Orang Muda Tidak Membaca; Mitos atau Fakta?



Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, Biro Penulis Muda Pena akan menganjurkan sebuah forum yang membincangkan tahap pembacaan orang muda dalam era teknologi ini.


Butiran program:

Tajuk: Orang Muda Tidak Membaca; Mitos atau Fakta?

Ahli Panel:
Ahmad Fedtri Yahya (Pengacara MHI/Penulis lirik)
Sdr.Nazri M. Anuar (novelis)
Sdri. Alina (Pensyarah UPSI)


Tarikh: 26 Mac 2010 (Jumaat)

Jam: 5 pm - 7 pm

Tempat: Dewan Sabah / Kedah


Ayuh orang muda, para pembaca, penulis, pencinta ilmu dan seluruh warga Malaysia, kita bincangkan sejauh mana benarnya mitos ini. Jumpa anda di sana.

Dialog Orang Muda (Dom)



Biro Penulis Muda Pena dengan segala hormatnya menjemput para peminat sastera untuk mengadiri Dialog Orang Muda (Dom) - Kebebasan: Penulis Tercekik? bertempat di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur

Pada: 6 Mac 2010 (Sabtu)
Jam: 10 pagi

Ahli panel
1. Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Arif Mohamed
2. Ketua Wartawan Malaysiakini Bahasa Malaysia, Mohd Jimadie Shah Othman
3. Pengajar di Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), Mohd Ali Atan.

Moderator
Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda Pena, Muhammad Lutfi Ishak

________________________________________________

Dialog Orang Muda
Oleh Nazmi Yaakub
Berita Harian, 3 Mac 2010

DIALOG Orang Muda (Dom) - Kebebasan: Penulis Tercekik? akan diadakan di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Kuala Lumpur, pada 6 Mac ini, jam 10 pagi.

Ahli Jawatankuasa Biro Penulis Muda Pena, Muhammad Lutfi Ishak, berkata panel pada dialog terbabit ialah Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga novelis, Arif Mohamed; Ketua Wartawan Malaysiakini Bahasa Malaysia dan penyair muda, Mohd Jimadie Shah Othman dan Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM) dan cerpenis, Mohd Ali Atan.

“Isu dan persoalan hak asasi bersuara serta kebebasan berkarya dalam konteks latar tempatan akan dibincangkan. Isu mutakhir membabitkan kebebasan berkarya bakal disorot panel dengan mengambil kira pelbagai perspektif termasuk pandangan Islam, hak asasi sejagat serta budaya masyarakat Timur,” katanya pada satu kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini.

Februari lalu, teater Tanda karya Shahili Abdan atau lebih dikenali sebagai Namron dilanda kontroversi sehingga pentasnya terpaksa dipindahkan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke PJ Live Arts di Petaling Jaya.

Isu kebebasan juga diperkatakan dalam Rancangan Soal Jawab di TV3, kelmarin, yang menyorot persoalan itu dengan menjemput Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang memperkatakan soal kebebasan dan aspirasi negara.

Muhammad Lutfi berkata, Dom akan mengambil kira pandangan pro dan kontra terhadap isu hak asasi bersuara dan kebebasan berkarya sebelum memberi rumusan serta kesimpulan terhadap sejauh mana amalan kebebasan terbabit di negara ini boleh dilaksanakan.

“Kita mahu melihat suara generasi muda dengan format diskusi lebih terbuka dan tidak dimonopoli panel semata-mata, manakala peserta yang datang akan diberikan ruang dan masa untuk memberikan pandangan. Kami berharap generasi muda dapat menyertai Dom dan menggunakan ruang itu sebaik-baiknya,” katanya.



Perhimpunan Alumni

MPR dan 'Perasan Bagus'





ikuti komentar Jimadie Shah di Malaysiakini.


Perjalanan MPR 2009 : Mencipta Memori Terindah

oleh Mohd Haniff Mohammad Yusoff (Penghulu MPR09)

Program Minggu Penulis Remaja (MPR) yang hampir menjangkau usia 25 tahun telah menerima ahli keluarga yang baru pada tanggal 19 Disember 2009 yang lalu. Terdiri daripada 13 orang peserta lelaki dan 14 orang peserta perempuan, rata-ratanya mempunyai latar belakang yang berbeza. 27 orang peserta MPR 2009 telah berkumpul di Menara DBP seawal 7.00 pagi lagi. Setelah pendaftaran dilakukan, para peserta MPR 2009 telah dibawa ke Dewan Seminar, Menara DBP untuk menghadiri Perhimpunan Alumni MPR 2009.

