Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman


 

Sesi ke dua : Pengarang Muda : Ketiadaan Ruang Atau Masa Depan


 

Moderator    :     Rahimidin Zahari

Ahli Panel    :     Ibnu Ahmad Al-Kurauwi

            Shahrunnizam Abd Talib

           Khairun Nasriah Abdul Salam

              Nisah Haji Haron

 

Ibnu Ahmad Al- Kurauwi hadir dengan makalah, Penulis Muda : Antara Mengisi Ruang Dengan Menyediakan Peluang menyenaraikan nama-nama majalah yang menyiarkan ruangan untuk penulis muda berkarya berserta alamat editor untuk memudahkan penulis muda menghantar karyanya ke media cetak. Menurut saudara Ibnu Ahmad Al- Kurauwi, terdapat banyak ruang untuk penulis muda berkarya namun terdapat beberapa masalah yang muncul seperti penulis muda tidak menghantar karya yang sesuai dengan tema majalah serta karya fiksyen sains itu sangat kurang kualitinyauntuk disiarkan seperti di Dewan Kosmik sehingga ada cerpen-cerpen yang ditangkap muat walaupun lari daripada tema majalahnya. Masalah yang dihadapi oleh editor Dewan Siswa pula ialah apabila cerpen-cerpen yang diterima tidak tersusun, mengikut emosi, lemah teknik, kurang mesej dan kreativiti. Namun begitu, ada juga majalah yang tidak mendapat perhatian penulis muda untuk berkarya seperti majalah Dewan Budaya dan majalah terbitan Jakim. Kesimpulannya, masih banyak ruang yang boleh dimasuki oleh penulis muda, terpulang kepada penulis untuk menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti untuk mendapat tempat di media cetak dan majalah.


 

Nasriah Abdul Salam yang muncul dengan makalahnya, Kelangsungan Pengkaryaan Penulis Muda : Sorotan Kebebesan Berekspresi mengatakan tanggungjawab seorang penulis adalah meneruskan kelangsungan persuratan Melayu dalam membina budaya serta ketamadunan dengan menjadikan gagasan dan pemikiran yang jitu dan benar sebagai wasilah. Pembawaan penulis muda dilihat melalui beberapa sudut. Ada yang memilih untuk mengadun unsur agama Islam seperti dalam karya-karya Faisal Tehrani, Zaid akhtar, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga yang memilih untuk keluar dari sastera konvensional yang digelar sastera underground. Selain itu ada juga kemunculan penulis muda yang berlatar-belakangkan multi-displin memberi jalur baru dan nafas segar dalam dunia penulisan. Saudari Nasriah menyimpulkan bahawa ruangan berkreatif dan berkritis untuk penulis muda tidak wajar disempitkan kerana dilihat sebagai kekangan yang akan membantutkan keintelektualan dan melemahkan kemandirian penulis sendiri


 

Ahli panel ketiga Shahrunizam Abd Talib membentangkan Penulis Muda : Ketiadaan Ruang atau Masa Hadapan mengatakan cabaran dunia sastera Malaysia ialah sastera telah dipandang rendah oleh masyarakat dan hampir menjadi sejarah kerana kecenderungan kepada kecanggihan bidang sains, matematik dan teknologi walhal sastera turut sama penting memperkukuhkan akal budi dan jati diri masyarakat. Shahrunizam melihat karya penulis muda bukanlah tidak mendapat tempat serta terbiar sebaliknya sering terbuka untuk dimasuki secara bijaksana dan penuh hikmah. Ditambah dengan kepesatan dan kecanggihan dunia teknologi maklumat dapat menjadi nilai tambah kepada penulis muda untuk mengembangkan bakat penulis muda. Shahrunizam juga mengatakan antara beberapa masalah penulis muda apabila ketiadaan ruang untuk mempromosikan kehadiran diri sebagai penulis kerana halaman sastera di akhbar sangatlah sempit dan terhad. Selain itu, radio dengan televisyen juga tidak mesra dengan dunia satera apabila kurang atau hampir tiada ruang untuk mempromosikan sastera di situ.


 

Nisah Haji Haron dengan Catatan Tentang Pengiktirafan Kepada Penulis Musa. Puan Nisah juga melahirkan rasa kekecewaannya apabila tiada lagi anugerah sastera remaja selepas Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat terhalang kerana penswastaan Dewan Siswa kepada Karangkraf. HSSBR dilihat berjaya mewujudkan satu gelombang kelompok penulis muda yang melahirkan karya-karya yang bermutu dan melalui HSSBR jugalah nama-nama seperti Hizairi Othman, Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama). Selain itu Puan Nisah juga menyatakan kebanyakan karya pilihan pengkritik untuk diperkatakan jarang sekali memperkatakan tentang karya penulis muda seperti Sri Rahayu Yusof yang pernah memenangi beberapa siri Hadiah Kumpulan Sastera Utusan. Walhal peranan pengkritik sangat penting untuk menunjukkan satu bentuk indekas yang menentukan kualiti karya dan aras yang telah dicapai oleh penulis tersebut.


 

Lintas Lansung daripada Puteri Resort Ayer Keroh, Melaka.

0 komen:

Blog Widget by LinkWithin
top