Salam Aidilfitri

Kami hidangkan sebuah lagu puisi untuk dinikmati bersama.

Demam



Lirik: Fahd Razy
Lagu: Rahman D

12: Setelah Tersungkur



SETELAH TERSUNGKUR

Kuserahkan sekeping hati
Untuk-Mu baiki
Setelah lumat dicincang putus harapan
Kuserahkan sepenuh setia
Cantumkan serpihan kesal
Lonjakkan semangat perjuangan
Setelah perit terjunam ke lembah dura
Usahaku,Tuhan tak bernoktah
Dambakan kejayaan yang hakiki
Saat meraba dalam suram
Aku terkhilaf arah tujuan
Saat cangkir ilmu kuteguk puas
Manisnya ada,nikmatnya hilang
Duri yang menikam semakin berbisa
Sumbang langkah keras dihidu
Jalan ini
Pasti aku tidak memilihnya lagi

Safiy Iskandar

11: Tentang Sebuah Malam yang Tak Akan Kunantikan Lagi



TENTANG SEBUAH MALAM YANG TAK AKAN KUNANTIKAN LAGI

Ayuhai malam
kubelai
susuk tubuh hitammu
yang samar di bawah limpah
sinar rembulan.

Ayuhai malam
kupuja
wajah usangmu yang tak pernah tua
dengan senyuman
yang kau lakar dari gugusan bintang.

Ayuhai malam
kutadah
embunmu yang dingin
untuk beribadah
ketika corong pili airku
tak lagi bersuara.
(Kau sangat memenuhi, ayuhai malam.)

Ayuhai malam
yang kubelai
yang kupuja
yang kutadah.

Ini bulan purnama
dengan cahaya yang silau dan tajam
lantas memutuskan
pembuluh darahku yang berselirat.

ODE
Antologi Sejalan Tak Seiring
2007

Promosi: Nak Balik Raya

Jika berkesempatan jangan lupa saksikan dua hasil karyaMF Kencana, Nak Balik Raya dan Datin Wan Abe.

Tajuk: Nak Balik Raya
TV2
Tarikh: 18 September (Jumaat)
Masa: 8.30 - 10.30 malam (bolehlah tonton selepas terawih :)

Pengarah: TS Jeffery
Penulis skrip: MF Kencana
Pelokon: Zul Yahya, Zul Huzaimi dan Bell Ngasri



Tajuk: Datin WanAbe Berhari Raya
TV3
Tarikh: 23 September (Raya ke-4)
Masa: 11 malam

Penulis skrip: MF Kencana
Pelakon: Jasmin Hamid,Sahmsul Ghau Ghau


PUASA (DAN RAYA) PENULIS

Seperti sabda nabi
bahawa kegembiraan orang yang berpuasa itu, salah satunya
adalah pada ketika tibanya saat berbuka
barangkali seperti itu jugalah
kegembiraan seorang penulis itu, salah satunya
adalah pada ketika karyanya diterima
disiarkan lalu kemudian ditatapnya.

Ah, lega! (sehabis berbuka)
Wahai dunia, karyaku tersiar!

Seperti mana telah dimaklumi
bahawa kesusahan orang yang berpuasa itu, salah satunya
adalah pada ketika siangnya berlapar dahaga
serta berletih lesu melawan nafsu
barangkali seperti itu jugalah
kesusahan seorang penulis itu, salah satunya
adalah pada ketika ia berfikir memerah otaknya
menaut ilmu menyusun kata.

Aduh, laparnya!
Aduh, rengsanya! (mencari idea)

Seperti mana kemenangan orang yang berpuasa itu, salah satunya
akan dirasai pada ketika tibanya Syawal
lalu diraikan dengan berhari raya bertakbir dan bertahmid
barangkali seperti itu jugalah
kemenangan seorang penulis itu, salah satunya
akan dirasai pada ketika tibanya cek royalti
lalu diraikan dengan membeli buku dan azam untuk lebih prolifik.

Selamat hari raya.
Selamat menulis terus.

Aidil Khalid
Kamar Suluk, Shah Alam

9: Sesudah Ribuan Tahun Kau Pergi



Sesudah Ribuan Tahun Kau Pergi
(Mengenang Junjungan Nabi s.a.w.)

