Borak Buku 7 di Media


Samad Ismail jujur dalam karya


GAYA penceritaan yang jujur, penggunaan bahasa santai lagi mudah difahami dan mesej dalam karya Tokoh Wartawan Negara, Allahyarham Tan Sri Abdul Samad Ismail, antara faktor yang menyebabkan panel Borak Buku, Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khir Ngadiron, berkongsi kekagumannya terhadap tokoh itu.

Beliau berkongsi Antologi Cerpen Temasya Tinta karya tokoh itu yang kerap dipanggil sebagai Pak Samad kerana mengagumi ketelusan penceritaan kesemua cerpen yang dimuatkan dalam buku tersebut, selain menyifatkan karya tokoh itu sangat bertepatan dengan situasi masyarakat di negara ini.

“Pak Samad seorang pemerhati dan peneliti situasi yang berlaku di sekitarnya. Justeru, tidak hairanlah penulisannya banyak menceritakan gaya kehidupan masyarakat negara ini secara telus tanpa ada yang ‘disembunyikan’, walaupun hal berkaitan keruntuhan akhlak bangsa Melayu.

“Tambahan pula Pak Samad satu ketika dulu adalah seorang wartawan dan beliau melihat kehidupan golongan yang sebidang dengannya pada waktu tersebut sangat bebas, seperti mengunjungi kelab malam dan minum arak. Suatu perkara yang bukan asing bagi masyarakat pada zaman itu,” ujarnya pada program Borak Buku di Coffee Bean and Tea Leaf, Stesen Sentral Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Walaupun Pak Samad banyak berbicara mengenai keruntuhan nilai moral masyarakat pada zaman 1970-an dan 1980-an dalam antologi itu, Mohd Khir meminta pembaca tidak tergesa-gesa menilai sesuatu karya, sebaliknya meminta mereka membuka minda menerima gaya penulisan seseorang supaya dapat menghayati mesej di sebalik karya.

“Membaca sesuatu karya, kita sebagai pembaca sewajarnya tidak meletakkan sebarang syarat atau had untuk setiap karya kerana ia ada keistimewaan tersendiri. Pada saya, meletakkan had kepada sesebuah karya ibarat menyekat kebebasan untuk menelaah apa yang ada dalam kehidupan,” tegasnya.

Ketika ditanya mengenai cerpen yang menjadi kegemaran atau paling meninggalkan kesan, tanpa masa yang lama Mohd Khir memberitahu amat menyukai Hussein Zei dan Belajar Agama kerana mesej yang terkandung dalam kedua-dua cerpen tersebut.
“Hussein Zei sebenarnya banyak memberi pembaca mesej berguna. Hussein Zei, kenalan Pak Samad yang ditemui di Singapura sebelum menjadi wartawan digambarkan seorang yang pandai mengambil kesempatan demi kepentingan peribadi.

“Sifat Hussein Zei boleh didapati di mana saja ketika ini dan sebenarnya mengajak pembaca mencari rezeki dengan cara yang betul, manakala Belajar Agama mengisahkan isteri penulis yang ingin mendalami ilmu agama dengan isteri pekerjanya, Ustazah Zaiton, tidak kurang menarik.

“Ustazah Zaiton, isteri kepada pekerja Pak Samad seorang yang naif sehingga tidak mengetahui suaminya bermain cinta di belakangnya. Setelah berjaya menghidu kecurangan suami, dia berjumpa bomoh untuk meminta bantuan.

Bagaimanapu mesej cerpen ini positif iaitu mendalami ilmu agama, selain mengamalkan kehidupan yang diredai Allah SWT,” jelasnya.

2011/09/20


Borak Buku dengan Y.B. Nik Nazmi Nik Ahmad

Borak Buku siri 8 telah kembali. Selepas berehat pada bulan Ogos sempena meraikan Ramadan, September ini, Alumni MPR dan Biro Penulis Muda PENA bakal menjemput YB Nik Nazmi Nik Ahmad ke meja Borak Buku.