Kali ini, para peserta berpeluang bertemu dengan Sasterawan Negara yang ke-10, Dato’ Dr. Anwar Ridwan untuk sesi bersama Sasterawan Negara. Pastinya ini merupakan pengalaman yang manis buat semua peserta. Selain itu, para peserta telah mengikuti ceramah genre puisi yang disampaikan oleh Profesor Rahman Shaari dan genre cerpen disampaikan oleh Tuan Nurizan Raja Yunus @ Ana Balqis. Puan Rozninah Abdul Aziz iaitu editor Dewan Sastera turut meluangkan masa bersama peserta pada hari keempat. Para peserta juga dihidangkan dengan ceramah Penerbitan Karya Sastera Remaja oleh Encik Abdul Rahim Omar.

Sepanjang seminggu berkampung di Golden Straits Villas Beach Resort, Port Dickson, para peserta telah menerima bimbingan daripada Puan Zaharah Nawawi, Puan Salmiah Ismail, Tuan Haji Shamsudin Othman dan Cik Khairunnasriah Abdul Salam. Karya para peserta yang dihasilkan semasa program berlangsung telah dinilai oleh para pembimbing. Para pembimbing telah memberi teguran, nasihat, tunjuk ajar dan teknik penulisan kreatif yang betul kepada para peserta.

Pada hari kelima berlangsungnya program, para peserta telah dibawa ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Para peserta berpeluang melawat Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Pendedahan seperti ini dapat membuka minda para peserta untuk mendekati pelbagai jenis bahan bacaan dan memupuk amalan membaca. Tidak ketinggalan, para peserta juga dibawa ke bahagian majalah yang terletak di tingkat 20, Menara DBP.

Para peserta berpeluang berjumpa dengan para editor dan wartawan majalah-majalah terbitan DBP. Sememangnya, lawatan seperti ini dapat mendekatkan para peserta dengan peranan yang dimainkan oleh DBP.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil bagi program MPR 2009 telah diadadakan pada 24 Disember 2009. Majlis tersebut telah dihadiri Puan Hajah Zalila Sharif iaitu Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja serta Puan Hajah Zahrah Ibrahim. Tanggal 25 Disember 2009, berlabuhnya tirai program MPR 2009 yang telah meninggalkan pelbagai kenangan yang pastinya akan terpahat di minda. Keakraban antara kesemua peserta merupakan sesuatu yang amat bernilai. Biarpun baru pertama kali bersua, kita persis telah lama saling mengenali. Saat berakhirnya program MPR 2009 telah mengundang rasa hiba antara kami. Perasaan ini turut dirasai oleh pihak urusetia program MPR 2009. Jutaan terima kasih diucapkan kepada DBP, ahli jawatankuasa @ urusetia MPR 2009 dan tidak dilupakan kepada para pembimbing MPR 2009.

TERIMA KASIH DAN SALAM RINDU DARIPADA KAMI!

Malam Genta Puisi Pena - Aswara III

TARIKH DAN MASA: 31 DISEMBER 2009; 8:30 MALAM
TEMPAT: RUMAH PENA, 961-7, JALAN DEWAN BAHASA

JEMPUTAN: Dato' A. Samad Said, Dato' Baha zain, Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Shamsudin Othman, Saleeh Rahamad, SM Zakir, Amiruddin, Dr. Victor Pogadev, Sani Sudin, Khalid Salleh, Zaen Kasturi, Ahmad Fetri Yahya (TV3), Kumpulan Nasyid RPS, Kumpulan Gemala Kasturi dan Dewangga Sakti.

Tema pada kali ini ialah ‘Horizon Baru’ yang menampilkan pendeklamator muda seperti Intan Marhayu Rahman, Muhammad Lutfi Ishak, Amran Rashidi, Ridzuan Harun, kumpulan kreatif MSU dan lain-lain.

Masuk percuma. Semua dijemput hadir.

Sebarang pertanyaan sila hubungi S.M. Zakir (017-342 7991) atau PENA 03-2142 5824. Emel penamalaysia@gmail.com atau http://penaklmalaysia.blogspot.com


SEMUA DIJEMPUT HADIR. MAKAN MALAM DISEDIAKAN
Blog Widget by LinkWithin
top