Kategori cerpen;
Nisah Hj. Haron
Hafizah Iszahanid
Mohd Faizal Musa
Kategori puisi;
Fahd Razy
Senarai penuh pemenang di Dewan Sastera Jun 2009.
Penjana Kreativiti Remaja
Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Sesi 5 : Perjuangan Penulis Muda : Arah Dan Cabaran
Pengerusi Sesi : Nimoiz T.Y
Ahli Panel : Salina Ibrahim
Ariff Mohamad
Ridzuan Harun
Salina Ibrahim membentang kertas kerja yang bertajuk Arah Dan Cabaran Penulis Muda; Masa Depan Dalam Tangan Mereka mengatakan beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama untuk memastikan kelangsungan penulis muda. Penulis muda haruslah memantapkan jati diri yang berilmu dan tidak bercanggah dnegan dirinya. Selain itu, penulis muda haruslah disatukan walaupun berbeza pendapat dan padangan supaya boleh bertuka-tukar fikiran dan tidak hanya dalam ruang lingkup yang sama. Salina Ibrahim juga mencadangkan agar penulis muda memanfaatkan teknologi seperti email, Friendster, Facebook untuk mempromosikan karyanya dengan cara yang tersebut.
Ridzuan Harun dengan kertas kerjanya Masa Depan Penulis Muda: Antara Kenyataan dan Harapan menggariskan beberapa cabaran-cabaran penulis muda dalam menongkah masa yang di antaranya cabaran memartabatkan Bahasa Melayu, persuratan Melayu, memartabatkan kebudayaan Melayu sebagai teras pembinaan kebudayaan nasional serta cabaran mendepani persekitaran dan sosiopolitik negara. Penulis muda haruslah memerdekakan jiwa dari sebarang kongkongan untuk menulis dan kembali kepada jati diri sebelum mengajak masyarakat mendampingi penulis sebagai khayalak sastera.
Ahli panel ketiga, Ariff Mohamad dalam kertas kerjanya Memeta Identiti Penulis Muda Malaysia mengatakan penulis muda haruslah mengambil perhatian serius tentang kesepaduan identiti dan karya dan peribadi. Beliau menyarankan 10 langkah untuk membawa sastera Malaysia ke persada antarabangsa. Selain itu penulis muda harus bergerak dengan serius dalam proses memeta identity kesusateraan Melayu sebagai khazanah ketamadunan dan sebagai bahan sejarah yang relevan dengan bangsa dan negara.
Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Sesi 4 : Sains Dalam Sastera.
Pengerusi Sesi : Muhammad Ali Atan
Ahli Panel : Dr Mohammad Alinor Abd Kadir
Wan Ahmad Fhysal Wan Ahmad
Nasirin Abdillah
Dalam sesi 4 yang bernaung di bawah isu Sains Dalam Sastera, ahli panel Dr Mohammad Alinor dengan kertas kerjanya yang bertajuk Sains Tabii dan Sastera telah mengumpulkan sumber-sumber pengetahuan di Alam Melayu dan menyaring masukan-masukan dalam sumber tersebut yang bernilai Sains Tabii dan membandingkan dengan konsep-konsep semasa demi mendapatkan konsep baru yang lebih berpotensi. Dalam kertas kerja ini juga Dr Mohammad Alinor mengemukakan beberapa manuskrip-manuskrip daripada Funan, Champa, Sriwijaya yang menulis apa-apa yang berkaitan dengan sains tabii.
Wan Ahmad Fhysal yang hadir dengan makalah yang bertajuk Sastera Ilmi Sebagai Pemangkin Budaya Intelektualisme Dalam Peradaban Ummah : Satu Renungan Awal menekankan peri-pentingnya kefahaman sastera haruslah disulami kefahaman ilmu yang betul agar nilai diri dan masyarakat dapat diletakkan pada tempat yang betul sehingga lahirnya tamadun atau peradaban dalam masyarakat. Menurut beliau juga, terdapat contoh masalah kehilangan adab dalam sastera khususnya displin ilmu kritikan sastera seperti kegagalan kritik sastera dalam memberi arah, kecelaruan kefahaman konteks krtikan sastera Melayu, hanyut dalam khayalan subjektif dan khayalan liar dalam penggunaan bunga bahasa. Menurutnya juga, genre satera ilmi harus menjadi fokus penting buat karyawan muda negara dalam usaha memartabatkan kembali dunia persuratan dan kesusateraan Melayu.
