Selamat Datang MPR 2018!



MPR 2018 baru saja selesai. Kepada adik-adik, kami para kakak dan abang anda dengan besar hati ingin mengucapkan selamat datang ke dalam keluarga besar MPR.

Diskusi Buku Alumni MPR 2014


Catatan Mantan MPR 2014

Langkah Pertamaku Di Medan Ini 
Oleh: Amir Asyraffudin Abd. Aziz 



Minggu Penulis Remaja 2014 (MPR) yang berlangsung pada 22-27 Mac 2014 sudah beberapa minggu berlalu. Namun kenanganku di Cherating terus bermain di fikiran. Aku sedar masa yang berlalu takkan dapat kembali. Yang tinggal hanyalah kenangan, terpecah bersama buih pantai. Memori yang bersarang di fikiran akan tetap menjadi kenangan sampai bila-bila. Sudah menjadi adat setiap pertemuan itu ada perpisahan.

Teringat akan sepucuk surat undangan dari Dewan Bahasa & Pustaka yang sampai ke rumah ... yang akhirnya aku dibawa ke sebuah buana penulisan. Tempat aku lebih mengenali potensi diri sendiri. Ada juga terdetik rasa bagaikan bulan jatuh ke riba. Mana taknya, aku memang sudah lama mencari program sebegini; menulis cerpen, puisi dan novel. Itu semua memang perlukan tunjuk ajar. Almaklumlah, umurku dalam dunia penulisan pun baru setahun jagung setampuk pinang. Peserta mendaftar.


Tanggal 22 Mac 2014, kami berkumpul di Dewan Bahasa dan Pustaka. Teruja, gembira dan macam-macam perasaan yang tak dapat hendak digambarkan menerpa mindaku dan terus-menerus bermain di kotak fikiran. Peserta datang dari seluruh Malaysia. Dialek percakapan pun berbeza. Kami mendaftar di Menara Dewan Bahasa, Kuala Lumpur. Sepanjang berada di dalam bas, kami saling berkenalan serba sedikit walaupun di hati bersalut rasa malu. Tapi kami tetap berusaha menyesuaikan diri. Maklumlah selepas ini kami akan berkampung bersama-sama selama seminggu di Sanctuary Beach Resort, Cherating. Bayu laut menyapa penuh syahdu. Terpesona melihat pemandangan pantai yang sangat indah. Hati tenang dan dadaku terasa lapang dari kesibukan kota yang bingit. Bunyi ombak, kicauan burung dan keputihan pasir pantai umpama perencah tambahan untuk meningkatkan lagi semangat menghadapi hari-hari di Cherating ini.

Kami diberikan taklimat tentang perjalanan program MPR 2014 sejurus tiba di sana. Taklimat disampaikan oleh Encik Mohd Jusoh Majid, pegawai dari Bahagian Pembinaan Bakat & Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka yang merupakan ‘Pengetua MPR 2014’. Setiap seorang mendapat beg berwarna hijau garang, di dalamnya lengkap berisi modul dan tentatif sebagai rujukan sepanjang program.

Sejak hari pertama, kami dibantu oleh dua orang fasilitator yang sangat hebat dan tidak asing lagi dalam dunia karya kreatif ini. Cik Salina Ibrahim atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ina memberikan fokus kepada penulisan cerpen. Manakala Encik Rahimidin Zahari yang lebih erat kami panggil Cikgu Rahimidin memberi fokus kepada penulisan puisi. Kedua-dua mereka adalah graduan MPR.

Kami diberi layanan yang sangat baik dan mesra. Pelbagai ilmu dan pendedahan mengenai karya kreatif dikongsi oleh para fasilitator terutamanya mengenai elemen sastera, unsur lewah, unsur jungkir balik dan sebagainya.

Sepanjang seminggu berada di MPR, merekalah pembimbing, sahabat dan adik beradik kami. Kami juga turut dibantu oleh Tuan Haji Azman Ahmad (Ibnu Ahmad al-Kurauwi) selaku tokoh jemputan. "Jika ingin menulis, tulislah dengan hati," itulah kata-kata beliau yang akan aku sematkan senantiasa dalam diri.

Hasrat dan keazaman kami untuk menghadiri MPR sudah pasti bukan suatu yang sia-sia. Malah sangat bermanfaat. Terima kasih Kak Ina, Cikgu Rahimidin dan Tuan Haji Azman. Pesanan Cikgu Rahimidin, “Sekali menulis, teruskan menulis,” akan aku ingat sampai bila-bila. Tidak lupa juga, terima kasih kepada Encik Jusoh, Kak Irni dan Kak Zaiha yang bersengkang mata sehingga tengah malam bagi menemani kami menyiapkan tugasan MPR 2014. Terima kasih daun keladi. Jasa kalian akan kami kenang selalu!

slot penghayatan alam
Slot yang paling menarik bagi aku adalah slot penghayatan alam. Kami dibawa mengelilingi pantai melihat keindahan alam ciptaan Tuhan yang tiada tolok bandingnya. Desir angin yang sepoi-sepoi bahasa sangat menenangkan kalbu yang kekusutan.
"Pokok kelapa, tunggul kayu, bunyi ombak .. sebenarnya itu semua punya unsur tersendiri. Rajinkan minda untuk berfikir. Rahsia alam itu maha hebat," demikian kata-kata Encik Jusoh kepadaku. 

