AIR MATA TUMPAH DI MPR 2007

Oleh: Sayidah Mu’izzah Kamarul Shukri (Penghuluwati MPR 2007)

Minggu Penulis Remaja 2007 merupakan program penulisan pertama yang saya sertai sejak 3 tahun saya serius dalam bidang ini. Pengalaman di MPR 2007, kebanyakannya manis. Kenangan pahit, serasa tidak ada dalam kantung ingatan saya dan jika ada pun saya tidak berminat untuk menyimpannya dalam memori.

Tak terucap dengan kata-kata betapa gembiranya hati apabila saya berpeluang bertemu dengan penulis-penulis yang amat saya kagumi iaitu Kak Nisah Haron dan Abang Faisal Tehrani. Setelah beberapa tahun mengikuti perkembangan mereka hanya melalui karya, akhirnya bagaikan mimpi saya bertemu mereka dan dapat berbual-bual, meminta nasihat serta tunjuk ajar.

Selain itu, di MPR 2007, saya dapat bertemu dengan Prof. Rahman Shaari, guru pertama saya dalam penulisan puisi. Saya berguru dengan Prof. Rahman secara tidak langsung melalui komentar beliau tentang puisi saya dalam Dewan Siswa sejak tahun 2005. Saya berasa gembira apabila beliau masih mengingati nama saya yang sudah hampir setahun tidak ditulis oleh beliau sejak ruangan puisi dipertanggungjawabkan kepada abang Faisal. Sebelum beliau menamatkan tugasan sebagai pengkritik untuk ruangan Puisi Siswa, beliau ada berkata kepada saya, “Sayidah (beliau memanggil saya dengan nama itu) dijangka akan memperoleh kedudukan dalam kesusasteraan jika dia rajin.” Berbekal kata-kata azimat itulah, saya cuba untuk menjadi seorang penulis yang seprolifik mungkin. Ketika pertemuan dengan beliau di MPR tempoh hari, beliau sekali lagi memberikan saya satu azimat, ‘carilah kemudahan di celah kesukaran’ dan kata-kata itu akan saya pegang kemas-kemas sebagai bekalan untuk mara ke hadapan dalam bidang kesusasteraan.

Seingat saya, ada satu sesi yang menyebabkan saya banyak ketawa iaitu ‘Sesi Bedah Karya’ dan saya diletakkan dalam kumpulan yang dibimbing oleh Abang Faisal. Ketika abang Faisal ‘membedah’ cerpen saya yang bertajuk ‘Memilih Yang Terpilih’ yang belum sempat saya edit, serasa betapa ‘buruknya’ cerpen saya itu. Banyak kali Abang Faisal beristighfar apabila beliau membaca ayat-ayat yang telah saya hasilkan. Terlalu banyak perkataan ‘mesra’ sehingga abang Faisal memanggil saya dengan nama ‘Eja Mesra’. Selain itu, saya juga ada menyelitkan judul lagu Amr Diab iaitu Ana Akhtar Wahid yang saya jadikan sebagai dialog. Sekali lagi abang Faisal beristighfar . Saya yang memang payah untuk berasa kecil hati hanya tergelak mendengar komentar beliau.

Selain itu, kenangan yang suka saya ingat-ingatkan ialah aktiviti luar MPR iaitu bersiar-siar di Jalan Masjid India. Ahli kumpulan saya sewaktu aktiviti itu ialah Aidil, Dayat dan Nik manakala fasilitator yang bertanggungjawab terhadap kami ialah abang Faisal. Dalam perjalanan pulang, hujan mulai turun. Pada mulanya kami berteduh di sebuah balai bomba. Kemudian kami mengambil keputusan untuk meredah hujan yang masih gerimis itu. Tiba-tiba, hujan mencurah-curah sebaik sahaja kami melangkah dari balai bomba tersebut. Peliknya kami tekad meredah hujan dan tak terniat langsung untuk berpatah balik ke balai bomba dan kembali berteduh. Oleh itu, bermandi hujanlah kami berlima. Peristiwa ini membuatkan kenangan saya semasa kecil terimbas kembali kerana saya memang sangat gemar bermain air hujan bersama rakan-rakan saya yang kebanyakan kanak-kanak lelaki. Seronok. Itulah kata yang mampu saya ucapkan.

Saat akhir program MPR, perasaan saya terusik. Entah kenapa saya yang tidak mudah berkecil hati menjadi cukup-cukup sensitif dengan perkara-perkara yang melibatkan perpisahan. Sedih. Dan air mata saya tumpah juga pada malam penutup program apabila persembahan multimedia dari mantan MPR 2007 ditayangkan (Terima kasih buat Kak Lia yang cuba menenangkan saya).

Tiba waktu pulang, seperti mantan MPR 2007 yang lain, saya juga mula berfikir bagaimana mahu pulang dengan beg yang berat berisi buku yang tersangatlah banyak. Tetapi, alhamdulillah, walaupun sedikit tersrengenge, perjalanan pulang ke kampus di UIA, Gombak tidaklah sesukar mana kerana sabar itu kunci kepada ketenangan dalam menghadapi kesusahan.

Terima kasih buat fasiltator-fasilitator yang sangat dedikasi. Terima kasih buat abang Shahrun Nizal, penyelaras program yang banyak bersusah payah demi kami. Salam ingatan buat mantan-mantan MPR 2007. Kalian semua kenangan yang terindah. Akhir kalam, semoga tarian pena takkan berhenti berdansa di persada sastera walau di mana jua kita berada.

5 komen:

Anonymous said...

Isk3.. Kalau dulu ramai cerita orang lain paling takut kalau abang Faisal bedah karya. Sampai ada yang menangis. Huhu. Baru pertama kali dengar ada orang gelak-gelak.

Anonymous said...

eja...
kita senyum je bila baca tinta eja ni.

Sayidah Mu'izzah said...

hehehe... gelaklah mengenangkan cerpen yang rasanya layak ke tong sampah... kalau menangis kadang-kadang akan membuatkan kita patah semangat. umur masih mudakan?

Anonymous said...

Eja, selamat menulis..an menulislah lagi. ingat lagi 'cabaran' akak pada malam pengakhiran MPR tika kita besama hidayat? hah, apa lagi..katanya gemarkan cabaran, kan? ini cabaran terbuka...

sahut, dan terima!

nasriah abdul salam

Anonymous said...

Sebagai manusia kita tidak mampu mencapai kesemua perkara yang dihajati. Kadang-kadang bidang yang dilalui tercicir dek pengorbanan kita kepada bidang yang diminati...fikir-fikirkan

Blog Widget by LinkWithin
top