Wajahmu tampan seperti bulan
akhlakmu sopan indah menawan
cantik berseri bak mentari terbit pagi
seorang Nabi yang manis budi pekerti.

Saat diputerakan, terlalu banyak keajaiban
bukti kebenaran kau memang utusan Tuhan
keluar cahaya menerangi istana Syam
dan api sembahan orang Majusi terpadam
lengkungan gerbang istana Kisra jatuh
dan gereja di Bahiirah Saawah runtuh.

Engkau pernah dibawa berjalan
terlalu hampir di depan Tuhan
engkau sempat bertemu Musa
merentas pintu langit yang dibuka.

Pengorbananmu tidak terungkap dengan kata-kata
perjuanganmu tidak tertulis dengan pena
teringat dirimu dihina, dilempar dengan uri unta
dan hatimu yang sedih ditinggal isteri tercinta.

Wafatmu saat matahari sudah mula meninggi
meninggalkan umat, sahabat dan beberapa isteri
tidak terhingga sedih dan pilu yang menyelubungi
sempurnalah Islam ini, dan selamat tinggal wahai Nabi!

Kini, sesudah ribuan tahun kau pergi
aku masih pilu mengenangmu yang diracuni
kuucapkan salam ini wahai Nabi
sejahteralah kau di sisi Ilahi.

Kupegang katamu wahai pesuruh Allah buat meneruskan dakwah,
“Tidak akan sesat selamanya yang berpegang dengan kitab Allah.”

Salman Sulaiman
Teratak Seni, Machang.
23 Mac/5 – 6 Mei 2009.

8: Langit Ramadan


LANGIT RAMADAN

Senjakala yang menikam
resah dalam penantian
sejuzuk kalbu semakin resah
hati yang rindu kian gundah
bertamu awanan teja di angkasa
seribu pengertian kian bertingkah.

Ufuk langit ramadan ini
memancarkan jalur-jalur cahaya
menerobos dari petala ketujuh
mendayung rahmat ilahi
seluruh mayapada dilingkari.

Dan sudut mentari semakin tirus
langit ramadan kian zulmat
medan yuda di ambang jiwa
bersujud dilimpah nikmat.

Azree Ariffin
Mahallah Umar Al-Khatab, UIAM

Mingguan Malaysia
21 September 2008

7: Cerita Dari Langit



CERITA DARI LANGIT

Hujan memanah warna
Langit menurunkan isyarat
Jibril mengibar sayap
Bintang mencairkan doa.

Tuhan,
Isyarat langit tidak tersanggah
Bayang siapa itu antara senyum para malaikat?
Nama siapa itu tertulis di Sidratul Muntaha?

Raihani Mohd.Saaid
Kuala Lumpur 2009.

6: Ujana di Mataku


Ujana di Mataku

Rimbunan cinta
di ujana Ramadan ini
seakan salju
mengairi kolong batiniah
yang kadang panas dan kontang
yang kadang memijar dan gersang

Hadir, salju mengguyur
namun bukan selamanya

Hai batiniahku,
terus bekerja jadi hamba pemilik Cinta
walau ujana ini
tiada pada kerlipan mata jua desahan nafas

(Rabbi, kurniakan hamba
keajaiban cinta di ujana ini)

Raehan Intisor
(Raden Qurratu'Aini)
Percubaan SPM pada Ramadan

5: 2 Ramadan 1428 H



2 Ramadan 1428 H

Seperti sebuah keretapi yang bergerak meninggalkan stesen demi stesen
kita kini berada di stesen ramadan.

Di landasan ini - telah kita selongkar gerabak nafsu
yang ada hanyalah syiling-syiling zuhud
memang- tak mampu lagi kita bayar tiket pahala
kerana nilainya kini sama dengan seribu bulan.

Begitulah – kita terus juga menjadi penunggu setia di stesen ini
sedang nafsu masih lagi meninggi.

Nimoiz T.Y
Politeknik Mukah Sarawak

13 September 2007

4: Ramadan Indah



Ramadan Indah

Ramadan indah ini juadah
dari syurga anugerah
lambang muslim bertuah!

Ida Munira Abu Bakar

3: Ramadan yang Kali Ini III



RAMADHAN YANG KALI INI III

Yang meratib di sejadah resah
maka akulah;
bersama lafaz zikir yang basah
doa sarat puisi mahabbah
tatkala sujud berserah
meratib butir syahadah
di lantai keampunan Allah.