Dalam kertas kerja yang ditulis Nasirin Abdillah membincangkan hubung-kait sains dan satera yang mana keterpisahan antara sains dan sastera perlu ditolak dan satu keseimbangan di antara kedua-duanya perlu dicari agar kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Secara khususnya Nasirin memfokuskan bagaimana filem boleh manjadi wadah penghubung yang efektif di antara sains dan sastera dan pendekatan ini menghampiri selera masyarakat alaf baru yang cenderung memilih filem berbanding bahan bacaan. Beliau mengemukakan contoh The League of Extraordinary Gentlemen arahan Stephen Norrington yang penuh aksi dan kesan-kesan khas dalam masa yang sama menggabungkan sains dan sastera dalam wacana berbeza. Beliau menyarankan agar penggunaan filem sebagai wadah baru dalam menggabungkan sains dan sastera dapat berhasil mengetengahkan bahawa tiada keterpisahan idea diantara dua displin ilmu ini
Sesi 3 : Penulis Muda : Tiada Perjuangan.
Pengerusi Sesi : Mohd Nazmi Yaakub
Ahli Panel : Jaafar Hamdan
Ali Burkhari AmirUmmu Hani Abu Hassan
Jaafar Haji Hamdan membentangkan kertas kerja yang bertajuk Perjuangan Karyawan Muda Sarawak : Satu Penelitian Umum. Menurutnya penulisan di Sarawak menjanjikan sesuatu yang menyakinkan namun tidak dapat dinafikan terdapat kewujudan dan kehilangan penulis samaada penulis baru atau penulis lama kerana didorong oleh suasana dan persekitaran sastera negeri Sarawak. Katanya terdapat banyak aktiviti-aktiviti sastera di Sarawak seperti aktiviti yang dianjurkan DBP cawangan Sawarak, ceramah dan bengkel penulisan, Peraduan Penulisan Kreatif Hari Guru, Peraduan Penulisan Kreatif Umum, Hadiah Penulisan Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak, mengelola ruangan Yang Indah itu Bahasa di akhabra Utusan Borneo dan Ruangan Wadah Bahasa dan Satera serta pengiktirafan penulis melalui hadiah Penghargaan Penulis Sarawak.
Ali Bukhari Amir dalam kertas kerjanya Penulis Muda Tiada Perjuangan?, menyatakan masih terdapat penulis muda yang berbakat dan ada perjuangannya.Namun terdapat kekangan untuk melahirkan karya-karya yang berbentuk perjuangan apabila pengarang muda melihat editor sastera tidak cenderung menyiarkan karya-karya yang berbentuk satira dan akhirnya akan menulis karya yang mengikut kehendak editor sastera sahaja. Beliau mencadangkan agar rantaian ketakutan dengan editor sastera diputuskan dalam usaha awal untuk melahirkan pengarang-pengarang muda yang berani, memiliki fokus perjuangan yang jelas.
Ummu Hani Abd Hassan Hasrat Introspeksi Karya : Pengalaman Menulis Cerpen Dalam Akhbar Mingguan Malaysia. Beliau mengemukakan proses kreatifnya semasa menukilkan karya-karyanya yang pernah tersiar di Mingguan Malaysia seperti karya KampungHati Ayah, Cerita Hari-Hari Akhir, Putik Qunaitara dan Teman, Cukuplah Kami dan Lagenda Albopictus. Menurutnya lagi penulis muda ada perjuangan dan setiap perjuangan Penulis Muda adalah berbeza dan mengikut lorong yang pelbagai.Ucap Utama : Yang Berbahagia Dato' Anwar Ridwan
Bahasan Ucap Utama I : Syed Mohd Zakir Syed Othman (S.M. Zakir)
Bahasan Ucap Utama II : Dr Awang Azman Awang Pawi
Pengerusi : Mohd Lutfi Ishak
Ucap Utama
Dalam ucap utama Dr Anwar Ridwan, beliau menyatakan penulis muda harus menggariskan perjuangan seninya dan sangat bergantung kepada tujuan pengarang, wang ataupun nama?. Dr Anwar Ridwan menyatakan beberapa cabaran yang dihadapi penulis muda. Menurutnya cabaran pertama penulis muda ialah penulis harus menetapkan tujuannya mengarang dan memilih untuk menjadi pendakwah seni mengandungi ilmu, maka karyanya akan menjadi lebih jauh bererti dan degup perjuangannya akan menjadi lebih kencang. Penulis harus tahu tujuan menulis bukan lah bermain-main, menguasai teknik penulisan, mengembangkan pemikiran untuk menncipta karya yang bermutu.
