..)

CATATAN ZARIHAH HASSAN - MANTAN MPR 1986

**ambilan dari yahoogroups mantan MPR

Zarihah Hassan,
Pemenang Anugerah Sri Angkasa 1993 (kategori skrip terbaik)

Assalamualaikum kepada adik-adik yang dikasihi.

Terlebih dahulu diucapkan Selamat menyambut Ramdhan Al-Mubarak,
Saya gembira membaca email dari Ummi Hani Abu hassan, Alhamdulillah akhirnya Allah kabulkan doa saya agar ada adik-adik yang akan mengikut jejak saya sebagai penulis skrip setelah ' graduet' dari MPR.

Saya ini 'product' MPR sekitar tahun 1986 dan telah hampir 17 tahun menjadi penulis skrip drama tv profesianal dan telah menghasilkan bertarus-ratus drama bersiri dan telemovie, terbaru disiarkan ialah drama khas sempena sambutan hari kebangsaan berjudul 'MANAKU BUKAN SETSUKO'. Sekarang ini pula tengah tayang di TV1 (jam 2 petang, Isnin- khamis) drama khas Ramadhan (untuk kanak-kanak) 'IMPIAN LAILI'. Sebuah drama penuh pengajaran, mengenai kelebihan orang berpuasa dan malam lailatul Qadar.

Saya memang mengambil langkah berdiam diri dan jarang bercampur dengan setiap program anjuran MPR kerana saya melihat di kalangan adik-adik dalam MPR tidak ada yang nampaknya bangga untuk terjun ke dunia penulisan tetapi sekarang segalanya sudah berubah. Saya berharap selepas ini akan ada lagi mereka yang berminat dan menjadikan penulisan skrip drama tv sebagai pilihan.

Memang betul kata Ummi berdakwah banyak caranya dan sebagai hamba Allah yang dikurniakan bakat (saya sentiasa yakin manusian penulis adalah manusia paling istimewa dan mempunyai tanggungjawab yang besar kepada masyarakat) kita mesti gunakan bakat dan ilmu yang kita ada untuk menyampaikan pengajaran yang baik. Saya juga asalnya mempunyai latarbelakang pendidikan agama dan skrip yang saya hasilkan selalu berlandaskan 'AMAL MAKRUF NAHI MUNGKAR'.

Jika Ummi memberi contoh dan proposal kepada adik-adik semua, saya pula ingin memberi sedikit tips untuk menjadi penulis skrip yang baik dan cerita yang hidup. Seorang penulis skrip yang baik ialah mereka yang faham tentang masyarakatnya, sejarah banganya dan faham akar umbi agamanya, menulis sesuatu cerita yang dekat dengan masyarakatnya, bergaul sebagai manusia biasa dalam masyarakatnya, tidak bangga diri dan mendabik dada bila karya dipuji, jangan cepat melenting dan fahami suasana dalam 'perniagaan' skrip sebab industri drama Tv tidak sama dengan industri penerbitan cetak. Sedia mendengar nasihat dan sentiasa bertolak ansur, jangan curi idea orang sebab industri ini kecil kerana jika sekali kita buat tak baik penerbit tidak berani lagi ambil karya kita.

Sekian
Berkarya Berbakti
Zarihah Hassan
Blog Widget by LinkWithin
top