Selamat Datang MPR 2018!



MPR 2018 baru saja selesai. Kepada adik-adik, kami para kakak dan abang anda dengan besar hati ingin mengucapkan selamat datang ke dalam keluarga besar MPR.

Diskusi Buku Alumni MPR 2014


Catatan Mantan MPR 2014

Langkah Pertamaku Di Medan Ini 
Oleh: Amir Asyraffudin Abd. Aziz 



Minggu Penulis Remaja 2014 (MPR) yang berlangsung pada 22-27 Mac 2014 sudah beberapa minggu berlalu. Namun kenanganku di Cherating terus bermain di fikiran. Aku sedar masa yang berlalu takkan dapat kembali. Yang tinggal hanyalah kenangan, terpecah bersama buih pantai. Memori yang bersarang di fikiran akan tetap menjadi kenangan sampai bila-bila. Sudah menjadi adat setiap pertemuan itu ada perpisahan.

Teringat akan sepucuk surat undangan dari Dewan Bahasa & Pustaka yang sampai ke rumah ... yang akhirnya aku dibawa ke sebuah buana penulisan. Tempat aku lebih mengenali potensi diri sendiri. Ada juga terdetik rasa bagaikan bulan jatuh ke riba. Mana taknya, aku memang sudah lama mencari program sebegini; menulis cerpen, puisi dan novel. Itu semua memang perlukan tunjuk ajar. Almaklumlah, umurku dalam dunia penulisan pun baru setahun jagung setampuk pinang. Peserta mendaftar.


Tanggal 22 Mac 2014, kami berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka. Teruja, gembira dan macam-macam perasaan yang tak dapat hendak digambarkan menerpa mindaku dan terus-menerus bermain di kotak fikiran. Peserta datang dari seluruh Malaysia. Dialek percakapan pun berbeza. Kami mendaftar di Menara Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Sepanjang berada di dalam bas, kami saling berkenalan serba sedikit walaupun di hati bersalut rasa malu. Tapi kami tetap berusaha menyesuaikan diri. Maklumlah selepas ini kami akan berkampung bersama-sama selama seminggu di Sanctuary Beach Resort, Cherating. Bayu laut menyapa penuh syahdu. Terpesona melihat pemandangan pantai yang sangat indah. Hati tenang dan dadaku terasa lapang dari kesibukan kota yang bingit. Bunyi ombak, kicauan burung dan keputihan pasir pantai umpama perencah tambahan untuk meningkatkan lagi semangat menghadapi hari-hari di Cherating ini.

Kami diberikan taklimat tentang perjalanan program MPR 2014 sejurus tiba di sana. Taklimat disampaikan oleh Encik Mohd Jusoh Majid, pegawai dari Bahagian Pembinaan Bakat & Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka yang merupakan ‘Pengetua MPR 2014’. Setiap seorang mendapat beg berwarna hijau garang, di dalamnya lengkap berisi modul dan tentatif sebagai rujukan sepanjang program.

Sejak hari pertama, kami dibantu oleh dua orang fasilitator yang sangat hebat dan tidak asing lagi dalam dunia karya kreatif ini. Cik Salina Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ina memberikan fokus kepada penulisan cerpen. Manakala Encik Rahimidin Zahari yang lebih erat kami panggil Cikgu Rahimidin memberi fokus kepada penulisan puisi. Kedua-dua mereka adalah graduan MPR.

Kami diberi layanan yang sangat baik dan mesra. Pelbagai ilmu dan pendedahan mengenai karya kreatif dikongsi oleh para fasilitator terutamanya mengenai elemen sastera, unsur lewah, unsur jungkir balik dan sebagainya.

Sepanjang seminggu berada di MPR, merekalah pembimbing, sahabat dan adik beradik kami. Kami juga turut dibantu oleh Tuan Haji Azman Ahmad (Ibnu Ahmad al-Kurauwi) selaku tokoh jemputan. "Jika ingin menulis, tulislah dengan hati," itulah kata-kata beliau yang akan aku sematkan senantiasa dalam diri.

Hasrat dan keazaman kami untuk menghadiri MPR sudah pasti bukan suatu yang sia-sia. Malah sangat bermanfaat. Terima kasih Kak Ina, Cikgu Rahimidin dan Tuan Haji Azman. Pesanan Cikgu Rahimidin, “Sekali menulis, teruskan menulis,” akan aku ingat sampai bila-bila. Tidak lupa juga, terima kasih kepada Encik Jusoh, Kak Irni dan Kak Zaiha yang bersengkang mata sehingga tengah malam bagi menemani kami menyiapkan tugasan MPR 2014. Terima kasih daun keladi. Jasa kalian akan kami kenang selalu!

slot penghayatan alam
Slot yang paling menarik bagi aku adalah slot penghayatan alam. Kami dibawa mengelilingi pantai melihat keindahan alam ciptaan Tuhan yang tiada tolok bandingnya. Desir angin yang sepoi-sepoi bahasa sangat menenangkan kalbu yang kekusutan.
"Pokok kelapa, tunggul kayu, bunyi ombak .. sebenarnya itu semua punya unsur tersendiri. Rajinkan minda untuk berfikir. Rahsia alam itu maha hebat," demikian kata-kata Encik Jusoh kepadaku. 