Cabaran kedua : Idea Makin Ditagih. Menurut beliau, pengarang yang malas belajar dan mengkaji seperti penulisan sastera popular sememangnya sarat peristiwa dan manusia tetapi sedikit sekali idea yang terdapat di dalamnya. Pembaca di luar semakin pintar menilai mutu karya dan sekiranya karya itu tidak penuh dengan ilmu akan tidka meninggalkan kesan kepada pembaca.
Cabaran ketiga : Ruh Islam di dalam Karya Sastera. Dr Anwar Ridwan menyatakan roh Islami semakin menjauh daripada kehidupan sebahagian keluarga. Budaya kehidupan liberal-sekular menyebabkan mereka lebihbanyak menghabiskan masa dan wang ringgit kepada tuhan baru kompromi, dan tuhan baru bernama hendonism. Oleh itu, penulis muda haruslah meniupkan roh Islami di dalam karyanya untuk melawan budaya-budaya baru ini.
Cabaran keempat : Masa depan pendidikan sastera yang mencemaskan. Dalam senario dunia satera yang dipandang dunia kelas kedua, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan dunia sastera yang kini semakin kurang pelajar yang cemerlang, pengajaran sastera seolah-olah tiada pengaruh atau kesan lagi. Cadangan beliau satu rombakan besar-besaran terhadap pengajaran dan pembelajaran sastera di sekolah harus dilakukan.
Bahasan Ucap Utama I
Kertas kerja S.M. Zakir yang bertajuk Arah Dan Cabaran Penulis Muda : Antara Ubermensch dan Khudi Pembentuk Peribadi Unggul – beliau cuba menerangkan mengenai perbezaan pemikiran yang dibawa oleh dua sarjana dunia yang terkenal iaitu Friedrich Nietzsche yang mengemukakan konsep manusia unggul – Ubermensch dan juga Iqbal yang membawa konsep pemahaman diri yang disebut Khudi.
Dalam Ubermensch melihat individu merupakan pusat kepada segala perbahasan. Dalam perbahasannya, sarjana ini menolak segala persamaan manusia untuk mewujudkan konsep individualiti manusia yang seterusnya mewujudkan manusia unggul iaitu Ubermensch dan nilai baik dan buruk manusia bergantung kepada individu yang bebas dan bukan kepada adat dan agama.
Sementara itu, dalam konsep Khudi (ego), Iqbal menjelaskan bahawa pemikiran tentang tuhan harus berangkat daripada pemahaman diri yakni khudi terlebih dahulu, selanjutnya menuju kepada pemahaman tentang tuhan yang disebut Iqbal sebagai ultimate ego – realiti tertinggi. Iqbal menolak pemikiran Nietzsche dalam konsep "death of god" dengan menyebut bahawa manusia adalah sebagai khalifah tuhan sehingga dapat melahirkan kerajaan tuhan (agama) di muka bumi. Menurut Iqbal, tuhan adalah pemilik sejati kedaulatan, yang meluas ke seluruh alam dan umat manusia.
Bahasan Ucap Utama II
Dalam kertas kerja ini, Dr Awang Azman menyatakan mengenai proses pengenerasian manusia yang bersifat dinamik kerana manusia merupakan makhluk berfikir yang rasional dan bebas berfikir secara kreatif dan inovatif.