Aku seperti sang pidana yang terpasung
dalam penjara iman yang terkurung
meski telah kuserpih jendela nafsu
di jeriji jenang hayatku
tatkala zikirku tersedu di malam kelabu
dan sujudku rebah di sejadah doaku.

Akulah sang pidana yang diziarahi
Ramadhan yang kali ini
setelah bermusim nurani ini kontang
dalam telaga noda yang terjang
kehilangan timba di padang perang
antara renyai pahala yang kurang
dan hujan taubatku yang hilang.

Ramadhan yang kali ini
menitip purnama kala merindui
kini sumbu berkat ternyala kembali
di pancang likur rahmat sekali lagi
dalam selaman taman firdausi.

ZULFAZLAN JUMRAH
UPM, Serdang.

2: Dusun Ramadan



Dusun Ramadan

Narwastu apakah yang memecah
menjinakkan ruhi ke rimbun menghijau
taman teduhan yang meredup
dari sihir duniawi yang memukau.

Ramadan yang mekar, aku datang lagi
sebagai pipit yang dahaga
sembunyikan aku dalam subur daun
bermandi embun menghirup rimbun; betapa
aku unggas tempang kepak
yang memapah iklim hayat bersembilu
dari helang haloba
yang sering memburu.

Tak pernah mengalir kemanisan sebegini
susu menumpah
buahan yang terlimpah
juga bungaan dan harum yang mewah.
Ramadhan yang memugar, aku berziarah lagi.
Ya, aku juga lagi- sebagai
tetamu kalbu
bertenggek di dahan menghirup
sakar ketulusan- enak yang
menikmat ke seluruh amalan.

Sebelum malam rembang
memukat aku dalam remang
izinkanku bersarang
untuk semusim hayat lagi.


Fahd Razy
Upper Rathmines Road, Dublin

Ramadhan 1428H

KUMPULAN PUISI 'MENGGELEDAH NURANI'

1: MENCARI DIRI ii



MENCARI DIRI ii

Malam membuka dadanya
aku selak setiap helaian
mencari bulan dan bintang
tetapi
kutemui matahari
lalu membakar wajahku.

Mujur,
sepincing angin dari salam Illahi
mulus dan damai
berbisik kepadaku
siramilah tanah leluluhmu yang tandus
kirimilah bekalan utusan mukjizat
untuk kau kenal hakikat dan makrifat.

Merenung insaf diri
aku hilang
di dalam bayang-bayang
bulan dan bintang
yang bergemerlapan di langit Tuhan.

SHAMSUDIN OTHMAN
Madrasah Sham al-Johori
Kuala Lumpur.

15 Ramadan 1430H.

12puisi

Panggilan kepada warga MPR sekalian, bermula 8 September ini, sebuah puisi akan dimuat naik ke blog ini setiap hari sehingga 19 September.

Sehubungan dengan itu, sumbangan karya anda adalah diperlukan untuk melengkapkan jumlah 12 buah puisi di samping karya para penyair yang telah tersenarai. Ayuh, marilah bersama-sama kita meriahkan aktiviti ini.


Syarat?
  • Puisi bertemakan nasihat, keagamaan atau yang berkaitan, untuk menghormati Ramadan yang berkat ini.
  • Karya yang pernah tersiar atau belum.
  • Terbuka kepada semua mantan.
  • Emelkan ke aktivitimpr[at]gmail[dot]com sebelum 14 September 2009.

Ayuh, mari kita tambah ilmu!

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X

Tema
Kesusasteraan Melayu Dalam Rentas-Ilmu


Subtema

Hubungan Kesusasteraan Melayu dalam Bidang Ilmu:
Agama, Sains Sosial, Sains & Teknologi, Seni Persembahan dan Pendidikan


Tarikh

18-19 November 2009


Tempat

Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Yuran Penyertaan
Pembentang & Peserta: RM 100.00
Pelajar : RM 50.00


Untuk maklumat lanjut

Sekretariat SAKM X
Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi,Selangor DE,Malaysia

603 89215288 (Dr. Mawar Shafei)

603 89215573 (PM Dr Misran Rokimin)
sakm09@gmail.com
Blog Widget by LinkWithin
top