Sejujurnya madah itu masih terngiang-ngiang di benak fikiranku mengimbau kenangan yang terbuku di pantai itu.
Pengalaman seminggu berkampung di sini telah banyak memberi kesan kepada aku dan juga rakan-rakan. Tidak dinafikan persahabatan yang bermula di sini walaupun hanya seminggu, namun telah melahirkan rasa tautan kasih sayang yang utuh. Terlalu banyak kenangan manis yang kami hadapi bersama. Berkongsi idea dan juga kadang-kadang galak kami bergurau senda menyebabkan hubungan semakin akrab. Aku berharap persahabatan ini akan kekal sampai bila-bila.


Malam Apresiasi Seni merupakan malam terakhir sebelum kami berpisah dan kembali ke negeri masing-masing. Malam ini berlangsung dengan penuh keceriaan walaupun di hati terbuku rasa sedih kerana esoknya kami bakal berpisah. Pelbagai gelagat yang dipertontonkan oleh peserta MPR dalam setiap persembahan. Malam itu juga berlangsung penyerahan sijil kepada para peserta dan penganugerahan peserta terbaik MPR.

(Doodle: Qurratul Sa’adah Zulkafli)
Kenangan ini akan menjadi sebuah kenangan yang terindah dalam hidupku. Akan aku lipat kenangan ini bersama desir pantai. Moga kekal di situ. Ayuh teman MPR 2014, kita kekalkan semangat menulis ini hingga ke akhir hayat.


KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH

Setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang terutamanya Geng MPR yang berjaya.



KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH

KATEGORI NOVEL:

Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil) 
Wan Nor Azriq Wan Mokhtar
D.U.B.L.I.N

Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Sri Rahayu Mohd Yusop
Qalam Kalbu

Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Zubaidah Ishak
Pertemuan Musim Semi

Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Ruhaini Matdarin (Anatomi Rupert)
• Abd Razak Adam (Tujuh Keturunan)
• Ariff Mohamad (Semenanjung Menangis)
• Md Nizar Parman (Jajahan Bonda)
• Neor Muhammad Azri Neor Razak (Hari-hari Yuda)
• Sharazi Mohd Sheriff (S.P.Q.R)
• Mohd Fadzli Yusof (Nuansa Cita)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ruhaini Matdarin
Melawan yang Mustahil

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Moh Azam Rezali
Sayang Perahu, Mudik Hilir

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil)
Radzemah Bolhassan
Sagu, Ikan Salai

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Mawar Shafie (Narasi Gua dan Raqim)
• Nazri Hussein (Konflik di Hati Enrique)
Roslan Jomel (Serangga dalam Kepala)
Mohammad @ Mohd Hafezin Khadiri (Kuda-kuda Lembah Patagonia)
• Dk Mastura Pg Ismail (Langit Runtuh)
Sharifah Aisiah Syed Mahazar (Sekapur Sirih daripada Teja)
• Noridah Md Noor (Hanya Beberapa Minit)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Mohd Ridzuan Harun
Negeri Kunang-kunang

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Rahimidin Zahari
Laut Tujuh Gelombang Buih

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Shamsudin Othman
Taman Maknawi

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
Siti Raihani Mohamad Saaid (Sidang Kultus)
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Kota Subuh)
• Ariff Mohamad (Titik Ke Titik, Hujan)
• Ramlah Abd Rasid (Perahu)
Hani Salwah Yaakup (Tentang Pertanyaan)
Zulfazlan Jumrah (Mandala Sukma)
• Sahrunizam Abdul Talib (Suara Bukit Kepada Langit)

Senarai Pemenang bagi Anugerah Buku PNM-RTM 2013




Anugerah Buku PNM-RTM 2013 yang berlangsung pada 3 Oktober 2013 lepas telah memartabatkan buku-buku karya penulis tempatan dalam sebuah majlis berprestij. Tahniah kepada semua pemenang!






Perhimpunan Alumni 2


Alhamdulillah. Perhimpunan Alumni MPR 2 berjalan dengan lancar. Bertempat di Shah's Beach Resort, Melaka, alumni senior dan junior berkumpul bersama.

Terima kasih kepada pihak DBP yang bertungkus-lumus menjayakan program. Moga kita dapat bertemu lagi dalam perhimpunan yang lain.

Lagi gambar-gambar di fb MPR & Rakan.


Perhimpunan Alumni MPR Ke-2

PERHIMPUNAN ALUMNI PESERTA MINGGU PENULIS REMAJA (MPR) KE-2 DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

Mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) dari tahun 1985 sehingga tahun 2012 dipelawa menyertai Perhimpunan Alumni MPR kali yang kedua anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang akan berlangsung pada 8-9 Disember 2012 di Shah’s Beach Resort, Melaka.

Program ini diadakan bertujuan untuk menghimpunkan para penulis kelahiran MPR yang merupakan produk DBP sejak tahun 1985 sehingga tahun 2012 dengan memberi ruang kepada mereka berkongsi ilmu dan pengetahuan serta mempereratkan semula silaturahim antara mantan peserta MPR dengan DBP agar mereka dapat turut sama terlibat dalam aktiviti pengembangan sastera anjuran DBP. Secara tidak langsung, perhimpunan ini dapat memberi motivasi kepada mereka untuk terus menceburi bidang penulisan secara serius. Antara aktiviti yang disusun untuk program ini ialah Santai Sastera, Sukaneka, Diskusi Karya Mantan Peserta MPR, Forum dan Pelancaran Buku.

