28 Mei 2008 - Melihat Diari & Album 29 Mei 2005

Sebuah catatan peribadi yang panjang, mengenangkan sebuah ‘gelaran’ dan ‘kelayakan.’
(Diambil daripada catatan Nasriah Abdul Salam, mantan 2005)

Ketika itu saya masih di tahun pertama pengajian di UIAM. Mengenali rakan sebaya yang bergelar mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) 2004 seperti Ghafirah Idris, Ida Munira, Pok Nik (NIMOIZ TY) dan Lan (Amir Mukhriz) buat saya cemburu. Tetapi rasa rendah diri sebetulnya lebih memonopoli hati apabila berhadapan dan berhubungan dnegan mereka. Semua menyarankan saya ke Minggu Penulis Remaja 2005, dan apabila saya tanyakan had umur, mereka menjawap – “minimum, 21 tahun.” – sebetulnya ketika itu pertemuan lebih banyak berlangsung dalam talian maya.

Tahun 2005 - usia saya akan menginjak 22 tahun pada Ogos. Tetapi, MPR tahun itu (yang berlangsung di Ilham Resort, Port Dickson) akan diadakan pada bulan Mei, bermakna saya ‘selamat’ 3 bulan dan masih berumur 21 tahun berdasarkan bulan kelahiran, bukan tahun kelahiran. Ketika saya bertanya dalam ragu kepada Ghafirah dan Ida Munira, “layak ke?” Mereka menjawap; “Alah…mohon je!” (kalian masih ingat tak, itu antara plot-plot pertemuan pertama kita di Kem Gelanggang Buaya, Banting dalam Temu Sastera IPT yang dirancang oleh Dahri Zakaria).

Ida Munira sarankan saya menghubungi Kak Salina Ibrahim, juga berlangsung melalui talian maya. Pendek kata, saya tidak kenal sesiapa melainkan hanya berhubung melalui emel. Dan, permohonan saya telah Kak Salina panjangkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka. (Terima kasih, akak!) Menunggu surat daripada DBP sebetulnya begitu suspen, lalu saya menelefon sendiri Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan dan berbicara dengan Puan Melissa. Saya kecewa apabila nama saya tiada dalam senarai, tapi saya ketepikan rasa malu untuk meminta (alias merayu) dan berterus-terang mengatakan tahun 2005 ialah tahun akhir kelayakan saya untuk ke MPR berdasarkan usia.

Puan Melissa tanya; “Benar-benar boleh datang?”
Saya jawap dengan yakin untuk meyakinkan; “Ya”
Puan Melissa tanya lagi; “Betul ke ni, benar-benar mahu sertai?”
Saya tegaskan, “Ya, benar-benar mahu.” – Lalu, Puan Melissa masukkan nama saya dalam senarai peserta. Ketika itu saya amat memahami, sebagai penganjur, perkara-perkara yang melibatkan kewangan seperti pengangkutan dan penginapan perlu ditempah awal. Jadi, kalau saya tidak hadir saat-saat akhir, semuanya menatijahkan pembaziran.

Saya khabarkan pada emak, separuh memujuk dan separuh lagi meminta kerana itulah kali pertama saya akan ‘kembara’ sendirian, juga menggunakan alasan usia yang akan melepasi had umur 21 tahun. Emak ayah izinkan, tanpa soal juga menanggung semua ongkos daripada Kota Bharu – Kuala Lumpur – Port Dickson – Kukup dan Tanjung Piai (ke Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2005) – Kota Bharu kembali. (Terima kasih, emak dan ayah yang sangat-sangat tak kisah!)

Andai ditanya kepada semua mantan MPR, apakah perkara yang menarik sepanjang berlangsungnya MPR? Saya percaya, majoritinya akan menjawap – dapat bertemu dan belajar daripada ‘bintang-bintang’ dalam penulisan. Betul, itu jugalah jawapan saya. Sungguh mengujakan apabila ada peluang menuntut dengan Faisal Tehrani Kerana Manisnya Epal, Nisah Hj. Haron Annyss Sophelia dan Shamsuddin Othman Puisi Islam. Juga berkongsi pengalaman dengan Zaid Akhtar Sesegar Nailofar, Zaen Kasturi Rapsodi, Mahaya Mohd. Yassin Ayah Pulang. (Gelaran-gelaran di belakang nama mereka ialah gelaran peribadi yang saya beri sendiri berdasarkan karya-karya mereka yang saya kenal dan baca sebelum mengenali penulisnya secara lahiriah). Terima kasih untuk kalian, budi kalian akan hanya saya lupakan sekiranya ditakdirkan saya nyanyuk. Jika ingatan saya masih sihat walafiat, Insya-Allah, semuanya saya bawa hingga mati.