Sejujurnya madah itu masih terngiang-ngiang di benak fikiranku mengimbau kenangan yang terbuku di pantai itu.
Pengalaman seminggu berkampung di sini telah banyak memberi kesan kepada aku dan juga rakan-rakan. Tidak dinafikan persahabatan yang bermula di sini walaupun hanya seminggu, namun telah melahirkan rasa tautan kasih sayang yang utuh. Terlalu banyak kenangan manis yang kami hadapi bersama. Berkongsi idea dan juga kadang-kadang galak kami bergurau senda menyebabkan hubungan semakin akrab. Aku berharap persahabatan ini akan kekal sampai bila-bila.


Malam Apresiasi Seni merupakan malam terakhir sebelum kami berpisah dan kembali ke negeri masing-masing. Malam ini berlangsung dengan penuh keceriaan walaupun di hati terbuku rasa sedih kerana esoknya kami bakal berpisah. Pelbagai gelagat yang dipertontonkan oleh peserta MPR dalam setiap persembahan. Malam itu juga berlangsung penyerahan sijil kepada para peserta dan penganugerahan peserta terbaik MPR.

(Doodle: Qurratul Sa’adah Zulkafli)
Kenangan ini akan menjadi sebuah kenangan yang terindah dalam hidupku. Akan aku lipat kenangan ini bersama desir pantai. Moga kekal di situ. Ayuh teman MPR 2014, kita kekalkan semangat menulis ini hingga ke akhir hayat.


KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH

Setinggi-tinggi tahniah kepada para pemenang terutamanya Geng MPR yang berjaya.



KEPUTUSAN SAYEMBARA PENULISAN ITBM-PENA-BH

KATEGORI NOVEL:

Hadiah Pertama (RM15,000 + medal + sijil) 
Wan Nor Azriq Wan Mokhtar
D.U.B.L.I.N

Hadiah Kedua (RM12,000 + medal + sijil)
Sri Rahayu Mohd Yusop
Qalam Kalbu

Hadiah Ketiga (RM9,000 + medal + sijil)
Zubaidah Ishak
Pertemuan Musim Semi

Hadiah Sagu hati (7 x RM3,000 + medal + sijil)
• Ruhaini Matdarin (Anatomi Rupert)
• Abd Razak Adam (Tujuh Keturunan)
• Ariff Mohamad (Semenanjung Menangis)
• Md Nizar Parman (Jajahan Bonda)
• Neor Muhammad Azri Neor Razak (Hari-hari Yuda)
• Sharazi Mohd Sheriff (S.P.Q.R)
• Mohd Fadzli Yusof (Nuansa Cita)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Ruhaini Matdarin
Melawan yang Mustahil

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Moh Azam Rezali
Sayang Perahu, Mudik Hilir

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil)
Radzemah Bolhassan
Sagu, Ikan Salai

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
• Mawar Shafie (Narasi Gua dan Raqim)
• Nazri Hussein (Konflik di Hati Enrique)
Roslan Jomel (Serangga dalam Kepala)
Mohammad @ Mohd Hafezin Khadiri (Kuda-kuda Lembah Patagonia)
• Dk Mastura Pg Ismail (Langit Runtuh)
Sharifah Aisiah Syed Mahazar (Sekapur Sirih daripada Teja)
• Noridah Md Noor (Hanya Beberapa Minit)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:

Hadiah Pertama (RM10,000 + medal + sijil)
Mohd Ridzuan Harun
Negeri Kunang-kunang

Hadiah Kedua (RM7,000 + medal + sijil)
Rahimidin Zahari
Laut Tujuh Gelombang Buih

Hadiah Ketiga (RM5,000 + medal + sijil) 
Shamsudin Othman
Taman Maknawi

Hadiah Sagu hati (7 x RM2,000 + medal + sijil)
Siti Raihani Mohamad Saaid (Sidang Kultus)
Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Kota Subuh)
• Ariff Mohamad (Titik Ke Titik, Hujan)
• Ramlah Abd Rasid (Perahu)
Hani Salwah Yaakup (Tentang Pertanyaan)
Zulfazlan Jumrah (Mandala Sukma)
• Sahrunizam Abdul Talib (Suara Bukit Kepada Langit)

Senarai Pemenang bagi Anugerah Buku PNM-RTM 2013




Anugerah Buku PNM-RTM 2013 yang berlangsung pada 3 Oktober 2013 lepas telah memartabatkan buku-buku karya penulis tempatan dalam sebuah majlis berprestij. Tahniah kepada semua pemenang!






Perhimpunan Alumni 2


Alhamdulillah. Perhimpunan Alumni MPR 2 berjalan dengan lancar. Bertempat di Shah's Beach Resort, Melaka, alumni senior dan junior berkumpul bersama.

Terima kasih kepada pihak DBP yang bertungkus-lumus menjayakan program. Moga kita dapat bertemu lagi dalam perhimpunan yang lain.

Lagi gambar-gambar di fb MPR & Rakan.


Blog Widget by LinkWithin
top