Penulis MPR perasan hebat!

Oleh Hasnidarwina Hasim
(Dipetik dari Berita Harian , 16 Julai 2009)

Tohmahan dibuat penulis baru ekoran mereka tidak mesra

PERHIMPUNAN Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009 di Ayer Keroh, Melaka, tidak lama dulu, meninggalkan kesan kurang menyenangkan kepada sesetengah peserta meskipun 18 kertas kerja dibentangkan kalangan pengarang mapan dan mereka yang bergelar Minggu Penulis Remaja (MPR).

Meskipun kertas kerja yang dibentangkan hebat, tetapi kurangnya kemesraan di antara kelompok penulis MPR dengan pengarang baru tanpa sebarang label, menyebabkan perhimpunan yang diadakan empat tahun sekali itu dilihat meresahkan.

Sesetengah pengarang baru berasa diri mereka dipinggirkan dan hakikat tiadanya kemesraan yang dihulurkan kelompok penulis MPR, menyebabkan mereka membuat andaian kelompok terbabit berbangga diri kerana bernaung di bawah MPR.

Panel PPMN 2009, Ariff Mohamad, melihat kurangnya kemesraan anggota MPR dengan penulis di luar kelompok terbabit berkemungkinan disebabkan mereka tidak saling mengenali kerana kalangan panel juga ada yang baru pertama kali bersua muka.

"Keterbatasan waktu kerana pengisian program yang padat mengehadkan peluang peserta untuk berinteraksi. Ada baiknya juga sesi suai kenal diadakan pada acara akan datang. Bahkan kumpulan kecil wajar dibentuk bagi menjayakan bengkel atau kegiatan lain agar silaturahim dapat dieratkan," katanya

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kenyataan bahawa ada di antara penulis muda dalam kelompok MPR, beranggapan bahawa mereka berada dalam keluarga yang selesa dan mesra' sehingga enggan bercampur dengan penulis lain.

Tindakan peserta MPR yang hanya menghantar karya ke Tunas Cipta, meskipun hakikatnya banyak majalah lain turut menawarkan ruangan kreatif turut beliau bangkitkan ketika melapah Memeta Identiti Penulis Muda Malaysia pada perhimpunan itu.

"Penulis muda di bawah PMR membataskan karya mereka ke Tunas Cipta, meskipun ada majalah lain menyediakan ruangan sastera. Tunas Cipta perlu mesra dan terbuka. Apa perlunya ruangan Alumni MPR? Apakah mereka di luar lingkungan tidak perlu dikenali?" soalnya.

Ariff mencadangkan pembaharuan dilakukan pada perhimpunan seumpama itu agar silaturahim penulis baru, mapan dan MPR dapat berkembang selain diperkukuhkan, tetapi ia memerlukan kerjasama daripada semua pihak untuk merealisasikannya.

"Saya berharap pada perhimpunan akan datang, penulis muda hadir sebagai individu tanpa dibayangi logo atau kelompok mana sekalipun dengan matlamat boleh diajak berbincang atau berdiri sebagai penulis sama ada depan, tengah, mahupun belakang," ujarnya.

Mantan MPR, Shamsudin Othman, sedikit beremosi ketika diajukan perkara sama dan berharap agar jurang antara penulis tidak dipersoalkan lagi kerana baginya seseorang penulis tidak pernah membina jurang agar tidak didekati orang lain.

"Untuk menjadi penulis hebat dan mapan, penulis muda perlu berani memulakan langkah dan tidak timbul persoalan rasa bangga diri. Penulis mapan dan MPR mudah didekati dan dimesrai. Ia hanya salah faham dan perkara biasa dalam semua bidang, ada rasa hormat dan saling mengagungi," ujarnya.

Beliau berterus terang bahawa perkara terbabit sebagai proses kematangan manusia kerana dirinya pernah mengalami peristiwa serupa iaitu berasa malu untuk bertegur sapa dengan Sasterawan Negara (SN), Allahyarham (Dr) Usman Awang, Allahyarham Keris Mas dan Datuk (Dr) A Samad Said.

"Saya turut segan bertegur sapa dengan penerima Anugerah Penulis Sea seperti Datuk Dr Kemala dan Datuk Dr Anwar Ridhwan di samping penulis sebaris dengan mereka, tetapi lama-kelamaan, semuanya terjawab sendiri.

"Faisal Tehrani misalnya, antara penulis pelapis yang berani menyapa dan bergaul dengan sesiapa sahaja dan akhirnya dalam meniti usia muda, beliau cepat dewasa dan mampu melahirkan karya hebat," jelasnya.

Baginya tidak wajar membuat andaian dalam tempoh pertemuan singkat dan perkara utama ialah program seumpama itu dapat menjadi pencetus kepada hubungan intim lagi bermakna, manakala kepada penulis baru, ia menjadi langkah permulaan merealisasikan kematangan penulisan mereka.

5 komen:

zhk said...

Warga MPR wajar duduk sesama mereka sewaktu PPN lalu lantaran berdiskusi demi melicinkan perjalanan PPN, noktah.

Anonymous said...

Jangan besarkan perkara yang kecil dan tampak samar.

Manusia selalu dikaburi dengan prasangka buruk.

Fitnah itu sangat dahsyat. Barangkali tidak membunuh, tetapi melukakan hati saudara sendiri.

Fahd Razy said...

Sebenarnya saya baca artikel ni rasa macam lucu pun ada...terutamanya tajuknya. Macam baca artikel dalam pancaindera pula. ahah

Fahd Razy said...

sensasi juga ye...

Sayidah Mu'izzah said...

sokong zhk. kalau MPR tak ada, perjalanan PPMN mungkin jadi lembab. kami semua jadi bidan terjun. ad hoc jadi ajk.

saya tak fahamlah kenapa nak gaduh2 macam ni. cukuplah ahli politik je yang bergaduh. penulis duduk diam2 tulis karya yang boleh membina masyarakat. tengok penulis-penulis dulu masa zaman-zaman nak merdeka. mereka menggunakan kuasa sastera untuk menyedarkan masyarakat. membuka minda masyarakat.

tolonglah jangan jadi bara api yang tak menyala. panas tapi sebenarnya kuasa api tu tak nampak. panas tapi akhir sekali jadi arang. hitam legam.

tolong ye....

Blog Widget by LinkWithin
top