Menyedari itu peluang pertama dan terkahir saya, maka saya manfaatkan sepenuhnya setiap detik dalam kuliah MPR. Saya ketepikan anggapan negatif terhadap ‘soalan bodoh’ kerana pada saya, istilah itu tidak ada jika kita benar-benar mahu menuntut ilmu. “Maafkan saya para pembimbing, andai ada ‘soalan bodoh’ yang keluar daripada lisan saya, anggaplah itu semua bermula daripada kenaifan dan perasaan benar-benar ingin tahu.”

Barangkali kerana usia juga (paling matang, bukan paling tua ya! ), saya dicalonkan sebagai penghuluwati MPR tahun itu dan bergandingan dengan penghulu MPR, Helmi. Kini Helmi di UIA dan beberapa bulan lepas dia muncul di hadapan saya. MPR 2005, semuanya meninggalkan kemanisan. Atau, andai adapun yang pahit, otak saya tidak sempat menyimpannya. Kenangan di MPR 2005 yang bersifat material masih saya simpan hingga kini – tag nama dan tali tag, beg merah MPR yang sudah putus talinya akibat menggalas buku yang berat hampir setahun dulu, penanda buku, poskad dan antologi Gema Suara Hati 8 hadiah daripada Puan Mahaya, topi Ilham Resort yang warna biru masih kemas dalam almari, dan botol comel shower form Ilham Resort yang warna hijau :)

Dua-tiga hari sebelum entri ini ditulis, otak saya memaut kembali kenangan-kenangan semasa di Ilham Resort dahulu dan saya mula teringatkan banyak orang. Barangkali sedikit sentimental – saya mula kenangkan rakan-rakan yang bersama-sama menimba ilmu di MPR 2005 yang ada antaranya hampir/telah saya lupa nama mereka. Hingga kini, banyak yang sudah hilang jejak, atau banyak yang saya ketahui tidak lagi menulis. Puncanya, saya tidak pasti dan tidak saya ketahui. Kadang-kadang saya terfikir, apakah kerana ada teguran dan kritikan daripada pembimbing yang buat kalian berkecil hati atau inferior? Kalaulah begitu (penegasan: kalaulah), saya mahu kalian tanya diri; terlalu istimewakah kita hingga langsung tidak dapat dimarah dan ditegur? Dan, terlalu istimewakah kita hingga ditaja penginapan, makan minum dan segalanya percuma selama seminggu hingga menjadikan MPR sebagai seolah-olah satu pakej pelancongan? Saya masih ingat kata-kata seorang pembimbing, “Duit (kos) yang kalian gunakan semasa di MPR ialah duit kerajaan (alias duit rakyat). Jadi, jawap sendiri dengan Tuhan kalau kalian tidak manfaatkannya sedangkan ada ramai lagi orang lain yang lebih berhak dan lebih berminat untuk belajar.” (Maaf, barangkali perenggan ini terlalu sensitif. Semuanya bertitik daripada rasa sedikit terkilan kerana mantan MPR 2005 tidak seaktif mantan-mantan tahun lain, dan ini sering saya luahkan kepada Azree Ariffin hampir setiap kali jika kami bertemu).

Selepas 3 tahun bergelar mantan MPR, saya amat berterima kasih kepada DBP dan pembimbing kerana memberikan gelaran ini kepada saya. Ya, penulis akan kata bahawa penulisan ialah satu wadah untuk penyampaian dakwah, sebagai satu usaha untuk menyampaikan kebaikan kepada sasarannya, sebagai satu cara untuk memartabatkan budaya bangsanya dan bahasa ibundanya. Sungguh, saya tidak terkecuali memegang prinsip-prinsip itu, kerana itu yang para pembimbing tekankan dan tanam dalam MPR dan sebolehnya, mahu saya pegang sampai bila-bila.