Mantan peserta MPR yang berminat untuk menyertainya, sila maklumkan kehadiran anda kepada Shahrun Nizal Mohd. Nor atau Zeti Aktar Jaffar di talian telefon 03-21482573/2704; faksimile 03-21447269 atau e-mel shahrun@dbp.gov.my / zeti@dbp.gov.my sebelum 23 November 2012. Penginapan disediakan terhad kepada 60 orang peserta sahaja.

‘BORAK BUKU’ STRATEGI PUPUK MINAT MEMBACA


(BH, 2 Ogos 2012)

Pembudayaan nilai kecintaan pada ilmu pengetahuan memerlukan strategi pemupukan yang berterusan dan pelbagai. Antara strategi penting tentunya mendorong minat masyarakat terhadap buku dan budaya membaca.

Penulis amat tertarik dengan penganjuran siri ‘Borak Buku’ oleh sekumpulan anak muda baru-baru ini. Mereka bernaung di bawah Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) cawangan Wilayah Tengah dan Alumni Minggu Penulis Muda DBP.

Acaranya mudah dan ringkas saja. Suasananya pula santai. Selepas mengenal pasti pembicara buku dan menentukan pilihan buku yang bakal ‘diborak’ atau dibicarakan, anak-anak muda ini menghebahkan program menerusi laman sosial Facebook. 

Urusan penganjuran ini hanya dikendalikan oleh seorang saja. Pada acara baru-baru ini, seorang remaja perempuan, Nisa Yusof menjadi pengendali penganjuran. Pada hari dan waktu yang ditentukan, seramai lebih kurang 10 hingga 15 orang anak muda berkumpul di sebuah kedai kopi di pusat hentian KL Sentral bagi berborak tentang buku sambil menikmati minuman kopi pilihan.

Pada siri ‘Borak Buku’ itu, selaku pembicara, saya mengulas karya sarjana Muslim dari India iaitu Sayyid Abu Hassan Ali Al-Nadwi yang diterjemahkan dan diterbitkan dalam sekitar 1950-an bertajuk Apakah Derita Yang Dihadapi Dunia Akibat Kemunduran Kaum Muslimin. 

Selepas mengulas latar dan kandungan buku itu dalam tempoh 40 minit, kami saling berbincang dan bertanyakan pelbagai persoalan berkaitan buku dan kesesuaian pemikirannya dalam konteks kehidupan hari ini. 
Setelah azan Asar, acara berakhir dan semua berjanji untuk bertemu lagi pada pertemuan seterusnya sebelum bersurai menuju haluan masing-masing. Begitulah acara ‘Borak Buku’ yang berlangsung dengan penuh santai, ringkas dan mudah. 

Dr. Razak (kanan sekali) ketika menjadi tetamu Borak Buku

Acara ini dikongsi kerana ia boleh dianggap satu bentuk kegiatan yang menarik dalam rangka strategi memupuk minat membaca dan mendorong kecintaan pada buku dan ilmu pengetahuan dalam masyarakat terutama di kalangan generasi muda. 

Kita beranggapan acara sebegini wajar dikembangkan dan dibudayakan dengan lebih meluas lagi. Ia dilihat satu pendekatan yang berkesan terutama bagi membuka ruang baru bagi kegiatan serius yang membabitkan penyertaan generasi muda. 

Kegiatan berborak mengenai buku ini tidak semestinya dilaksanakan di kedai kopi. Ia juga boleh dikembangkan di tempat umum lain seperti di taman rekreasi, di sudut bangunan tertentu malah di ruang tertentu di masjid dan surau selagi ia tidak mengganggu ketenteraman awam. 

Unsur utama yang perlu dikekalkan ialah sifat acaranya yang bercorak santai, mudah dan ringkas. Kegiatan bersifat begini penting terutama bagi mengundang penyertaan anak-anak muda yang berada dalam kategori yang dikenali kini sebagai Generasi Y yang didapati kurang memberi minat pada acara bersifat rasmi atau formal sejak akhir-akhir ini. 

Ketika penulis bergiat dalam sebuah pergerakan Islam di negara ini, salah satu strategi bagi pemupukan budaya ilmu di kalangan anggotanya ialah menerusi penganjuran acara yang dikenali sebagai ‘usrah’. 

Ia berbeza sedikit bentuknya dengan Borak Buku. Usrah dilaksanakan secara mingguan. Ia menggunakan konsep perkumpulan keluarga di mana ahli-ahli usrah yang berada dalam lokasi berdekatan berkumpul pada masa tertentu secara bergilir di kediaman masing-masing. 

Kebiasaannya, usrah bermula selepas bersolat Maghrib bersama. Jamuan malam ringkas disediakan oleh tuan rumah. Acara utama usrah dikendalikan oleh seorang moderator yang dikenali sebagai Naqib. Dalam acara ini, ahli-ahli akan berbincang secara ilmiah tentang pelbagai persoalan. Kegiatan tetap ialah berdiskusi tentang buku-buku terpilih karya ilmuwan Muslim semasa. 

Acara usrah ini juga bersifat santai, mudah dan ringkas namun dalam masa yang sama menekankan nilai persahabatan dan semangat kekeluargaan. Ahli-ahli akan berdiskusi sehinggalah ke waktu yang tidak akan mencecah larut malam kerana mereka harus mendapat istirahat untuk menjalankan kewajipan pekerjaan pada keesokan harinya.