Jom beramai-ramai turut serta pada;

Tarikh: 18 September (Ahad)
Masa: 3.30pm - 5.00pm
Lokasi: The Coffee Bean, KL Sentral

Seperti biasa, tokoh jemputan diminta memilih sebuah buku yang memberi kesan kepada beliau untuk dibicarakan bersama para peserta. Buku yang dipilih oleh YB Nik Nazmi adalah seperti berikut:

Tajuk Buku: Dr. Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya
Penulis: Ahmad Boestamam
Penerbit: Pustaka Kejora

Ya, ini adalah program borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Acara ini bersifat santai. Peserta boleh memilih untuk datang memberi pendapat atau mendengar sahaja.

MPR atau bukan MPR, PENA atau bukan PENA, muda atau tidak muda. Semua boleh ikut serta. Tidak perlu mendaftar. Jika anda berminat dan berkelapangan, datang sahaja dan kita borak-borak.


Borak Buku



Setakat tahun ini, masih belum ada perancangan untuk sebarang aktiviti besar alumni MPR. Sambutan 25 tahun MPR juga berlalu begitu sahaja. Tetapi, harapnya ramai yang menyedari kewujudan Borak Buku; sebuah program santai borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Program ini adalah program kerjasama Alumni MPR dan Biro Penulis Muda PENA.

Syukur, program yang dirancang secara berkala setiap bulan bermula Januari 2011 ini sudahpun mempunyai 7 siri. Setiap siri menampilkan tokoh berbeza. Setiap tokoh akan memilih sebuah (atau lebih) buku yang memberi kesan kepada beliau untuk dikongsi bersama peserta.

Matlamat program ini adalah untuk mendekatkan khalayak, terutama generasi muda di sekitar ibu kota, dengan buku dan amalan membaca. Untuk itu tokoh yang dijemput tidak hanya dalam kalangan sastera, tetapi seboleh-bolehnya daripada pelbagai golongan. Setakat ini kita sudah menjemput sasterawan, budayawan, seniman, ahli korporat, pengamal perubatan dan mungkin selepas ini ahli politik.

Senarai tokoh yang sudi ke meja Borak Buku;

Januari
SM Zakir, memilih buku Taras Bulba (karya Nikolai Gogol)
Lokasi: Starbucks, KL Sentral


Februari
Dr. Siti Zainon Ismail, memilih buku A Many Splendored Thing (karya Han Suyin)
Lokasi: Coffee Club Express, Kinokuniya, KLCC

Mac
Fadli Al-Akiti, memilih buku Sphere (karya Michael Crichton)
Lokasi: Starbucks, KL Sentral

April
Raja Ahmad Aminullah, memilih buku Salina (karya A. Samad Said) dan The Book of Laughter and Forgetting (karya Milan Kundera)
Lokasi: Coffee Club Express, Kinokuniya, KLCC

Mei
Dr. Shahrol Lail Sujak, memilih tetralogi Laskar Pelangi (karya Andrea Hirata)
Lokasi: The Coffee Bean, KL Sentral


Jun
Dato' Dr. Anwar Ridhwan, memilih Hikayat Inderaputera
Lokasi: The Coffee Bean, KL Sentral


Julai
Mohd Khair Ngadiron, memilih kumpulan cerpen Temasha Tinta (karya A. Samad Ismail)
Lokasi: The Coffee Bean, KL Sentral

Sempena Ramadan, bulan Ogos tidak akan ada Borak Buku. Kita bertemu lagi di meja kopi September nanti. Salam Ramadan.


Borak Buku dengan SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan


***Entri ini adalah entri promosi. Untuk tulisan terkini, sila skrol ke bawah.



Borak Buku siri 6 telah kembali. Bulan ini, Alumni MPR dan Biro Penulis Muda PENA bakal menjemput Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan untuk berkongsi buku kegemaran beliau.

Dato' Dr. Anwar Ridhwan merupakan Sasterawan Negara ke-10 yang terkenal menguasai pelbagai genre sastera seperti puisi, cerpen, novel dan drama.

Buku yang akan dibicarakan ialah Hikayat Inderaputera

Tarikh: 19 Jun 2011 (Ahad)
Masa: 3.30pm - 5.00pm
Tempat: Coffee Bean, KL Sentral

Program ini adalah program borak-borak santai dan terbuka kepada semua golongan pembaca. RSVP di sini.