Namun, 29 Mei 2005 - 29 Mei 2008; ada beberapa perkara yang saya singkap dan muhasabahkan selepas melalui tempoh 3 tahun ini. Apabila melepasi sesuatu jangka masa, tidak dapat tidak saya mula fikirkan tentang kualiti, pencapaian dan sumbangan. Atau secara mudah dan secara peribadi, saya mula menghisab tentang kualiti penulisan saya, tahap pencapaian dan apa yang sudah saya sumbangkan terhadap perkara-perkara yang sudah dinyatakan di atas – sebagai usaha menyampaikan kebaikan kepada semua secara kesuluruhan.

Saya menganalisis dan berfikir sendiri, lalu memutuskan bahawa kualiti, pencapaian dan sumbangan dalam penulisan – semuanya bergantung kepada kualiti diri sendiri. Sejauh mana kita bersungguh, sejauh mana kita berusaha dan berani mencuba, setakat mana kita melengkapkan diri dengan disiplin, pengurusan masa dan setakat mana kesungguhan kita meningkatkan ilmu. Juga yang paling penting, setara mana kita menjaga hubungan dengan Tuhan.

Semuanya ialah satu perjalanan dan proses. Hingga kini, walaupun sudah bergelar mantan MPR, saya berasakan diri sendiri belum layak mengakui demikian apabila melihat dan membandingkan diri dengan pencapaian mantan-mantan yang lebih senior, mahupun junior. Mengakuri semuanya ialah perjalanan dan proses, saya dengan rendah diri memohon dan mengajak (pada kalian yang bergelar mantan MPR, juga mengingatkan diri sendiri) agar terus menulis. Terus menulis, menulis, dan menulis. Teruskanlah mencari bagi melengkapkan proses meningkatkan pencapaian diri untuk menyumbang dan memulangkannya kembali apa yang telah kita perolehi kepada kepada orang lain. Bahawa, ini juga ialah satu satu proses meneguhkan jati diri dan identiti kerana seminggu pertemuan di MPR tidak cukup untuk memungkinkan ‘sesuatu’ yang sempurna.

Barangkali saya terlalu idealis, terlalu yakin, terlalu khayal, atau sekadar membentangkan teori. Mungkin, tetapi saya benar-benar yakin akan ‘sesuatu’ apabila sesekali menyemak dan mengingatkan diri sendiri akan maksud surah al-Maidah: 401; “Dan hendaklah ada di antara kamu sekalian satu umat yang menyeru (manusia) kepada kebaikan, dan menyuruh kepada ma’ruf (kebaikan), dan melarang dari mungkar (kejahatan) dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”


Nota: saya mohon dengan sangat agar mantan-mantan MPR 2005 yang membaca catatan peribadi ini untuk menghubungi saya. Atau anda rasa wajah anda dirakamkan dalam gambar-gambar berikut, tolonglah hubungi saya.

Mentor & Pengasas MPR Usah Dilupakan

Sebuah kiriman emel yang kami terima daripada Saudara Zai Rye

Salam..

Mengikuti segala perkembangan dan kegiatan MPR memang saya berasa bangga. Sebagai insan yg pernah menyertai MPR (dahulunya tidak disebut MPR tetapi sekadar Minggu Remaja) saya berasa bangga kerana MPR masih terus bernafas biarpun lahirnya pada awal 1985. Bermula dengan antologi "Biarkan Aku Sendiri" dan penulis remaja yg menjadi perintis termasuklah rosilawati maidin, arfah ahmad, sharidatul akmar abdul rasit dan ramai lagi, MPR kini boleh berbangga kerana menjadi platform bagi mengasuh bakat bakat muda Malaysia. Selepas generasi pertama maka lahirlah pula nama nama lain seperti Hizairi Othman, Shaidah Shafie, Lily Haslina Nasir, Saharil, Faisal Tehrani, Ruslan Ngah, Ahmad Patria Abdullah, Shamsuddin Othman, Rosie Haslinda Nasir, Salina Ibrahim dan ramai lagi.

Memang membanggakan kerana di tangan Dewan Siswa/Dewan Pelajarlah nama nama besar ini lahir. Di bawah bimbingan Minggu Penulis Remaja bakat ini bertunas. Pun begitu saya agak terkilan kerana di sebalik keriuhan kita menghidupkan kembali kegiatan dan menjalinkan silaturrahim di antara angkatan lama dan baru MPR, kita bagai terlupa di belakang tabir MPR itu sendiri ada sejarah kesungguhan para editor Dewan Siswa yang menyaring bakat-bakat besar ini.