Penulis ialah pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM

Bicara Karya Mantan MPR (PBAKL)


Bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang bakal berlangsung pada 27 April hingga 6 Mei ini, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka bakal menganjurkan program bicara karya mantan MPR.

Butir acara:

Sesi Bicara Karya: Pengalaman Proses Kreatif 

Tarikh: 5 Mei 2012 (Sabtu)
Masa: 10 pagi
Tempat: PWTC (lokasi tepat akan dikemaskini)

Sesi bicara karya kali ini bakal menampilkan Ummu Hani Abu Hassan, MF Kencana dan Hafizah Iszahanid yang bakal berkongsi kisah disebalik penghasilan karya masing-masing.

Seperti program-program MPR yang lain, acara ini juga terbuka dan percuma kepada sesiapa yang berminat, tidak kisahlah MPR atau bukan MPR, penulis atau bukan penulis.

Borak Buku dengan Sayed Munawar



Sayed Munawar, sinonim dengan Kembara Buku merupakan seorang personaliti tv yang terkenal banyak membaca. Bulan ini beliau sudi berkongsi pengalaman pembacaan di meja Borak Buku.

Buku pilihan beliau ialah novel Ahli Politik (karya S.M. Zakir)

Butiran acara:
 
Tarikh: 15 April 2012 (Ahad)
Masa: 3.30 pm - 5.30 pm
Tempat: Coffee Bean, KL Sentral 

Seperti biasa, acara ini terbuka dan percuma kepada semua lapisan pembaca. Berkonsepkan borak-borak kedai kopi, hadirin akan diberi peluang untuk mendekati tokoh jemputan melalui pembacaan beliau.

Novel Ahli Politik boleh dibeli secara online melalui S.M Zakir sendiri. Rujuk di sini.

Juga, jemput 'like' FB Borak Buku.


Kisah Minggu Penulis Remaja 2012


Oleh: Ainaatul Afifah Md Saleh & Nur Adibah Abdul Razak

Bismillahirahmanirahim Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada pembaca blog MPR sekalian.

Berakit ke tombolo dengan bergalah, 
Buluh pecah terbelah dua, 
Ke Casa Rachado kaki melangkah, 
Penulis berwadah terserlah jua.

Pantun di atas sengaja dipilih untuk menggambarkan pengalaman kami sebagai penulis amatur mengasah bakat di Casa Rachado Beach Resort, Port Dickson. Kami amat berbesar hati kerana diberi peluang dan mandat menceritakan pengalaman kami sepanjang berada di sana untuk program Minggu Penulis Remaja 2012 yang telah diadakan pada 10-15 Mac 2012 tempoh hari. Banyak pengalaman berharga dan ilmu bermanfaat telah kami peroleh sepanjang menjalani Minggu Penulis Remaja 2012. Hasil bimbingan fasilitator-fasilitator iaitu Tuan Haji Doktor Shamsudin Othman, Cik Salina Ibrahim dan Encik Muhammad Lutfi Ishak, kami berjaya menyudahkan tugasan yang diberikan.

Kami bersyukur kerana terpilih sebagai peserta MPR 2012. Bukan senang untuk menyertainya kerana ramai calon penulis hebat di luar sana yang memohon tetapi hanya 24 orang sahaja yang terpilih terdiri daripada 7 orang putera dan 17 orang puteri yang berusia 16 hingga 21 tahun.

Perjalanan menuju ke lokasi program mengambil masa hampir 3 jam kerana kami terpaksa menggunakan jalan lama atas sebab-sebab tertentu. Kami bertolak dengan menaiki bas Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermula jam 11.30 pagi dan tiba di sana hampir jam 2 petang. Sejurus tiba, petugas hotel menempatkan penginapan untuk kami bermastautin selama enam hari di sana. Kami diperuntukkan sebuah apartmen dengan tiga bilik untuk didiami oleh enam orang peserta yang juga dilengkapi sebuah balkoni di mana kami dapat menjamu mata dengan pemandangan indah di Casa Rachado Beach Resort, Port Dickson. Selepas itu, kami dihidangkan dengan hidangan tempatan untuk makan tengahari.

Selepas kami makan tengahari dan meletakkan beg di apartmen masing-masing, kami pergi ke dewan untuk sesi suai kenal dan taklimat bengkel oleh Encik Mohd Jusoh. Pada ketika itulah kami dapat mengenali antara satu sama lain. Pada sebelah malam membawa ke pagi keesokan harinya, sesi ceramah mengenai penulisan puisi oleh Tuan Haji Dr. Shamsudin Othman kami hadiri.

"Puisi merupakan himpunan kata-kata terbaik. Ciri-ciri puisi yang baik mempunyai diksi, simbolik, tatabahasa dan emosi yang memberi jawapan kepada ESTETIKA." 
"Kerajaan banyak laburkan wang ringgit untuk menggantikan Lee Chong Wei dalam bidang badminton, banyak wang ringgit juga dilaburkan mencari pengganti Mokhtar Dahari dalam bidang bola sepak. Sekarang kerajaan laburkan wang ringgit untuk mencari pengganti dalam bidang sastera pula. Jadi ini tanggungjawab adik-adik semua untuk terus berkarya." Shamsudin Othman

Kemudian, majlis perasmian Minggu Penulis Remaja 2012 dilaksanakan oleh Encik Sallehuddin bin Abang Shokeran selaku Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Banyak kata-kata harapan yang disampaikan oleh beliau ketika berucap untuk majlis perasmian tersebut.