Catatan MPR 2011


Mohd Hafizul Faiz Hashim sedang mendeklamasikan puisi

Kembara Mencari Kerjaya

Oleh Mohd Hafizul Faiz Hashim (suratanmakhfi.wordpress.com)

SETELAH bersusah payah bermain dengan perasaan yang berbaur harapan untuk ke Minggu Penulis Remaja (MPR), akhirnya impian saya tercapai setelah dihubungi oleh Puan Zeti Aktar Jaffar @ Abu Bakar yang mengatakan bahawa saya layak untuk ke MPR bagi tahun 2011. Tanggal 29 Mei 2011, seramai 24 orang peserta yang terdiri daripada sembilan orang lelaki dan 15 orang perempuan berjaya menghadirkan diri bagi sesi pendaftaran. Pada mulanya, saya berasa begitu kekok kerana saya telah diuar-uarkan bahawa semua peserta MPR dipilih berdasarkan bakat dan karya mereka yang telah menembusi media arus perdana. Setelah berkenal-kenalan dan saling bertanya khabar, ya, memang benar. Kebanyakan mereka begitu berbakat dalam bidang penulisan dan metah meminati bidang ini. Sempat saya potretkan sekeping aforisme ketika saya sedang berehat-rehat di surau bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka;

‘Sekarang sedang berehat-rehat di surau Bangunan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Sedang memerhati keadaan sekeliling yang bertatahkan sastera dan keunikan. Jiwa yang rencam bakal reda apabila kolong illusi bertukar menjadi realiti. Program MPR (Minggu Penulis Remaja) anjuran DBP (Dewan Bahasa Dan Pustaka) bakal berlangsung selama seminggu. Segala jerih dan rona-rona sastera bakal mewarnai kehidupan dan bekas perasaan.’

Perjalanan ke lokasi program iaitu Shah’s Beach Resort, Tanjung Kling Melaka memakan masa hampir empat jam lebih. Kami bertolak pada jam sebelas pagi dan tiba di sana pada jam 3.30 petang. Seterusnya, slot pertama iaitu sesi bersama tokoh sastera terus berlangsung. Dalam keadaan yang masih janggal dan penuh dengan persoalan, kami terus diberikan semangat dan taklimat yang begitu mengkagumkan oleh tokoh sastera negara, Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI). Beliau merupakan seorang penyajak dan pemuisi terkenal yang pernah memenangi anugerah S.E.A Write Awards. Apa yang paling menjentik nubari saya ialah penceritaan semula kesusahan dan liku-liku yang dialami beliau demi mengejar minat diri dalam dunia sastera. Apa yang dapat saya kongsikan ialah sebaris kata-kata yang ditulis beliau mengenai bidang penulisan;

‘Dunia penulisan ialah dunia penuh misteri. Abstrak. Individualistik. Subjektif. Penuh cemburu-mencemburui. Tentangan. Kegagalan demi kegagalan. Putus asa yang timpa-menimpa. Dunia yang penuh konflik. Dunia yang mencabar daya intelek. Dunia yang meminta pengorbanan masa dan wang ringgit.’

Kami didaftarkan masuk hotel setelah selesai minum petang. Sebuah bilik yang hanya menampung dua orang peserta sahaja dan disediakan kemudahan-kemudahan yang lengkap begitu mempesonakan. Resort yang terletak di pinggir pantai itu amat mententeramkan. Kemudahan dewan yang berhawa dingin, kafe yang bersuasana romantis, kolam renang dan mandala santai di tepi laut amat menenangkan mata yang memandang. Saya fikir program ini bakal menjanjikan kenangan yang begitu manis.

Di sebelah malam pada hari pertama program, sesi taklimat dan suai kenal berlangsung. Saat inilaah semua peserta mula berkenal-kenalan. Ada yang baru berumur 17 tahun tetapi sudah layak untuk menjadi peserta MPR 2011. Bagi saya, mereka amat bertuah kerana terpilih pada usia sebegitu. Bukan senang untuk menulis pada jangka waktu yang begitu mencabar. Ada juga yang datang dari IPT masing-masing dan para bakal guru yang datang dari IPG masing-masing. Apa yang dapat saya potretkan ialah kesemuanya amat meminati bidang penulisan. Justeru, saya dapat nukilkan seandainya sekelompok manusia bertemu dalam satu minat yang sama pastinya keadaan akan menjadi serba bermakna.