Nama nama seperti En Abdul Ahmad, Datuk Johan Jaafar, Puan Zaiton Abu Samah, Puan Padillah, Puan Kamariah Mohd Ali, Adnan Jamil, Adnan Majid etc adalah antara nama yang cukup sinonim dengan Minggu Penulis Remaja terutama pada awal kemunculannya. Percayalah.. tanpa nama yg disebutkan ini, tanpa kegigihan mereka, tanpa kepekaan mereka mengesan bakat yg terserlah di Dewan Siswa dan tanpa bimbingan dan asuhan mereka, tidak mungkin akan lahir nama nama Mantan MPR yg kini amat kita kagumi bakat mereka. Alangkah manisnya jikalau mereka ini diundang sama. Pasti kemeriahan dan pertemuan itu akan menjadi lebih sempurna dan bermakna.

Pembimbing lain yg banyak berjasa termasuklah Pak Ali Majod, saudara Ajikik, Khairuddin Ayip... nama yang saya sebut ini saya kira ramai yg semakin lupa. Mereka inilah yg banyak mencurahkan ilmu dan membangkitkan semangat penulis muda sekitar 80-an. Paling penting kita dapat mendengar sendiri kisah dan sejarah susur galur MPR dari Datuk Johan, Puan Zaiton, Saudara Abdul Ahmad.. dan tentunya ini satu pengalaman dan saat sejarah yg cukup manis!

Harap kita dapat bersatu di bawah nama MPR.

Zai Rye

KEBUN PUISI RAHIMIDIN


Sumber : Utusan Malaysia

Salman Sulaiman
13 April 2008


Di Kebun Khatulistiwa ialah kumpulan puisi terbaru karya Rahimidin Zahari setakat ini selepas Lakaran Kampung, Sekepal Tanah dan Matahari Berdoa. Menghimpunkan 112 buah puisi yang rata-ratanya dimuatkan dalam satu halaman dan bersesuaian pula dengan judulnya Di Kebun Khatulistiwa - puisi dalam kumpulan ini banyak mengambil latar kampung halaman. Ia diriuhkan oleh persembahan dan permainan tradisi tinggalan nenek moyang dan dilatari pula dengan tanah subur yang mampu menumbuhkan pelbagai jenis pohon termasuk sayuran dan buah-buahan.

Inilah yang dimaksudkan penyair sebagai kebun. Kesuburan dan keindahan alam ini tentu saja dipengaruhi iklim dan cuaca di tanah air kita iaitu khatulistiwa. Kebun indah yang dilatari iklim khatulistiwa inilah yang sangat dirindui penyair dan ia kemudiannya menjadi bait-bait kenangan yang sangat menawan dalam baris-baris puisinya dalam kumpulan ini. Dalam prakatanya yang dijudulkan Catatan Hamba: Potret Kecil dari Kampung, penyair jelas mengakui hal ini:

"Hamba telah memilih baris-baris kata untuk menyanyikan lagu hati. Lagu hati anak desa yang dikepung oleh ikatan pagar tradisi. Membesar di tanah jelapang dengan gegak gempita; di panggung dikir barat dan bangsal wayang kulit, tingkah gendang silat mempercepatkan pencak, paluan rebana ubi yang memecah sukma, busur wau bulan yang berdengung di angkasa mencecah jauh ke dinihari, ayam pupuh di pinggir hutan, pelaga cengkerik di sebalik pusu, mengintai belalang rusa di perdu nanas, dan memilih anak sepilai terbaik di paya sagu. Semuanya mengapung ingatan."

Puisi-puisinya yang dilatari kebun cantik beriklim khatulistiwa yang dihasilkan penyair dalam kumpulan ini seperti menghadiahkan kepada pembacanya lukisan yang begitu menawan dan memikat hati. Menelaah puisi-puisi Rahimidin dalam kumpulan ini seperti menekuni lukisan-lukisan cantik yang melakarkan sketsa kampung halaman yang menawan dan membuatkan kita begitu terpesona.