Puas sudah kutanam ubi, 
Nenas jua ditanam orang, 
Puas sudah kutanam budi, 
Emas jua dipandang orang.

Begitulah pantun yang dijadikan contoh oleh Encik Zainal Palit atau nama penanya Zaen Kasturi penerima Anugerah S.E.A. Write 2010. Beliau menceritakan kepada kami tentang pengalaman dan perjalanan kehidupan beliau sewaktu berkarya. Ternyata banyak kisah-kisah beliau yang boleh kami jadikan pengajaran.

Sesi bersama-sama Cik Salina Ibrahim atau lebih mesra lagi dengan panggilan Kak Ina menyusul selepas makan tengahari. Seorang penulis novel dan cerpen yang tersohor dalam dunia sastera yang pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia. Beliau merupakan seorang penulis yang serba boleh kerana sewaktu menonton televisyen pun beliau mampu menghasilkan karya yang baik.

"Mulakan cerita dengan persoalan. Cerita biasa akan menjadi luar biasa jika latar dan watak itu luar biasa." Salina Ibrahim

Perjalanan bengkel diteruskan lagi bersama-sama Encik Muhamad Lutfi Ishak. Beliau sangat sinonim dengan falsafah. Setiap bait katanya pasti mempunyai makrifat yang mendalam sehingga kami terkadang terpegun mendengarnya. Sememangnya di luar jangkaan kami, perwatakan beliau sungguh berlainan dengan lahiriahnya yang kelihatan tegas.

"Tulisan membayangkan identiti kerana di sebalik kata terdapat perkataan dan pemikiran." Muhamad Lutfi Ishak

Sesi bersama-sama Sasterawan Negara, Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan amat membangkitkan semangat kami untuk mendalami bidang sastera sekaligus menjadi penulis yang berjaya seperti beliau. Pelbagai soalan diajukan oleh para peserta kepada beliau dan beliau dapat menjawab setiap soalan tersebut secara berhikmah dan menyeluruh. Beliau juga tidak lokek untuk berkongsi tips-tips penulisan yang baik. Soalan juga turut ditanya oleh beliau kepada peserta-peserta MPR 2012 yang ralit mendengar kata-kata beliau. Ganjarannya, tiga buah buku hasil tulisan beliau diberikan sebagai hadiah kepada tiga orang peserta yang bertuah. Tahniah kepada mereka.

Bersama SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan

Pada malam harinya, bermulalah bengkel pemurnian karya atau lebih sinonim kami gelar ' bedah karya '. Bengkel pemurnian berlangsung sebanyak enam sesi bersama-sama ketiga-tiga orang fasilitator mengikut kumpulan yang telah diberi. Setiap peserta dalam sesebuah kumpulan hendaklah membentangkan karya-karya mereka iaitu sebuah cerpen dan beberapa buah puisi. Bengkel pemurnian ini sememangnya memberi peluang berharga kepada kami sebagai peserta MPR 2012 yang masih amatur untuk menanyakan pelbagai soalan manakala fasilitator-fasilitator dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kami kerana bilangan kami dalam satu kumpulan hanya lapan orang.

Terima kasih yang tidak terhingga kami ucapkan kepada pihak Public Bank dan Bank Rakyat kerana menaja MPR 2012 serta turut memberikan kami sehelai baju T, sebuah beg dan beberapa cenderahati lagi. Kami berkesempatan bergambar bersama-sama pihak Public Bank pada hari Selasa bersamaan 13 Mac 2012.

Kami cukup bertuah kerana didatangi editor daripada majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa iaitu Ghani Abu yang turut memberikan kedua-dua majalah tersebut kepada kami secara percuma. Beliau banyak memberi kami pedoman dalam usaha menghasilkan karya yang layak disiarkan di media cetak. Tidak lupa juga kepada M.F. Kencana atau nama sebenarnya Muhd Fairuz yang turut berkongsi cerita dan pengalaman tentang penglibatan beliau dalam bidang penulisan dalam pelbagai aspek. Beliau menyedarkan kami bahawa bidang penulisan ini bukanlah terhad di atas lembaran puisi, cerpen dan novel sahaja, tetapi boleh dikembangkan kepada penulisan skrip untuk drama dan sebagainya.

Tibalah masa dan saat yang dinanti-nantikan oleh semua peserta MPR 2012 iaitu lawatan ke Muzium Tentera Darat Port Dickson sehari sebelum kami pulang ke tempat masing-masing. Di sana, kami disambut oleh salah seorang pegawai di situ yang menerangkan tentang bagaimana tertubuhnya muzium tersebut. Juga sedikit sebanyak tentang sejarah tentera itu sendiri. Kami juga berkesempatan melalui Terowong PKM dan menyaksikan cara hidup tentera komunis.

Di Muzium Tentera Darat PD

Malam sebelum berakhirnya MPR 2012, kami dijamu dengan pelbagai jenis hidangan. Selepas itu, Malam Apresiasi Puisi dilaksanakan oleh kami dengan jayanya. Pelbagai persembahan menarik dan mencuit hati dipersembahkan oleh kami mengikut kumpulan masing-masing. Hadiah berupa hamper disediakan untuk setiap kumpulan bagi menghargai komitmen kami selama berbengkel di sana.

