Sesuatu Berkenaan MPR

Ini adalah FAQ yang Sdr Hizairi Othman sediakan dan serahkan kepada saya
beberapa bulan sebelum beliau hilang. Arahannya untuk dimasukkan ke dalam
laman web Alumni MPR. Saya masukkan ke sini. - Saharil Hasrin Sanin.

BILAKAH KELAB ALUMNI MPR DITUBUHKAN?
31 Mei 1997. Rasmi ditubuhkan sempena MPR yang berlangsung pada 25 Mei-1 Jun
1997. Dalam aturcara terakhir pada 31 Mei 1997 itu, dianjurkan seminar sehari
di DBP bagi membincangkan “Pencapaian Penulisan Cereka dan Puisi MPR Satu
Dekad – Arah dan Masa Depan” dan “Kelab Alumni MPR : Satu Realiti?”. Panelnya
Prof. Madya Dr. Othman Puteh (UKM) dan Prof. Madya Rahman Shaari (UM), dan
pengerusinya Tn. Hj. Hamdan Yahya (DBP). Beberapa mantan MPR yang hadir pada
seminar tersebut telah dipilih sebagai jawatankuasa menerusi undian.

SIAPA AHLI-AHLINYA?
Semua peserta yang pernah menyertai MPR (sejak 1985) dan/atau pernah memenangi
Hadiah Sastera Siswa (HSS) (sejak 1997) adalah automatik menjadi ahli kelab
ini.

APA OBJEKTIFNYA?
1. Menjana kelahiran penulis generasi baru dengan imej yang lebih dinamik,
berilmu dan bersedia dengan cabaran alaf baru.
2. Menggalakkan kewujudan penulis yang prolifik dan konsisten berkarya,
seterusnya dapat menjadi pelapis masa hadapan sastera Melayu di Malaysia.
3. Mendedahkan dan menggalakkan ahli kepada aktiviti dan persekitaran berkait
sastera, penulisan kreatif, penerbitan dan cabang seni lain di peringkat
setempat, serantau dan sejagat.
4. Menjadi penampung pertemuan intelektual dan kreatif daripada semasa ke
semasa.
5. Menghimpunkan semua mantan MPR dan HSS di seluruh Malaysia dan menyatukan
mereka di bawah satu organisasi yang aktif dan sistematik.

APA SLOGAN SENI KELAB ALUMNI MPR?
Sastera Sejagat Bermutu Berilmu.

APA MISINYA KELAB ALUMNI MPR?
Mewujudkan penulis generasi baru yang dinamik, berani berbeza, bercita-cita
tinggi, bekerja keras menuju apresiasi dan pencapaian global, serentak sedar
dan prihatin dengan akar negara-bangsa-agama sendiri.

APAKAH MPR?
MPR ialah program sistematik selama seminggu anjuran Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP) bagi melatih penulis remaja berbakat. Projek ‘anak angkat’
ini diilhamkan oleh beberapa pihak di DBP pada pertengahan 1980-an,
termasuklah Datuk Johan Jaafar, En. Abdul Ahmad dan En. Ali Majod.

APA KAITAN HSS DENGAN MPR?
Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang diasaskan oleh En. Abdul Ahmad (DBP) ini
ialah suatu anugerah pengiktirafan bakat terhadap karya cerpen dan puisi
yang tersiar menerusi majalah Dewan Siswa yang selama ini menjadi wadah
pembaca/penulis remaja mengembangkan bakat dan kreativiti mereka. Anugerah
yang ditaja oleh Bank rakyat ini dilancarkan Tuan Hj. Bujang Hj. Ulis,
Timbalan Menteri Pelajaran di Balai Seminar DBP pada 12 November 1986.

SEJAK BILA MPR DIADAKAN?
MPR dijalankan sejak 13 September 1985 dengan nama Minggu Remaja (ditukar
pada Minggu Penulis Remaja pada awal 90-an).

SIAPA YANG TERPILIH MENYERTAI MPR?
Kira-kira 25-30 penulis remaja pelbagai kaum yang berbakat yang berusia
antara 15-23 tahun dipilih dari serata Malaysia.

BAGAIMANA MENYERTAI MPR?
1. Berusia antara 15-23 tahun.
2. Mempunyai sekurang-kurangnya satu karya yang pernah disiarkan di
mana-mana media cetak.
3. Jika karya belum disiarkan di mana-mana, pertimbangan boleh dibuat
berdasarkan pertandingan menulis tertentu yang dimasuki, atau sokongan
dan cadangan dari tokoh sastera tertentu atau persatuan penulis tertentu.
4. Pernah memenangi Hadiah Sastera Siswa (HSS) yang dianjurkan menerusi
majalah Dewan Siswa, atau pernah memenangi anugerah penulisan lain.
5. Sedia memberi kersama jika diperlukan apabila menjadi ahli Kelab Alumni MPR.
6. Menunjukkan minat mendalam dan komitmen berterusan terhadap sastera dan
beriltizam mahu menjadi penulis berjaya.