Begitulah dirinya, sudah dikenali puisinya yang sangat akrab dengan latar kampung halaman hinggakan kalimah 'kebun' itu sendiri seperti sudah boleh disinonimkan dengan Rahimidin Zahari. Seperti sudah boleh dijadikan satu penanda yang jelas bahawa kalimah 'kebun' di dalam baris puisi adalah semacam kepunyaan Rahimidin Zahari. Walaupun banyak mengimbau kenangan silam di kampung halaman dalam kumpulan ini, tetapi Rahimidin tetap memulakan naskhah ini dengan puisi Doa Pesakit iaitu sebuah puisi yang tidak lupa mengingatkan kita para pembacanya tentang kematian dan mengingatkan kita kepada Pencipta.

asal usulWalaupun nafas Islam dalam kumpulan ini tidaklah sekental kumpulan puisi Sekepal Tanah tetapi tetap banyak juga puisi yang mengingatkan kita tentang asal usul kejadian manusia daripada tanah dan akan kembali bersatu dengan tanah semula. Teliti ungkapan penyair pada puisi Kampung Rindu. Perhatikan empat baris akhir puisi ini, penyair tetap menyimpulkan bahawa penghujung kehidupan manusia itu ialah kembali kepada tanah juga akhirnya. Diperturunkan seluruh puisi ini:
Telah kulepaskan seekor serigala lewat angin pagi menebar bau sepi dan ketika gerimis memberikan khabar manis aku pulang ke kampung rindu ingin kugenggam tanah putih tempat ayah bonda bermain cinta kemudian hari sepasang pengantin berkahwin pula dengan sepi bumi.

Berbanding Sekepal Tanah, kumpulan puisi Di Kebun Khatulistiwa ini mempunyai tingkat penjimatan kata yang lebih rendah. Penyair berkisah tentang diri dan kampung halamannya semahu-mahunya. Kekejapan bahasa penyair yang sangat dikenali dengan puisi-puisi bernafas Islam ini seperti sedikit diabaikan berbanding puisi-puisi dalam kumpulan Sekepal Tanah yang lebih jimat dan cermat susunan kata-katanya - kejap dan kental pula nafas Islam di dalamnya.

Tapi tidak dinafikan, pada beberapa buah puisi masih tetap jelas dan menyentap nafas Islam yang disampaikan. Telaah sahaja puisi Aku Di Perkebunan Akhir. Kekuatan nafas Islam dalam puisi ini segera mengingatkan kita kepada puisi-puisi yang mengisi kumpulan Sekepal Tanah.

Antara puisi yang menghiasi halaman awal kumpulan ini ialah puisi yang menyorot peribadi penyair sendiri. Penyair berkisah tentang dirinya sendiri antaranya melalui puisi Autobiografi hinggalah Autobiografi 2002. Tentang dirinya, antara lain berkali-kali penyair mengakui dirinya hanyalah seorang 'lelaki kurus'. Pengakuan ini tertera antaranya dalam puisi Autobiografi, Autobiografi (III) dan Dari Tanah Bukit Pedalaman.

Sempat juga penyair bernostalgia mengenang kekasih lamanya yang bernama Asiah. Ini dapat dikesan dalam puisi Rumah Api, Kau Kembali Ke Kampung Lama dan Bagaimana Harus Kukatakan Kepadamu Asiah.

Menekuni puisi-puisinya dalam kumpulan ini membawa kita kembali jauh ke kampung halaman yang permai dan indah pula mata memandang. Tekuni sahaja rangkap kedua bait-bait puisi Peniup Seruling ini:

Siapakah yang lebih terasa goresan cantik merah senja daun-daun meluruh diresahkan angin hujan mengucur membasah bumi jambu mawar dan ubi kayu bakar air sumur dan suara tekukur berbaur pesan ibu menghalau itik dan caktuli azan maghrib dan tangga madrasah bulan merendah di halaman rumah.

Kumpulan ini menampakkan penyair begitu nostalgik dan penuh sentimental. Penyair bukan bercerita tentang dirinya sekarang, tetapi penyair sangat asyik bercerita tentang kehidupannya yang lalu di desa permai yang cantik menawan yang membuatkan kita sebagai pembaca turut terleka. Bagi pembaca yang lahir dan dibesarkan di kampung, kumpulan puisi ini tentunya mampu membuai perasaan dan mengimbau kenangan. Saya juga pasti ia tidak akan mengecewakan.