Malam Apresiasi Puisi

Tiba hari terakhir MPR 2012, perasaan kami bercampur-baur. Gembira kerana pulang ke pangkuan keluarga masing-masing namun kesedihan tetap dirasai kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakan MPR 2012 yang lain begitu juga dengan fasilitator-fasilitator yang kian dekat di hati kami. Kata-kata terakhir diluahkan oleh ketiga-tiga fasilitator kami dalam sesi penilaian dan rumusan bengkel. Majlis penangguhan dijalankan sejurus selepas itu. Puan Siti Aisah Murad yang merupakan Ketua Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka memberikan pesanan dan harapan kepada kami semua untuk terus menulis dan terus mekar dalam persada dunia sastera dalam usaha menjadi pelapis kepada pengkarya-pengkarya hebat tanah air.

Bersama penaja; Public Bank

 Sudah terlalu banyak himpunan aksara bagi menyingkap seribu satu kisah Minggu Penulis Remaja 2012. Sampailah lembaran ini di penghujungnya. Akhir kalam, kami peserta Minggu Penulis Remaja 2012 ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana menjadi pelopor kepada program Minggu Penulis Remaja yang telah diadakan untuk kali yang ke-26. Besar harapan kami supaya pihak DBP meneruskan usaha ke arah mencari anak-anak muda yang boleh menjadi pengganti kepada karyawan-karyawan sastera di negara kita ini. Setinggi-tinggi penghargaan kami pancarkan kepada fasilitator-fasilitator kami yang membimbing kami dengan penuh iltizam dan kesungguhan. Meninggalkan keluarga masing-masing selama enam hari untuk bersama-sama menjayakan MPR 2012 ini. Segala tunjuk ajar dan tuju bimbing akan kami ingati sehingga akhir hayat, InsyaAllah. Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada urus setia yang setia menjaga kebajikan dan membantu kami sepanjang MPR 2012 ini berlangsung. Tanpa mereka ini, tidak bercetaklah karya-karya kami. Tidak teruruslah jadual perjalanan hidup kami sehari-harian ketika MPR 2012 ini dijalankan. Ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak Public Bank dan Bank Rakyat kerana menaja Minggu Penulis Remaja kali ke-26 ini. Terima kasih juga buat pihak Casa Rachado Beach Resort, Port Dickson kerana menyediakan tempat penginapan yang membuatkan kami betah berada di sana selama hampir seminggu. Ingin juga kami ucapkan terima kasih kepada wartawan daripada Berita Harian kerana membuat liputan mengenai MPR 2012 ini. Akhir sekali, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memastikan kelancaran program Minggu Penulis Remaja 2012 ini.

Foto: kredit Salina Ibrahim

Selamat Datang Mantan MPR 2012


MPR 2012 telah menutup tirainya pada 15 Mac lalu. Selamat datang ke dalam keluarga  Alumni MPR yang akrab dengan ungkapan 'keluarga besar tapi mesra' ini.

MPR hanyalah langkah pertama untuk perjalanan yang lebih jauh.

Pembimbing MPR 2012;
Salina Ibrahim, Lutfi Ishak dan Shamsudin Othman 


Kali ini turut mendapat tajaan Public Bank. 


Borak Buku dengan U-Wei Saari


Borak Buku bulan ini bakal menampilkan U-Wei Saari, sebuah nama yang tidak asing dalam dunia perfileman dan seni negara. Hasil arahan beliau telah mendapat tempat dan sering menjadi bualan. Antara filem yang telah diarahkan ialah, Perempuan,isteri dan.....?, Jogho, Buai Laju-laju dan banyak lagi. 

Di meja Borak Buku nanti, U-Wei akan berkongsi mengapa beliau menyukai buku dan mengapa beliau membaca. Beliau juga akan berkongsi sebuah buku pilihan yang akan diberitahu 18 Mac nanti! Sama-sama kita nantikan.

Butiran acara:

Tarikh: 18 Mac 2012 (Ahad)
Masa: 3.30 pm - 5.30 pm
Tempat: Coffee Bean, KL Sentral

Seperti biasa, acara ini terbuka dan percuma kepada semua lapisan pembaca. Berkonsepkan borak-borak kedai kopi, hadirin akan diberi peluang untuk mendekati tokoh jemputan melalui pembacaan beliau.

Oh ya, jemput 'like' FB Borak Buku.

Borak Buku dengan Rahimidin Zahari


Borak Buku kembali membuka tirai 2012. Kali ini dengan 'abang long' MPR, Rahimidin Zahari.  Selain menulis puisi dan cerpen, beliau juga merupakan penggiat budaya tempatan terutamanya dalam bidang seni teater dan makyung.

Antara kumpulan puisi persendirian beliau yang pernah diterbitkan ialah Lakaran Kampung (1987), Sekepal Tanah (1995), Matahari Berdoa (1998), Di Kebun Khatulistiwa (2005) dan Perahu Fansuri (2011).


