10: Puasa (Dan Raya) Penulis



PUASA (DAN RAYA) PENULIS

Seperti sabda nabi
bahawa kegembiraan orang yang berpuasa itu, salah satunya
adalah pada ketika tibanya saat berbuka
barangkali seperti itu jugalah
kegembiraan seorang penulis itu, salah satunya
adalah pada ketika karyanya diterima
disiarkan lalu kemudian ditatapnya.

Ah, lega! (sehabis berbuka)
Wahai dunia, karyaku tersiar!

Seperti mana telah dimaklumi
bahawa kesusahan orang yang berpuasa itu, salah satunya
adalah pada ketika siangnya berlapar dahaga
serta berletih lesu melawan nafsu
barangkali seperti itu jugalah
kesusahan seorang penulis itu, salah satunya
adalah pada ketika ia berfikir memerah otaknya
menaut ilmu menyusun kata.

Aduh, laparnya!
Aduh, rengsanya! (mencari idea)

Seperti mana kemenangan orang yang berpuasa itu, salah satunya
akan dirasai pada ketika tibanya Syawal
lalu diraikan dengan berhari raya bertakbir dan bertahmid
barangkali seperti itu jugalah
kemenangan seorang penulis itu, salah satunya
akan dirasai pada ketika tibanya cek royalti
lalu diraikan dengan membeli buku dan azam untuk lebih prolifik.

Selamat hari raya.
Selamat menulis terus.

Aidil Khalid
Kamar Suluk, Shah Alam

3 komen:

FARAHNYEMAHMULYA said...

SETUJU!.

Azree Ariffin said...

saya suka puisi ini. Seperti juga berpuasa, menulis kan satu ibadah juga?

Selamat berpuasa dan beraya!

Aidil Khalid said...

Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. =)

Blog Widget by LinkWithin
top