Pada halaman-halaman akhir, penyair juga memuatkan puisi khusus buat empat orang anaknya - Arief Afifi, Adib Ashraf, Hafiz Iqbal dan Nur Atiqah Sofia. Nasihat dan pedoman dalam bentuk puisi barangkali akan lebih bermakna dan sangat berguna buat bekalan anak-anaknya di masa depan. Ini kerana nasihat dan ingatan itu datang daripada ayah mereka sendiri, tambahan pula dalam bentuk puisi.

Menelaah Di Kebun Khatulistiwa adalah berkembara jauh ke dalam kehidupan lama seorang Rahimidin Zahari di kampung halaman yang manis dan penuh kenangan. Menekuni kumpulan puisi ini adalah menerobos jauh ke dalam diri penyairnya sendiri - ke kebun tradisi seorang Rahimidin Zahari.

AHMAD ZAFRAN: PELOPOR CERPEN REMAJA ISLAMI MPR

elaOleh Zaid Akhtar (Dewan Sastera April 2008)

BAGI kebanyakan para penulis muda generasi alaf baharu, nama Ahmad Zafran Abd. Mutalib (1974-2008) barangkali adalah satu nama yang sedang mewangi di persada penulisan novel tanah air. Mungkin tidak ramai yang mengenalinya sebelum ini, ditambah pula beliau baru sahaja kembali aktif dan menghasilkan beberapa novel terbitan sebuah syarikat penerbitan bumiputera yang sedang meningkat naik.

Namun bagi sebahagian penulis muda yang mulai menulis pada awal 90-an, terutamanya alumni MPR, Ahmad Zafran adalah antara nama yang agak membekas dan kekal diingati. Sekalipun karya yang ditinggalkan tidak banyak sepanjang hayat kepengarangannya yang pendek, tetapi beberapa karya itu sebenarnya sudah cukup untuk meletakkan dirinya sebagai salah seorang penulis generasi baharu yang wajar dikenang dan kematiannya ibarat kehilangan sebutir mutiara berharga.

Beliau yang juga menggunakan nama pena Armie Zafran atau Panaharjuna merupakan antara pemenang utama kategori cerpen Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) 1992 menerusi cerpennya berjudul Cintaku Hanya Untuk-Nya. Selain itu, beliau juga adalah peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 1993. Setelah muncul menerusi cerpen Nur Sadiq yang turut menjuduli antologi karya peserta MPR 1993, Ahmad Zafran ‘hilang’ hampir sedekad lamanya dalam dunia penulisan sebelum muncul semula menjelang alaf baru.

Antara novel remaja yang sempat dihasilkannya bersama PTS Publications seperti 40 Lukisan Hati (2005) dan Tegar (2006). Sementara dua siri novel kanak-kanaknya yang mendapat sambutan diberi judul Sahabat Kole Kacang (2006).

Bagaimanapun, dalam hayat kepengarangannya yang sependek itu, Ahmad Zafran masih lagi sempat meninggalkan beberapa buah karya yang cukup menarik, berkesan, dan kekal menjadi khazanah sastera remaja kita. Biarpun tidak terdidik dalam aliran agama sebagaimana kebanyakan penulis muda sastera Islami yang menonjol mutakhir ini seperti Faisal Tehrani, Nazmi Yaakub dan Amiza Khusyri Yusof (sekadar menyebut beberapa nama), Ahmad Zafran dilihat antara pelopor awal penulisan cerpen remaja Islami dalam kalangan penulis muda dekad itu.

Dua buah cerpennya yang cukup kuat dan masih diingati iaitu Cintaku Hanya Untuk-Nya (CHUN) dan Nur Sadiq. Kedua-duanya dihasilkan pada awal kemunculan pengarang dan menjadi bukti kekuatan dan keupayaannya dalam menggarap karya remaja bernuansa Islami. Dan kedua-duanya terus menjadi ingatan lantaran dalam pada para penulis remaja dekad itu lebih gemar mengungkap tema percintaan, kekeluargaan, persahabatan, sejarah, fiksyen sains, dan fantasi, Ahmad Zafran pula menawarkan karyanya yang menonjolkan tipa remaja Islam berperibadi tinggi dan teguh jatidiri Melayunya.