Butir-butir acara adalah seperti berikut:


Tarikh: 15 Januari 2012 (Ahad)
Masa: 3:30pm - 5:00pm
Tempat: The Coffee Beans, KL Sentral

Buku pilihan: Latiff Mohidin: Sajak-sajak Lengkap 1963-1994 (Petronas, 2007) 


Borak Buku adalah acara santai yang membuka ruang kepada khalayak pembaca untuk mendekati tokoh jemputan dan buku pilihan beliau. Kita hanya borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Terbuka dan percuma kepada semua lapisan pembaca.


Ya, ini adalah program borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Acara ini bersifat santai. Peserta boleh memilih untuk datang memberi pendapat atau mendengar sahaja.

MPR atau bukan MPR, PENA atau bukan PENA, muda atau tidak muda. Semua boleh ikut serta. Tidak perlu mendaftar. Jika anda berminat dan berkelapangan, datang sahaja dan kita borak-borak.

Terbuka dan percuma.

Borak Buku dengan Dato' Baha Zain




Borak Buku istimewa hujung tahun, bakal menampilkan tokoh hebat, Dato' Baha Zain. Selain terkenal sebagai penulis dan penggiat sastera tempatan, Dato' Baha Zain juga merupakan penerima anugerah Tokoh PENA sempena 50 tahun PENA baru-baru ini.


Butir-butir acara adalah seperti berikut:

Tarikh: 31 Disember 2011 (Sabtu)
Masa:3:30pm - 5:00pm
Tempat: The Coffee Beans, KL Sentral

Buku pilihan: Right, Freedoms and Civil Society - KJ Ratnam (Penerbit USM, 2003)

Ya, ini adalah program borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Acara ini bersifat santai. Peserta boleh memilih untuk datang memberi pendapat atau mendengar sahaja.

MPR atau bukan MPR, PENA atau bukan PENA, muda atau tidak muda. Semua boleh ikut serta. Tidak perlu mendaftar. Jika anda berminat dan berkelapangan, datang sahaja dan kita borak-borak.

Terbuka dan percuma.


Tentatif PPMN III



PPMN III bakal berlangsung 16-18 Disember ini dengan tema "Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda."

Tentatif sepanjang tiga hari perhimpunan:

16 Disember 2011 (Jumaat)
9.00 pagi - 3.00 petang:
Pendaftaran Peserta



4.00 - 5.00 petang:
Ucapan YM Raja Arif bin Raja Ali, Ketua Pengarah Biro Tatanegara

8.45 - 11.00 malam:
Perasmian oleh Dato' Seri Mohd Najib Tuan Abdul Razak, PM Malaysia (di Hotel Intercontinental, Jalan Ampang - sila daftar di sini)


17 Disember 2011 (Sabtu)
8.30 - 10.00 pagi:
Ucaptama "Pengarang Muda dan Makna Diri"
Oleh: Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar
Pengerusi: Dr Mohamad Saleeh Rahamad

10.00 - 10.20 pagi:
Jamuan pagi

10.20 pagi - 12.30 tgh hari:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja I:
"Pengarang Muda di Tengah Cabaran Intelektual, Kreativiti dan Pertembungan Pandangan Alam"


Panel:
  1. Syed Mohd Zakir Syed Othman (PENA) 
  2. Dr Awang Azman Awang Pawi (UNIMAS) 
  3. Dr Mohd Zariat Abdul Rani (UPM) - Materialisme, Islam dan Nilai Kesasteraan: Satu Penelitian Terhadap Novel-novel Popular Islami Terbitan PTS Sdn. Bhd. Berdasarkan Persuratan Baru 
  4. Nisah Haji Haron (UKM) - Dasar Kebudayaan Kebangsaan: Penulis Muda Mencari Locus Standi 
12.30 tgh hari - 2.30 petang:
Makan tengah hari

2.30 - 3.30 petang:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja II:
"Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam Sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan"


Panel:
  1. Muhammad Zarif Hassan (UPM) - Kepengarangan Muda: Mencari Sinar Tradisi Kembali 
  2. Dr Kamariah Kamarudin (UPM) - Risalah Tarbiah Dalam Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam Sebagai Teras Pemikiran Dan Pengucapan: Penelitian Terhadap Pengarang Muslimah Mutakhir Pilihan 
  3. Zaid Akhtar - Menelusuri Diaspora PenulisTimur Tengah 
  4. Sailfullizan Yahaya (DBP) 
Moderator: Salman Sulaiman

3.30 - 3.45 petang:
Minum petang

3.45 - 5.15 petang:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja III:
"Perkembangan Pengarang Muda Kontemporari: Antara Tanggungjawab Sosial dan Individu"

Panel:
  1. Mohd Ali Salim (PEKASA) - Mengangkat Tingkat Penulis: Satu Perspektif 
  2. Ummu Hani Abu Hassan (UiTM) - Tanggungjawab Penulis Menurut Perspektif Teori Proses Kreatif Dakwah 
  3. Faridah Abdul Hamid (BAHASA) - Dunia Kepengarangan Penulis Muda Kontemporari: Antara Kesungguhan Dan Pertanggungjawaban 
  4. Muhammad Lutfi Ishak (PENA) - Pengarang Sedar: Antara Tanggungjawab Individu dan Sosial 
Moderator: Rebecca Ilham

8.30 - 11.00 malam:
Malam Genta Puisi ASWARA - PENA


18 Disember 2011 (Ahad)
8.30 - 10.00 pagi:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja IV:
"Pengarang Muda dan Faham Dasar Kebudayaan Kebangsaan"