Peserta bersama dengan penyair, Shamsudin Othman

Tidur yang nyaman diselimut hawa dingin dan selebu pantai pastinya menyenyakkan. Pada hari kedua, sesi bersama penulis puisi Abang Mohd Lutfi Ishak yang mendiskusikan tentang maksud dan pengertian puisi dan keberadaan puisi di dunia. Beliau juga menjelaskan kaitan puisi dengan kehidupan manusia dan apakah kuasa puisi yang mampu memberi impak terhadap dunia sehingga kini. Beliau banyak membuka minda dan pengetahuan yang mendalam tentang puisi dan dunia sastera. Beliau juga banyak menekankan sifat beramanah di dalam berkarya. “Sebagai seorang penulis, apa yang kita tulis akan ditanya di padang terbuka (mahsyar) nanti. Justeru, menulislah sesuatu yang berkaitan agama dan kebenaran. Jangan menulis sesuatu yang bersifat negatif dan berisiko memberi impak yang tidak baik,” kata beliau.

Sejurus selepas itu, sesi bersama dengan Kak Salina Ibrahim pula menyusul. Beliau merupakan seorang penulis novel yang terkenal dan sudah banyak menghasilkan cerpen-cerpen bermutu tinggi. Karya-karya beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan beberapa kali. Kebanyakan cerpen beliau menempah tempat di media arus perdana. Beliau juga banyak berkongsi tentang suka dan duka untuk menjadi seorang penulis sepenuh masa. Sikapnya yang ramah dan suka berjenaka menyebabkan kami tidak merasa kekok untuk berinteraksi dengannya. Antara salah satu pengalaman yang pernah beliau kongsikan ialah pengalaman mendapat idea menulis cerpen Memaknakan Cinta hasil dari menghadiri seminar berkaitan dengan sumbang mahram. Cerpen ini juga telah tembus di suratkhabar Utusan Melayu Mingguan.

Sesi bersama dengan seorang cerpenis muda Kak Khairunnasriah Abdul Salam juga begitu menyeronokkan. Beliau yang banyak menghasilkan cerpen dalam usia yang begitu muda, dan sikapnya yang periang menggamatkan suasana. Beliau juga banyak berkongsi jerih payah untuk mencapai impian beliau. Walaupun begitu, beliau tetap berusaha gigih. Beliau melampirkan beberapa cerpen tulisan beliau dan menghuraikan ciri-ciri cerpen yang bermutu tinggi. Gaya penyelerakan latar, permainan watak dan konflik dalam sesebuah cerpen begitu ditekankan untuk menghasilkan cerpen yang mampu menembusi arus media perdana.

Peserta lelaki MPR 2011

Selain ceramah, bengkel-bengkel menulis puisi dan cerpen juga diadakan. Di sini, para peserta akan didedahkan cara dan kaedah yang terbaik untuk menghasilkan sesebuah cerpen. Kami diwajibkan menulis sebuah cerpen dan tiga buah puisi dalam masa tiga hari. Ya memang memenatkan tetapi keadaan menjadi serba bermakna kerana kami mendapat suasana yang begitu mendorong dan memberikan semangat untuk menulis. Jika kebuntuan idea, kawan-kawan ada untuk membantu. Kami sanggup tidur lewat malam hanya kerana ingin menyiapkan sebuah cerpen yang rata-rata hanya lapan mukasurat sahaja. Kami berkongsi idea dan rasa bersama sepanjang proses menyiapkan sebuah cerpen dan tiga buah puisi tersebut.

Pada waktu petang, kami diberi kebebasan untuk berehat dan melakukan aktiviti kendiri. Para peserta lelaki banyak menghabiskan waktu bermandi-manda di kolam renang berair panas dan pantai yang berdekatan. Ada juga peserta yang bersantai di tepi pantai sambil menunggu ilham datang menerpa. Ada juga yang mengambil waktu senggang tersebut untuk melawat kawasan-kawasan resort yang metah indah itu. Sungguh menggembirakan.