CHUN yang terkandung dalam antologi Annyss Sophillea (DBP, 1993) misalnya mengangkat watak Azlan atau ‘aku’ yang berwibawa dan wajar diteladani remaja hari ini. Menerusi watak ‘aku’ yang masih agak muda tetapi ‘tahu’ serba-serbi, Ahmad Zafran menghantar mesejnya kepada pembaca agar menguasai pelbagai disiplin ilmu sebagai bekalan hidup. Justeru watak ‘aku’ yang sederhana dan warak itu ditampilkannya bukan sahaja pandai mengaji, berzanji, melaungkan azan, menjadi imam, bersilat, mengurut dan mengubat orang, sebaliknya juga digelar “imam rock” kerana menguasai ilmu muzik dan pelbagai lagi.

Jalan cerita cerpen ini sebenarnya mudah ditelusuri dan sangat menarik apabila dibumbui sedikit kisah cinta yang sangat terkawal. Watak ‘aku’ yang menyertai perkhemahan daerahnya di Pantai Blue Lagoon tidak semena-mena dicabar oleh kawan-kawannya untuk bersaing merebut hati Anum Nirmala yang menjadi perhatian ramai. ‘Aku’ sesungguhnya tidak berminat namun sebaliknya didekati pula oleh Anum Nirmala yang terhutang budi setelah beberapa kali ‘diselamatkan’ oleh ‘aku’. Kehebatan ‘aku’ yang mengurut buku lali Anum yang terseliuh dan menawar bisa kala yang menyengat tangannya menyebabkan gadis pujaan ramai itu akhirnya jatuh hati.

Meskipun pembaca teruja seronok untuk menelusuri plot kisah cinta, pengarang dengan penuh sedar menghantar amanatnya menerusi perlakuan ‘aku’ yang ketara berpegang teguh dengan agama dan budaya Melayu. Nilai-nilai Islam yang disuntik dalam CHUN sangat berkesan. Di samping mengutamakan kefarduan solat, membataskan pergaulan bebas muda-mudi, dan menjauhi fitnah wanita, ‘aku’ tidak lupa menasihatkan Anum agar menutup auratnya dengan penuh ikhlas kerana Allah.

Sementara Nur Sadiq (NS) pula menampilkan latar yang sedikit asing. Remaja Omar datang dari alam ‘luar’ ke dunia bandar setelah diamanahkan gurunya untuk menjejaki pedang warisan Hizbul Arif yang lama hilang. Di dunia yang serba baru baginya itu, Omar ditemukan dengan Ratih, seorang gadis moden yang hanyut dalam arus global.

Jika dalam CHUN, pengarang menonjolkan watak remaja soleh yang menguasai ilmu rawatan tradisional Melayu, manakala dalam NS pula watak remaja alim yang mahir ilmu mempertahankan diri yang ditampilkan. Barangkali kemahiran pengarangnya bersilat menjadikan babak-babak pertarungannya agak dramatik. Cerpen ini juga secara simbolik menegaskan betapa nilai-nilai Melayu dan Islam mesti dipertahankan walau apa jua harganya.

Selain itu, kemampuan Ahmad Zafran dalam menyuntik elemen agama tanpa didaktik sekali lagi ketara dalam NS. Kefarduan solat dan membataskan pergaulan remaja terus menjadi keutamaannya. Malah, pengarang dengan sengaja menyarankan amalan soleh yang wajar dilazimi pembaca menerusi watak Omar tanpa perlu berkhutbah.

Daripada kedua-dua cerpennya itu, jelas sekali Ahmad Zafran sangat menjaga hablumminannas, selain amat menitikberatkan hablumminallah dalam berkarya. Iltizamnya terhadap agama dan akhlak wajar dipuji. Biarpun hanya dua cerpen tinggalannya, namun kehadirannya tetap dirasa. Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau merupakan antara pelopor penulisan cerpen remaja bernuansa Islami di negara ini. Mudah-mudahan Tuhan merahmatinya.

SEIMBAS BELEKAN DEWAN SASTERA MEI 2008

DS Mei 2008 mengetengahkan topik erotisme dalam karya sastera. Adakah benar unsur erotik merupakan elemen negatif yang merosakkan sesebuah karya? Benarkah hanya karya popular dan picisan sahaja yang dibumbui unsur erotik? Kupasannya dalam DS bulan ini.