Beliau menyentuh soal pemetaan perjuangan yang merupakan perkara asas yang perlu dilakukan oleh penulis muda di mana penulis muda perlu mengutamakan ilmu dan himah agar lebih diberkati dalam usaha menghasilkan karya yang bermutu tinggi. Beliau menambah bahawa satera harus menyaring segala budaya liberal yang sedang melanda negara. Sistem pendidikan Islam seperti sekolah pondok , agama dan institusi pengajian Islam yang terpinggir yang diambil alih oleh sistem sekolah harian biasa membuktikan keterpinggiran dlaam arus perdana sistem pendidikan.
Beliau menyentuh mengenai Dekaden Melayunisme iaitu isu bahasa melayu yang semakin terpinggir dalam arus globalisasi. Mengambil contoh PPSMI, dasar ini katanya telah mengorbankan dan memangsakan Bahasa Melayu. Dapat di interpretasikan bahaa sekiranya orang Melayu gagal menyakini pemimpin Melayu untuk mengubah dasar tersebut maka pada masa akan datang, ia akan memberi kesan kepada pola pengundian di dalam pilihanaya umum.
Penulis muda harus menyedari kepentingan harta intelekual dan hak cipta kerana ia adalah hak hasil titik peluh dan kreativiti mereka. Secara keseluruhan Dr Awang mengupas mengenai aspek penggenerasian yang perlu diperbaharui untuk mencorakkan satera tamadun melayu islam pada masa hadapan.
Hari kedua Perhimpunan Penulis Muda Nasional telah disempurnakan dengan majlis perasmian oleh Datuk Bandar Majlis Bandaran Melaka Bersejarah, Yang Berbahagia Tuan Yusof Bin Jantan. Dalam ucapan perasmiannya, beliau telah mengucapkan selamat datang kepada para penulis muda dari seluruh negara ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah. Selain itu, beliau juga telah menggesa penulis muda untuk menggunakan kecanggihan teknologi umpamanya menulis blog untuk meluaskan khalayak pembaca.
Majlis juga turut diserikan dengan kehadiran Yang Berbahagia Dato' Baharuddin Zainal iaitu Presiden Persatuan Penulis Nasional yang menggesa penulis-penulis muda untuk bekerjasama untuk terus berjuang untuk menegakkan status undang-undang Bahasa Melayu. Beliau menambah bahawa sebuah perjuangan harus dilakukan secara berkumpulan supaya suara penulis muda lebih lantang kedengaran.
Dato' Haji Termuzi Hj Abdul Aziz pula sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka telah menyatakan rasa bangganya terhadap penulis-penulis yang telah lahir daripada Program Minggu Penulis Remaja dan Bengkel Penulis Kreatif DBP yang telah mewarnai dunia penulisan dan penerbitan di Malaysia. Menurutnya, seseorang penulis harus ada semangat dan jiwa yang besar untuk berjaya. Beliau juga menyatakan harapan beliau agar penulis-penulis muda terus gigih berkarya dan menghasilkan suatu produk yang berkualiti.
Oleh : Ainunl Muaiyanah Sulaiman
Sesi ke dua : Pengarang Muda : Ketiadaan Ruang Atau Masa Depan
Moderator : Rahimidin Zahari
Ahli Panel : Ibnu Ahmad Al-Kurauwi
Shahrunnizam Abd Talib
Khairun Nasriah Abdul Salam
Nisah Haji Haron
Ibnu Ahmad Al- Kurauwi hadir dengan makalah, Penulis Muda : Antara Mengisi Ruang Dengan Menyediakan Peluang menyenaraikan nama-nama majalah yang menyiarkan ruangan untuk penulis muda berkarya berserta alamat editor untuk memudahkan penulis muda menghantar karyanya ke media cetak. Menurut saudara Ibnu Ahmad Al- Kurauwi, terdapat banyak ruang untuk penulis muda berkarya namun terdapat beberapa masalah yang muncul seperti penulis muda tidak menghantar karya yang sesuai dengan tema majalah serta karya fiksyen sains itu sangat kurang kualitinyauntuk disiarkan seperti di Dewan Kosmik sehingga ada cerpen-cerpen yang ditangkap muat walaupun lari daripada tema majalahnya. Masalah yang dihadapi oleh editor Dewan Siswa pula ialah apabila cerpen-cerpen yang diterima tidak tersusun, mengikut emosi, lemah teknik, kurang mesej dan kreativiti. Namun begitu, ada juga majalah yang tidak mendapat perhatian penulis muda untuk berkarya seperti majalah Dewan Budaya dan majalah terbitan Jakim. Kesimpulannya, masih banyak ruang yang boleh dimasuki oleh penulis muda, terpulang kepada penulis untuk menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti untuk mendapat tempat di media cetak dan majalah.