Panel:
  1. Mohd Arif Atan (UM) 
  2. Mohd Hilmi Ramli (HAKIM) - Pengarang Muda dan Faham Dasar Kebudayaan Kebangsaan 
  3. Dr. Mohd Faizal Musa (ATMA, UKM) - Hegemoni Budaya, Nasib Minoriti & Peranan Pengarang Muda 
Moderator: Mohd Ali Atan

10.00 - 10.15 pagi:
Minum pagi

10.15 pagi - 11.45 tgh hari:
Sesi Pembentangan Kertas Kerja V:
"Perkembangan Pengarang Muda Mutakhir"

Panel:
  1. Mohd Jaafar Hamdan (DBP Sarawak) - Perkembangan Karya Pengarang Muda Mutakhir Sarawak dan Sabah Sepintas Lalu 
  2. Dr Mohd Hanafi Ibrahim (DBP) 
  3. Shamsudin Othman (UPM) - Jurang Yang Berjungkir Balik: Antara Kesegaran Muatan Puisi Atau Idealis Angkatan-21? 
  4. Ariff Mohamad (UPSI) - Cabaran Naratif Melayu Baharu Generasi Milenium 
Moderator: Rita Robert Rawantas

11.45 pagi - 12.30 tgh hari:
Pembentangan Resolusi dan Majlis Penutup

12.30 tgh hari - 1.30 petang:
Makan tengah hari

1.30 petang:
Penangguhan PPMN III

[Sumber]

Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) III 2011


Kurang sebulan lagi, PPMN iii akan berlangsung. Tahun ini bertempat di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Disember 2011 dengan tema "Pengukuhan Makna Diri Pengarang Muda".

Perhimpunan ini terbuka untuk penulis, penggemar sastera dan khalayak awam. Ya, tidak semestinya penulis sahaja. Yang "muda" di hati pun boleh sertai.

Yuran pendaftaran hanya RM 20 (untuk ahli PENA) atau RM 40 (untuk bukan ahli PENA). Sesiapa yang berminat tetapi belum mendaftar bolehlah segera berbuat demikian di sini.

Penginapan dan makanan disediakan untuk semua peserta.

Maklumat lanjut ada di blog PPMN atau fb PPMN.

Jumpa di sana nanti!

Borak Buku dengan Zainal Rashid Ahmad



Alumni MPR & Biro Penulis Muda PENA meneruskan tradisi acara bulanan, Borak Buku. Kali ini, Borak Buku siri 10 bakal menampilkan Zainal Rashid Ahmad, penerima Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Selain bergiat dalam penulisan kreatif, beliau kini bertugas sebagai Pengurus Besar Penerbitan Kandungan di Tv Al Hijrah.


Butir-butir acara adalah seperti berikut:

Tarikh: 20 November 2011
Masa:3:30pm - 5:00pm
Tempat: The Coffee Beans, KL Sentral

Buku Pilihan: 100 Years of Solitude (karya Gabriel García Márquez)

Ya, ini adalah program borak-borak tentang buku sambil minum kopi. Acara ini bersifat santai. Peserta boleh memilih untuk datang memberi pendapat atau mendengar sahaja.

MPR atau bukan MPR, PENA atau bukan PENA, muda atau tidak muda. Semua boleh ikut serta. Tidak perlu mendaftar. Jika anda berminat dan berkelapangan, datang sahaja dan kita borak-borak.

Terbuka dan percuma.

Diskusi Karya Sastera Remaja Alumni MPR

*Kemaskini dalam huruf hijau di bawah;

Bersempena dengan MINGGU KAWANKU BUKU mulai 14-17 November 2011, Dewan Bahasa dan Pustaka akan menganjurkan program Diskusi Karya Sastera Remaja Alumni MPR. Butir-butir acara adalah seperti berikut;

Tarikh : 15 November 2011 (Selasa)
Masa : 9.30 pagi-11.30 pagi
Tempat : Dewan Seminar, Aras 2, Menara DBP.

Pembicara :
1. Sdr. Salina Ibrahim (novel)
2. Sdr. Nasriah Abdul Salam (cerpen)
3. Sdr. Muhammad Lutfi Ishak (puisi)

Pembicara yang terdiri daripada mantan peserta MPR akan memperkatakan karya mantan peserta MPR yang lain, sama ada yang sudah mapan, mahupun masih baharu.

Masuk adalah percuma. Makanan disediakan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi
Shahrun Nizal Mohd Nor
(03-21482573/ 017-6573212),
atau e-mel, shahrun@dbp.gov.my

Jika berminat untuk mendengar cerpen anda didiskusikan, emelkan cerpen anda kepada sehijau.bakau@gmail.com, beserta sedikit maklumat diri.
Syarat-syarat cerpen:
1) Sudah diterbitkan dalam bentuk buku (sama ada antologi atau kumpulan cerpen).
2) Bertemakan remaja (sama ada wataknya remaja, sudut pandang remaja atau bersesuaian untuk bacaan dan tauladan remaja).


Majalah S.O.S


Sudah terbit! Boleh dibeli melalui sidang redaksi atau di mana-mana acara seni dan sastera sekitar Lembah Klang.


Harga pengenalan: RM 5 (tambah RM 1 jika dibeli melalui pos).


Blog Widget by LinkWithin
top