APA OBJEKTIF MPR?
1. Melahirkan penulis pelapis berbakat besar dengan memberi bimbingan dan
pantauan berterusan dan terancang.
2. Mengenal pasti penulis yang berpotensi untuk didedahkan dengan pengalaman
penataran sastera di peringkat setempat, serantau dan sejagat.
3. Menggalakkan penghasilan karya sastera bermutu.
4. Menjadikannya sebagai program pengiktirafan bakat dan pencapaian bagi
penulis pelapis.
5. Mewujudkan barisan penulis generasi baru dengan imej lebih dinamik, agresif
dan kreatif.

SIAPA PEMBIMBING BENGKEL PENULISAN MPR?
Pembimbing bengkel intensif cerpen dan puisi dikendali oleh para penulis
berpengalaman dan/atau ahli akademik dalam bidang sastera yang berwibawa.
Antaranya Prof. Madya Dr. Othman Puteh dan Prof. Madya Rahman Shaari.

APA PROGRAM LAIN DALAM MPR?
Peserta akan berpeluang mengenali DBP, para editor sastera di akhbar dan
majalah berwibawa, berdialog dengan Sasterawan Negara, berkenalan dengan
penulis mapan, diberi latihan menulis secara informal oleh mantan MPR
menerusi kerja lapangan, didedahkan dengan dunia penulisa-penerbitan-seni,
selain aktiviti-aktiviti lawatan sekitar Kuala Lumpur.

BERAPA RAMAI YANG PERNAH DILATIH DI BAWAH MPR?
Sejak 1985 hingga kini, terdapat kira-kira 350 penulis telah dilatih di bawah
naungan MPR. Antaranya Zaen Kasturi, Hizairi Othman, Ahmad Patria Abdullah,
Rahimidin Zahari, Faisal Tehrani, Lily Haslina Nasir, Rosie Haslinda Nasir,
Shamsudin Othman, Tuan Faridah Syed Abdullah, Salina Ibrahim, Maharam Mamat,
Shahriza Abdul Rahman, Amaruszatie Noor Rahim, Tan Bok Hoi, Nisah Hj. Harun,
Uthaya Sankar SB, Siti Raihani Mohamed Saaid dan Ranofla Dianti Irwan.

APAKAH GENRE YANG DITULIS OLEH ‘GRADUAN’ MPR?
Kebanyakan mereka menulis cerpen dan puisi berdasarkan bengkel yang diikuti
ketika MPR. Hingga kini terdapat hampir 100 karya mereka yang telah
diterbitkan oleh DBP dan penerbit lain, berupa antologi cerpen dan puisi hasil
tugasan setiap kali MPR berlangsung, antologi cerpen dan puisi bersama,
kumpulan cerpen dan puisi persendirian. Malah mereka meluaskan horizon
penulisan dengan menulis novel, drama pentas, drama radio, drama televisyen,
esei, ulasan/kritikan filem dan rencana.

APA ANUGERAH YANG PERNAH MEREKA MENANGI?
Antaranya ialah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-
Public Bank, Hadiah Sastera Malayan Banking-DBP, Hadiah Drama Berunsur Islam
anjuran DBP-JAKIM, Hadiah Cerpen Berunsur Islam anjuran BAHEIS, Hadiah Cerpen
ESSO-GAPENA, Hadiah Cerpen Formula Malaysia, Trofi Samad Idris anjuran FINAS,
Hadiah Rencana Terbaik anjuran Yayasan AIDS Malaysia dan banyak lagi.

APA KEISTIMEWAAN MENYERTAI MPR?
MPR program melatih penulis remaja paling sistematik di Malaysia dan telah
mencapai usia lebih 10 tahun. Ramai penulis muda yang telah mencipta nama hari
ini lahir dari program ini. Banyak karya mereka telah diterbitkan di DBP dan
oleh penerbit lain. Menyertainya adalah pengalaman dan peluang eksklusif bagi
mereka yang inginkan latihan dan pengetahuan segera dalam usaha menjadi
penulis berjaya. Apabila anda menyertai MPR pula anda akan automatik menjadi
ahli Kelab Alumni MPR yang aktif menjalankan pelbagai aktiviti.

APA SIGNIFIKAN MPR?
Kewujudan MPR menunjukkan iltizam murni dan serius DBP dalam memastikan
kelangsungan sastera, terutamanya Kesusasteraan Melayu, khususnya dalam
pembentukan bakat dan visi penulis di peringkat rebung. Program ini telah
melahirkan banyak penulis pelapis, juga melahirkan banyak bahan bacaan
bermutu. Seterusnya MPR dapat memperbanyakkan lagi bahan bacaan remaja yang
lebih berkualiti dan bermaruah, selain membaiki dan memantapkan imej sastera
remaja yang sering diperlekehkan. ‘Graduan’ MPR juga diharapkan akan terus
membesar dalam sastera umum. Lebih jauh lagi, iltizam penulis yang diwakili
oleh MPR diharapkan dapat menampilkan suatu imej baru yang lebih segar dan
positif terhadap gerakan dan misi penulis generasi baru.

1 komen:

roslan jomel said...

Salam.

Terima kasih Saharil. Sekian lama kau simpan benda ni, baharu sekarang kau dedahkan ya!

Blog Widget by LinkWithin
top