Para fasilitator bukan sahaja memberi jalan dan kaedah untuk menjadi seorang penulis bermutu tinggi, tetapi semangat dan dorongan yang kental dan persediaan untuk menghadapi ujian yang bakal mendatang. Ilmu-ilmu yang dicurahkan dan kesabaran mereka melayani kerenah kami itulah yang menjadikan kami mula merasa betapa perlunya kami untuk terus berjuang meninggikan sastera bahasa melayu.

Dua hari sebelum berakhir program sesi bedah karya diadakan secara berkumpulan. Setiap kumpulan akan dikelolai oleh fasi yang terlibat. Fasi bagi genre cerpen ialah Kak Salina Ibrahim dan Kak Khairunnasriah Abdul Salam. Manakala fasi bagi genre puisi dan sajak akan dikelolai oleh Abang Mohd Lutfi Ishak dan Abang Haji Shamsudin Othman. Karya setiap peserta disemak secara terperinci. Di sini, kami banyak belajar daripada kesalahan. Proses pembelajaran begini amat berkesan untuk kami mengenal pasti kesalahan kami dan cuba memperbaikinya di hari yang mendatang.

Peserta Wanita MPR 2011

Pada hari Khamis, sehari sebelum berakhir program, kami dibawa bersiar-siar di sekitar negeri Melaka. Kami dibawa menaiki River Cruise melalui Sungai Melaka dan melihat setiap keunikan dan keindahan bandar negeri bersejarah itu. Seterusnya, kami dilepaskan untuk membeli-belah di sekitar bandar Bandar Hilir, Melaka. Bagi peserta yang tidak pernah melawat Melaka, peluang ini pastinya peluang keemasan untuk mereka meneroka setiap pelusuk negeri bersejarah itu yang kebanyakan lokasi-lokasi pelancongannya berada secara dekat-dekat. Dengan hanya berjalan kaki, mereka boleh meneroka setiap tempat bersejarah di negeri Melaka seperti Kota A Famosa dan Menara Taming Sari.

Malam sebelum hari terakhir program, kami mengerah idea dan tenaga kerana diminta membuat persembahan di Majlis Penutupan MPR 2011. Walaupun persembahan itu cuma sederhana tetapi kenangannya begitu indah. Kami bergabung tenaga dan idea untuk mempersembahkan persembahan yang cukup bermakna. Kami dibahagikan sebanyak dua kumpulan dan setiap kumpulan mestilah membuat satu persembahan. Kumpulan pertama membuat persembahan puisirama dan kumpulan kedua membuat persembahan puisi beserta video.

Peserta MPR 2011

Keadaan menjadi semakin gelisah, gusar dan sedih apabila saat perpisahan hampir tiba. Setelah bergambar bersama-sama, kami mula diterjah perasaan sedih kerana kami akan berpisah dan pastinya amat sukar untuk kami bertemu semula. Bagi saya, kenangan ini tidak mampu digantikan dengan apa-apa kerana kemanisannya menyusup masuk ke dalam kotak memori kehidupan. Kepada semua kawan-kawan, saya doakan kalian terus diberkati dan dirahmati atas bidang yang kalian ceburi dan selamat meneruskan perjuangan pena. Kepada para fasilitator, kami ucapkan jutaan terima kasih diatas segala tenaga, ilmu, dan kesabaran melayan kerenah kami. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang mampu jasa kakak-kakak dan abang-abang yang sanggup mengorbankan masa untuk bersama-sama kami selama minggu di sana. Sekian sahaja kenangan yang mampu saya potretkan di sini. Semoga para graduan MPR 2011 dan tahun-tahun lain bakal menggegarkan dunia penulisan juga suatu hari nanti. Terima kasih.


Selamat Datang Mantan MPR 2011

Pihak Alumni Minggu Penulis Remaja dengan berbesar hati mengalu-alukan kedatangan
Mantan MPR 2011 yang baru sahaja berlangsung di Tanjung Kling, Melaka.
Semoga terus tekal menulis dan mewarnai nuansa sastera tanah air.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai MantanMPR 2011, pihak Alumni MPR telah pun mengemaskinikan pautan blog Mantan MPR 2011 di ruangan pautan.
Silalah berkunjung.
Blog Widget by LinkWithin
top