Karyawan Bulan Ini pula membawakan Razali Endun, kreativiti beliau banyak dirangsang unsur alam dan kemanusiaan.

Karya Mantan-mantan MPR yang tersiar

Sajak Tunas Cipta:

Lelaki di Bawah Pohon Cinta - Salman Sulaiman (mantan 2000)

Roda Keadilan – Zulfazlan Jumrah (mantan 2006)

Pada Satu Kehilangan – Safura Sabri (mantan 2007)


Puisi Bulan Ini:

Pelebar Pilihan – Shazmee Rizal Agus Salim


Alumni MPR:

Kembara Hikmah Sebelum dan Sesudah

- Tuah Saujana (mantan MPR Wilayah Timur 2005)

(maaf jika ada yang tercicir, hanya membelek seimbas=)

TERKINI!

Berikut adalah senarai terkini para mantan MPR yang telah pun memberi maklumat diri kepada pihak Dewan Bahasa & Pustaka. Kepada yang masih belum berbuat demikian, anda diminta memberi kerjasama untuk berbuat demikian dengan segera memandangkan Perhimpunan MPR akan diadakan pada tahun ini. Sila alamatkan butir-butir diri anda seperti nama penuh, alamat, nombor telefon, emel, pekerjaan, dan juga tahun MPR ada kepada :


Urus Setia Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR),
Bahagian Pergembangan Sastera Kebangsaan,
Tingkat 22, Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.

u.p: Puan Malissa Ab Malik
Telefon: 03-21481240
Faksimile: 03-21414109
Emel: malissa@dbp.gov.my

MAKLUMAT MANTAN MINGGU PENULIS REMAJA

1 SHAIDAH SHAFIE
2 NORKAIDAWATI ABDUL MAJID
3 NORASHIKIN ABDUL HAMID
4 MUHAMAD TARMIZE MOHD. NOR
5 MOHD. SAUFI OTHMAN
6 ROSLAN JOMEL
7 FARAHANA HUSSAIN
8 ABDUL RAUF BAHARUDDIN
9 MOHD. AZREE ARIFFIN
10 WIDURA ABD. KADIR
11 ZULFAZLAN JUMRAH
12 MOHD. FADLY NASIR
13 SYAIDUL AZAM KAMARUDIN
14 NOR NAJWA AZMEE
15 SOLEHATUL NISSA' MOHD YUSOF
16 AHMAD FADHLIL MOHAMAD PAKARUL-RAZY
17 HANI SALWAH YAAKUP
18 ZULKIFLI MOHD. TOP
19 NURUL HAFIZAH MAJIDIN
20 MOHD. JIMADIE SHAH OTHMAN
21 MOHD. LUTFI ISHAK
22 SITI RAIHANI MOHAMED SAAID
23 SUHAINI MAT SUWANDI
24 MOHD. HELMI ABDULLAH
25 RANITA AWANG
26 FADZILAH ABDUL RAHIM
27 MOHD. NAZRIN AHMAD
28 ARFAH BT. AHAMAD
29 MOHD. FAIRUZ B. MHD. PADOLI
30 NIK MOHD. IZNAN B. TUAN YAAKUB
31 ANI MAWAR BT. ABDULLAH
32 HAMIR B. HABEED MOHD. ABDUL SETTAR
33 AINUNL MUAIYANAH BT. MUHAMMAD SULAIMAN
34 WAN NOR AL-TASNIM B. SAAD
35 NAIM SHAUQI MOHD. NOOR
36 NOR AFIQAH BT. MOHD. SIDEK
37 RUHANA BT. MD. ZAKI
38 FAIZ FAHMI SAZALI
39 SALINA IBRAHIM
40 ATRIZA BT. UMAR
41 MOHAMAD HAFIZ B. ABDUL LATIFF
42 HAFIZAH ISZAHANID
43 DR. KAMARIAH KAMARUDIN
44 ANG CHIN HUAT
45 ZULAILA BINTI ZAKARIA
46 TUNG WAI CHEE
47 ZARINA BINTI BAHARUDIN
48 HANY FARIZA BINTI FUAD
49 NOR HASNIDA AB. GANI
50 SITI NOR HAJAR BINTI SELEMAN
51 NABIHA BINTI MOHD. MASHUT
52 IDA MUNIRA ABU BAKAR
Blog Widget by LinkWithin
top