Nasriah Abdul Salam yang muncul dengan makalahnya, Kelangsungan Pengkaryaan Penulis Muda : Sorotan Kebebesan Berekspresi mengatakan tanggungjawab seorang penulis adalah meneruskan kelangsungan persuratan Melayu dalam membina budaya serta ketamadunan dengan menjadikan gagasan dan pemikiran yang jitu dan benar sebagai wasilah. Pembawaan penulis muda dilihat melalui beberapa sudut. Ada yang memilih untuk mengadun unsur agama Islam seperti dalam karya-karya Faisal Tehrani, Zaid akhtar, Ibnu Ahmad Al-Kurauwi (sekadar menyebut beberapa nama). Ada juga yang memilih untuk keluar dari sastera konvensional yang digelar sastera underground. Selain itu ada juga kemunculan penulis muda yang berlatar-belakangkan multi-displin memberi jalur baru dan nafas segar dalam dunia penulisan. Saudari Nasriah menyimpulkan bahawa ruangan berkreatif dan berkritis untuk penulis muda tidak wajar disempitkan kerana dilihat sebagai kekangan yang akan membantutkan keintelektualan dan melemahkan kemandirian penulis sendiri
Ahli panel ketiga Shahrunizam Abd Talib membentangkan Penulis Muda : Ketiadaan Ruang atau Masa Hadapan mengatakan cabaran dunia sastera Malaysia ialah sastera telah dipandang rendah oleh masyarakat dan hampir menjadi sejarah kerana kecenderungan kepada kecanggihan bidang sains, matematik dan teknologi walhal sastera turut sama penting memperkukuhkan akal budi dan jati diri masyarakat. Shahrunizam melihat karya penulis muda bukanlah tidak mendapat tempat serta terbiar sebaliknya sering terbuka untuk dimasuki secara bijaksana dan penuh hikmah. Ditambah dengan kepesatan dan kecanggihan dunia teknologi maklumat dapat menjadi nilai tambah kepada penulis muda untuk mengembangkan bakat penulis muda. Shahrunizam juga mengatakan antara beberapa masalah penulis muda apabila ketiadaan ruang untuk mempromosikan kehadiran diri sebagai penulis kerana halaman sastera di akhbar sangatlah sempit dan terhad. Selain itu, radio dengan televisyen juga tidak mesra dengan dunia satera apabila kurang atau hampir tiada ruang untuk mempromosikan sastera di situ.
Nisah Haji Haron dengan Catatan Tentang Pengiktirafan Kepada Penulis Musa. Puan Nisah juga melahirkan rasa kekecewaannya apabila tiada lagi anugerah sastera remaja selepas Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat terhalang kerana penswastaan Dewan Siswa kepada Karangkraf. HSSBR dilihat berjaya mewujudkan satu gelombang kelompok penulis muda yang melahirkan karya-karya yang bermutu dan melalui HSSBR jugalah nama-nama seperti Hizairi Othman, Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah (sekadar menyebut beberapa nama). Selain itu Puan Nisah juga menyatakan kebanyakan karya pilihan pengkritik untuk diperkatakan jarang sekali memperkatakan tentang karya penulis muda seperti Sri Rahayu Yusof yang pernah memenangi beberapa siri Hadiah Kumpulan Sastera Utusan. Walhal peranan pengkritik sangat penting untuk menunjukkan satu bentuk indekas yang menentukan kualiti karya dan aras yang telah dicapai oleh penulis tersebut.
Lintas Lansung daripada Puteri Resort Ayer Keroh, Melaka.
Lintas langsung dari Puteri Resort Ayer Keroh Melaka.
Copyright © 2009 Minggu Penulis Remaja
Design by Design Disease for Smashing Magazine | Blogger Templates by Blog and Web